Monday 1 September 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 24

BAB 24


“MACAM mana dengan projek dekat Country Heights tu?” tanya Tan Sri Mansor sambil menghirup teh panas kegemarannya.
        Setelah selesai bermain golf memang kebiasaannya Tan Sri Mansor dan Dato’ Johan akan menikmati minuman ringan di salah sebuah cafĂ© yang terdapat di golf course ini.
        Dato’ Johan tersenyum sambil memandang Tan Sri Mansor. “Emm…okey. Semuanya berjalan dengan lancar, Man. Kau pulak macam mana? Ada projek besar masuk tak?”
        Tan Sri Mansor mengeluh lemah. Dia diam seketika. Soalan daripada Dato’ Johan itu dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Pandangannya dibuang ke arah padang golf. Wajahnya kelihatan sedikit muram.
        Dato’ Johan yang melihat hanya mengerutkan dahi.
        “Man, kau ada apa-apa masalah ke?” tanya Dato’ Johan inginkan kepastian.
        Tan Sri Mansor tetap membisukan diri. Pandangannya tidak beralih. Sesekali dia bermain dengan jarinya.
        Dato’ Johan merenung wajah Tan Sri Mansor. Mereka merupakan kawan lama yang rapat sejak di universiti dulu.
        Dato’ Johan menyedari ada masalah yang sedang membelenggu rakannya itu. Tangannya dilayang-layangkan di hadapan wajah Tan Sri Mansor.
        “Man, kau okey ke? Man?” Keningnya dijongketkan sedikit.
        Tan Sri Mansor tersentak. Pandangannya terus terarah ke arah wajah rakannya itu. Senyuman yang hambar cuba diukir olehnya perlahan-lahan.
        “Emm…Jo kenapa?” Dia memandang wajah Dato’ Johan yang mula berkerut itu.
        “Kenapa? Kau tu yang kenapa, Man? Aku tanya tadi pun kau tak jawab. Kau ada masalah ke? Termenung je. Kalau ada masalah kau boleh cakap pada aku. Mana tahu aku boleh tolong. Kalau setakat bisnes aku boleh tolong.” Dato’ Johan memandang anak mata Tan Sri Mansor.
        Pandangan Tan Sri Mansor dicerunkan. Cawan yang berisi air teh panas kegemarannya disuakan ke bibirnya. Dia menghirup perlahan-lahan teh panas tersebut.
        Dato’ Johan masih mengerutkan dahinya. Pelik dengan sikap kawannya itu.
        Tan Sri Mansor kemudian diam sekali lagi. Soalan daripada Dato’ Johan dibiarkan berlalu.
        Dato’ Johan memebetulkan kotnya. “Besar sangat ke masalah kau Man sampai aku tak boleh nak tolong kau?” soal Dato’ Johan lagi. Cuba untuk merungkai masalah yang melanda rakannya itu.
        Tan Sri Mansor kemudiannya membuang pandang ke arah padang golf. Nafasnya dihela panjang.
        “Besar jugak, Jo.” Matanya dialihkan Dato’ Johan yang duduk di hadapannya.
        Dato’ Johan makin bingung nampaknya. Teka-teki yang dibuat oleh Tan Sri Mansor sukar untuk dirungkai.
        “Aku tak kisah besar mana pun masalah kau, Man. Kalau aku boleh tolong Insyaallah aku akan tolong.” Dato’ Johan cuba meyakinkan rakannya.
        “Sekarang, kau kena beritahu aku masalah kau,” sambungnya lagi.
        Jari-jemari Tan Sri Mansor mula bersulaman. Pandangannya dicerunkan ke arah jari-jemarinya yang sedang bersulaman itu. Lama dia mendiamkan diri. Dia menimbang-nimbang sama ada mahu menceritakan masalah tersebut kepada rakannya ataupun tidak. Matanya memandang tepat ke arah Dato’ Johan.
        “Kami hilang projek berbilion-bilion juta ringgit dan Syarikat Beira-Mar Sdn. Bhd. dalam keadaan yang bahaya.” Tenang sahaja kelihatan wajah Tan Sri Mansor apabila menuturkan itu.
        Dato’ Johan tersentak dengan kata-kata rakannya itu. “What?! Maksud kau muflis?”
        Pantas Tan Sri Mansor mengangguk.
        Dato’ Johan pantas menggeleng. “Macam mana boleh terjadi?”
        Dahi Dato’ Johan berkerut. Perkara yang paling ditakutkan oleh ahli perniagaan seperti mereka telah berlaku pada Tan Sri Mansor.
        Tan Sri Mansor mengeluh lemah. Tan Sri Mansor pun bercerita dengan panjang lebar kepada Dato’ Johan.
        Dato’ Johan hanya menjadi pendengar setia sahaja sedari tadi. Kadang kala kelihatan kepala Dato’ Johan dianggukkan dan digelengkan. Mimik wajahnya juga sering bertukar.
        “Baiklah, aku akan tolong kau.”
        Pantas Tan Sri Mansor mengukir senyuman. Wajahnya yang keruh itu kelihatan ceria sedikit.
        “Betul ke?” tanya Tan Sri Mansor inginkan kepastian.
        Dato’ Johan mengangguk. “Yes. Aku akan tolong kau dapatkan tender projek yang sangat besar tu.”
        Semakin melebar senyuman Tan Sri Mansor jadinya. Pantas dia menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan Dato’ Johan. “Terima kasihlah atas kesudian kau nak tolong company aku.”
        Dato’ Johan menyambutnya sambil tersenyum. “Sama-sama. Kita kan dah lama kawan. Dulu kau jugak yang tolong aku bangunkan Maya Holding sampai segah macam ni. Sekarang giliran aku pulak yang tolong kau. Apa gunanya kawan kalau tak menolong? Betul tak?” Keningnya dijongketkan. Tawa kecil menghiasi kata-katanya.
        Tan Sri Mansor turut ikut ketawa. “Betul tu, Jo.” Tan Sri Mansor mengiakan kata-kata Dato’ Johan.
        Kopi yang panas disuakan ke bibirnya. Dihirup kopi tersebut.
        Tan Sri Mansor turut menghirup teh panas kegemarannya.
        “Aku akan beli 15% saham daripada syarikat kau. Macam mana setuju?”
        Tan Sri Mansor meletakkan kembali cawan tersebut di atas meja. Dahinya berkerut. Tanda sedang memikirkan sesuatu. “Boleh, aku setuju. Tapi ada satu syarat.”
        Ketukan pintu bertalu-talu dari luar menyedarkan Dato’ Johan. Mengembalikannya ke alam realiti semula.
        “Masuk.” Segera dia mengarahkan gerangan yang mengetuk pintu itu masuk.
        Helaian kertas di dalam fail di hadapannya diselak satu persatu. Buat-buat sibuk.
        Daun pintu terbuka dan tersembul wajah gadis berkulit sawo matang Durrah, setiausahanya di muka pintu. “Dato’, Cik Fairuz nak jumpa.”
        Dato’ Johan segera mengangkat wajah. Ketika berada di pejabat dia lebih suka menggunakan panggilan formal.
        “Suruh dia masuk,” arah Dato’ Johan bersahaja.
        “Baiklah, dato’.” Durrah mengikut arahan daripada majikannya. Dia mengangguk sambil tersenyum.
        Daun pintu ditutup semula. Tidak sampai tiga saat wajah Fairuz tersembul di muka pintu.
        Fairuz yang memakai seluar slack berwarna hitam bersama blaus lengan panjang berwarna pink muda melangkah menuju ke arah papanya sambil memegang proposal yang disiapkan malam tadi.
        Dato’ Johan hanya memandang anak sulungnya itu.
        Fairuz pula membalas pandangannya dengan menguntum senyuman.
        “Papa, ini proposal projek di Cyberjaya.” Fairuz menyuakan proposal tersebut di hadapan papanya.
        Fail yang di hadapan Dato’ Johan diketepikan olehnya. Fairuz melabuhkan punggungnya di hadapan papanya.
        Proposal tersebut dibelek satu persatu dengan cermat. Fairuz hanya menunggu dengan penuh debaran. Takut juga kalau proposal yang susah payah dia menyiapkan ditolak mentah-mentah oleh papanya sendiri.
        Dato’ Johan menyuakan kembali proposal tersebut kepada anaknya. “Well, I think…” Kata-katanya mati di situ.
        Fairuz terlebih dahulu mengambil proposal tersebut dan dipeluknya erat-erat. Takut dia menanti kata putus daripada papanya.
        Dato’ Johan menarik nafas sebelum menyambung kata-katanya. “…this is the best proposal. Papa rasa proposal Yuz paling baik setakat ni. Papa yakin kita akan dapat projek di Cyberjaya nanti jika dengan adanya proposal ini.”
        Fairuz tersenyum gembira. Tangannya laju dihulur kepada papanya. “Thank you, papa. Yuz yakin Maya Holding akan dapat projek tu. Papa jangan risau. Yuz handle projek ni.”
        Dato’ Johan menyambut huluran tangan anak sulungnya itu. “Nampaknya Yuz dah semakin pandai nak uruskan perniagaan papa ni. Tak lama lagi bolehlah papa serahkan Maya Holding kepada Yuz.” Tawa kecil menghiasi pujian yang diberikan kepada Fairuz.
        Fairuz menarik kembali tangannya. Dia laju menggeleng. “No, papa. Yuz tak sedia lagi. Banyak lagi perkara yang Yuz kena belajar daripada papa. Yuz tak boleh nak jadi macam papa.” Fairuz hanya tersenyum tawar.
        Dato’ Johan laju menggeleng. Jari telunjuk dilayang-layangkan. “No, Yuz. Macam mana pun Maya Holding akan jatuh ke tangan Yuz. Yuz kena sedia dari sekarang. Darah papa mengalir ke tubuh Yuz. Tak mustahil Yuz boleh jadi macam papa. Mungkin Yuz akan jadi lebih hebat lagi daripada papa.” Dato’ Johan memandang wajah anak sulungnya.
        Fairuz hanya tunduk sahaja. “Papa, Yuz tak layak dapat pujian sebegitu daripada papa. Yuz masih banyak lagi benda nak kena belajar. Yuz masih hijau lagi dalam arena ni.” Fairuz merendah diri.
        Dato’ Johan hanya menggelengkan kepalanya. “Yuz memang layak dapat pujian daripada papa. Sebab Yuz anak papa. Yuz bukan sesiapa. Dunia perniagaan memang sudah tertulis untuk Yuz. Maya Holding memang ditakdirkan untuk Yuz.”
        Dato’ Johan berkerut memandang Fairuz. “Papa tak sanggup nak biarkan orang luar terajui Maya Holding. Papa tak yakin nak berikan Maya Holding pada orang luar.” Dia bersandar pada kerusi.
        Fairuz memandang tepat ke arah wajah papanya. “Papa, Insyaallah Yuz akan jaga Maya Holding sebaiknya.” Fairuz tersenyum. Cuba meyakinkan papanya.
        Nampak bibir Dato’ Johan mengukir senyuman. “That’s my girl.” Tawanya menyusul. Fairuz ikut tertawa juga.
        Tawa Dato’ Johan serta-merta mati. Dia teringatkan yang Fairuz akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
        “Yuz, papa nak cakap something pada Yuz.” Badannya didekatkan ke maja.
        Fairuz yang mendengar mula memberhentikan tawanya. “Apa dia, pa?” tanya Fairuz inginkan kepastian. Muka serius papanya dipandang.
