Thursday 28 August 2014

Sparkling Golden Night!

Hai dan assalamualaikum semua pembaca yang sudi baca laman aku yang bersawang ni hahahahaha. Korang mesti rindu aku, kan?! Cakap jelah rindu aku. Hahahahaha! Tu ada yang senyum-senyum tu mesti RINDU GILER-GILER kat aku, kan? Okey, hari ni baru aku berkesempatan tulis menatang ni. Selama ni aku busy sangat. Busy sebab ada test, quiz, assignment. Maklumlah sejak bergelar MAHASISWI UITM SERI ISKANDAR ni life aku sangatlah berbeza. I told you it is TOTALLY and ABSOLUTELY different daripada life kita as a school girl.
Okay, back to the title above. (cheh!!!speaking pulak dia, hahahaha) Kelas kan aku punya tittle untuk entry kali ni? Kelas kau jah!!! Ala-ala ABPBH gitu. hahahah. Okey dah mengarut. Masa hari Sabtu, 16 Ogos 2014 tu aku dengan my classmate yang lain pergi dinner. Dinner untuk student fakulti perakaunan. Kat Uitm seri iskandar ni, student akaun tinggal part 6 dengan part 1 je. So, heavenlah kitorang punya dinner tu. Fakulti lain semua buat kat fakulti je kitorang yang agak kelas sikit. Buat kat hotel. Tema pun ala-ala macam kat ABPBH.


Inilah gambar kelas aku AC1201B yang sangalah aku sayang. Thanks korang! Sayang korang hahahahaha

Best? Bolehlah, not bad. Tapi yang bestnya sebab dapat snap-snap hahaha dengan classmate aku sangatlah
Giler!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!hahahah best kot dapat satu kelas dengan budak yang satu kepala dengan aku.
Yang paling tak boleh blahnya, sorang daripada classmate aku dapat jadi PROM KING! PROM KING you allzssssssssss!!!!!!! Kelas tak kawan aku hahaha.


Inilah dia PROM KING ni. Amamcam handsome tak? Bagi aku dia bolehlah tahan. Muka marketlah, boleh jual. Kalau jual pun laku, kot? hahaha. Korang rasa layak tak dia jadi artis? Aku rasa entahlah, kalau rezeki dia jadi artis aku tak kisah. Siapa yang nak kenal boleh discuss dengan aku hahahaha. Aku ada contact number dia hahahahaha
Punyalah terkejut nak MAMPUS TAHAP BABUN aku bila dia diumumkan jadi PROM KING. Aku tak sangka dia boleh kalahkan abang-abang senior yang part 6 tu. Kira terer jugak, kan kawan aku ni? hahahahaha.
Apapun aku enjoy giler malam tu. Balik tu memang terus naik katillah jawabnya. Pagi-pagi bangun sakit giler badan rasa nak demam. Yang paling gilernya sebelum kitorang balik sempat lagi kitorang BERSELFIE kat dalam LIF. hahahaha giler kan? Korang tengoklah gambar ni malas dah aku nak tulis-tulis ni.


bodyguard aku yang baru
#beranidekatlah



with GEGIRL yang sangatlah CANTIK, JELITA dan HAPPENING hahahahha!

wei dahlah, batery netbook aku dah nak kong ni. Hope korang enjoy baca. hahahah. Kenangan kot mende ni. Sorry, tak banyak gambar. Aku ambik yang penting-penting je. Malas nak tayang muka hahahahahaha. BYE!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!JANGAN RINDU AKU!!!!!!!!!!!!!NANTI AKU TULIS BALIK!!!!!!!!!!!!!!

