Wednesday 19 June 2019

Novel: Dia... Putera Jasmineku! Bab 1 (part 2)


“MANA mamat muka bulan ni?” Imani menekan-nekan skrin telefon pintarnya. Dahinya berkerut. Sesekali telefon itu dibawa ke cuping telinganya. Kemudian dia berdecit sedikit. Setelah hampir tiga saat tiada jawapan, dia letak telefon pintarnya di atas meja warung itu dengan kasar.
Perbuatannya itu membuatkan Najah terkejut. Dikerling wajah Imani yang kian sebal itu. “Kau kenapa?”
“Bengang dengan mamat muka bulan.”
Najah pantas kerut dahi. “Mamat muka bulan? Siapa?”
Perbualan mereka terhenti apabila seorang pelayan kedai menghantar pesanan air yang telah dipesan hampir 15 minit tadi. Setelah mengucapkan terima kasih, pelayan yang berumur lingkungan belasan tahun itu cepat-cepat beredar. Mungkin dia seram melihat wajah Imani yang macam singa lapar itu.
Teh tarik dengan buih lebih itu, Imani hirup. Perlahan-lahan.
Ah, nikmatnya!
Terasa hilang segala kepenatan membelasah jejaka tak guna itu tadi. Namun, kenikmatan dia menikmati teh tarik buih lebih itu hanya bertahan kurang daripada dua minit sebelum mamat muka bulan itu datang menerjah.
What’s up, dude!”
Imani tersedak tatkala ada tangan tiba-tiba sahaja menepuk belakang badannya dengan kuat. Tak guna betul! Hidungnya terasa sangat sakit tatkala teh tarik itu masuk terus ke dalam rongganya.
“Woi! Cibs lah kau ni!” seranahnya sambil terbatuk-batuk. Wajahnya sudah merah padam. Najah pantas memberikan bantuan dengan menepuk-nepuk belakang tubuh rakannya itu.
Mamat muka bulan itu hanya ketawa. Dia lantas mengambil tempat duduk di hadapan Imani dengan selamba. “Relakslah.”
Imani pantas menjeling tajam. Kalau ikutkan hati mahu kepala jejaka berwajah bayi (baby face) ini kena pelangkung dengannya.
“Diamlah, Amir!”
Amir, rakan paling rapat dengan Imani. Jejaka ini yang selalu ada dengannya. Teman lepak dan teman tempat dia mengadu bila ada masalah. Persahabatan mereka terjalin disebabkan oleh minat yang sama dan perangai mereka juga lebih kurang sama. Atau… lebih tepat lagi mereka sekepala. Jejaka inilah satu-satunya manusia yang memanggil Imani dengan panggilan…
“Ali, aku tahu kau bengang dengan aku sebab lambat. Sorry. Kau tahu kan aku tengah handle budak-budak nak UPSR tu tuisyen kat sekolah? Jadi, tadi aku terpaksa chonglah budak-budak tu yang aku ada emergency and terpaksa habiskan tuisyen awal,” ujar Amir memberikan alasan.
Ali, singkatan nama untuk Alia Imani.
“Cikgu yang berdedikasi, konon…” Pantas Imani mengejek sambil dia mengekek tawa. Najah hanya diam dan menjadi pendengar perbualan atau lebih kepada perbalahan.
“Hakalah! Aku memang cikgu yang berdedikasi. Kau je punca kededikasian aku semakin merudum,” tuduh Amir melulu.
“Ah, engkau! Dahlah lambat, banyak bunyi pulak. Pergi order!” Cepat-cepat Imani mengalih topik. Karang kalau dibiar berlarutan mahu sampai esok malam mereka bertengkar.
Amir segera angkat tangan. Tidak sampai dua saat, pelayan belasan tahun itu datang. Mengambil pesanan dan terus sahaja berlalu dari situ.
“Apahal kau belasah mamat tu?” soal Amir seraya merapatkan tubuhnya dengan meja tersebut. Dia renung wajah Imani yang nampak tegang itu. Terkejut dia sewaktu mendapat panggilan daripada gadis itu semasa sedang mengajar tadi.
Imani menyebabkan rambutnya yang pendek dan sedikit keperangan itu ke belakang. “Dia cuba nak buat benda tak senonoh kat Najah. Kebetulan aku nampak, aku belasahlah dia and then…”
And then?”
And then dia panggil aku pengkid lepastu dia kata Najah girlfriend aku. Aku geram, aku hentaklah kepala dia pakai helmet aku. Pastu aku dengan Najah blah,” cerita Imani dengan selamba.
What?! Kau hentak kepala dia pakai helmet?” soal Amir, kaget.
Yup. Apsal?”
Terer gila kau, dude!” puji Amir sambil tersenyum. Imani juga turut tersenyum bangga. Ada juga orang memujinya walaupun jelas-jelas perbuatannya mmebelasah jejaka itu salah. Kemudian, pandangan Amir beralih pula kepada Najah yang pada ketika itu sedang mengunyah ais.
“Najah okey?” soalnya lembut.
Najah hanya mengangguk sambil tersenyum. Imani yang melihat mula meluat. Disepak kaki jejaka yang sedang mengenyitkan matanya kepada Najah. Terjerit Amir dibuatnya. Najah pantas terkejut. Meja warung itu kelihatan ternaik sedikit akibat kepala lutut Amir menghentaknya. Seketika, meja mereka menjadi tumpuan pelanggan lain.
“Aduh! Kau ni apahal, Ali?” Kelam-kabut dia mengusap kepala lututnya yang terasa berdesing seperti kena panah petir apabila berlaga dengan meja. Sakit betisnya disepak dengan Imani tidak dapat menandingi kesakitan kepala lututnya itu.
“Nak ngorat, jangan depan aku.” Imani menjegilkan matanya sedikit sebelum menyambung katanya kembali, “Kau patut tanya aku. Bukannya Najah. Sah-sahlah aku yang belasah mamat tu sekarang cerita dia,” katanya tidak puas hati.
Amir merenung wajah Imani, lama. Dia betul-betul mengamati setiap inci wajah rakannya itu. “Tak ada lebam pun kat muka kau. Maknanya kau okeylah tu.” Lantas ketawa berdekah-dekah.



0 comments:

Post a Comment