        Jari-jemari Dato’ Johan bersulaman. Nafasnya dihela panjang. “Papa nak minta maaf sebab desak Yuz kahwin dengan pilihan papa.”
        Serta-merta riak wajah Fairuz berubah. Wajahnya kelihatan keruh. “Papa, papa sendiri tahu yang hal peribadi tak boleh dicampur-adukkan dengan perniagaan. So, Yuz nak sambung kerja. Yuz nak balik bilik.”
        Fairuz mula mengelak. Dia malas mahu memperkatakan soal perkahwinannya bersama Nazmi. Dia bingkas bangun namun, dihalang oleh papanya.
        “Yuz, tunggu.” Dato’ Johan mula mengarahkan anaknya itu untuk duduk namun, tidak diendahkan oleh Fairuz.
        Dia mula mengatur langkah menuju ke pintu.
        “Yuz, papa kata tunggu!” Kali ini arahan papanya kedengaran tegas sekali. Bergema di seluruh bilik tersebut.
        Fairuz yang tiada pilihan. Dia hanya memberhentikan langkahnya sahaja.
        Dato’ Johan mula berdiri. Perlahan-lahan dia mula mendekati anaknya.
        Fairuz yang membelakangkan papanya mula mengetap gigi. Menahan geram. Proposal dipeluknya erat.
        Kedengaran Dato’ Johan mengeluh lemah. “Papa tahu susah untuk Yuz terima tapi papa buat semua ni untuk masa depan Yuz. Papa risau Yuz tak boleh nak lupakan cerita cinta lama Yuz dulu.”
        Kedengaran suara Dato’ Johan makin lembut dan merendah. Cuba untuk memujuk hati anaknya.
        Fairuz diam tidak berkutik. Sesungguhnya dia amat sakit hati apabila papanya memaksanya berkahwin tanpa berbincang dengannya. Tubir matanya mula menakung butir-butir jernih yang bila-bila masa sahaja boleh turun membasahi pipi. Cepat-cepat dia menyeka.
        Dia berpusing menghadap papanya. “Papa, Yuz dah lama maafkan papa. Yuz tahu papa buat semua ni untuk masa depan Yuz. Walau apa-apapun perkara berlaku perkahwinan ni akan tetap berlaku jugak.”
        Kata-kata Fairuz mati di situ sebentar. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk meraih kekuatan diri.
        Dato’ Johan hanya mematungkan diri sahaja. “Cuma satu je Yuz nak mintak pada papa.”
        Dato’ Johan menjongketkan keningnya.
        “Papa jangan marah kalau hati Yuz tak ikhlas dengan perkahwinan ni.” Segera dia melangkah menuju ke pintu. Tombol pintu dipulas dan air mata gugur jua menuruni cerun pipinya.
        Dato’ Johan hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

NAZMI dan rakan sepasukannya, Harimau Muda A sedang menjalani latihan. Nazmi sedang membawa bola sambil cuba untuk dirampas oleh Ruben, salah seorang rakan sepasukannya. Nazmi dapat melarikan bola tersebut dan dipas kepada rakan sepasukannya, Wan yang telah menunggu di hadapan pintu gol. Hantaran daripada Nazmi tepat ke kaki Wan dan Wan meledak gol.
        Jurulatih yang berbangsa Cina dan pengurus pasukan hanya memerhati dari jauh latihan mereka.
        “Okay, that’s all. All of you can stop the training now!” jerit jurulatih berkenaan dari jauh.
        Nazmi dan rakan sepasukannya yang lain mula berjalan keluar dari padang. Mereka melangkah menuju ke bilik persalinan.
        “Geng, kita lepak futsal malam ni,” ajak Baddrol setelah mereka berada di bilik persalinan.
        Fakhri yang sedang meneguk air 100 Plus itu mula mengangguk.
        “Cantik jugak tu. Bolehlah aku usha awek-awek kat situ.” Fakhri mula tersenyum nakal sambil membaling botol air tersebut kepada Nazmi.
        Hazwan yang sedang membuka but bola itu turut sama tersenyum. “Ha, cun jugak tu. Untung-untung kita boleh tengok minah yang manja tu.”
        Kata-kata daripada Hazwan mengundang tawa mereka semua.
        Nazmi menyambut balingan botol air daripada Fakhri. Dia hanya diam sahaja.
        Fakhri yang sedang membuka stoking bolanya mula menyampuk. “Hai, Hazwan. Hati-hati sikit nanti ada yang kena baling dengan botol air tu.” Hazwan dan Fakhri ketawa berdekah-dekah.
        Nazmi yang sedang duduk di atas bangku sambil meneguk air 100 Plus hanya berdiam diri.
        “Hazwan, Lissa tu Justin Bieber celop kita yang punya.” Farhan menepuk bahu Nazmi. Dia tertawa diikuti dengan rakan sepasukannya. Bilik persalinan bergema dengan suara ketawa mereka.
        Nazmi tersedak apabila Farhan menepuk bahunya. Terbatuk-batuk dia jadinya.
        “Hai, takkan baru sebut nama pun dah menggelabah. Berdebar semacam,” seloroh Farhan lagi. Ketawanya tidak ketinggalan menghiasi selorohnya.
        “Siap tersedak lagi.” Wan tidak ketinggalan mengusik. Tawa mereka makin bergema di segenap ruang bilik persalinan tersebut.
        Nazmi mengelap mulutnya menggunakan tangan. Perasaan bengang mula menghantui dirinya. Bengang pula apabila dia diperlakukan begitu oleh rakan-rakannya. Namun, dia dapat mengawalnya.
        Botol air 100 Plus diletakkan di atas bangku dengan kasar. Dia kemudiannya membuka but bolanya yang berwarna kuning dan hijau. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan kata-kata.
        “Kalau korang nak sangat minah mengenyam dan manja tu, korang ambiklah. Aku tak kisah.” Kata-katanya begitu menusuk kalbu.
        Rakan-rakannya tersentak seketika dengan kata-katanya. Masing-masing saling berpandangan sesama sendiri. Suasana menhening mula menerjah suasana mereka.
        ‘Tadi bukan main galak gelakkan aku. Sekarang ni senyap pulak. Ada malaikat lalu ke?’ bisik hati Nazmi.
        Masing-masing tidak berani bersuara. Farhan mula bersuara. “Bro, ayat sentap tu. Takkan gurau sikit pun dah nak merajuk.” Farhan mula berasa bersalah.
        Nazmi yang duduk membelakangkan mereka mula melaga-lagakan but bolanya agar rumput yang melekat turun. Kali ini ketawanya terhambur.
        “Tak ada maknanya aku nak sentaplah, merajuklah pasal benda ni. Pasal minah mengenyam tu.”
        But bolanya diletakkan di atas lantai. Dia berpusing menghadap rakan-rakannya yang sedang bingung itu. Masing-masing mengerutkan dahi. Nazmi berasa lucu dengan wajah rakan-rakannya.
        “Habis tu kenapa kau cakap macam tu?” Zack terlebih dahulu bertanya.
        Nazmi mula berdiri. Sambil membuka jersi dia berkata, “Aku tak suka korang kaitkan aku dengan minah tu. Aku tak suka dengan Lissa.”
        Baju t-shirt berwarna hitam dicapainya. “Korang ambiklah Lissa tu. Aku tak nak perempuan macam tu.” T-shirt hitam tersebut disarungkan ke tubuhnya.
        Farhan yang sedang meneguk air hampir tersembur. “Kau kata tak suka? Punyalah cantik, seksi, manja macam tu kau tak nak?” Farhan terkejut dengan kata-kata daripada Nazmi.
        Radzi mula menyampuk. “Hairan betul aku dengan kau ni? Berpuluh-puluh perempuan nak kat kau tapi semuanya kau reject mentah-mentah. Daripada anak jutawan, model, artis, penyanyi, pelakon, pramugari, student UiTM, semua nak kat kau tapi kau…”
        Bibirnya dicebikkan sambil kembali menyambung kata-katanya. “…semua kau tolak macam tu je.”
        Kata-katanya disokong oleh semua rakannya. Semua mengangguk mengiakan kata-kata daripada Radzi.
        Nazmi yang mendengar hanya tersengih.
        “Aku pun pelik dengan kau ni. Semua minah yang dekat dengan kau cun-cun belaka. Tapi kesian diorang kena reject.” Hazwan tersenyum herot ke arah Wan yang sedang menukar baju.
        Nazmi hanya meggeleng kepala. “Aku bukannya reject cuma aku anggap diorang tu macam kawan aje.”
        Beg sukannya dizip dengan cermat. “Kalau korang nak korang ambik aje Lissa tu. Aku bagi free je kat korang,” sambung Nazmi sambil ketawa kecil. Farhan yang sedang mengelap peluh mula memandang Nazmi.
        “Boleh tu, boleh. Kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan. Aku tak kisah tapi yang kisahnya nanti Lissa. Dia nak ke kat aku yang tak handsome ni?” Giliran Farhan pula yang mencebik.
        “Mestilah dia tak nak. Si Lissa tu nak yang handsome macam Nazmi tu aje.” Fakhri yang sedang memasukkan tuala ke dalam beg sukannya menjuihkan bibir ke arah Nazmi. Mereka semua gelak besar.
        “Dah, korang ni makin lama makin mengarut nak bahan aku.” Nazmi mula bersuara. Membantah kata-kata rakannya.
        Dia mula menggalas beg sandangnya sambil cuba untuk melangkah keluar daripada bilik persalinan tersebut.
        “Geng, aku chow dulu.” Nazmi sempat berpaling sebelum mengatur langkah meninggalkan rakan-rakannya.
        “Alright, tapi jangan lupa futsal malam ni.” Faizal selaku kapten pasukan bola sepak Harimau Muda A mengingatkannya.
        Nazmi hanya menaikkan sebelah kanan ibu jarinya sambil menyambung langkahnya.
        Langkahnya laju menuju ke kereta Mitsubishi Lancer miliknya. Punat ‘unlock’ ditekan. Tangannya laju membuka pintu di bahagian pemandu. Dia memboloskan dirinya ke dalam perut kereta tersebut dan melemparkan beg sukannya di tempat duduk sebelah pemandu.
        Kunci dimasukkan dan enjin kereta dihidupkan. Cap serta kaca mata hitam di atas dorchboard dicapai. Kaca mata hitam dipakainya manakala cap disarungkan ke kepalanya.
        Memakai cap dan kaca mata hitam memang menjadi kebiasaannya apabila sedang memandu. Katanya takut dikenali. Maklumlah pemain bola sepak pujaan ramai.
        Belum pun sempat kakinya menyentuh pedal minyak iPhone 5s miliknya berbunyi riang di dalam kocek seluar pendeknya. Kaca mata hitam dibuka. Dia segera menjawab panggilan tersebut.
        “Helo.” Nazmi terlebih dahulu membuka bicara. Tangannya sudah membuka pintu kereta.
        “Emm…helo, Nazmi.” Kedengaran suara seorang gadis sedang berada di talian.
        Nazmi pantas keluar daripada keretanya. “Kau nak apa call aku ni?” soalnya sedikit kasar.
        Pintu kereta ditutup lalu dia bersandar di tepi kereta. Tidak kedengaran suara daripada pemanggil seketika.
        “Emm…aku nak cakap benda penting kat kau.” Pemanggil tersebut terketar-ketar tatkala mengeluarkan kata-kata.
        Nazmi mengerutkan dahinya. “Apa yang kau nak cakap pada aku, Fiella?”
        Ternyata gadis yang sedang berada di talian itu adalah Syafiella.