Novel: Cintaku Hnaya Untukmu bab 21

BAB 21


NAZMI menuruni anak tangga sambil menyarungkan sweater berwarna biru gelap di tubuhnya yang sederhana tinggi. Cap berwarna hitam berada di tanggannya. Dia berjalan menuju ke muka pintu.
        “Adik nak pergi mana?” tanya Nazirul semasa dia melintasi ruang tamu. Kelihatan Nazirul sedang duduk berehat di atas sofa sambil menonton televisyen.
        Nazmi memberhentikan langkahnya dan berpaling apabila mendengar pertanyaan daripada Nazirul.
        “Lepak mamak sekejap.” Cap yang setia di tangannya kini tersarung di kepala.
        Remote televisyen ditekan. Matanya kembali terarah kepada adik bongsunya itu.
        “Adik, alang nak cakap sekejap.” Kedengaran suara Nazirul serius.
        Segera Nazmi berpusing menghadap Nazirul yang sedang duduk di atas sofa.
        “Apa dia?” Nazmi mula mendekati Nazirul.
        “Duduk sini.” Nazirul menepuk-nepuk sofa di sebelahnya.
        Nazmi melabuhkan punggung di sebelah Nazirul. Tangannya diletakkan di atas paha.
        “Alang nak cakap apa?” tanya Nazmi lagi. Dia memandang wajah Nazirul yang kelihatan sedikit serius.
        “Macam serius je benda ni. Selalu alang tak pernah serius macam ni.” Nazmi tersenyum sinis. Tidak pernah dia melihat abangnya serius itu.
        “Memang alang nak cakap benda serius pun.” Tegas sahaja kedengaran suara Nazirul.
        Nazmi sedikit terkejut. Dia menelan air liur. Lagaknya seperti sedang menghadap guru disiplin. Macam dia sedang melakukan kesalahan besar dan akan dibuang sekolah. Cepat-cepat dia membetulkan duduknya.
        Mata Nazirul tetap juga terarah pada siaran televisyen itu. Sengaja dia menseriuskan keadaan. Bukannya selalu dia serius begini. Jarang-jarang bahkan tidak pernah.
        ‘Kecut jugak adik aku ni.’ Hatinya sudah terbahak-bahak ketawa. Dia tidak boleh langsung mengarut kali ini jauh sekali ketawa. Dia perlu membuat keadaan seserius mungkin.
        “Pasal perkahwinan adik.” Dia memandang wajah Nazmi yang nampaknya sedikit pucat.
        Nazmi memberanikan diri membalas pandangan daripada Nazirul. Senyuman cuba diukir olehnya walaupun mungkin akan kelihatan sumbing.
        “Kenapa, alang? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Dahinya dikerutkan sambil kepalanya yang tidak gatal digaru. Dia cuba membuat muka bodoh dan tak tahu apa-apa.
        Tiba-tiba sahaja jarinya dipetik. “Hah, adik tahu! Alang tak berkenan dengan dia, kan? Dia bukan type alang? Tak pun dia tak cantik?”
        Nazmi cuba meneka. Jari telunjuknya dilayang-layangkan di hadapan wajah Nazirul. Ketawa kecil juga kedengaran. Kata-kata yang dikeluarkan sengaja membuatkan keadaan agar tidak serius.
        Nazirul cuba menahan dirinya daripada menghamburkan ketawa. Lucu dengan riak wajah adiknya. Sekejap pucat. Sekejap buat muka bodoh. Sekejap buat muka pelik.
        ‘Adik, actually she is my type.’ Sejujurnya Nazirul mengakui yang bakal adik iparnya itu merupakan seorang gadis yang cantik. Nasib baik dia sudah ada tunang, kalau tidak laju dia kebas.
        Jari telunjuk Nazmi pantas dipegang.
        “Adik, alang tak main-main. Alang sekarang ni serius.” Dengan wajah yang serius dia memandang Nazmi.
        Nazmi nampaknya terkejut dengan tindakan abangnya.
        Nazirul melepaskan pegangan jari telunjuk Nazmi.
        “Okey, okey.” Nazmi pantas mengangguk. “Sorry, adik tak buat lagi.” Dia mengakui kesalahannya.
        Nazirul menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan kata-kata.
        Nazmi hanya melihat perbuatan abangnya.
        “Adik setuju dengan perkahwinan ni?” tanya Nazirul sambil matanya memandang tepat wajah Nazmi.
        Mata Nazmi kemudian mencerun memandang sofa. Nafasnya dihela lemah.
        “Setuju.” Matanya kemudian membalas pandangan Nazirul.
        Nazirul kemudiannya mengangguk.
        “Kenapa alang tanya adik macam tu? Apa nampak macam adik tak setuju ke?” Nazmi ketawa kecil. Pelik dengan pertanyaan yang diajukan oleh Nazirul. Dia sudah semestinya setuju dengan perkahwinan ini.
        Nazirul membuang pandang ke arah siaran televisyen. Lama dia mendiamkan diri. Mencari point untuk perbincangan ‘man to man talk’ yang seterusnya.
        Nampaknya Nazmi begitu bersetuju dengan perkahwinannya ini. Betullah apa yang diperkatakan oleh papanya.
        Nazmi hanya menunggu. Tidak berani untuk dia berkata apa-apa. Takut pula dia dengan Nazirul yang ‘baru’ ini.
        Nazirul kembali memandang wajah adiknya.
        Segera Nazmi mengangkat wajah apabila Nazirul sedang memandangnya.
        “Adik memang betul setuju? Papa tak paksa untuk adik setuju perkara ni?” Sekali lagi pertanyaan yang berbaur pelik itu menerjah ke gegendang telinganya.
        Nazmi ketawa. Sambil menepuk bahu abangnya dia berkata, “Alang, kenapa alang tanya adik macam tu? Alang tak percaya pada adik ke?”
        Dia menggelang-geleng kepala. Tangan pada bahu abangnya diturunkan. “Adik setuju. Betul adik setuju. Papa memang tak paksa langsung untuk adik setuju perkahwinan ni. Ini memang kehendak adik.” Tawanya masih bersisa.
        Nazirul masih tetap bereaksi dengan reaksi yang sama. Matanya memandang wajah Nazmi yang merah padam kerana ketawa.
        “Okey, alang percaya.” Nazirul menganggukkan kepalanya.
        Ketawanya diberhentikan. “Baguslah kalau alang percayakan adik.” Bibirnya mengukir senyuman lega.
        “Cuma alang nak tanya, adik dah sedia nak pikul tanggungjawab? Adik dah sedia nak pegang tittle suami orang dan tak lama lagi mungkin papa orang?” Kata-katanya mati di situ.
        Bibir Nazmi yang tadi mengukir senyuman kini mati dengan serta-merta.
        Nazirul menyambung kembali kata-katanya. “Alang ni bukannya apa. Alang dengan angah risau kalau adik tak dapat nak jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya. Adik muda lagi. Bakal isteri adik lagi tua daripada adik. Yalah, adik tu jarang melekat kat rumah. Asyik sibuk dengan padang dan bola sepak.”
        Kali ini nada suaranya tidak kedengaran serius. Nadanya kedengaran lebih santai.
        Nazmi mengangguk-anggukkan kepalanya. “Insyaallah, lang. Adik akan jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya. Adik jugak akan manage schedule adik supaya boleh selalu luangkan masa dengan family. Insyaallah, lang. Insyaallah.”
        Nazmi memandang kembali wajah Nazirul yang kelihatan tidak seserius tadi.
        Nazirul segera memaut bahu adiknya. “That’s my brother.”
        Tangannya membuka cap yang dipakai oleh adiknya lalu diusap-usap kasar rambut adiknya.
        Nazmi yang menyedari perbuatan abangnya segera meloloskan dirinya. “Alang, rosaklah rambut adik.”
        Tangan Nazirul segera dialihkan. Nazmi mencebik sambil membetulkan gaya rambutnya. Habis gaya rambutnya yang seperti Justin Bieber itu.
        Nazirul hanya mengekek ketawa. Nampaknya dia sudah kembali kepada keadaan asal. “Dah handsome dah adik alang ni. Tapi tak boleh lawan alang.”
        Cap kepunyaan Nazmi disarungkan di kepalanya. Sambil membuat aksi poyo Nazirul mendabik dada.
        Nazmi yang melihat hanya mencebik. “Eleh, tak payah nak poyo sangatlah. Setakat Tom Cruise Malaysia tak mainlah. Orang ni dah jadi Justin Bieber celop tau.” Giliran Nazmi pula berbangga.
        Gaya rambut yang seperti Justin Bieber itu sudah dibetulkan. Sweater yang tersarung di tubuhnya dibuka zipnya. Sengaja menunjukkan baju t-shirt yang dipakainya.
        Nazirul mengepal penumbuk melihat gaya Nazmi yang seperti Justin Bieber itu. Bibirnya diketap geram.
        Memang benar gelaran Tom Cruise Malaysia sudah sebati dengan diri Nazirul semenjak bangku sekolah lagi. Rakan-rakan perempuan di sekolahnya menggelarkan gelaran itu kepadanya.
        Nazmi pula mendapat jolokan Justin Bieber celop oleh peminat-peminat bola sepak. Gayanya yang kelihatan seperti Justin Bieber. Kadangkala ada yang menggelarkan Nazmi dengan gelaran Kaka Malaysia. Tidak kurang juga Messi Asia dan Mesut Ozil kerana skill permainannya.
        Tangan Nazirul laju mengusap-usap rambut Nazmi yang sudah dibetulkan itu. Nazirul mengekek ketawa manakala Nazmi mebuat muka sedihnya.
        Rambutnya yang berjuntaian di dahi ditiup. “Tengok apa dah jadi kat rambut adik. Dah tak handsome dah. Semua ni alang punya pasal.”
        Nazirul tidak berhenti mentertawakan adiknya.
        Nazmi dan Nazirul memang begitu. Sering berlawan siapa yang lebih kacak dan bergaya. Hakikatnya Nazmi lebih kacak berbanding Nazirul.
        Perangai kedua-dua beradik itu tidak ubah seperti kanak-kanak berumur lima tahun padahal masing-masing sudah berumur 27 dan 22.
        Riuh-rendah kedengaran dari ruang tamu menyebabkan Farah yang sedang berehat di ruang tamu bahagian atas segera turun.
        Nazmi cuba merampas cap yang tersarung di kepala Nazirul. “Bak sini
cap adik.” Tangannya menggapai cap berwarna hitam yang tersarung di kepala abangnya.
        Nazirul pantas menghalang perbuatan adiknya. Perkara tersebut menyebabkan berlaku pergelutan kecil antara Nazmi dan Nazirul.
        Riuh-rendah di bahagian ruang tamu mempercepatkan langkah Farah tambahan pula kedengaran suara Nazmi dan Nazirul.
        Cap yang berada di tangan Nazirul cuba dirampas oleh Nazmi. Sepantas kilat Nazirul menyembunyikan cap tersebut di belakangnya.
        Sememangnya perangai mereka tidak pernah berubah. Seperti budak-budak yang berumur dua tahun sahaja.
        “Hei, alang, adik! Buat apa tu?” Farah menggelengkan kepalanya tatkala melihat telatah kedua-dua orang adiknya itu.
        Perebutan cap itu serta-merta terhenti. Nazmi dan Nazirul memandang Farah yang masih berada di anak tangga.
        Kerutan di dahi Farah semakin kelihatan. Perasaannya berbolak-balik. Mahu dimarah, bukan budak kecil lagi. Mahu dipukul, sudah dewasa.
        Nazmi mengambil kembali cap hitam tersebut sambil membetulkan kedudukan sweaternya yang sedikit kedut.
        Farah mula mendekati Nazmi dan Nazirul. “Korang ni dah besar panjang tapi perangai…Masayaallah. Macam budak-budak.”
        Kepalanya digeleng berkali-kali. “Sorang ni dah jadi tunang orang. Yang sorang lagi ni pulak nak jadi laki orang tak lama lagi. Anak saudara sendiri pun tak macam ni. Kimi pun tak macam ni. Kalau Kimi nampak mesti dia malu dapat bapak saudara yang macam ni.”
        Matanya memandang wajah Nazmi dan Nazirul silih berganti. Nazirul hanya tersengih manakala Nazmi pula tersenyum sumbing.
        “Angah, bila lagi alang nak bergurau dengan adik ni? Selalu adik sibuk kat padang, alang pulak sibuk kat pejabat. Tak lama lagi adik nak jadi suami orang. Bila lagi alang nak berguarau dengan adik kalau bukan hari ni?” Keningnya dijongketkan sambil memandang adiknya. Bahu adiknya ditumbuk lembut.
        Farah melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan Nazirul.
        Nazmi mengerling sekilas pada jam tangan yang terlilit di pergelangan tangannya. “Eh, adik dah lambat ni.”
        Dia mula bingkas bangun sambil diperhatikan oleh kakak dan abangnya. “Angah, alang, adik pergi dulu. Melayan orang perasan Tom Cruise Malaysia buatkan adik lambat.”
        Bibirnya dijuihkan ke arah Nazirul yang sedang memberikan pandangan maut kepadanya. Bantal kecil yang berada di belakangnya dibaling tepat ke arah Nazmi. Nasib baik dengan kepakaran yang dimilik oleh seorang pemain bola sepak kebangsaan dia sempat mengelak balingan bantal tersebut.
        “Dia yang perasan Justin Bieber.”
        Langkah kaki Nazmi laju ke muka pintu sambil mengekek ketawa. Usikan antara mereka memang sudah sebati.
        “Jangan balik lambat sangat.” Farah sempat berpesan kepada adik bongsunya itu sebelum dia keluar.
        Enjin kereta Mitsubishi Lancer kedengaran menderum laju meninggalkan perkarangan banglo mewah itu.
        Farah bertukar tempat duduk dan duduk di sebelah Nazirul. Dia mencuit Nazirul yang sedang leka dengan siaran televisyen.
        Nazirul segera menoleh wajah Farah yang berada di sebelahnya. Keningnya dijongketkan.
        “Alang dah ‘man to man talk’ dengan adik?” tanya Farah inginkan kepastian. Nada suaranya sengaja diperlahankan. Bimbang juga kedengaran oleh Mak Cik Ton dan Tan Sri Mansor.
        Nazirul mengangguk.
        “Apa adik kata?” Nampaknya dia tidak berpuas hati. Tubuhnya didekatkan dengan adiknya.
        Nazirul hanya memandang pelik dengan sikap kakaknya.
        Farah yang mengerti mula tersenyum herot. “Angah tak buat apa-apa. Kita bukannya boleh kahwin pun. Kita mahram.” Farah menjeling memandang adiknya.
        Nazirul hanya tersengih. “Mana tahu angah rindukan Abang Danny?” Ketawanya terhambur. Sengaja dia berseloroh dengan kakaknya itu.
        Farah terus mencubit pinggang Nazirul. “Tak ada maknanya. Abang Danny tu sepuluh kali lagi handsome daripada alang.” Farah mula membangga diri.
        Nazirul mengaduh kesakitan. Dia mengusap-usap pinggangnya yang terasa bisa akibat cubitan daripada Farah.
        “Aduh, macam sepit ketam jari angah ni.” Terkial-kial dia menahan sakit.
        “Siapa yang suruh mengarut? Angah tanya benda lain dia cakap benda mengarut pulak.” Kakinya disilangkan.
        “Cepat. Apa yang adik cakap?” sambungnya.
        Nazirul memandang wajah Farah. Sambil bersama sebuah keluhan kecil dia berkata, “Adik memang setuju, ngah. Memang betul apa yang papa cakap pada alang. Adik yang setuju dengan perkahwinan ni.” Nazirul menganggukkan kepalanya.
        Farah kelihatan terkejut tetapi cepat-cepat dia mengawal perasaan terkejutnya itu. Dia menelan air liur.
        “Jadi betullah apa yang papa kata tu?” Bulat matanya memandang wajah adiknya.
        Nazirul menganggukkan kepalanya.
        Sungguh, Farah sangat risau tentang masa depan adik bongsunya yang akan bergelar suami itu. Umurnya terlalu muda untuk berkahwin dan memimpin sebuah keluarga. Tambahan dia terlalu sibuk dengan kerier sebagai seorang pemain bola sepak.
        Ibu jarinya digigit sedikit. Perasaan risau mula bersarang di dalam dirinya. “Tapi angah rasa ada yang tak kena.”
        Wajahnya diangkat merenung wajah Nazirul.
        Kerutan di dahi Nazirul mula kelihatan. “Apa yang tak kena, angah?” tanya Nazirul. Pelik.
        ‘Apa yang tak kena? Rasanya semua biasa sahaja. Atau aku yang terlepas pandang? Entahlah.’ Pertanyaan bertalu-talu menghiasi mindanya.
        Mata Farah kembali mencerun. “Entahlah. Angah pun tak tahu. Tapi angah rasa tak sedap hati.”
        Matanya kembali memandang wajah adiknya.
        Nazirul bersandar di sofa. “Mungkin perasaan angah, kot. Alang tak rasa ada apa-apa yang tak kena dalam rumah ni. Semuanya nampak biasa je.”
        Nazirul cuba membuang andaian yang bukan-bukan. Farah menguak anak rambutnya.
        “Mungkin, kot?” Farah cuba mengukir senyuman.
        Walaupun senyumannya dirasakan hambar. Cuba untuk menyedapkan perasaannya. Perasaannya kuat mengatakan yang ada sesuatu di sebalik semua ini.              

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 20

BAB 20


NAZMI dan rakan sepasukannya akan menjalani latihan ringan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya. Kelihatan dia dan rakan sepasukannya sedang memanaskan badan sebelum memulakan latihan tersebut.
        Otaknya masih ligat memikirkan perkara malam tadi. Antara dia dan Fairuz. Dia masih juga memikirkan kata-kata yang keluar daripada mulut Fairuz.
        ‘Pengalaman? Apa pengalaman yang buat dia tak terima aku? Setahu aku, aku tak pernah keluar dengan dia kecuali masa ambil kereta dia kat workshop dulu.’ Kerutan di dahinya mula kelihatan.
        ‘Ah, sudahlah Nazmi! Jangan sibuk fikir pasal benda tu. Sekarang kau kena berusaha untuk pikat hati dia.’ Perasaan tersebut mula dibuang jauh-jauh. Perasaan yang mengganggu fokus latihan bola sepaknya.
        Kaki kanannya dilipat ke belakang dan tangan kanannya menarik kakinya.
        “Bro, mamak malam ni jom.” Fakhri menepuk bahu Nazmi.
        Tepukan daripada Fakhri itu menyebabkan Nazmi hilang imbangan dan hampir terjatuh. Nasib baik sempat dia memasang kekuda untuk mengelakkannya jatuh tersembam ke padang.
        Jurulatih yang berbangsa Cina itu hanya memandang mereka dari jauh dengan pandangan yang tajam.
        “Nazmi, Fakhri! Stay focus!” Jeritnya dari jauh.
        Nazmi dan Fakhri hanya tersengih sambil menggaru kepala. “Okay, coach!” balas mereka serentak.
        Rakan sepasukannya yang lain hanya melihat sambil ketawa kecil. Ada juga yang menggeleng kepala.
        “Hoi, korang berdua ni kenapa? Ada awek lalu ke tadi?” Jerit Hazwan salah seorang daripada rakan sepasukannya sambil ketawa.
        Nazmi dan Fakhri yang mendengar hanya buat bodoh sahaja. Kalau dilayan nanti dimarah pula oleh jurulatih.
        “Hazwan! Focus!” Jurulatih tersebut kembali melantangkan suaranya.
        Hazwan hanya mengangkat tangan sambil tersengih-sengih.
        Nazmi dan Fakhri menyambung kembali stretching mereka yang tergendala itu.
        “Kau kenapa tepuk bahu aku?” Kedengaran nada suaranya sengaja diperlahankan. Takut pula didengari oleh jurulatih mereka. Tangan kirinya disilangkan ke bahu kanan.
        Fakhri mengeluh sambil mengikut apa yang dilakukan oleh Nazmi. “Kau tak dengar apa aku cakap tadi?” Giliran tangan kanan pula disilangkan ke bahu kiri.
        Nazmi mengerutkan dahinya. “Kau ada cakap dengan aku ke?” Dia membongkokkan badannya ke hadapan sambil kakinya dikangkangkan luas sedikit.
        “Ada.” Badannya sudah ditegakkan.
        “Apa dia?” tanya Nazmi sambil membongkokkan badannya ke belakang. Kedua-dua belah tangannya dicekak di pinggang.
        “Malam ni kita lepak mamak. Dah lama rasanya tak lepak mamak,” ajak Fakhri sekali lagi.
        Nazmi menghentikan stretching sambil memandang wajah Fakhri. Lama dia mendiamkan diri. “Emm…bolehlah. Ajak satu team sekali. Barulah seronok sikit.” Nazmi mula berlari setempat.
        Fakhri juga turut mengikut setiap pergerakan Nazmi. “Kalau macam tu cantiklah. Nanti aku beritahu satu team. Aku ada surprise untuk kau.” Fakhri mula mengencangkan larian setempatnya begitu juga dengan Nazmi.
        Nazmi menjongkatkan keningnya. “Apa dia?” Dia menamatkan larian setempatnya.
        “Adalah. Nama pun surprise mana boleh beritahu.” Fakhri tersenyum sinis sambil mula berjalan menyertai rakan sepasukannya yang lain.
        Nazmi terdiam di situ. Terfikir dia dengan surprise yang akan diterima olehnya.
        “Nazmi! Apa buat kat situ lagi? Come here. Join the team. We gonna start training.” Jurulatih sudah melaung memanggilnya. Nazmi tersedar lantas berlari mendapatkan rakan sepasukannya.

FAIRUZ melangkah masuk ke dalam bangunan Maya Holding dengan langkah yang longlai dan tidak bermaya. Perasaannya masih sama seperti malam tadi. Berkecamuk. Hatinya tidak tenang tetapi dia cuba berlagak tenang di hadapan kedua-dua orang tuanya. Peristiwa malam tadi hanya diketahui oleh Mak Saleha dan dirinya.
        Fairuz perlahan-lahan menolak daun pintu biliknya. Tas tangan dan beg bimbit diletakkan di atas meja. Punggungnya terus dilabuhkan di atas kerusi. Keluhan kedengaran keluar daripada mulutnya.
        Tidak lama kemudian Rania melangkah masuk ke dalam biliknya. Seperti kebiasaan Rania sebagai setiausahanya akan masuk ke dalam biliknya sebaik sahaja Fairuz masuk.
        Sejambak bunga ros setia berada di tangannya. Kepalanya digeleng tatkala melihat wajah Fairuz yang bungkam itu. “Kau ada masalah ke?”
        Jambangan bunga ros itu diletakkan di atas meja Fairuz. Rania duduk di hadapan Fairuz tanpa dipelawa.
        Fairuz hanya mendiamkan diri. Pandangannya ditundukkan.
        Rania mengerutkan dahinya. “Yuz, besar sangat ke masalah kau tu sampai aku tak boleh tolong?”
        Wajah Fairuz ditenungnya. Risau dia dengan keadaan Fairuz yang sebegitu rupa.
        Pandangannya dialihkan pada wajah rakannya di hadapan. Dia menelan air liur.
        “Tak, Nia. Aku tak ada apa-apa masalah. Aku okey je. Betul aku okey.” Dia cuba menyangkal andaian Rania. Sedaya upaya dia cuba untuk mengukir senyuman. Wajahnya sengaja diceriakan.
        Rania tetap tidak percaya dengan rakannya itu. Renungannya tajam menusuk ke dalam anak mata Fairuz.
        “Kau jangan nak tipu aku, Yuz. Aku dah lama kenal kau.” Nadanya kedengaran tegas.
        Serta-merta riak wajah Fairuz berubah. “Jadi, kau memang tak percaya aku?”
        Laju Rania menggeleng.
        “Ini mesti pasal bakal suami kau tu, budak tu, kan? Pasal Nazmi?” tanya Rania inginkan kepastian. Dia sudah dapat mengagak masalah yang sedang melanda Fairuz.
        Mata Fairuz mencerun. Dia menarik nafas dan kemudiannya menghembuskannya perlahan-lahan. Dia mengangguk kecil.
        Rania mengeluh perlahan.
        “Apa lagi yang dia buat pada kau?” Serius kedengaran nada suaranya.
        Jambangan bunga ros yang berada di hadapannya dialihkan. Jari-jemari Fairuz diletakkan di atas meja.
        “Sayang? Cinta?” Fairuz tersenyum sinis.
        Rania yang mendengar berasa pelik dengan kata-kata yang dituturkan oleh Fairuz.
        “Dia kata dia sayangkan aku. Dia kata dia cintakan aku sejak pertama kali aku dan dia bersua muka,” sambungnya sambil tergelak kecil.
        Kerutan di dahi Rania bertambah. Pelik benar dengan sikap Fairuz hari ini. Sekejap susah hati, sekejap senang hati.
        “Tapi aku langsung tak terkesan dengan apa yang dia cakap pada aku. Hati aku tak rasa apa-apa pun bila dia cakap perkataan tu pada aku.”
        Nadanya kedengaran tegas. Tiada lagi tawa kecil.
        Rania hanya menjadi pendengar setia.
        “Dua perkataan tu ibarat racun dalam hati aku. Perkataan tu dah tak ada makna langsung dalam hidup aku.” Nada suaranya ditinggikan sedikit. Matanya merenung wajah Rania.
        Pandangan Rania mencerun memandang lantai bilik Fairuz.
        “Lelaki semuanya sama. Pandai ucap tapi tak pandai nak hargai. Pandai ucap tapi tak pandai nak realisasi. Pandai ucap tapi tak pandai nak pertahankan. Mulut semua bukan main manis.” Nada suaranya direndahkan.
        Tubir matanya terasa panas dan hangat. Butir-butir jernih sedang bertakung di sekitar tubir matanya. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk mencari kekuatan diri.
        “Dua tahun aku merana sebab cinta. Dua tahun aku menderita sebab lelaki.”
        Pandangannya mulai kabur. Perlahan-lahan butir-butir jernih turun membasahi pipinya yang gebu.
        Rania mula meraih jari-jemari Fairuz untuk digenggam. Cuba untuk menenangkan rakannya itu. Cuba untuk memberi kekuatan diri. Cuba untuk berkongsi emosi yang sama.
        “Yuz, sudahlah tu. Yang lepas biarlah lepas. Sekarang, kau kena tumpukan pada perkahwinan kau dan juga bakal suami kau, Nazmi. Kau tak payah kenangkan pasal bekas tunang kau tu. Kau jangan paksa diri kau untuk terima dia. Kau slow-slow dulu. Kenal dengan dia dulu.”
        Jari perempuan Fairuz diusap lembut. Cuba memujuk rakannya.
        Fairuz mengesat air matanya. “Tapi aku memang tak boleh nak terima dia. Hati aku memang dah mati untuk manusia yang bernama lelaki. Hati aku tak tahu apa erti cinta? Apa erti sayang? Apa erti perkahwinan? Apa erti suami? Hati aku dah mati, Nia! Hati aku dah mati!”
        Nadanya semakin meninggi. Luahan hatinya sudah tidak tertanggung lagi. Semakin laju air matanya merembes keluar.
        Rania menelan air liur. Nampak begitu berat bebanan yang ditanggung oleh Fairuz. Dia tidak boleh berbuat apa-apa. Hanya mampu memberi nasihat dan memujuknya sahaja.
        “Yuz, sudahlah. Kalau hati kau memang tak terima dia nak buat macam mana? Kalau aku kat tempat kau aku akan terima perkahwinan ni dan aku reda. Mungkin dah sampai masa kau lupakan bekas tunang kau tu. Mungkin Nazmi Faiz jodoh kau. Aku harap kau bersabar, Yuz.” Rania cuba memberi nasihat kepada Fairuz dengan selembut-lembutnya.
        “Yuz, aku harap kau sabar. Anggap ini semua dugaan dalam hidup kau.” Sekali lagi Rania meraih jari-jemari perempuan Fairuz untuk digenggam.
        Fairuz mengeratkan genggaman jari-jemarinya. Air matanya telah berhenti keluar.
        “Nia, terima kasih sebab kau sudi dengar masalah aku. Kau sudi dengar luahan hati aku. Nia, kaulah tempat aku meluahkan perasaan.”
        Fairuz mula mengesat air matanya. Bibirnya mula mengukir senyuman walaupun dia merasakan senyuman itu hambar.
        Rania hanya mengangguk sambil bibirnya mula menguntum senyuman yang manis khas buat Fairuz.
        “Yuz, kenapa dengan jari kau? Siap berbalut bagai.” Matanya menangkap hujung jari telunjuk Fairuz yang berbalut. Dahinya berkerut.
        Perasaan risau mula menerjah dirinya. Mana tahu cubaan membunuh diri? Tapi Fairuz masih mempunyai akal yang waras.
        Fairuz segera memandang hujung jari telunjuknya. Terus ingatannya teringat akan peristiwa malam tadi. Riak wajahnya kelihatan berubah namun, cepat-cepat dia menyembunyikan perubahan riak wajahnya dengan secalit senyuman terukir di bibir mungilnya.
        “Oh, tak ada apa-apa. Luka sikit je.” Senyuman yang sedikit hambar itu terukir di bibirnya. Cuba untuk meyakinkan Rania.
        Rania kelihatan sedikit lega. Senyuman lega jelas terukir di bibirnya.
        “Terkena pisau ke? Belajar masak? Maklumlah nak hidup berumah tangga,” seloroh Rania sambil tergelak kecil.
        Fairuz juga berpura-pura ketawa.
        “Kau ni macam tahu-tahu aje. Sekodeng aku ke?” Giliran Fairuz pula berseloroh.
        Serentak itu terhambur jua ketawa Rania. Fairuz juga ikut ketawa tetapi sedikit hambar. Ketawanya cuma hanya ingin menyenangkan hati rakannya sahaja. ‘Berumah tangga? Yakin ke berumah tangga?’


Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 19

BAB 19


NAZIRUL memanjat anak tangga menuju ke kamarnya. Sebaik sahaja kakinya melangkah ke ruang tamu di bahagian atas matanya ternampak Farah yang sedang duduk di sofa sambil menonton televisyen. Terdetik hatinya mahu mendekati kakak keduanya itu. Jaket kulit yang dipakainya diletakkan di bahu sofa.
        Farah yang menyedari kehadiran Nazirul mula mengangkat wajah. “Alang, pergi mana tadi?” Mulutnya sedang mengunyah kuaci.
        Nazirul mengambil tempat di sebelah Farah. “Semua orang dah tidur ke? Senyap aje.”
        Soalan Farah dibiarkan tanpa jawapan. Nazirul memerhati sekeliling ruang tersebut. Kamar Tan Sri Mansor sudah gelap begitu juga dengan kamar Nazmi yang bersebelahan dengan kamar Nazirul.
        Farah mengerling jam yang berada di telefon bimbitnya. Satu setengah pagi. Bungkusan kuaci diletakkan di atas meja.
        “Dah. Padanlah senyap dah lewat rupanya.” Farah mengikat rambutnya.
        Nazirul di sebelah dikerlingnya. “Pergi mana tadi? Balik sampai lewat macam ni. Esok tak kerja ke?” Farah mula membebel. Matanya difokuskan pada siaran tengah malam di televisyen.
        Nazirul menghela nafas sebentar. Dia bersandar pada sofa. Menghilangkan penat dan lelahnya memandu kereta. “Jumpa dengan Meera.”
        Farah menoleh wajah Nazirul yang kelihatan sedikit penat itu. Dahinya berkerut.
        “Jumpa Meera? Lewat malam macam ni? Pergi mana? Sebenarnya, alang pergi mana?”
        Muka Farah nampaknya tegang. Mungkin dia marah kerana Nazirul pulang ke rumah lewat malam begini. Tambahan pula keluar berjumpa dengan tunangnya. Nazirul kembali duduk tegak sambil memandang wajah kakaknya.
        “Angah, alang jumpa dengan Meera aje. Alang teman Meera pergi beli barang lepastu alang hantar dia balik rumah. Itu aje. Alang tak pergi mana-mana pun.” Nazirul memberi penerangan kepada Farah.
        “Betul?” Jari telunjuk Farah menunjuk lurus ke wajah Nazirul.
        Badan Nazirul terus berpusing menghadap Farah. “Betul, angah. Alang tak buat benda yang tak senonoh. Takkan angah tak percaya pada alang, kot?” Keningnya terangkat sedikit.
        Kedua-dua belah tangannya diangkat. Bagai orang bersalah sahaja lagaknya.
        Farah menghela nafas lega sambil menurunkan kembali jarinya. Bimbang juga jika adiknya itu menipu.
        Nazirul menurunkan kembali kedua-dua belah tangannya.
        Suasana hening menyelubungi mereka berdua. Hanya kedengaran siaran tengah malam televisyen sahaja. Mulut Farah rancak mengunyah kuaci manakala Nazirul pula bersandar pada sofa sambil matanya tenang menghadap skrin televisyen di hadapan.
        “Alang, angah nak tanya sikit boleh?” Tiba-tiba soalan terkeluar daripada mulut Farah. Sekaligus menghilangkah keheniangan suasana antara mereka.
        Nazirul mengerling wajah kakaknya sekilas. “Apa dia, angah?”
        Matanya tetap pada siaran televisyen juga. Siaran tersebut menghiburkan hatinya barangkali.
        Farah meletakkan kembali bungkusan kuaci itu di atas meja. Dia menarik nafas. “Alang tak rasa pelik ke dengan papa?”
        Pantas Nazirul mengalihkan pandangannya pada Farah. “Papa? Kenapa dengan papa? Papa nak kahwin lagi ke?”
        “Ish, alang ni apa? Suka ke kita dapat
mummy tiri? Suka ke dapat mummy baru?” Sepantas kilat dia mencubit paha adiknya.
        Nazirul mengaduh kesakitan. “Aduh! Sakitlah, angah. Alang teka je. Mana tahu…”
        “Dah, dah. Jangan nak mengarut tengah malam ni.” Pantas dia memintas kata-kata Nazirul agar berbalik kepada topik perbualannya tadi.
        “Habis tu kenapa dengan papa? Alang tengok biasa je. Makin
happy adalah. Nak dapat menantu perempuan baru.” Tangannya mengusap-usap paha kanannya yang dicubit oleh Farah.
        Farah memetik jarinya. “Hah, pandai pun adik angah ni. Pasal bakal menantu perempuan baru papa tu.”
        “Kenapa dengan bakal adik ipar kita tu? Ada yang tak kena ke? Tapi boleh tahan jugak dia, kan? Cantik kan, dia?” Nazirul cuba mengingati wajah cantik manis Fairuz itu.
        Farah geram dengan sikap adiknya itu. Lain yang dibualkan lain pula jawapannya. Makin mengarut. Laju jarinya memiat telinga Nazirul.
        “Amboi, dia! Bukan main tengok bakal adik ipar sendiri. Ingat! Awak tu dah ada tunang. Meera tu nak campak mana?” Bibirnya digigit geram. Geram dengan perangai adiknya yang tidak matang itu.
        Merah padam telingan Nazirul dipiat oleh Farah. Terkebil-kebil dia menahan sakit akibat piatan berbisa daripada Farah.
        “Aduh, angah! Sakitnya. Macam mana Abang Danny boleh tahan dengan angah ek?” Tidak habis-habis lagi Nazirul ini mengarut.
        Tangan Farah laju mahu mendarat di pipi Nazirul namun, pantas Nazirul mengalah. “Okey, okey. Alang dah tak nak mengarut lagi.” Ketawanya terhambur sedikit.
        “Patutlah tak kahwin-kahwin lagi. Rupanya perangai belum matang,” omel Farah sambil menarik nafas.
        Tawa Nazirul semakin mereda. “Apa kena mengena papa dengan bakal adik ipar kita tu? Apa nama dia…” Nazirul cuba mengingati nama bakal adik iparnya itu. Kepalanya yang tidak gatal digaru.
        “Fairuz.” Farah menyampuk.
        “Ha, ye. Fairuz. Kenapa, angah?” Nazirul pelik dengan pertanyaan daripada Farah.
        “Alang tak pelik ke dengan papa. Tiba-tiba je nak kahwinkan adik dengan Fairuz. Lepastu tergesa-gesa pulak tu. Alang tak pelik ke? Selalunya papa takkan buat macam ni.” Dahi Farah kelihatan berkerut.
        Jari Nazirul menggosok-gosok dagunya. “Betul jugak tu, angah? Masa alang tanya sebab papa kahwinkan adik dengan anak kawan papa tu, papa cuma cakap dia teringin nak berbesan dengan kawan dia. Papa cakap lagi dia teringin nak menantu perempuan.” Kerutan di dahi Nazirul jelas kelihatan.
        “Tapi kan alang, takkanlah itu je sebabnya. Mesti ada satu sebab besar yang tersembunyi ni. Papa mungkin sorokkan sesuatu daripada kita.”
        Giliran Farah pula yang berfikir. Macam-macam andaian ligat di dalam kepala otak Farah.
        Nazirul menundukkan wajahnya. Nampaknya siaran di televisyen tidak diendahkan oleh mereka langsung. Masalah perkahwinan Nazmi menarik perhatian mereka.
        “Adik setuju tak?” Farah mengangkat wajahnya memandang wajah adiknya.
        “Papa kata adik seronok sangat dapat tahu yang dia akan kahwin dengan Fairuz. Mula-mula alang tak percaya tapi…bila papa cakap adik setuju sangat, alang percayalah jugak. Tapi angah, takkan senang-senang je adik tu boleh terima Fairuz. Sedangkan perempuan-perempuan lain yang dah lama dia kenal pun dia tak layan.”
        Nazirul menelan air liur namun, kali ini otaknya berjalan dengan lancar memikirkan masalah ini. Bagai memikirkan masalah yang sedang membelenggu Syarikat Beira-Mar Sdn. Bhd. sahaja lagaknya.
        Farah memicit-micit dahinya. “Beira-Mar tak ada apa-apa masalah ke?” Tiba-tiba sahaja dia teringatkan syarikat milik keluarganya itu.
        Nazirul pantas menggeleng. “Setahu alang tak ada apa-apa. Syarikat keluarga kita tu elok-elok aje.” Nazirul pantas menyangkal andaian daripada Farah itu.
        Farah masih ragu-ragu. Dia tidak yakin yang Nazmi menerima jodoh yang ditetapkan oleh keluarganya itu.
        “Alang, betul ke adik setuju?” Sekali lagi Farah bertanya.
        Nazirul pantas mengangguk. “Betul, angah. Adik setuju. Alang takut yang adik tak dapat jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya. Yalah, adik tu muda lagi.
Busy main bola ke sana ke sini. Jarang ada kat rumah. Masa dia habis kat padang bola aje. Kahwin bukan perkara main-main, kan?” Keningnya dijongketkan.
        Farah dan Nazirul risau akan adik bongsunya itu. Takut-takut kalau adiknya itu tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya.
        Tambahan pula adiknya itu seorang pemain bola sepak kebangsaan. Selalu sahaja berkelana di luar negara. Jarang-jarang berada di rumah. Kadang-kadang Hari Raya pun di padang juga.
        Farah mengangguk-anggukkan kepalanya.
        “Tak apalah, angah. Nanti kalau ada masa alang cakap dengan adik.
Man to man talk. Pasal papa tu tak payah risaulah. Mungkin papa tak sorokkan sesuatu daripada kita. Dah, angah tak payahlah risau. Nanti kalau adik dah kahwin pandailah dia nak cover family dengan kerjaya dia.”
        Nazirul cuba menenangkan Farah. Bahu Farah digoncangnya perlahan.
        Farah yang mendengarkan kata-kata nasihat daripada Nazirul mula mengangkat wajah. Bibirnya tersenyum kelat.
        Nazirul lega dengan senyuman yang terbit di bibir Farah namun, jauh di sudut hatinya dia masih memikirkan tentang perkahwinan Nazmi dan Fairuz serta papanya.
        Dia mula berdiri sambil tangannya mencapai jaket kulit yang tersidai di bahu sofa.
        “Alang nak tidur. Mengantuk.” Tangan kirinya menutup mulutnya yang terbuka luas kerana menguap. Langkahnya lambat-lambat menuju ke kamar.
        Sempat dia berpaling menghadap kakaknya sebelum masuk ke kamar. “Angah, pergilah tidur. Dah lewat ni. Dah pukul dua pagi.” Mata Nazirul merah kerana menahan ngantuk.
        Farah tetap juga tidak bergerak daripada duduknya itu. Nazirul mula mengeluh apabila melihatkan Farah tetap duduk di situ juga.
        “Angah, dengar tak apa alang cakap? Pergi tidurlah, angah. Esok angah kena bangun pagi buat
breakfast. Nanti anak angah nangis nak susu.”
        Nazirul membaling jaket kulitnya ke arah Farah. Tepat mengena muka Farah. Farah terkejut seraya membaling kembali jaket kulit tersebut ke arah Nazirul.
        Nazirul menyambutnya sambil matanya menangkap jelingan Farah. Nazirul buat-buat muka bodoh dan selamba.
        Farah ketawa kecil dan mula berdiri. Televisyen ditutup.
        “Okey, okey. Angah tidur.
Caring jugak adik angah ni, ye?” Farah tersenyum sambil memandang Nazirul yang memboloskan dirinya ke dalam kamar.