        Syafiella terdiam seketika. Dia yang sedang duduk di bangku di dalam kawasan kolejnya mulai resah. Dia tidak tahu apa yang mahu diperkatakan.
        “Hal ni tak boleh cakap kat telefon. Aku…aku nak jumpa kau, boleh?” Syafiella mula mengajak.
        Nazmi berpeluk tubuh sambil otaknya ligat memikirkan alasan yang munasabah agar dia tidak bertemu dengan Syafiella.
        “Apa yang penting sangat tu?” tanya Nazmi cuba mengelak.
        Syafiella mula ligat mencipta alasan supaya dia boleh bertemu dengan Nazmi. “Penting sangat, Nazmi. Kita jumpa malam ni, boleh?” Dia cuba meyakinkan Nazmi. Sekali lagi dia cuba mengajak.
        Cap yang tersarung di kepalanya dibetulkan. “Aku sibuk. Malam ni aku main futsal. Schedule aku penuh sampai bulan depan,” kata Nazmi sedikit tegas. Dia sengaja mencipta alasan dengan jadual latihan bola sepaknya yang padat itu.
        Syafiella yang duduk mula berdiri. Bibirnya menguntum senyuman yang ceria. “Kalau macam tu aku pergi tempat kau main futsal tu. Kan senang? Tak payah nak jumpa aku kat tempat lain lagi.” Dia mula ceria.
        Nazmi memicit-micit dahinya. Dia pening memikirkan tentang perempuan yang satu ini. “It’s up to you.” Nadanya sedikit serius.
        Syafiella mulai gembira. Bibirnya tercalit sebuah senyuman. “Betul ke ni? Kalau macam tu sekarang jugak aku pergi.” Syafiella tergelak kecil.
        Cuba untuk bergurau tetapi gurauannya hambar. Tidak disambut tawa oleh sang jejaka yang sedang berada di talian.
        Nazmi mula membuka pintu keretanya. “Suka hati kaulah nak percaya ke tak?” Nadanya kedengaran seperti acuh tak acuh.
        Nazmi segera meboloskan diri ke dalam perut kereta. “Fiella, dah tak ada apa-apa, kan? Bye.”
        Talian terus dimatikan sebaik sahaja kedengaran Syafiella mematikan perbualan. iPhone 5s dimasukkan semula ke dalam kocek seluar pendeknya.
        Nazmi menghela nafas lega. Matanya dipejam sekejap. Tangannya tetap melekat di stereng kereta. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk mencari kekuatan diri. Perlahan-lahan kakinya menyentuh pedal minyak.
        Tidak sampai lima minit kereta Mitsubishi Lancer miliknya menderum laju keluar dari tempat letak kereta di Wisma FAM, Kelana Jaya.

FAIRUZ sedang berdiri sambil menikmati pemandangan indah di Tasik Putrajaya. Air di tasik tersebut sangat tenang. Dapat menenangkan sesiapa sahaja yang sedang berkecamuk. Airnya yang berombak tenang mendamaikan jiwa sesiapa sahaja. Suasana tenang dan nyaman di sekitar tasik tersebut boleh melupakan seketika masalah yang sedang membelenggu jiwa.
        Air dan Fairuz memang sudah sebati. Jika ada masalah pasti Fairuz akan meneguk beberapa gelas air kegemarannya. Dia pasti akan duduk berteleku di dapur sehingga lewat malam.
        Apabila hendak menenangkan jiwa dan fikiran pasti sungai ataupun tasik menjadi pilihannya. Matanya menjamu pemandangan yang tenang dan nyaman di sekitar tasik tersebut.
        Dia sengaja bekerja separuh hari untuk menenangkan fikirannya. Selepas makan tengah hari dia tidak masuk semula ke pejabat.
        Sememangnya Putrajaya akan menjadi tenang dan sunyi apabila waktu pejabat. Maklumlah semuanya sibuk bekerja. Terasa hilang sekejap beban yang sedang menggunung dalam kepalanya.
        Sekejapan matanya kelopak matanya ditutup. Dia menarik nafas dalam-dalam. Cuba untuk menikmati udara yang nyaman ini. Cuba merasai udara yang boleh menenangkan fikirannya. Cuba menghirup udara yang mendmaikan jiwa dan hatinya.
        Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Terasa nyaman seperti dia berada di Pulau Sipadan, Sabah.
        Kepalanya terasa lapang selapang-lapangnya. Pipinya disapa angin sepoi-sepoi bahasa. Anak rambutnya berjuntaian di dahi apabila angin membelai rambutnya. Hatinya terasa damai.
        Peristiwa pagi tadi di pejabat papanya telah dilupakannya sebentar. Dia menghirup sekali lagi udara nyaman dan tenang itu.
        “Memang seronok dapat tengok pemandangan tenang dan damai macam ni.”
        Fairuz tersentak seketika tatkala ada suara yang menegurnya. Suara tersebut kedengaran bersebalahan dengannya. Suara tersebut juga kedengaran seperti seorang jejaka yang tidak dikenalinya.
        Sepantas kilat dia menoleh. Susuk tubuh yang tegap dan tinggi lampai sedang berdiri tegak sambil memandang ke arah tasik tersebut.
        Jejaka yang bercermin mata itu tersenyum. “Seronok dapat tengok ciptaan Allah yang tenang lagi mendamaikan ni.” Tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar.
        Fairuz diam seribu bahasa. Dia mengerutkan sedikit dahinya. Pelik dia dengan jejaka bersebelahan dengannya.
        “Bukan senang suasana setenang dan sedamai ni ada di bandar.” Jejaka tersebut menoleh ke arah Fairuz sambil tersenyum lagi.
        Senyumannya manis sekali. Senyumannya juga dapat mencairkan hati wanita yang melihatnya tetapi tidak seperti senyuman Nazmi.
        Wajah Nazmi yang seperti Justin Bieber itu mampu membuatkan gadis terkesima melihatnya. Wajahnya yang nampak tenang dan suci itu sangat mendamaikan jiwa.
        Fairuz tetap juga diam sambil tidak habis-habis mengamati wajah jejaka itu. Jejaka tersebut yang memahami Fairuz sedang memandang pelik terhadapnya mula memperkenalkan dirinya.
        “Oh, maaf. Saya tak ada niat nak takutkan awak. Saya Muaz. Dr. Muaz Mahyuddin.” Sekali lagi senyuman manisnya menghiasi salam perkenalannya.
        Fairuz hanya mengangguk sambil juga membalas senyuman daripada jejaka yang baru dikenalinya. “Saya tak kisah. Cuma saya pelik tiba-tiba awak ada kat sebelah saya. Saya ingatkan awak salah orang tadi. Saya Fairuz Farisha.”
        Muaz hanya mengangguk sambil tersenyum penuh hormat ke arah gadis yang baru dikenalinya. “Awak resident baru kat sini ke? Saya tak pernah nampak awak pun sebelum ni.” Dr. Muaz mula bertanya. Memulakan bicara.
        Fairuz hanya menggeleng. “Tak. Saya bukan resident kat sini. Saya jarang-jarang jugak datang kat tasik ni. Cuma mungkin kalau awak datang saya tak datang. Itu yang buat awak tak jumpa saya.” Fairuz menguak anak rambutnya.
        Dr. Muaz hanya menganggukkan kepalanya. Pandangannya dilontarkan ke arah tasik tersebut. “Mungkin agaknya. Saya datang sini pun sebab nak tenangkan fikiran. Nak lupakan sekejap beban kerja kat klinik.” Wajah Fairuz dikerling sekilas.
        Fairuz tersenyum gembira. “Nampaknya tujuan kita datang sini sama. Saya pun sama. Nak tenangkan fikiran.”
        Dia tersenyum. “Memang itulah Allah ciptakan pemandangan seindah ni. Tujuannya supaya manusia dapat menenangkan fikiran mereka di samping menyuruh manusia bersyukur atas kehebatan ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa.”
        Terselit sedikit unsur islamik di dalam setiap percakapannya. Menandakan jejaka ini bukan calang-calang orang. Pangkatnya juga ada di samping agamanya juga ada.
        Fairuz memandang tasik tersebut sambil mengangguk. Mengiakan kata-kata Dr. Muaz. “Saya datang ke sini untuk lupakan sekejap masalah-masalah yang timbul sejak akhir-akhir ini.” Fairuz berpeluk tubuh.
        “Setiap manusia tidak akan lari daripada masalah dan dugaan. Cuma yang membezakan hanyalah masalah dan dugaan mereka itu besar ataupun kecil.”
        Sekali lagi Dr. Muaz menuturkan kata-kata berupa nasihat kepada Fairuz. Tenang rasanya apabila mendengarkan kata-kata daripada jejaka itu.
        Dr. Muaz membetulkan kedudukan kaca matanya. “Selagi kita ditimpa ujian daripada-Nya selagi itulah Allah masih sayang pada kita. Dia cuma mahu melihat sama ada kita ingat ataupun tak pada-Nya apabila kita ditimpa kesusahan.”
        Sungguh kata-kata tersebut menusuk masuk ke dalam jantung Fairuz. Ubun-ubunnya terasa nyaman dan dingin.
        Dr. Muaz menoleh ke arah Fairuz yang sedang enak menikmati pemandangan tasik yang terbentang luas di hadapannya.
        “Awak dah kahwin?” Soalan tersebut tiba-tiba terpacul daripada mulut Dr. Muaz Mahyuddin. Jejaka yang mampu membuat Fairuz terasa damai dan tenang dengan kata-katanya.
        Fairuz mencerunkan pandangannya. Dia menggeleng lemah.
        Dr. Muaz kembali memandang tasik di hadapannya. “Saya bukannya nak tahu hal peribadi awak cuma saya nampak awak ni macam ada masalah besar je. Kalau boleh, saya nak tahu apa masalah yang sedang awak tanggung sekarang ni? Mana tahu saya boleh bantu awak sedikit sebanyak untuk selesaikan masalah awak? Yalah, walaupun dengan secebis nasihat.” Dia memandang Fairuz yang sedang berpeluk tubuh.
        Fairuz membalas pandangan Dr. Muaz. Lama dia mendiamkan diri. Dia berkira-kira mahu memberitahu ataupun tidak.
        Dia menghela nafas panjang sebelum mengeluarkan kata-kata. “Tak semua masalah patut diceritakan kepada orang lain. Tambahan pula orang yang kita nak cerita tu orang yang kita baru kenal.”
        Pandangannya kembali terarah kepada tasik yang terbentang luas di hadapannya. “Mungkin masalah sendiri biarlah badan sendiri yang tanggung semuanya. Susah saya nak percaya pada orang yang baru saya kenal. Tambahan pula nak berkongsi masalah dengan orang yang baru saya kenali. Saya jugak susah nak percaya pada lelaki.” Dia ketawa kecil.
        Dr. Muaz pula mengangguk-anggukkan kepalanya. “Awak memang seorang perempuan yang tegas dan tetap pendirian. Awak juga perempuan yang tak mudah percayakan orang lebih-lebih lagi lelaki. Tapi awak kena ingat yang semua orang tak sama. Begitu juga dengan lelaki. Bukan semua lelaki jahat.” Dia tersenyum memandang Fairuz.
        Fairuz tetap juga memandang tasik tersebut. Dia menggeleng sambil tertawa kecil. “Saya merana kerana lelaki. Hidup saya terumbang-ambing juga kerana lelaki. Saya sengsara juga disebabkan oleh manusia bernama lelaki.” Nadanya kedengaran tegas.