FAIRUZ masih tidak dapat melelapkan mata. Walaupun telah hampir setengah jam dia berada di dapur tetap juga matanya tidak terasa mengantuk. Walaupun siang tadi dia penat kerana pergi ke butik perkahwinan malam pula ke rumah bakal keluarga mertuanya namun, matanya tidak terasa berat.
        Sudah hampir dua gelas air Bliss berperisa
strawberry itu diteguk namun, masih tidak dapat membantunya.
        Hatinya macam ada yang tak kena. Gelas kaca di hadapannya dipandang sepi. Hatinya tidak tenang seperti selalu. Perasaannya bercelaru.
        “Memang betul saya sayangkan, saya cintakan awak. Saya jatuh hati dengan awak sejak pertama kali kita berjumpa. Sejak saya tolong awak masa kereta awak rosak dulu.”
        Kata-kata daripada Nazmi terngiang-ngiang di benaknya. Kata-kata ini telah membuatnya tidak tenang. Hatinya tidak terbuai langsung dengan pengakuan yang dibuat oleh Nazmi. Hatinya langsung tidak tersentuh tatakala Nazmi menuturkan kata-kata itu kepadanya.
        Dia seolah-olah telah muak dengan kata-kata basi itu. Terlalu banyak kata-kata itu menyusup masuk ke dalam telinganya. Terlalu banyak sehinggakan dia sudah jemu dengan kata-kata itu.
        Perkataan ‘cinta’ dan ‘sayang’ itu langsung tidak menusuk ke dalam hatinya. Dia sudah terbiasa dengan perkataan itu. Kerana perkataan itulah dia merana. Kerana perkataan itu jugalah hidupnya kini menderita. Kerana perkataan itu jugalah dia takut untuk bercinta lagi dan menerima kehadiran kaum Adam dalam hidupnya.
        Ingatannya melayang-layang terhadap peristiwa dua tahun yang lalu. Sewaktu dia sedang diulit bahagia bersama seorang jejaka yang bakal menjadi suaminya. Seorang jejaka yang telah menjadi bekas tunangnya kini.
        “Abang sayangkan Yuz. Abang cintakan Yuz.” Jejaka tersebut meraih jari-jemari perempuan Fairuz untuk digenggam.
        Fairuz mengangkat wajahnya seraya membalas renungan Hilmi. Renungan daripada Hilmi amat menusuk kalbunya. Meragut jantung hatinya. Sesungguhnya dia amat sayangkan jejaka itu.
        “Betul, abang sayang dan cintakan Yuz?” tanya Fairuz sambil matanya tidak pernah lepas merenung wajah kacak Hilmi.
        Jari-jemari perempuan Fairuz didekatkan ke bibirnya. “Betul. Abang memang sayang dan cintakan Yuz sepenuh hati abang. Abang sayangkan Yuz lebih daripada abang sayangkan diri abang sendiri.”
        Jari-jemari perempuan Fairuz dikucup. Fairuz merasa kehangatan kucupan daripada Hilmi. Kehangatan cinta yang disemai oleh Fairuz dan Hilmi mekar dalam hati masing-masing.
        Hilmi memegang jari manis Fairuz yang tersarung cincin pertunangan mereka. Cincin tersebut diusap-usap lembut.
        “Ini tanda cinta kita. Ini tanda sayang dan cinta abang terhadap Yuz. Ini bukti yang abang memang sayang dan cintakan Yuz sepenuh hati abang.”
        Kedengaran nada suara tunangnya begitu lembut dan mendayu. Kadang-kala membuai perasaan.
        Fairuz diam seribu bahasa. Dia seolah-olah kehilangan kata-kata. Kata-kata yang keluar daripada mulut tunangnya sangat membuai perasaan, jiwa dan hatinya. Terharu dia diperlakukan begitu oleh jejaka yang dia paling sayangi dan cintai kala ini.
        Tubir matanya terasa panas. Butir-butir jernih mula memenuhi sekitar tubir matanya.
        Hilmi memegang jari manis Fairuz yang tidak tersarung cincin. Dia merenung jari manis itu.
        “Dan tak lama lagi akan ada tanda kat sini. Tanda yang cinta kita kekal dan bersatu. Tanda yang sayang kita tiada penghujungnya. Tanda yang kasih kita tiada batasnya. Tanda yang kesetiaan akan menjadi teman hidup kita. Dan juga tanda yang abang akan memiliki Yuz buat selama-lamanya.”
        Hilmi memandang wajah Fairuz dengan pandangan mata yang menggoda.
        Fairuz memadang pandangan mata Hilmi dengan pandangan yang redup. Giliran Fairuz mula meraih jari-jemari lelaki Hilmi untuk digenggam.
        “Abang, Yuz nak cakap sesuatu.” Kata-katanya terhenti di situ. Terasa tubir matanya mahu pecah.
        Hilmi menanti dengan sabar.
        Mata Fairuz mencerun memandang bangku yang mereka duduk kemudian kembali memandang wajah Hilmi. Dia menarik nafas dalam-dalam. Lambat-lambat dia mengeluarkan kata-kata.
        “Actually, I…I…love you so much, abang. Yuz cintakan abang sampai akhir hayat. Tak ada sesiapa yang Yuz cinta selain daripada abang. Tak ada yang mampu curi hati Yuz kecuali abang.” Butir-butir jernih turun membasahi pipi gebunya.
        Hilmi hanya membiarkan sahaja.
        Fairuz mengeratkan genggaman jari-jemarinya.
        “Abang…” Matanya mencerun memandang jarinya dan jari Hilmi yang sudah bercantum.
        Lambat-lambat matanya kembali menatap wajah kacak tunangnya.
        “Abang…Yuz nak abang jadi teman sepanjang hidup Yuz. Yuz nak abang jadi peneman hidup Yuz. Yuz tak nak orang lain. Yuz nak abang.”
        Semakin laju butir-butir jernih turun membasahi pipi gebunya. Dia biarkan sahaja air mata itu.
        “Yes, I will! Yes, I will!” Hilmi cuba untuk meyakinkan Fairuz.
        Masih segar diingatannya walaupun telah hampir tiga tahun peristiwa itu berlaku.
        Sewaktu ketika dulu perkataan ‘sayang’ dan ‘cinta’ itu menjadi peneman hidupnya. Menjadi pembina semangatnya. Menjadi kegembiraan buatnya. Namun, semuanya sudah tidak menjadi sekarang.
        Perkataan tersebut ibarat racun dalam hidupnya. Perkataan itu yang dulu membuai perasaannya kini telah menghancurkan perasaannya.
        Akibatnya cintanya terhadap jejaka yang telah menjadi bekas tunangnya, dia memberi sepenuh hati dan jiwanya kepada jejaka tersebut. Akhirnya dia yang merana kerana cinta.
        Sangkanya jejaka itu setia rupanya telah berpaling tadah tatkala tarikh pernikahannya semakin hampir.
        Kini, dia sudah serik dengan semua itu. Dia sudah tidak ada hati lagi untuk menyemai cinta. Dia sudah tiada hati untuk memberi cintanya kepada sang jejaka.
        Kerana terlalu kecewa dia sampai takut untuk bercinta lagi. Kerana terlalu kecewa dia tidak boleh menerima jejaka lain dalam hidupnya. Dan kerana terlalu kecewa juga dia tidak akan menerima Nazmi sebagai suaminya.
        Air matanya turun membasahi pipinya. Kali ini air mata kekecewaan dan kesedihan bukannya kegembiraan seperti tiga tahun dulu.
        Dia beranggapan semua lelaki adalah sama. Pandai mengucapkan kata-kata cinta tetapi tidak mampu untuk mempertahankannya dan merealisasikannya.
        “Ah, semua lelaki sama!” teriaknya.
        Marah, bengang, geram, kecewa, sedih semuanya bercampur menjadi satu dalam hati Fairuz.
        Gelas kaca di hadapannya diketepikan dengan kasar sehinggakan terjatuh ke bawah.
        “Prangg!” Gelas kaca tersebut pecah berderai.
        Bunyi nyaring itu mengejutkan Mak Saleha yang sedang nyenyak tidur di dalam kamar bersebelahan dengan dapur.
        Fairuz segera mengutip serpihan kaca yang bertaburan itu.
        “Ya Allah, Yuz! Kenapa boleh jadi macam ni?” Mak Saleha segera mendapatkan Fairuz yang sedang bertinggung sambil mengutip serpihan kaca yang berderai itu.
        Air mata Fairuz tidak berhenti-henti keluar. “Mak Sal, biar Yuz yang buat. Yuz yang pecahkan. Biar Yuz yang buat.” Dalam sedu-sedan Fairuz menghalang Mak Saleha daripada mengutip serpihan kaca itu.
        Mak Saleha hanya menggelengkan kepalanya. Dalam benaknya ligat mengatakan yang Fairuz sedang menghadapi masalah.
        Sedang mengutip serpihan kaca itu tiba-tiba terasa jari telunjuknya pedih. Dia mengangkat jari telunjuknya. Cecair berwarna merah mengalir dari hujung jari telunjuknya.
        Mak Saleha yang melihat membulatkan matanya. “Yuz, dah. Kan Mak Sal cakap biar Mak Sal yang buat. Degil betul, budak ni.”
        Dia segera mengangkat tubuh Fairuz dan dibawanya ke sinki untuk membasuh jarinya yang terkena luka.
        Air mata tidak henti-henti turun membasahi pipi gebunya. Pedih terkena serpihan kaca tidak dirasakan olehnya sebaliknya pedih di hatinya lebih menyakitkan.  




Monday 18 August 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 18

BAB 18


MAKAN malam di banglo mewah Tan Sri Mansor sangat meriah. Ada sahaja cerita yang hendak dibualkan. Walaupun Datin Noora hanya bersembang dengan Farah tetapi mulutnya terlebih ramah. Kedua-duanya sama sahaja. Sesekali diselangi dengan gelak tawa.
         Tan Sri Mansor dan Dato’ Johan rancak berbual mengenai perniagaan. Sesekali ada juga suara Nazirul dan Nazmi mencelah. Kadang-kala Nazmi terdiam juga kerana soal bisnes dia tidak tahu dan malas mahu mengambil tahu. Kalau soal bola sepak dan sukan memang kepakarannya.
         Dato’ Johan juga ada juga bertanya tentang Nazmi, bakal menantunya itu. Kelihatan terangguk-angguk kepalanya mendengarkan cerita Nazmi. Farah juga ada bertanya kepada Fairuz tetapi sepatah yang ditanya sepatah juga yang dijawab. Dia lebih selesa mendiamkan diri. Malas dia mahu meramahkan dirinya. Sekejap sahaja keluarga tersebut sudah dapat menyesuaikan diri.
        Nazmi yang duduk berhadapan dengan Fairuz sesekali menjeling bakal isterinya. Fairuz yang menyedari segera memberi jelingan tajam dan maut buat Nazmi.
        Lauk-pauk yang disediakan habis dimakan oleh keluarga tersebut. Hakimi yang kepenatan bermain bola sepak petang tadi sudah lama terlena di dalam kamarnya.
        Saju jam lamanya aktiviti makan malam sudah selesai. Mak Cik Ton menjalankan tugasnya sebagai seorang pembantu rumah dengan dibantu oleh Farah dan Datin Noora.
        Berkali-kali Mak Cik Ton melarang tetapi Farah dan Datin Noora tetap berdegil. Segan dia kepada Datin Noora.
        “Tak apa, Ton. Biar saya tolong sekali. Nanti kita boleh sambung borak kat dapur.” Datin Noora tetap berkeras juga.
        Dia mengenyit mata kepada Farah. Farah yang memahami isyarat tersebut pantas memboloskan diri ke dalam dapur. Datin Noora dan Farah sengaja membiarkan Fairuz dan Nazmi berduan.
        Tan Sri Mansor dan Dato’ Johan pula lebih selesa berbincang ‘man to man talk’ di ruang tamu. Entah apa yang dibincang oleh mereka. Mungkin soal perniagaan barangkali.
        Nazirul pula tidak kelihatan. Bayangnya tidak kelihatan sejak selesai makan malam. Katanya mahu keluar sebentar.
        “Alang nak ke mana tu?” Farah bertanya apabila melihat Nazirul tergesa-gesa keluar sambil memegang kunci kereta.
        Nazirul yang sedang menyarungkan jaket kulitnya memalingkan wajah. “Angah, alang nak keluar sekejap.”
        Segera dia menyambung langkahnya menuju ke muka pintu. Tidak sampai lima minit kereta Subaru miliknya sudah menderum laju meninggalkan banglo mewah itu.
        Fairuz pula lebih selesa merehatkan dirinya di luar kawasan banglo mewah tersebut. Wakaf kecil yang berada di sudut perkarangan banglo mewah tersebut menarik perhatiannya.
        Langkahnya segera menuju ke situ. Dia tidak sedar langkahnya diperhatikan oleh sepasang mata.
        Lampu menerangi wakaf kecil tersebut. Di belakangnya terdapat replika air terjun yang kecil sementara itu di bawah replika tersebut terdapat sebuah kolam ikan koi yang sederhana besar.
        Pemandangan itu menarik perhatian Fairuz. Mungkin juga jika dia duduk berehat di situ hatinya semakin tenang.
        Melihatkan ikan koi yang berenang-renang itu senyumannya meleret. Deruan daripada air terjun itu sungguh menenangkan jiwanya. Terasa hilang sebentar masalah yang sedang menyerabutkan kepalanya.
        “Seronok tengok ikan?” tegur Nazmi dengan nada suara yang lembut. Terpacul wajah comelnya di tiang wakaf tersebut.
        Hampir terlompat Fairuz ke dalam kolam ikan koi dek terkejut dengan teguran Nazmi.
        Fairuz mengurut dada sambil cuba untuk turun daripada wakaf tersebut. Nazmi yang berada di hadapan wakaf tersebut mula mengerutkan dahinya.
        “Awak nak pergi mana?” Nazmi cuba menyambar pergelangan Fairuz namun, cepat-cepat ditepis olehnya.
        “None of your business.” Fairuz cuba untuk melangkah dari situ.
        “Tunggu. Saya nak cakap sesuatu dengan awak.” Nazmi cuba menghalang langkah Fairuz.
        Fairuz mengangkat wajahnya. Cuba memberi jelingan tajam kepada Nazmi.
        “Tak ada apa yang nak dicakapkan lagi. Saya tetap akan kahwin dengan awak.”
        Nada Fairuz kedengaran tegas sekali. Dia beranggapan yang Nazmi akan memujuknya untuk berkahwin dengannya.
        Nazmi yang mendengar mengerutkan dahi. “Bukan, saya tak nak cakap pasal benda tu.” Nazmi mengeluh seketika.
        Fairuz menjongketkan keningnya sambil mendekati kolam ikan koi tersebut. Melihat ikan lebih baik daripada melihat wajah Nazmi.
        Nazmi yang faham dengan tindakan bakal isterinya itu mula medekati Fairuz. Nazmi menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan kata-kata.
        “Dah lama saya tertanya-tanya perkara ni.” Kata-katanya mati di situ seketika.
        Fairuz hanya mematungkan diri sahaja menantikan ayat Nazmi yang seterusnya.
        “Saya pelik kenapa awak tak boleh terima saya sedangkan dulu awak pernah terima saya sebagai kawan awak?” Memang sudah lama dia terlalu pelik dengan ketidak terimaan Fairuz terhadap dirinya.
        Fairuz yang mendengar hanya mendiamkan diri sahaja. Malas dia mahu menjawab soalan daripada mulut Nazmi. Matanya tetap tidak dialihkan daripada melihat ikan koi di dalam kolam tersebut.
        Sesekali Nazmi mengerling wajah Fairuz sekilas.
        Fairuz menarik nafas panjang. “Hati manusia. Boleh berubah-ubah.”
        Ringkas sahaja jawapan daripada Fairuz. Dahinya dikerutkan sedikit.
        Nazmi menyebakkan rambutnya ke belakang. Dia mengeluh kecil. Bukan itu jawapan yang dia mahukan daripada Fairuz.
        “Bukan itu jawapan yang saya nak.”
        “Habis tu awak nak saya jawab apa?”
        Pantas Fairuz manjawab balik. Pandangan matanya tetap tidak beralih. Sedaya-upaya dia cuba memperlahankan suaranya. Bimbang juga didengari oleh keluarganya di dalam.
        “Awak nak saya jawab apa? Jawab yang saya memang sayangkan awak? Macam tu?” Matanya mencerlung memandang wajah Nazmi yang berada di sebelahnya.
        Memang dulu dia menerima Nazmi sebagai seorang kawan tetapi tidak lebih daripada itu. Susah untuk dia menerima jejaka lebih daripada seorang kawan bahkan menjadi peneman hidupnya jauh sekali.
        Nazmi mengeluh mendengarkan kata-kata daripada Fairuz. Pandangannya dibuang ke kolam ikan koi. Dia sengaja tidak mahu bertentangan mata dengan bakal isterinya.
        “Tak. Saya cuma nak penjelasan daripada awak. Itu aje.” Mata Nazmi setia memandang ikan koi yang sedang berenang-renang.
        Fairuz mula berpeluk tubuh. “Saya rasa awak dah cukup faham dengan kata-kata saya tadi. Awak juga dah cukup faham dengan layanan saya terhadap awak selama ni. Jadi, tak ada apa yang nak saya jelaskan lagi.”
        Nazmi mengeluh lagi. Nampaknya dia harus banyak bersabar dengan bakal isterinya itu.
        “Tapi takkan tak ada sebab awak layan saya dingin selepas dapat tahu yang awak akan kahwin dengan saya? Sedangkan dulu awak layan saya dengan elok. Takkan tiba-tiba je.”
        Sekali lagi jejaka itu inginkan penjelasan. Kali ini lebih spesifik. Sebab. Dalam erti kata lain, punca.
        Fairuz yang mendengar hanya mendiamkan diri. Malas mahu menjawab soalan tersebut. Dia tidak mungkin akan mengatakan yang kejadian dua tahun lepas telah menjadi punca dan sebab dia melayan Nazmi sedingin itu.
        Nazmi mengerling sekilas wajah Fairuz. Dia menanti jawapan yang keluar daripada mulut bakal isterinya.
        “Kalau awak nak tahu, kahwin tak ada dalam kamus hidup saya.” Nada suaranya kedengaran tegas sekali.
        “Tapi saya terima awak. Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak.”
        Nada Nazmi merendah dan kedengaran lembut. Dia seolah-olah cuba untuk memujuk Fairuz. Matanya memandang tepat ke arah Fairuz. Pandangan matanya redup dan sayu.
        ‘Harap-harap menjadi kali ni.’ Hatinya berdetik.
        Sambil berpeluk tubuh Fairuz membalas pandangan Nazmi. Bibirnya terukir senyuman yang paling sinis.
        “Sayang? Cinta?” Nadanya kedengaran bosan.
        Dia sebenarnya sudah muak dan mual dengan perkataan tersebut. Hatinya tidak luluh langsung mendengarkan pengakuan cinta dan sayang itu daripada Nazmi. Hatinya seolah-olah telah mati. Perasaannya juga telah lama hilang.
        Pandangannya dilontarkan kembali ke arah kolam ikan koi. “Saya dah penat dengar perkataan tu keluar daripada mulut awak. Telinga saya ni naik bernanah dengan perkataan tu keluar daripada mulut awak.”
        Nazmi yang mendengar mula menggelengkan kepala. “Memang betul saya sayangkan, saya cintakan awak. Saya jatuh hati dengan awak sejak pertama kali kita berjumpa. Sejak saya tolong awak masa kereta awak rosak dulu.”
        Nazmi mula mendekatkan tubuhnya ke tubuh Fairuz. Dia mengharapkan perhatian daripada Fairuz. Dia tidak meminta lebih. Cukuplah dengan hanya memberinya ruang untuk mencintai. Memberi ruang hati untuk dihuni.
        Sekali lagi pandangan matanya begitu sayu dan redup. Nada suaranya juga kedengaran rendah dan lembut.
        Fairuz memicit dahinya sambil tertawa kecil. “Cepat betulkan awak jatuh cinta? Cepat betulkan awak jatuh hati? Senang betulkan awak jatuh cinta dengan saya? Padahal awak tak kenal siapa saya. Awak tak tahu asal usul saya. Tapi…senang betul awak jatuh hati kat saya, kan?”
        Fairuz tersenyum mengejek sambil memandang bakal suaminya.
        Nazmi hanya mematungkan diri sahaja. Mungkin tidak tahu untuk diperkatakan.
        “Betullah orang kata, cinta itu buta,” sambungnya lagi sambil kembali mengalihkan pandangannya. Sesekali dress labuh berwarna coklat lembut itu dibetulkan.
        “Bila orang tu dah terkena dengan cinta, orang tu akan lupa segala-galanya.” Fairuz menggeleng kepala sambil tergelak kecil.
        Nazmi memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam kocek seluar jeansnya.
        “Mungkin. Cinta tak kenal usia,” balas Nazmi mahu mengaitkan dengan dirinya.
        Pandangan Fairuz tetap juga sama. “Awak tu masih budak lagi. Tak tahu tentang cinta. Tak tahu apa akibatnya kalau terkena cinta. Tak tahu apa ertinya cinta. Yang tahu hanya manisnya cinta je.”
        “Dan awak tu walaupun dah 26 tahun tetap tak tahu hargai cinta. Tetap tak hargai orang yang dah cinta dan sayangkan awak. Tetap tak boleh nak terima.”
        Sepantas kilat Fairuz memandang wajah Nazmi yang kelihatan sedikit serius. Matanya menjeling memandang Nazmi. Geram mula terbit dalam hatinya. Sedari tadi dia cuba menahan rasa geram yang bersarang di dalam dirinya. Nampakanya akan terhambur jua nanti.
        “Awak tak ada hak nak nilai orang. Awak tak ada hak nak nilai cinta sebab awak tak ada pengalaman.”
        Jari telunjuknya menunjuk lurus ke arah wajah Nazmi. Giginya diketap geram. Matanya mencerlung memandang Nazmi. Gayanya macam harimau yang akan menelan mangsanya hidup-hidup.
        Nazmi tenang sahaja berhadapan dengan ‘singa betina’ yang lapar itu di hadapannya. Dia mengeluh kecil. Nampaknya bakal isterinya itu memang susah untuk difahami.
        Fairuz berpusing dan mula mengatur langkah meninggalkan Nazmi. Perasaan marah dan geramnya bercampur-baur. Dia memang yakin yang dia tidak akan menerima Nazmi sebagai suaminya nanti.
        “Saya nak awak tahu apa yang saya cakap tadi semuanya betul, ikhlas dan tulus datang daripada hati saya.”
        Serta-merta langkah Fairuz terhenti mendengarkan kata-kata yang dikeluarkan oleh Nazmi. Hatinya bertambah geram dan berang.
        Dress labuh yang dipakainya diangkat sedikit agar langkahnya lebih laju. Dia mahu segera meninggalkan jejaka tersebut.
        Menyedari kelibat Fairuz hilang dia terduduk di wakaf kecil tersebut. Dahinya berkerut-kerut bagai memikirkan masalah yang melanda negara. “Pengalaman? Pengalaman apa pulak? Ah, biarlah! Mungkin tak ada kena-mengena.”  