        “Hanya disebabkan seorang lelaki awak dah menilai yang semua lelaki sama?” Dr. Muaz pantas menyoal kembali. Ternyata dia kurang setuju dengan pernyataan daripada Fairuz.
        Fairuz memandang Dr. Muaz. Tubir matanya sudah menakung butir-butir jernih. “Ya. Lelaki semuanya sama!” Kedengaran nada suaranya bergetar sedikit.
        Butir-butir jernih perlahan-lahan mula menuruni lekuk pipinya yang gebu.
        Dr. Muaz yang mendengar hanya menggeleng. “Awak perlu lupakan segala-segalanya tentang lelaki yang buat awak derita. Awak perlu lenyapkan segala memori tentang lelaki itu.” Nadanya lembut sahaja. Mendayu-dayu dan merdu.
        Jari-jemari perempuan Fairuz pantas mengesat air mata yang meyentuh pipinya. Pandangannya dialihkan pada tasik berkenaan.
        “Susah saya nak lupakan perkara tu walaupun dah lebih dua tahun berlalu. Lagi saya nak lupakan lagi saya teringat.” Dia mula berpeluk tubuh.
        “Entah bilalah perkara ini akan berakhir. Sampai saya anggap semua lelaki sama.” Dia menggelengkan kepalanya.
        Dr. Muaz membetulkan kaca matanya sambil tersenyum. “Patutlah awak tak kahwin lagi.”
        Fairuz memandang wajah Dr. Muaz. “Kahwin pun tak ada dalam kamus hidup saya. Hati saya ni memang dah tak boleh nak terima lagi manusia yang bernama lelaki.”
        Dr. Muaz membalas pandangan daripada Fairuz. “Memang betullah kata orang. Perempuan kalau dah sekali dikecewakan mereka susah untuk terima lelaki dalam hidup dia.”
        Fairuz pantas mengangguk. “Ya, memang betul tu.”
        Dr. Muaz mengerling jam tangan yang terlilit di pergelangan tangannya. “Eh, dah lewat ni. Saya minta diri dulu, ye? Mungkin lain kali kita boleh jumpa lagi.” Dr. Muaz tersenyum sambil meminta diri.
        Fairuz hanya tersenyum penuh hormat ke arah jejaka yang baru dikenalinya.
        “Oh, sebelum saya terlupa. Ini kad saya.” Dia menghulurkan sekeping kad kepada Fairuz. Fairuz menyambutnya.
        “Kalau ada sakit pening ke datanglah ke klinik saya. Kalau ada emergency call saya. Insyaallah saya akan datang.”
        Fairuz membaca kad nama tersebut. Tertera tulisan ‘Klinik Muaz Mahyuddin’ beserta alamat dan nombor telefonnya.
        “Semoga kita berjumpa lagi. Assalamualaikum.” Jejaka tersebut berlalu setelah memberi salam.
        “Waalaikumussalam.” Salam tersebut dijawab oleh Fairuz perlahan.
        Fairuz tersenyum. Kali pertama dia merasa setenang ini. Dia juga ingin meninggalkan tempat tersebut. Tempat yang meninggalkan seribu kedamaian buatnya. Dia melangkah menuju ke arah kereta Audi miliknya.



Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 23

BAB 23


“KAU ingat tak masa kita lawan dengan Bahrain tahun lepas?” tanya Baddrol, salah seorang daripada rakan sepasukannya.
        Nazmi, Fakhri dan rakan sepasukannya yang lain sedang melepak di gerai mamak. Memang pada kebiasaannya mereka akan meluangkan masa bersama jika tidak terikat dengan sebarang perlawanan. Kebiasaannya gerai mamak merupakan mangsa mereka untuk melepak.
        Mereka akan bergelak tawa dan bergurau senda bersama. Beginilah caranya untuk merapatkan lagi hubungan antara mereka. Kadangkala sampai larut malam mereka akan melepak dan meluangkan masa di gerai mamak ini.
        Wan sudah tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
        Rakan sepasukannya yang lain sudah menutup mulut menahan tawa.
        Dia memang tidak mengingati perkara yang berlaku tahun lepas. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru lagi. Dia memandang wajah Baddrol dengan muka blurnya.
        “Bad, aku memang tak ingatlah,” balas Wan sambil mengerutkan dahinya.
        Matanya dialihkan pada rakan-rakannya yang sudah separuh mati menahan ketawa. Dahinya dikerutkan.
        Hazwan yang duduk di sebelahnya sudah tidak tahan lagi. Dia menepuk bahu Wan.
        “Takkan kau tak ingat? Masa kita lawan dengan Bahrain tahun lepas untuk kelayakan ke Olimpik. Masa tu kau baru masuk kat team ni.” Hazwan mula memberitahu.
        Kerutan di dahi Wan semakin bertambah. Dia sedaya upaya cuba untuk mengingati perkara yang diberitahu oleh Hazwan dan Baddrol.
        Rakan-rakannya yang lain menunggu sambil tersenyum.
        Wan memetik jarinya. Matanya bersinar-sinar memandang wajah Hazwan dan Baddrol silih berganti. “Hah, aku dah ingat.”
        Wajahnya yang teruja itu tiba-tiba bertukar menjadi marah. “Oh, patutlah korang tahan gelak tadi, ye. Rupanya korang nak gelakkan aku. Kurang asam, kau Bad. Kau bangkitkan balik cerita tu.”
        Terhambur ketawa mereka semua apabila mendengarkan kata-kata daripada Wan. Mereka bergelak tawa sampai tak ingat dunia.
        Wan hanya memerhati rakannya yang ketawa tak ingat dunia.
        Tidak kurang ada juga yang menghentak meja. Mamak di gerai tersebut sudah terbiasa dengan mereka.
        Nazmi yang berada bertentangan terlebih dahulu memberhentikan tawanya. Air mata di sekitar tubir matanya diseka.
        “Yang kau pergi golkan kat gawang sendiri tu kenapa?” Nazmi kembali ketawa apabila teringatkan kembali peristiwa itu.
        Wan hanya tersengih. Dia sememangnya tidak berkecil hati dengan seloroh rakan-rakannya itu.
        “Manalah aku tahu. Aku tak sengaja.” Dia meggaru-garu kepalanya sambil memandang Nazmi.
        Kata-katanya mengundang tawa segelintir rakannya.
        “Aduhai, macam manalah kau boleh tak perasan, Wan. Ryzal yang goalkeeper punyalah besar tu pun kau boleh tak perasan.”
        “Hoi, besar tu tak betul okey.” Pantas Ryzal memotong kata-kata Fakhri. Jari telunjuk Ryzal menunjuk lurus ke arah wajah Fakhri. Fakhri segera tersenyum.
        Wan menangkat bahunya. “Entah, aku pun tak tahu.” Tersengih-sengih Wan macam kerang busuk.
        Farhan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mencapai cawan yang berisi kopi di hadapannya. Sempat dia berkata-kata sebelum menghirup kopi. “Aku tak fahamlah dengan kau ni, Wan.”
        “Tulah, excited nak jaringkan gol sampai gawang gol sendiri dengan gol lawan pun tak reti nak beza.”
        Ketawa mereka terhambur sekali lagi begitu juga dengan Wan. Farhan yang sedang menghirup kopi hampir tersembur.
        Nazmi yang sudah terlebih dahulu mengangkat kedua-dua belah tangannya. “Okey, stop. Dah nak pecah perut aku gelakkan si Wan ni. Dah, dah.” Tawa Nazmi masih juga bersisa.
        “Tapi aku dah cover korang kan? Aku dah jaringkan satu gol masa tu kan?” Keningnya dijongketkan sambil tersenyum memandang rakan-rakannya.
        Hazwan yang di sebelah menumbuk bahu Wan. “Tapi kau tetap diingati sebab jaringkan gol kat tempat sendiri. Semua surat khabar dok canang cerita pasal Wan golkan kat tempat sendiri. Sebulan lebih Wan femes.”
        Rakan-rakannya yang lain mengangguk. Mengiakan kata-kata Hazwan.
        Wan tiba-tiba sahaja menepuk meja. “Eh, eh dah stop cerita pasal aku. Dah lapuklah cerita tu. Macam dah tak ada cerita lain.” Kata-kata Wan mendapat sambutan daripada rakan-rakannya yang lain.
        Sebelah tangan Farhan segera diangkat.
        “Cakap pasal cerita lain, aku ada dengar cerita.” Wajahnya memandang wajah rakan-rakannya yang menanti penuh pengharapan.
        “Apa dia?” tanya mereka hampir serentak. Badan mereka dirapatkan dengan meja.
        “Aku dengar cerita kita kena pergi Slovakia. Seingat aku…”
        Dahinya dikerutkan mengingati cerita yang didengarinya. “…tiga atau empat bulan lagilah. Kita kat Slovakia tu dalam tiga atau dua bulan je.”
        Semua mulut sudah membulat membentuk huruf ‘O’.
        Nazmi yang sedang menghirup milonya hampir tersembur.
        “Kejap, kau cakap bila kita nak pergi Slovakia?” Nazmi memandang Farhan yang berada selang seorang darinya.
        “Tiga atau empat bulan lagi,” jawab Farhan bersahaja.
        Nazmi mengerutkan dahinya sedikit. Matanya mencerun sambil mulutnya terkumat-kamit mengira sesuatu. Jari-jemarinya bergerak-gerak.
        ‘Kalau tiga atau empat bulan lagi maksudnya masa tu aku dah kahwin dengan Yuz.’
        Semua rakan-rakannya sedang rancak bersembang.
        Fakhri pelik dengan perbuatan Nazmi itu. Bahu Nazmi ditepuk. “Kau kenapa, bro?”
        Nazmi yang terkejut serta-merta memberhentikan pengiraannya. Dia segera mengangkat wajah.
        “Tak ada apa.” Senyuman menghiasi jawapannya.
        Kerancakan perbualan mereka tiba-tiba sahaja terganggu. Masing-masing diam membisu. Mata masing-masing memfokuskan ke suatu arah.
        Mereka tidak berkelip memandang ke arah Nazmi. Ada yang ternganga. Ada juga yang menggosok mata beberapa kali.
        Nazmi mengerutkan dahinya. Pelik dengan sikap rakan-rakannya.
        Fakhri juga sudah terjangkit. Dia menoleh ke arah belakang Nazmi.
        Mata Nazmi terus terarah ke arah belakangnya.
        Tiga orang gadis sedang berjalan beriringan menuju ke arah meja bersebelahan dengan mereka. Salah seorang gadis itu amat dikenalinya. Langkah mereka persis model yang sedang membuat catwalk di atas runaway.
        Mata-mata mereka mengiringi langkah gadis tersebut.
        “Fullamak, cun giler awek-awek tu!” Hazwan terlebih dahulu memuji. Mereka yang lain turut sama menganggukkan kepala mengiakan kata-kata Hazwan.
        Nazmi hanya tersenyum. Dia sudah terbiasa dengan sikap rakan-rakannya yang suka mengusha gadis-gadis berdahi licin.
        Salah seorang gadis itu mula melangkah menghampiri mereka. Gadis yang berambut perang memakai baju tanpa lengan berwarna putih bersama seluar jeans ketat dan sendat itu mula melangkah menghampiri mereka.
        Hazwan sudah tidak berkelip memandang gadis yang menonjolkan ‘aset’nya itu. Farhan pula sudah terliur tatkala matanya memfokuskan ke arah langkah gadis itu. Lenggok tubuhnya membuatkan Ryzal tersengih-sengih.
        Rambutnya yang panjang melepasi bahu yang sengaja dilepaskan dan digerbang-gerbangkan membuatkan Wan menelan air liur berkali-kali. Bibirnya yang tercalit gincu merah menyala yang menggoda sudah membuatkan Baddrol menongkat dagu memandang wajahnya. Fakhri sudah menggeleng-gelengkan kepalanya tatkala pipi gebu gadis itu ditatapnya.
        Semua bagaikan terkena sihir penggoda apabila terpandangkan gadis tersebut.
        Nazmi pula hanya memandang gadis tersebut tanpa sebarang perasaan. Dalam hatinya sudah terpahat dan tersemat seorang gadis. Ya, seorang gadis yang bakal menjadi isterinya. Fairuz Farisha. Gadis yang mampu mencairkan hati lelakinya.
        Setiap inci susuk tubuh dan wajah itu diamati oleh jejaka-jejaka yang berada di situ. Bukan sahaja susuk tubuhnya menjadi tatapan mereka sahaja bahkan pelanggan-pelanggan lain yang berada di situ.
        Dua orang rakan gadis tersebut telah duduk di meja bersebelahan dengan jejaka-jejaka pemain bola sepak itu.
        Gadis tersebut mula mendekati Nazmi sambil tersenyum dengan senyuman yang penuh menggoda.
        “Hei, boys!” Gadis tersebut sekadar berbasa-basi. Dia memandang jejaka-jejaka miang yang berada di hadapannya.
        Mereka semua membalas pandangan daripada gadis itu dengan pandangan yang memukau. Masing-masing cuba membetulkan penampilan.
        Dia melirik ke arah Nazmi dengan lirikan yang manja dan menggoda.
        Nazmi tidak mengendahkan sebaliknya dia berjaya melarikan pandangannya daripada menangkap lirikan yang penuh manja dan menggoda daripada gadis yang dikenalinya itu.
        Sekali lagi gadis tersebut memberikan senyuman yang manja dan menggoda buat si jejaka-jejaka miang itu. “Sorry, ganggu.”
        Mereka semua serentak menggeleng. Tersengih-sengih mereka dibuatnya.
        Dia melirik ke arah Fakhri tetapi lirikannya kali ini lain sekali. Lirikannya tidak manja dan menggoda seperti sebelum ini. Lirikannya lebih kepada sebuah peringatan ataupun sebuah perjanjian.
        “Boleh tak I nak pinjam kawan you all sekejap.” Suara gadis tersebut jelas kedengaran lunak dan manja di telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya. Jika jejaka yang mendengarnya mahu cair tahi telinga dibuatnya.
        “Kitorang tak kisah. Nak ambil terus pun boleh,” usik Fakhri. Usikan Fakhri itu memberi maksud yang lebih mendalam.
        Gadis tersebut ketawa kecil. Seperti biasa ada nada manja dan menggoda menghiasi tawanya. Rambutnya yang perang dan panjang itu diselitkan di telinga.
        “Okey, kalau you all tak kisah I nak pinjam kawan you yang comel macam Justin Bieber ni, boleh?” Dia memandang wajah Nazmi yang sedikit terkejut itu. Pandangannya jelas menggoda dan manja.
        Jejaka-jejaka yang berada di situ mula mengeluh. Masing-masing merungut kerana tidak dipilih oleh sang gadis yang seksi, manja dan menggoda itu.
        Nazmi terdiam seketika. Dia mula memikirkan surprise yang diperkatakan oleh Fakhri siang tadi. Mungkin ini surprise buatnya.
        “Bro, ini surprise untuk kau. Lissa surprise untuk kau.” Ternyata gadis itu Lissa. Fakhri sudah menepuk bahu Nazmi yang nampaknya sedang kebingungan itu.
        Dia memandang wajah Fakhri. Kerutan di dahinya kelihatan.
        Fakhri pantas mengangguk sambil tersenyum.
        “Fakhri kau gila ke?” Nada suranya pantas dikawal.
        Fakhri hanya menggeleng sambil tersenyum. Bibirnya didekatkan ke telinga Nazmi. “Tak, aku tak gila. Lissa yang gila. Dia gilakan kau, bro.”
        Nazmi menjauhkan dirinya daripada Fakhri. Dia hanya memandang wajah Fakhri dengan pandangan yang bercampur-baur. Marah dan bengang.
        Lissa yang tidak mendapat sebarang respons daripada Nazmi mula mengeluarkan kata-kata.
        “Okey, I pergi dulu kat meja sana. Nanti you pergi sana, ye. I tunggu.” Sekali lagi dia menggunakan kepakaran yang sedia ada dalam dirinya untuk memikat jejaka yang dia tergila-gilakan.
        Dia mula berpaling sambil melangkah menuju ke arah meja yang dikatakannya tadi. Sekali lagi langkahnya diiringi oleh mata-mata jejaka miang ini. Sebelum dia melangkah sempat dia menoleh ke arah Nazmi di belakangnya.
        “I tunggu tau, my little cute JB.” Kenyitan matanya yang menggoda dan manja menghiasi peringatannya kepada Nazmi.
        Rakan-rakannya yang lain sudah bersorak. Fakhri segera menarik lengan Nazmi agar bangun daripada duduknya.
        Nazmi menggeleng-gelengkan kepalanya kerana dia tidak mahu bertemu empat mata dengan gadis seksi, manja dan menggoda itu. Rakan-rakannya yang lain menyuruhnya untuk berjumpa dengan gadis yang bernama Lissa itu.
         Akhirnya Nazmi akur dengan permintaan daripada rakan-rakannya itu. Dia melangkah menuju ke arah meja gadis berkenaan. Gadis yang tersebut sudah sedia menunggu kedatangannya.
        Nazmi mengambil tempat duduk di hadapan Lissa. Kaca mata hitam yang terselit di leher bajunya diletakkan di atas meja.
        “You tak nak order ke?” Lissa memulakan bicara. Lagak manja dan menggodanya pasti tidak ketinggalan.
        Nazmi pantas menggeleng. “Dah minum kat sana tadi.” Dia seperti acuh tidak acuh sahaja menjawab pertanyaan daripada Lissa.
        ‘Kenapa dengan mamat ni? Macam ada yang tak kena je. Aku yang manja, seksi lagi menggoda ni dia tak nak pandang,’ rungut Lissa dalam hati.
        Dia tetap tersenyum memandang Nazmi. “Hari tu I nak jumpa you kat padang futsal tapi you tak ada. Fakhri kata you ada hal family. Betul ke?” tanya Lissa. Cuba untuk membuatkan suasana tidak menghening.
        Nazmi mengangguk kecil tetapi pandangannya dilontarkan ke arah lain. Wajah cantik dan menggoda Lissa langsung tidak diendahkan. Keadaan diam semula.
        Lissa yang sedang menyedut jus tembikai mula mengerutkan dahi. “You ni kenapa? Diam aje I tengok. You tak sihat ke?”
        Lissa cuba meraih tangan Nazmi namun pantas dia menepis.
        “Tak. Sihat je. Cuma penat sikit.” Dia memandang wajah Lissa. Cuba untuk meyakinkan gadis itu.
        Lissa mengendurkan kerutan di dahinya. “Laa…kesiannya my Justin Bieber ni. Penat ye, sayang? Biar I picit bahu you, okey.”
        Lissa sudah pantas bergerak ke belakang Nazmi namun pantas dia bangun. Lissa terpinga-pinga apabila melihat Nazmi begitu.
        Nazmi sudah mula jelak dengan perbuatan Lissa itu. Dia pantas mencari idea bagi mengelakkan diri daripada gadis manja dan seksi itu.
        Tangannya laju dimasukkan ke dalam kocek seluar jeansnya. iPhone 5s dikeluarkan lalu laju dilekapkan ke telinganya.
        “Helo, alang.” Dia sengaja berpura-pura bahawa Nazirul sedang menelefonnya.
        Kelihatan Lissa sudah bergerak ke tempat duduknya. Dia mencebik sambil menyedut jus tembikainya.
        “Okey, adik balik sekarang.” Nazmi kembali memasukkan iPhone 5s miliknya ke dalam kocek seluar jeansnya.
        Dia memandang wajah Lissa sambil bingkas bangun. “Emm…sorry. Abang call. Suruh balik sekarang. Ada emergency.”
        Sekali lagi dia memasukkan tangannya ke dalam kocek seluarnya. Not sepuluh ringgit dikeluarkan lalu diletakkan di atas meja. “Belanja sebagai tanda perkenalan.” Nazmi segera melangkah pergi.
        Lissa terpinga-pinga melihatkan tindakan Nazmi yang terburu-buru pergi meninggalkannya. Not sepuluh ringgit yang berada di atas meja diambilnya.
        “Kau fikir aku nak duit kau, Nazmi. Aku punya pun ada berlambak-lambaklah. Aku cuma nak kau je, Nazmi.” Lissa menggigit bibir kerana geram.
        Nazmi mengambil cap yang berada di atas meja tempat dia duduk bersama rakan-rakannya tadi.
        Baddrol mengerutkan dahi tatkala melihat Nazmi yang nampaknya sedang terburu-terburu balik. “Nazmi, kau nak pergi mana? Balik ke?”
        Cap disarungkan di kepalanya manakala hood sweater ditarik hingga menutupi kepalanya.
        “Aku nak balik. Tak tahan aku dengan minah mengenyam tu.” Kaca mata hitam dipakainya.
        Mereka berpandangan sesama sendiri.
        Sekeping not lima puluh ringgit diletakkan di atas meja. “Aku tak lupa janji aku nak belanja korang.”
        Dia berlalu pergi menuju ke arah kereta Mitsubishi Lancer berwarnya biru kepunyaannya.              

NAZMI pantas memanjat anak tangga menuju ke biliknya. Suasana di dalam banglo mewah kepunyaan Tan Sri Mansor sunyi sekali. Semua penghuninya sedang nyenyak tidur dibuai mimpi.
        Nazmi perlahan-lahan membuka daun pintu kamarnya. Dia memboloskan dirinya ke dalam kamar dengan cermat agar tidak mengganggu tidur penghuni banglo mewah itu.
        Perlahan-lahan daun pintu ditutup. Nazmi bersandar pada daun pintu tersebut. Cap dan kaca hitamnya ditanggalkan.
        Dia menghela nafas lega. Lega kerana dapat lepas daripada gadis yang menggoda itu. Akhirnya, dia dapat meloloskan diri daripada Lissa. Meremang bulu romanya apabila teringatkan gadis yang seksi itu.
        Mukanya diraup beberapa kali. Kaca mata hitam dan capnya diletakkan di atas meja kecil. Sweater ditanggalkan dan disangkutkan.
        Dia segera merebahkan badannya di atas katil empuk. Rasa sungguh selesa apabila berada di atas ketil empuk ini.
        Telefon bimbitnya segera dikeluarkan daripada kocek seluar jeansnya. Dia tergelak kecil tatkala dapat menipu Lissa dengan menggunakan iPhone 5s miliknya. Gadis itu ditipunya hidup-hidup.
        “Aku bukannya lelaki murah. Aku bukannya lelaki-lelaki lain yang kau boleh beli dengan seksi, manja dan godaan kau tu.” Bibirnya mengukir senyuman yang cukup sinis.
        Telefon bimbitnya ditenung sekali lagi. Wajah bakal isterinya, Fairuz memenuhi ruang mindanya. Rindunya terhadap gadis yang lebih berusia daripadanya mula menjengah.