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 17

BAB 17


DATO’ Johan dan Datin Noora menuruni anak tangga. Mereka sudah sedia untuk ke rumah bakal besan mereka, Tan Sri Mansor. Dato’ Johan segak mengenakan baju batik berwarna biru lembut. Datin Noora pula nampak anggun dengan jubah berwarana sedondon dengan suaminya dan turbin terlilit di kepalanya. Masing-masing sudah bersedia untuk ke banglo mewah milik Tan Sri Mansor.
        Ini kali pertama mereka menjejakkan kaki ke banglo mewah bakal besannya itu. Kereta Peugeot milik Dato’ Johan sudah sedia untuk dipandu. Kelihatan pemandu peribadi keluarga tersebut, Pak Man sudah sedia menunggu.
        Kelihatan Syafiella bergegas menuruni anak tangga. Dato’ Johan dan Datin Noora yang sedang menunggu Fairuz di ruang tamu hanya berpandangan sesama sendiri.
        “Fiella nak pergi mana?” tanya Datin Noora tatkala Syafiella sedang melintasi mereka berdua.
        Langkah Syafiella serta-merta mati. Matanya memandang kedua-dua ibu bapanya. “Fiella nak pergi…emm…jumpa kawan sekejap.”
        Dato’ Johan yang mendengar hanya menggeleng sahaja. “Bukan ke mama dah beritahu yang malam ni kita ada dinner di rumah Tan Sri Mansor?”
        Datin Noora mengangguk. Mengiakan kata-kata suaminya.
        Syafiella hanya tersenyum kelat. Tidak sanggup rasanya untuk dia bersua muka dengan bakal abang iparnya itu. Hatinya tidak tega untuk membenarkan Nazmi menjadi abang iparnya. Otaknya ligat memikirkan alasan untuk meyakinkan mama dan papanya.
        “Hmm…memang mama ada beritahu Fiella tapi Fiella dah janji dengan kawan Fiella dulu yang Fiella nak jumpa dia. Kesian dia kalau Fiella tak jumpa dia. Fiella nak tolong dia buat assignment.”
        Sedaya upaya dia cuba untuk memberikan alasan yang munasabah. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu mana arah tujunya. Sebaik sahaja dia mendapat tahu yang mereka sekeluarga akan ke rumah Nazmi hatinya terus tidak tenteram. Mungkin dia keluar untuk menenangkan fikiran.
        Dato’ Johan melepaskan sedikit keluhan. “Kalau macam tu suka hati kamulah. Papa dengan mama tak boleh nak halang kamu. Lagipun bukan kamu yang nak kahwin.”
        Datin Noora laju mencubit paha Dato’ Johan. “Bang, diorang nak kenal dengan keluarga kitalah. Bukannya dengan Yuz je,” bisik Datin Noora.
        “Habis tu takkan awak nak paksa Fiella pulak nak suruh ikut kita. Nanti lambat-laun kenallah mereka tu dengan Fiella. Fiella bukannya budak kecik lagi. Dah besar panjang. Biarlah dia jumpa dengan kawan dia tu. Lagipun dia janji dengan kawan dia dulu,” sangkal Dato’ Johan.
        Datin Noora yang mendengar hanya mencebikkan bibir.
        Syafiella hanya mematungkan diri sambil melihat drama sebabak antara papa dan mamanya. Risau juga dengan alasan yang diberikan tadi. Takut pula papa dan mamanya tidak menerima alasan yang diciptanya tadi.
        Kerana mahu melepaskan diri dia mengerling sekilas jam tangan di pergelangan kiri tangannya.
        “Hmm…mama, papa. Fiella dah lambat ni. Fiella pergi dulu, ye?” pinta Syafiella sambil menyalami tangan kedua-dua orang tuanya.
        Datin Noora dan Dato’ Johan hanya mengangguk sambil menyambut huluran salaman anaknya itu.
        “Fiella, jangan balik lewat,” pesan Datin Noora.
        Syafella hanya tersenyum sumbing sambil berlalu meninggalkan mereka berdua. Syafiella menarik nafas lega. Pintu kereta Suzuki Swift telah dibuka dan Syafiella segera memboloskan dirinya ke dalam tempat duduk pemandu. Tangannya erat memegang stereng. Terdengar keluhan kecil keluar daripada bibir mungilnya. Dia tidak tahu ke mana dia harus pergi untuk menenangkan dirinya. Pedal minyak ditekan dan tidak sampai lima minit enjin keretanya laju menderum meninggalkan rumah banglo tersebut.
        Sementara Fairuz pula tidak mahu untuk menyertai makan malam bersama keluarga Nazmi. Kalau ikutkan hatinya dia malas mahu pergi namun, kehendak mamanya harus dituruti. Begitu juga dengan perkahwinannya dengan Nazmi. Terpaksa juga dia terima. Semua yang dia lakukan kerana terpaksa.
        Wajahnya sedari tadi masam mencuka. Malas dia mahu menyerikan wajahnya dengan senyuman. Mengenakan dress labuh berwarna coklat lembut manakala rambutnya dibiarkan lepas. Solekan pula hanya biasa-biasa sahaja. Malas dia mahu melaram cantik-cantik.
        Kalau tidak Fairuzlah orang yang suka melaram. Sengaja dia memilih gaya yang tidak disukai olehnya langsung. Dia juga sengaja memilih dress yang dia paling benci. Semuanya gara-gara terpaksa.
        Lambat-lambat dia melangkah keluar daripada kamar tidurnya. Penampilannya tidak diamati di cermin. Selalunya dialah orang yang paling lama terpacak di hadapan cermin.
        “Ah, lantaklah dia nak kata aku selekeh ke apa. Kalau nampak aku selekeh mungkin dia reject aku,” bisiknya sambil tersenyum.
        Terbayang juga andai perkahwinannya dengan Nazmi tidak menjadi. Pasti seronok.
        Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga sambil diperhatikan oleh mama dan papanya.
        “Ha, baru tahu nak turun.” Dato’ Johan sudah bercekak pinggang sambil menggelengkan kepalanya.
        Semakin laju Fairuz menuruni anak tangga. Anak rambutnya dikuak ke belakang.
        Datin Noora sudah sedia menunggu di dalam kereta manakala Dato’ Johan pula sedang membuka pintu kereta. Pak Man pula sudah lama menunggu.
        Mak Saleha segera mendapatkan Fairuz yang sedang memakai kasut. Dia mengerti yang Fairuz tidak sukakan perkara ini. Perlahan-lahan tangannya mengusap belakang bahu Fairuz.
        Fairuz yang sedang leka memakai kasut mula berpaling menghadap wanita tua tersebut. Mata Mak Saleha merenung Fairuz dengan pandangan yang penuh makna dan tersirat.
        “Yuz, Mak Sal harap Yuz dapat terima semua ini.” Suaranya seakan memujuk. Hati tuanya amat mengetahui isi hati Fairuz.
        Fairuz hanya mengangguk. Tubir matanya mula berkaca-kaca.
        “Yuz, cepat sikit. Kita dah lambat ni.” Datin Noora sudah menurunkan cermin kereta.
         Kata-kata daripada Datin Noora mematikan drama sebabak antara Mak Saleha dan Fairuz. Segera Fairuz melangkah menuju ke arah kereta.
        “Mak Sal, jangan lupa kunci semua pintu.”
        Sempat juga Datin Noora memberi pesanan sebelum kereta Peugeot menderum laju meninggalkan banglo tersebut. Mak Saleha hanya menggelengkan kepala sambil menutup pintu utama banglo tersebut.