        Walaupun telah bertemu semalam tetapi hatinya meronta-ronta ingin menatap wajah bakal isterinya. Hatinya membuak-buak ingin mendengar suaranya walaupun suaranya sedang marah. Mungkin inilah sindrom orang yang sedang mabuk cinta.
        Tangannya laju menyentuh skrin sesentuh telefon tersebut. Pantas nombor telefon Fairuz didail.
        Fairuz yang tertidur di atas meja kerjanya terjaga tatkala Blackberry Z30 miliknya menjerit minta diangkat. Tangannya meraba-raba telefon bimbitnya yang terletak di atas meja tersebut. Segera dia mengangkat panggilan telefon tersebut tanpa melihat nama pemanggilnya.
        “Helo.” Kedengaran suara Fairuz yang serak.
        Nazmi tersenyum tatkala panggilan telefonnya berjawab. Dia memeluk bantal peluknya.
        “Helo, awak! Awak dah tidur ke?” tanya Nazmi. Dia dapat mendengar suara Fairuz yang seperti baru bangun daripada tidur itu.
        Fairuz segera menggosok-gosok matanya. Dia yang masih mamai itu tidak dapat mengecam suara pemanggil di talian.
        “Hmm…. Pukul berapa sekarang?” Dia seperti malas-malas mahu menjawab soalan daripada si pemanggil.
        Nazmi segera melihat jam dinding yang berada di dalam kamarnya. “Pukul 12:45.”
        Fairuz terkejut. Matanya digosok berkali-kali. Segera dia melihat jam dinding yang berada di dalam kamarnya. Memang benar apa yang dikatakan oleh pemanggil berkenaan.
        Dia tertidur di atas meja kerjanya. Laptopnya masih terpasang. Nasib baik proposal sudah sepenuhnya siap. Dia menarik nafas lega.
        Apa-apapun dia harus mengucapkan terima kasih kepada si pemanggil tersebut kerana telah menyebabkan dia terjaga daripada tidurnya. Dia masih tidak tahu siapa pemanggil tersebut.
        “Emm…terima kasih sebab kejutkan saya. Kalau tak saya tidur kat meja kerja ni sampai pagi.” Fairuz tergelak kecil.
        Nazmi sudah tersenyum lega. Hatinya lapang kerana dia dapat mendengar tawa kecil Fairuz.
        “Awak siapa ye? Kenapa call saya tengah-tengah malam ni?” Fairuz mengerutkan dahinya. Dia masih tidak dapat mengecam suara pemanggil tersebut.
        Senyuman lega Nazmi terhenti. Ternyata Fairuz tidak mengetahui siapakah yang sedang memanggilnya.
        “Ini saya, Nazmi. Bakal suami awak.” Suara Nazmi kedengaran ceria di hujung sana.
        Fairuz tersentak dengan jawapan yang diterimanya. Dia terus melihat nama pemanggil di skrin telefon bimbitnya. ‘Budak Gila’. Tertera nama tersebut di skrin telefon bimbitnya. Dia sengaja meletakkan nama seperti itu pada senarai kenalannya.
        ‘Aduh, macam mana aku boleh tak perasan budak tu yang call.’ Fairuz menepuk dahinya berkali-kali.
        Keadaan menghening antara mereka berdua. Nazmi segera duduk daripada pembaringannya. “Helo, Fairuz. Awak ada lagi tak?”
        Fairuz segera melekapkan kembali Blackberry Z30 di telinganya. “Hei, awak dengar sini! Awak jangan nak perasan yang bukan-bukan, okey? Jangan nak berangan yang saya ni dah terima awak. Saya cakap macam tu sebabnya saya tak tahu siapa yang call saya ni. Awak ingat tu!”
        Fairuz pantas memutuskan talian tanpa sempat memberi peluang kepada Nazmi untuk mengakhiri perbualan.
        Nazmi berdecit sedikit sambil merebahkan kembali badannya di atas katil.
        “Nasib kaulah, Nazmi. Dapat bakal isteri yang langsung tak terima kau sebagai bakal suami dia.” Nazmi mula mengeluh.
        Fairuz meletakkan telefon bimbitnya kembali. Giginya diketap geram.
        “Tak boleh ke kalau budak hingusan tu pergi jauh daripada hidup aku?” Dia menjeling ke arah telefon bimbitnya.
        Nazmi kembali mendail nombor telefon Fairuz tetapi tidak dapat disambungkan. Fairuz telah mematikan telefon bimbitnya. Nazmi mengeluh sedikit. Bantal peluknya ditumbuk geram.
        Tidak lama kemudian iPhone 5s miliknya berbunyi. Segera dia menjawab panggilan tersebut tanpa melihat nama pemanggilnya. Dia beranggapan bahawa Fairuz yang memanggilnya.
        “Helo, awak! Saya minta maaf. Saya tak sengaja kejutkan awak tidur. Saya minta maaf. Saya call awak sebab saya rindukan awak.” Nazmi pantas menjawab. Bersungguh-sungguh dia memujuk Fairuz.
        “Hoi, bro! Sejak bila kau berawak saya dengan aku. Ini siap rindu bagai. Minta maaf lagi. Kau kenapa ni, bro? Demam ke?” Kedengaran gelak tawa Fakhri di hujung talian.
        Nazmi terus menelan air liur. Tanggapannya salah sama sekali. Mukanya membahang merah. Malunya kepada Fakhri bukan kepalang. Rasa macam nak letak muka kat dalam lubang jamban aje.
        Dia menepuk dahinya. ‘Macam mana ni? Silap-silap kantoi aku.’
        Dia masih belum memberitahu kepada rakannya itu tentang Fairuz, bakal isterinya.
        “Amboi, bro! Expertnya kau. Baru jumpa tadi kat mamak takkan dah rindu kot.” Fakhri mengekek ketawa lagi.
        Muka Nazmi makin membahang nampaknya. Giginya diketap geram.
        Fakhri beranggapan bahawa Nazmi sedang berhubung dengan gadis manja dan menggoda itu, Lissa.
        “Tak ada maknanya aku nak rindu kat Lissa.” Kedengaran suara Nazmi sedang marah.
        Tawa Fakhri makin mereda. “Habis tu siapa?” tanya Fakhri inginkan kepastian.
        Nazmi diam seketika. Dia masih belum bersedia untuk memberitahu kepada rakannya itu.
        “Tak ada siapa-siapa,” jawab Nazmi bersahaja.
        Fakhri yang sedang memandu itu mula mengukir senyuman. “Bro, takkan dengan aku pun kau nak berahsia kot?” Fakhri mula mendesak.
        Nazmi menghela nafas. “Nanti lama-lama kau tahulah.” Ringkas sahaja jawapan daripada Nazmi.
        “Yang kau call aku ni kenapa?” tanya Nazmi cuba mengalih topik.
        Pedal brek ditekan. Fakhri berhenti pada lampu isyarat merah. “Bro, kau tahu tak? Lissa merengek-rengek kat aku. Dia kata nak jumpa kau lagi. Dia merayu-rayu suruh aku bagi number phone kau.”
        “Habis tu, kau bagi tak?” tanya Nazmi cemas. Bimbang juga gadis seksi itu mengganggunya.
        Fakhri menekan pedal minyak. Setereng kereta dipusingkan ke kanan. Membelok ke kawasan apartmentnya. “Tak, aku tak bagi. Aku tahu kau tak suka dia.”
        Nazmi menghela nafas lega.
        “Betul?” tanya Nazmi inginkan kepastian.
        Kereta Fakhri masuk ke kawasan tempat letak kereta di apartmentnya. “Betul. Bro, takkan kau tak percaya kat aku kot?” Keretanya diberhentikan.
        “Okey, bro aku percaya.” Nazmi menganggukkan kepalanya.
        Fakhri membuka pintu kereta. Dia melangkah keluar sambil memegang jaket jeansnya.
        “Bro, aku nak tanya kau ni. Kenapa kau tak suka Lissa tu, ye? Team kita semua gilakan dia termasuk aku sekali tau. Tapi aku tak adalah segila macam geng kita yang lain. Kau tahu tak? Ramai lelaki yang berebutkan dia cuma dia je yang tak nak. Dia cuma nak kau je, Nazmi. Dia nak kawan aku yang macam JB celop ni.”
        Nazmi naik menyampah apabila mendengar nama Lissa disebut-sebut. Apatah lagi mengdengarkan yang Lissa itu amat tergila-gilakan dia.
        “Ah, biarlah perempuan murah tu! Aku tak suka sebabnya dia mengenyam semacam. Dia dok nak pegang-pegang aku. Aku tak sukalah. Aku rimas. Bulu roma aku meremang tau. Senang-senang kau ambik je Lissa tu jadi girlfriend kau.” Bulu romanya tegak serta-merta apabila teringatkan peristiwanya tadi di gerai mamak.
        Fakhri yang sedang menekan punat di lif mula tergelak kecil. “Dia tak nak kat aku. Dia nak kat kau jugak.”
        Dia melangkah masuk ke dalam lif setelah pintu terbuka. “Okeylah, bro. Aku chow dulu.”
        Talian terus dimatikan oleh Nazmi sebaik sahaja Fakhri mengakhiri perbualan. Nazmi mengerutkan dahinya. Gadis seksi itu mula mengganggunya. Susuk tubuh dan wajah gadis tersebut menghiasi benaknya. Perlahan-lahan kelopak matanya tertutup.   


Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 22

BAB 22


DATO’ Johan sedang khusyuk membaca surat khabar di ruang tamu. Televisyen terpasang siaran Buletin Utama. Selesai menikmati makan malam bersama keluarga Dato’ Johan semestinya akan berehat di ruang tamu sambil membaca surat khabar.
        Malam hari baru dia ada kesempatan untuk membaca surat khabar. Siang hari selalunya dia akan sibuk di pejabat.
        Maya Holding bakal diambil alih oleh Fairuz bila-bila masa sahaja tetapi bukan dalam masa yang terdekat ini. Dato’ Johan ada juga berkira-kira mahu memberi Fairuz untuk mentadbir Maya Holding tetapi pengalamannya belum mencukupi.
        Datin Noora berkali-kali menasihati Dato’ Johan agar bersara dalam dunia perniagaan namun, dia tetap berdegil juga. Katanya dunia perniagaan sudah sebati dengan dirinya.
        Dato’ Johan menyelak helaian surat khabar tersebut. Cermin mata rabun dekatnya sesekali dibetulkan.
        Kelihatan Datin Noora keluar dari dapur sambil membawa secawan kopi untuk suaminya.
        “Abang, kopi.” Cawan yang berisi kopi itu diletakkan di atas meja kecil di hadapan suaminya.
        Dato’ Johan hanya mengangguk. Matanya tetap tertumpu pada helaian surat khabar tersebut.
        Datin Noora melabuhkan punggung di sebelah suaminya. Berdasarkan riak wajah Datin Noora jelas terpancar kerisauan.
        “Abang.” Datin Noora memulakan bicara. Wajah suaminya dikerling sekilas. Kemudian nafasnya dihela panjang.
        “Betul ke apa yang kita buat?” tanya Datin Noora. Pandangannya tertumpu pada suaminya yang sedang membaca surat khabar.
        Dahi Dato’ Johan berkerut apabila mendengarkan pertanyaan yang keluar daripada mulut isterinya. “Betul apanya?” Helaian surat khabar diselaknya lagi.
        Datin Noora membuang pandang ke arah siaran televisyen yang berada di hadapannya. “Kahwinkan Yuz dengan pilihan kita.” Keluhan kecil kedengaran.
        Sepantas kilat Dato’ Johan memandang wajah isterinya. Surat khabar dilipat dan diletakkan di atas meja kecil itu. Cermin matanya juga dibuka dan diletakkan di atas meja.
        “Berdosa ke kalau kita kahwinkan dia dengan pilihan kita?” Tegas kedengaran nada suara Dato’ Johan.
        Datin Noora hanya menggeleng lemah.
        Dato’ Johan mengalihkan pandangannya. “Dah tu kenapa awak tanya betul ke apa yang kita buat?” Cawan yang berisi air kopi dipandang sepi.
        Datin Noora menghela nafas. Bukan jawapan itu yang dia mahukan. “Tak, bang. Saya cuma risau. Betul ke pernikahan ni akan bawa kebahagiaan pada Yuz?”
        Cawan yang berisi kopi disua ke bibirnya. Matanya sempat melirik isterinya. “Dulu kita kahwin pun atas pilihan keluarga, kan?”
        Pantas Datin Noora mengangguk.
        Kopi panas dihirup perlahan. Cawan diletakkan kembali di atas meja. “Bahagia?” Dato’ Johan kembali menyoal.
        Datin Noora mengangguk sambil mengukir senyuman. Mengenang zaman awal-awal pernikahannya dulu dengan suaminya.
        “Dah tu kenapa awak nak risau? Perkahwinan atas pilihan keluarga, atas restu keluarga ni lebih bahagia dan lebih diberkati.”
        “Tapi itu dulu. Sekarang zaman dah berubah. Lebih-lebih lagi sekarang zaman moden. Anak-anak muda sekarang mana sama dengan anak-anak muda zaman dulu. Lagipun bila saya tanya Yuz haritu dia kata dia terpaksa terima sebab abang dah ugut dia. Saya tengok Yuz macam tak suka dengan Nazmi.” Datin Noora memandang wajah suaminya.
        Dato’ Johan hanya mengelengkan kepalanya.
        “Abang dah cakap dengan awak, kan Noor? Abang yakin budak Nazmi tu dapat bahagiakan Yuz. Tengok macam kita dulu awak punyalah tak suka dengan abang alih-alih sekarang ni dah ada anak dua.” Dato’ Johan tersenyum nakal mamandang wajah isterinya.
        Datin Noora memukul lembut lengan suaminya. “Abang tu yang gatal.”
        Ketawa kecil Datin Noora terhambur. Dato’ Johan juga ikut ketawa.
        Riak wajah Datin Noora pantas berubah. Dia tidak dapat menyembunyikan riak wajah kerisauan dia.
        “Tapi saya takutlah, bang.” Nadanya kedengaran semakin merendah. Sekali lagi dia merintih.
        “Apa yang awak nak takutkan? Diorang dah besar. Pandai-pandailah diorang jaga rumah tangga diorang.” Dato’ Johan menghirup lagi kopi panasnya.
        Mata Datin Noora mencerun memandang permaidani.
        “Tapi Yuz tak terima Nazmi. Dia cakap pada saya yang dia tak akan terima Nazmi sebagai suami dia.” Matanya merenung suaminya yang sedang menonton siaran televisyen.
        “Lama kelamaan Yuz akan terima.” Mudah sahaja jawapan yang diberikan oleh Dato’ Johan.
        Datin Noora menjeling tajam memandang suaminya. Mudah sahaja jawapan yang diberikan olehnya.
        “Abang ni suka ambil mudah perkara macam ni. Saya takut kalau perkahwinan mereka tu takkan kekal.” Bibirnya dicebikkan manakala pandangan matanya beralih.
        Dato’ Johan yang mendengar segera memandang isterinya yang sudah mengalihkan pandangan. Dahinya dikerutkan.
        “Habis awak nak abang buat apa? Marah diorang? Suruh diorang ikut cakap kita? Awak fikir diorang tu budak kecik ke? Kalau perkahwinan tu tak kekal nak buat macam mana?”
        Sepantas kilat Datin Noora memandang wajah suaminya. “Tahu pun abang yang Yuz tu bukan budak kecik lagi. Yang abang nak suruh dia kahwin dengan pilihan abang kenapa?”
        “Eh, eh yang awak ni kenapa? Dulu awak jugak yang setuju dengan cadangan abang ni. Alih-alih awak pulak yang bantah kenapa? Abang buat semua ni untuk masa depan dia.”
        Datin Noora menjeling suaminya. Bertegang urat pula dia dengan suaminya.
        Dato’ Johan mengalihkan pandangannya ke arah siaran televisyen.
        “Yalah, saya tahu abang buat semua ni untuk masa depan anak kita. Manalah tahu abang buat semua ni untuk masa depan Maya Holding. Untuk perniagaan abang.” Nadanya kedengaran memerli.
         Dato’ Johan pantas memandang wajah isterinya yang sedang tersenyum herot. Dia mula menggelabah.
        “Tak. Abang buat semua ni bukan untuk Maya Holding.” Dato’ Johan menggeleng.
        Perasaan Datin Noora mula tidak sedap dengan respons daripada suaminya. Namun, cepat-cepat dia membuang perasaannya. Kepercayaan yang tinggi harus diletakkan kepada suaminya.
        “Abang buat semua ni untuk masa depan anak kita. Abang tak nak dia terus hidup dalam bayangan cinta bekas tunang dia. Abang nak dia lupakan bekas tunang dia dan mulakan hidup baru.” Matanya mencerun memandang permaidani.
        Datin Noora segera memaut lengan suaminya.
        “Abang, saya harap pun macam tu. Saya harap anak kita dapat hidup dengan bahagia.” Nadanya kedengaran sayu sekali.
        Dato’ Johan mengelus-elus tangan isterinya sambil mengangguk perlahan.


FAIRUZ sedang khusyuk menaip di komputer ribanya. Kerja perjabatnya bersepah di atas meja kerjanya di dalam kamar. Sesekali matanya dialihkan pada sebuah fail dan kembali menaip di komputer ribanya. Sibuk benar Fairuz ini.
        Syafiella masuk sambil membawa segelas air fresh orange. Langkahnya lemah mendekati kakaknya.
        Fairuz tidak mempedulikan adiknya. Tumpuan masih kepada perkerjaannya itu.
        Syafiella meletakkan air fresh orange itu di atas meja kerja Fairuz. “Kak, air.” Syafiella masih berdiri di tepi meja Fairuz.
        Tangannya ligat menyelak helaian kertas di dalam fail.
        “Hmm…” Tangannya kembali menaip sesuatu di komputer ribanya.
        Syafiella melepaskan sedikit keluhan. Dia masih berdiri di tepi meja Fairuz sambil memerhatikan sahaja kakaknya itu.
        “Kakak ada problem ke?” tanya Syafiella sambil mengerutkan dahinya.
        Fairuz mengerling sekilas adiknya yang masih berada di tepi. “Tak adalah. Kakak tak ada apa-apa problem. I’m so busy right now. Can’t you see it?” Fairuz kembali meyambung taipannya.
        Syafiella mengeluh lemah. “Kakak, Fiella na…”
        “Fiella nak apa? Kalau tak ada apa-apa Fiella boleh tak tolong keluar? Jangan kacau kakak. Kakak kena siapkan proposal ni malam ni jugak. Kalau tak esok kena bebel dengan papa.”
        Fairuz memandang wajah adiknya yang seperti ingin mengatakan sesuatu itu. Tegas kedengaran arahan daripada Fairuz. Gelas yang berada di atas mejanya dicapai lalu airnya diteguk perlahan.
        Syafiella tersentak mendengarkan kata-kata yang keluar daripada mulut kakaknya. Dia menelan air liur.
        Fairuz kembali menyelak helaian kertas di dalam fail tersebut.
        Syafiella memberanikan diri untuk mengatakan sesuatu kepada kakaknya.
        “Kak, Fiella nak tanya sikit.” Syafiella masih takut-takut untuk berkata sesuatu. Kedengaran suara terketar-ketar.
        “Apa dia?” soal Fairuz acuh tak acuh. Dia masih menumpukan perhatiannya pada proposal tersebut.
        Syafiella yang berada di tepinya mula tidak senang dengan sikap acuh tak acuh kakaknya.
        “Kak, pandanglah Fiella.” Syafiella mula meraih perhatian daripada kakaknya.
        “Tak payah nak pandang-pandang. Cakap aje. Kakak dengar.” Fairuz masih juga memberikan tumpuannya terhadap kerjanya yang berlambak itu.
        Syafiella mula marah dengan sikap kakaknya itu. Tangannya pantas menutup lid laptop kepunyaan kakaknya.
        Fairuz tersentak dengan perbuatan adiknya itu lantas segera dia menoleh adiknya yang sedang serius itu. Giginya diketap. Geram dia dengan sikap adiknya itu.
        “Fiella, apa ya…”
        “Fiella nak kakak pandang Fiella. Fiella ada benda penting nak tanya pada kakak ni.” Tegas sahaja kedengaran nada suara Syafiella.
        Fairuz memberikan jelingan kepada adiknya. Tetapi jelingan tersebut tidak semaut yang diberikan kepada bakal suaminya, Nazmi.
        Tangannya kembali untuk membuka lid laptop tetapi dihalang oleh Syafiella. Tangannya pantas menekan lid laptop itu daripada dibuka oleh Fairuz. Fairuz memandang wajah Syafiella yang mulai serius itu. Suasana tegang mula menyelubungi mereka.
        Matanya memadang tepat wajah Fairuz. “Kakak, please…” Sekali lagi dia mula meraih perhatian daripada kakaknya.
        Fairuz menghela nafas panjang. “Okey, kakak bagi masa lima minit pada Fiella. Lepas lima minit tu kakak nak sambung kerja.”
        Syafiella mula mengukir sedikit senyuman. Dia menarik Fairuz untuk duduk di birai katil bersamanya. Fairuz melabuhkan punggung di sebelah adiknya.
        “Kakak ada problem ke?” tanya Syafiella memulakan bicara.
         Fairuz mengerutkan dahi. “Tak ada.” Cuba menafikan pertanyaan Syafiella.
        “Betul ke?” tanya Syafiella inginkan kepastiaan. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena berdasarkan daripada riak wajah kakaknya.
        Fairuz mula tidak sedap hati. Bibirnya diukir senyuman yang penuh dengan kepura-puraan.
        “Tak ada. Kakak okey. Betul kakak okey. Cuma…penat sikit aje. Banyak kerja.” Tawa kecil yang sengaja direka terhambur.
        Syafiella tetap dengan muka seriusnya. Dia langsung tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh kakaknya.
        “Kakak, malam semalam kakak buat apa kat dapur?” tanya Syafiella tegas.
        Air muka Fairuz terus berubah. Dia mula gelabah namun, cepat-cepat dia mengawalnya.
        “Hmm…malam semalam…” Kepalanya yang tidak gatal itu digaru. Otaknya ligat memikirkan alasan yang munasabah dan logik agar dipercayai oleh adiknya.
        “Malam semalam kakak minum air lepastu kakak terus naik bilik tidur. Kakak tak buat apa-apa pun. Kenapa Fiella?” Senyuman yang penuh kepura-puraan itu sekali lagi diukir olehnya.
        Syafiella mengerutkan dahinya. “Kakak duduk berteleku kat dapur, kan? Sampai pukul dua pagi?” Syafiella menjongketkan keningnya.
        Senyuman Fairuz mati. Dia tidak mahu kejadiaan malam semalam diketahui oleh adik kesayangannya.
        Syafiella menghela nafas lemah. Nampaknya kakaknya itu tidak mahu mengaku.
        “Kakak jangan nak tipu Fiella. Kita duduk dalam satu rumah. Fiella membesar dengan akak. Fiella tahu kalau akak duduk berteleku kat dapur sampai pukul dua pagi mesti ada yang tak kena. Kalau dah sampai habis dua botol air Bliss tu akak minum mesti otak akak tengah serabut dengan masalah, kan?”
        Sekali lagi Syafiella bertanya kepada Fairuz. Bahu Fairuz digoncang perlahan.
        Fairuz hanya menundukkan pandangan. Dia kalah dengan adiknya. Akhirnya dia mengangguk kecil.
        Syafiella mengeluh lemah. “Ini mesti pasal bekas tunang kakak, kan?” tanya Syafiella.
        Anggukan kecil daripada Fairuz menjawab pertanyaan Syafiella.
        Syafiella menggelang lemah. “Kakak, Fiella dah suruh kakak lupakan dia tapi…”
        “Macam mana kakak nak lupakan dia kalau ada lelaki lain muncul dalam hidup akak?” Pantas dia memotong kata-kata adiknya.
        Fairuz merintih. Nadanya kedengaran ditinggikan sedikit. Matanya memandang tepat wajah adiknya.
        Syafiella mula tidak sedap hati. Lelaki lain yang dimaksudkan itu ialah Nazmi Faiz, lelaki yang dicintainya.
        Jika difikirkan kembali hatinya menjadi pilu dan pedih apabila terpaksa menerima hakikat yang kakaknya akan mengahwini lelaki yang dicintainya, Nazmi namun, dia harus menerima semua itu. Walaupun pahit untuk ditelan dia harus merelakan. Jauh di sudut hatinya dia amat mencintai lelaki yang bakal menjadi abang iparnya.
        Matanya mencerun memandang lantai. Terasa hangat di sekitar tubir matanya namun, cepat-cepat dia menyeka. Perasaannya cuba untuk dipujuk.
        Perlahan-lahan dia merenung wajah kakaknya. Kata-kata semangat cuba dituturkan.
        “Kak, Fiella tahu perkara ni susah untuk dilupakan. Kalau Fiella jadi akak pun Fiella susah juga nak lupakan. Tapi akak kena lupakan juga bekas tunang akak sebab dia akak merana. Sebab dia akak menderita. Sebab dia akak jadi orang hilang arah dan tujuan. Dia bawa banyak keburukan pada akak kalau akak terus-terusan ingat dia.” Jari-jemari perempuan Fairuz cuba untuk diraih.
        Fairuz hanya mendiamkan diri sahaja.
        Jarinya cuba menggenggam jari Fairuz. Cuba untuk memberikan separuh semangatnya untuk dikongsi.
        “Kak, kakak kena juga buangkan segala memori pahit akak dengan Abang Hilmi. Kakak kena mulakan hidup baru.”
        Tiba-tiba sahaja kata-katanya mati. Rasa sebak di dada mula menerjah dirinya. Tidak sanggup rasanya dia untuk mengakui perkara itu tetapi dia terpaksa. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk meraih kekuatan.
        “Tak lama lagi kakak nak kahwin dengan Nazmi jadi kakak kena lupakan Abang Hilmi.”
        Lambat-lambat dia menuturkan itu. Perasaan sebak sedaya-upaya cuba untuk dibuang dan dikawal.
        Fairuz meleraikan genggaman erat jari-jemarinya.
        ‘Aku tak faham betul dengan semua orang. Kenapa semua mesti suruh aku terima dia?’ gumam hatinya. Nampaknya dia amat tidak berpuas hati dengan kata-kata daripada Syafiella.
        “Kakak tak fahamlah dengan semua orang. Kenapa mesti kakak terima budak hingusan si Nazmi tu jadi suami akak? Kenapa? Dia tu baik sangat ke?” Dia mula berpeluk tubuh.
        Syafiella tersentak jadinya namun, sempat juga dia tersenyum di dalam hati.
        Wajah Fairuz yang mulanya mendung kini bertukar menjadi singa betina. Marahnya meluap-luap apabila disuruh untuk menerima Nazmi si budak tak matang itu menjadi suaminya. Dia segera bangun daripada duduknya.
        Syafiella cuba berlagak biasa. Dahinya dikerutkan sedikit. “Kak, Fiella tak nak hidup akak menderita. Fiella tak nak kakak kecewa.”
        Syafiella segera bangun sambil mendekati kakaknya yang sedang berdiri menghadap tingkap. Perlahan-lahan dia mendekati tubuh kakaknya. Dia menelan air liur.
        “Fiella tak kata yang kakak kena terima Nazmi sebagai suami kakak.”
        Pantas Fairuz berpaling menghadap Syafiella. Dahinya dikerutkan namun, dia masih tetap berpeluk tubuh.
        Syafiella pula hanya menundukkan pandangan. Tercalit sedikit senyuman.
        “Habis bukan ke Fiella suruh kakak terima Nazmi sebagai suami akak?”
        Syafiella pantas mengangkat wajahnya. Memandang tepat ke arah kakaknya yang sedang mengerutkan dahinya. Tangannya cuba meraih jari-jemari perempuan Fairuz.
        “Kakak, Fiella cuma suruh kakak buangkan segala kenangan pahit akak dengan bekas tunang akak sebab tak lama lagi kakak nak jadi isteri orang. Fiella tak suruh pun kakak terima Nazmi sebagai suami kakak. Fiella tahu kakak tak suka dengan Nazmi sebabnya kakak terikat dengan pengalaman kakak tu, kan?” Keningnya dijongketkan sedikit.
        Fairuz hanya mendiamkan diri sahaja. Mukanya yang serius itu mula menghilang.
        Tangan Syafiella menggengam erat jari-jemari kakaknya. Senyuman manis tercalit di bibirnya.
        “Kakak, Fiella sayangkan kakak. Fiella tak nak hidup kakak terseksa kerana lelaki. Hidup kakak hancur kerana lelaki.”
        Matanya mencerun memandang lantai. “Jadi Fiella nak kakak jangan teruskan perkahwinan ni. Kakak kena buat sesuatu untuk batalkan perkahwinan ni. Fiella takut kakak akan kecewa lagi. Kakak akan terseksa lagi. Hidup kakak akan terumbang-ambing lagi.”
        Segera Fairuz meleraikan genggaman jari-jemarinya. Dahinya bertambah berkerut.
        Syafiella yang tersentak dengan perbuatan kakaknya itu segera mengangkat wajah. Memandang Fairuz yang mula bergerak ke birai katil.
        Punggung Fairuz dilabuhkan. “Kakak dah tak boleh nak buat apa-apa lagi, Fiella. Kakak terpaksa teruskan juga perkara ni. Kalau nak batalkan juga mungkin papa akan buat benda yang tak masuk akal pada akak.”
        Kepalanya digeleng berkali-kali. Terasa hangat di sekitar tubir matanya. Air mata jernih mulai bertakung. Jari-jemari perempuannya segera menyeka butir-butir jernih yang bertakung di sekitar tubir matanya.
        Syafiella mengeluh perlahan. Dia mula mendekati kakaknya. Punggungnya dilabuhkan di sebelah kakaknya.
        “Kakak, masih belum terlambat lagi. Kita boleh buat sesuatu supaya papa batalkan perkahwinan ni.” Tangan kakaknya dibawa ke pahanya.
        “Tak pun Fiella boleh ganti akak. Fiella sanggup, kak. Fiella sanggup.” Mata Syafiella mula bersinar-sinar.
        Fairuz mula memandang adiknya dengan pandangan yang spektikal. ‘Pelik betul adik aku ni. Dia pulak yang beria-ia.’
        Syafiella yang menyedari perbuatannya itu mengundang rasa pelik kakaknya mula menundukkan wajah.
        “Fiella, jangan buat kerja gila!” Nada suaranya ditinggikan.
        Genggaman jari-jemarinya pantas dileraikan. Mata Fairuz mencerlung memandang adiknya. Dia tidak mahu adiknya itu menggantikan tempatnya. Jika papanya tahu pasti masak telinganya terpaksa mendengar kata-kata amarah yang keluar daripada mulut papanya.
        Syafiella membalas pandangan mata Fairuz. “Kak, Fiella bukannya apa. Fiella cuma tak nak kakak merana lagi. Yalah, lelaki semuanya sama. Tak pandai nak hargai cinta.”
        Syafiella cuba meracuni fikiran Fairuz. Seseungguhnya Syafiella sangat pandai berpura-pura.
        Fairuz menganggukkan kepalanya. Mengiakan kata-kata adiknya. “Memang betul. Lelaki semuanya sama. Tak pandai nak hargai cinta. Tak pandai nak pertahankan cinta.”
        Fairuz membuang pandang ke arah meja kerjanya yang dipenuhi dengan fail dan beberapa helai kertas. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan proposal yang harus disiapkannya malam ini juga. Leka dia bersembang dengan adiknya sehingga lupa akan kerjanya yang perlu dibereskan.
        Jam di dinding kamarnya menunjukkan ke pukul seembilan malam. ‘Aduh, macam mana aku boleh lupa ni. Patutnya lima minit je ini dah sampai setengah jam.’ Dahinya ditepuk.
        Pandangannya kembali terarah kepada wajah adiknya.
        “Fiella, pergi keluar. Kakak nak buat kerja ni.” Dia segera menarik lengan adiknya untuk bangun daripada duduknya.
        Syafiella terpinga-pinga.
        “Kakak nak halau Fiella ke?” Syafiella mula meronta-ronta apabila Fairuz mula membawanya ke pintu kamar.
        “Tak. Kakak nak buat kerja. Fiella jangan kacau, ye?” Fairuz mengukir senyuman.
        Syafiella ditolak perlahan oleh Fairuz supaya keluar daripada kamarnya. Matanya terpandangkan jari telunjuk kakaknya berbalut itu. Dahinya berkerut.
        “Kakak, sekejap. Fiella ada satu lagi soalan sebelum Fiella keluar.” Kedua-dua belah tangannya diangkat.
        Fairuz segera mengangkat wajah memandang adiknya. “Apa dia?” Sebelah keningnya terangkat.
        Syafiella menghela nafas panjang. “Kak, kenapa jari tu berbalut? Cubaan membunuh diri ke?” Matanya terarah kepada jari telunjuk Fairuz yang berbalut itu.
        Fairuz terus menyembunyikan kedua-dua belah tangannya di belakang. Kepalanya digeleng berkali-kali. Tidak pernah dia terfikir untuk menamatkan riwayatnya begitu sahaja.
        “Astaghfirullahalazim.” Dia pantas beristighfar.
        “Kakak tak pernah pun terfikir nak buat benda yang berdosa besar macam tu, Fiella.”
        Syafiella hanya tersenyum sinis. “Mana tahu? Dulu kakak pernah nak telan satu botol pil tidur masa kakak kecewa.”
        Sindiran daripada adiknya itu membuatkan Fairuz naik marah. Segera Syafiella ditolak keluar daripada kamarnya. Pintu ditutup kuat. Fairuz bersandar di pintu kamarnya. Nafasnya turun naik.
        Syafiella merasa bersalah terhadap kakaknya. “Kak, Fiella minta maaf.” Syafiella cuba meminta maaf daripada kakaknya.
        Fairuz mendiamkan dirinya sahaja. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke meja kerjanya untuk menyiapkan proposal.
        Syafiella mula menggigit bibir sambil melangkah menuju ke kamarnya. “Aku kena buat sesuatu.” Senyuman jahat tercalit di bibirnya.