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 16

BAB 16


NAZMI menghempaskan daun pintu kamarnya. Entah kenapa telinganya tidak boleh mendengar tentang mummynya dan alongnya di Sydney, Australia itu. Pasti marahnya memuncak. Ingatannya terhadap peristiwa hitam kira-kira 13 tahun itu terlayar di ruangan matanya. Ketika itu dia baru berusia 9 tahun. Namun, ingatannya masih jelas.
        Giginya diketap. Rahangnya kelihatan timbul. Nafasnya turun naik. Marahnya semakin memuncak apabila peristiwa hitam itu bermain di ruangan matanya.
        Peristiwa tersebut telah merubah seluruh keluarganya. Peristiwa tersebut juga telah menjadi titik hitam dalam ingatannya. Peristiwa tersebut jugalah yang telah mengajarnya erti kehidupan. Peristiwa tersebut jugalah yang telah menjadikannya seorang yang berdikari.
        Air 100 Plus diteguknya untuk meredakan kemarahannya. Mukanya dan lehernya yang berpeluh itu dilap.
        Kedengaran iPhone 5s miliknya berlagu nyaring. Segera dia mencapai telefon bimbitnya itu yang berada di atas katil.
        Nama pemanggilnya dibaca. Sempat juga dia meraup wajahnya dan menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab panggilan tersebut.
        “Helo, bro.” Kedengaran suara rakan baiknya, Fakhri riang di talian.
        “Helo, Fakhri.” Sapaan daripada Fakhri dibalas oleh Nazmi. Dia mula membuka langsir di tingkap kamarnya.
        “Kenapa kau call aku ni?” tanya Nazmi sambil matanya melihat pemandangan luar kawasan banglonya. Kelihatan anak saudaranya, Hakimi sedang bermain bola sepak dengan riangnya.
        Kedengaran Fakhri mengekek ketawa. “Aku call kau sebab rindu kau.” Makin galak Fakhri ketawa.
        Nazmi yang mendengar hanya mengerutkan dahinya. ‘Sawan ke kawan aku ni?’ Hatinya mula menyangka yang bukan-bukan.
        “Kau ni sawan ke kena sampuk dengan jin hutan? Rindu aku bagai.”
        Serta-merta ketawa galak Fakhri terhenti apabila mendengarkan jawapan daripada Nazmi. “Kau kata aku sawan? Kena sampuk dengan jin hutan? Aku sihatlah. Aku okey.”
        Nazmi mula duduk di atas kerusi. “Habistu kenapa gelak macam tak ingat dunia ni lepastu cakap rindu kat aku bagai?” Kerutan di dahi Nazmi bertambah. Serius benar Nazmi hari ini.
        “Ak…ak…aku…cuma…”
        Kata-katanya mati di situ. Kedengaran suara Fakhri tersekat-sekat. Nadanya juga makin merendah.
        Dada Nazmi mula berdebar risau juga dengan keadaan kawan baiknya itu. Dia yang tadinya duduk mula berdiri.
        “Kau kenapa, Fakhri?” tanya Nazmi cemas.
        Fakhri yang mendengar suara Nazmi yang cemas itu mula menahan tawanya. ‘Caring jugak ye kawan aku ni,’ detik hatinya.
        “Aku cuma…cuma rindu nak main bola sepak dengan kau je. Tak ada apa-apa pun.” Gelaknya terhambur jua.
        Nazmi mula menarik nafas lega. Dia juga ikut ketawa. “Kurang ajar kau kenakan aku, ye. Punyalah nak jatuh jantung aku ni dengar suara kau tu.” Nazmi menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.
        Marahnya tadi terus hilang. Ingatan terhadap peristiwa tersebut terus hilang seperti hilang marahnya. Fakhri memang rakan baiknya yang sentiasa membuatkan hidupnya ceria. Ada sahaja seloroh dan idea lucunya bagi membuatnya terhibur.
        Ternyata ketawa Fakhri tidak surut-surut. Makin kuat lagi adalah.
        “Yang kau ni ambil serius kenapa? Kau macam tak kenal dengan aku, kan?” Fakhri menjongketkan keningnya.
        Tawa Nazmi mula mereda.
        “Bro, futsal jom malam ni,” ajak Fakhri.
        Ajakan tersebut terpaksa dilupakan oleh Nazmi kerana malam ini dia ada agenda lain iaitu makan malam bersama keluarga bakal isterinya. Kalau tidak semestinya dia tidak akan menolak ajakan Fakhri itu.
        Nazmi mengerutkan dahinya. “Sorry, bro. Aku tak boleh. Aku ada hal.”
        Dia tidak memberitahu lagi tentang perkahwinannya dengan Fairuz. Mungkin jika ada waktu yang sesuai baru rakan baiknya dan rakan sepasukannya yang lain akan mengetahuinya nanti.
        Fakhri mula mengeluh. “Laa…tak boleh ke? Kalau tak ada kau tak bestlah. Nanti team kita tak ada yang hebat.”
        Sememangnya Nazmi seorang pemain bola sepak yang hebat dan juga seorang pemain futsal yang hebat. Fakhri juga kagum dengan kebolehan yang dimiliki oleh Nazmi. Setiap kali perlawanan semestinya Nazmi akan dipilih untuk menjadi kesebelasan utama.
        Berbeza pula dengan Fakhri yang selalu memanaskan bangku simpanan sahaja. Pun begitu Fakhri tidak pernah berkecil hati dengan Nazmi. Jauh sekali menyimpan perasaan dengki terhadap Nazmi. Malah Nazmi sering menunjukkan skillnya bermain bola sepak kepada Fakhri.
        Fakhri juga ada kelebihannya sendiri dalam bermain bola sepak. Komitmennya sebagai pertahanan sering dilaksanakan dengan baik tetapi jurulatih belum sepenuhnya berpuas hati dengan kemahiran yang dimiliki olehnya. Mungkin lama-kelamaan Fakhri akan menjadi seorang pemain bola sepak yang hebat.
        “Sorry, Fakhri. Aku memang tak boleh. Aku ada hal. Selalu kalau kau ajak mesti aku pergi, kan?” Dia kembali melabuhkan punggungnya.
        Fakhri melepaskan sedikit keluhan. Nampaknya dia sedikit kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Nazmi itu.
        “Hmm…kalau macam tu tak apalah. Nak buat macam mana? Bro, apa halnya tu? Penting sangat ke?”
        Soalan yang ditujukan kepada Nazmi membuatkannya merasa bersalah. Otaknya ligat untuk memberikan alasan yang kukuh agar rakan baiknya itu mempercayainya.
        “Emm…penting, bro. Penting sangat. Hal…hal…family. Ha…hal family.” Dia berharap agar Fakhri dapat menerima alasannya itu.
        Fakhri yang mendengar hanya mendiamkan diri sahaja. Diam Fakhri itu merisaukan Nazmi.
        ‘Dia tak dapat terima alasan aku tadi ke?’ getus hati kecilnya.
        Baru sahaja Nazmi ingin mengeluarkan kata-kata pantas sahaja Fakhri mendahuluinya.
        “Okey, bro. Aku faham. Mungkin lain kali. Tapi…kau jangan menyesal pulak.”
        Nazmi yang mendengar hanya mengerutkan dahi. Tertanya-tanya tentang kata-kata penuh tersirat Fakhri. “Bro, kenapa pulak?”
        Saat itu ketawa Fakhri kedengaran. “Hmm…melepaslah kau hari ni.” Sekali lagi kata-katanya penuh makna yang tersirat.
        Makin bertambah kerutan di dahinya. Pelik dan tertanya-tanya dengan kata-kata tersirat rakannya itu.
        “Melepas?” Nazmi menelan air liur. Kedengaran suaranya sangat risau.
        Fakhri yang mendengar hanya ketawa. “Wei, bro. Takkan selama ni kau tak perasan. Masa kita kat padang futsal.”
        Kata-kata Fakhri masih lagi tidak difahami langsung oleh Nazmi. Penuh dengan makna yang tersirat.
        Makin bertambahlah kerutan yang berada di dahi Nazmi. Tadi seratus. Sebentar tadi seribu. Sekarang mesti sudah sejuta kerutan di dahinya itu.
        “Bro, apa kau cakap ni? Aku tak faham langsunglah. Aku bukannya pakar bahasa yang faham cakap berbelit-belit macam ni. Kau cuba cakap dengan aku terus terang. Ini cakap berselirat sana, berselirat sini.”
        Nampaknya Nazmi semakin pening dengan kata-kata Fakhri. Dia mahu rakannya itu bercakap secara terus-terang. Makin lama dia bercakap dengan Fakhri makin pening jadinya.
        “Wei, bro. Relaks, okey. Tenang. Janganlah marah macam ni.”
        Serta-merta tawa Fakhri berhenti. Dia cuba menenangkan rakan yang nampaknya semakin pening dengan kata-katanya.
        “Aku tak marahlah. Aku ni pening. Ha pening. Dengar kau cakap tersirat-sirat macam ni.”
        Serta-merta ketawa Fakhri bergema kembali di gegendang telinga Nazmi. Nazmi yang mendengar semakin pelik jadinya.
        Dia cuba menjarakkan kedudukan telefon bimbitnya dengan telinganya. Bingit mendengar tawa Fakhri. Sudahlah suaranya garau kuat pulak tu. Makin sakit gegendang telinganya. Ternyata tawa Fakhri tidak mereda.
        “Wei, bro. Kau nak cakap tak?” tanya Nazmi sedikit tegas. Malas dia mahu melayan kerenah Fakhri yang gila ini.
        Sedikit demi sedikit tawa Fakhri mula mereda.
        “Okey, okey. Aku cakap sekarang.” Kedengaran suara Fakhri sedikit serak kerana ketawa terlebih dos.
        Nazmi menarik nafas lega. Akhirnya segala kata-kata tersirat rakannya itu tiada lagi. Nazmi menyisir-nyisir rambutnya yang mula menutupi sebahagian daripada dahinya.
        Kedengaran Fakhri membetulkan sedikit suaranya.
        “Lissa.” Hanya satu perkataan sahaja yang kedengaran keluar daripada mulut Fakhri.
        Seperti tadi kerutan di dahi Nazmi bertambah. “Kenapa dengan perempuan tu?” tanya Nazmi seakan pelik dengan kata-kata tersirat Fakhri tadi.
        Apa kena-mengena perempuan tu dengan kata-kata Fakhri sebentar tadi?
        Fakhri melepaskan sedikit keluhan. ‘Ish, tak faham ke kawan aku ni?’ gumam hatinya.
        “Lissa nak jumpa dengan kau.” Bersama keluhan kecil Fakhri menjawab.
        “Ada hal penting ke dia nak jumpa aku?” Nazmi seakan tidak faham apa yang berlaku sekarang ini.
        Fakhri menggaru kepalanya yang tidak gatal. ‘Aduh, susah betul dapat kawan yang lambat dan susah nak faham ni.’
        “Ish, kau ni pun. Kalau dia nak jumpa kau tu ada makna lainlah tu.”
        Nazmi menelan air liur. ‘Dia nak buat benda tak baik kat aku ke? Ish, takkanlah. Jangan, jangan….’ Nazmi mula membuat andaian sendiri.
        “Maksud kau dia…” Kata-katanya tidak dapat diteruskan kerana pantas dipotong oleh Fakhri.
        “Dia syok kat kau.” Fakhri mula tersenyum. Dia berharap agar rakannya itu tersenyum juga sepertinya.
        Nazmi mula memicit dahinya. Ternyata telahannya benar. Gadis itu memang menyukainya. Malas dia mahu melayan perkara itu.
        Memang dia sudah terbiasa dengan perkara ini. Ada sahaja gadis mahu berdamping dan mendekatinya tetapi dia menganggap gadis-gadis tersebut sebagai sorang kawan. Tidak lebih daripada itu.
        “Mana kau tahu? Kau ni pandai-pandai aje.”
        Nazmi mula bangun daripada duduknya. Terasa badannya melekit. Dia mahu membasahkan tubuhnya yang melekit itu.
        “Aku tahulah. Selalu kalau kat tempat futsal tu…”
        “Bro, cukup. Dah, dah. Kau jangan nak mengarut lagi. Aku nak mandi ni.”
        Pantas sahaja kata-kata Fakhri dipotongnya. Malas dia mahu melayan Fakhri yang semakin mengarut itu. Kadang-kadang dia bukan boleh dipercayai sangat. Ada sahaja idea yang bukan-bukan dan mengarut itu.
        Nazmi mula membuka bajunya dan mencapai tuala yang berada di penyidai.
        “Nazmi, kejaplah. Aku belum habis cakap lagi.” Fakhri mula mengeluh. Apa yang mahu dikatakan itu adalah benar belaka.
        “Ah, dah. Aku tak nak dengar cerita mengarut kau tu pasal Lissa. Sekarang, aku nak mandi. Chow.”
        Talian terus dimatikan oleh Nazmi tanpa sempat memberi ruang kepada Fakhri untuk meneruskan perbualan.
        Fakhri berdecit sedikit apabila mengetahui Nazmi memutuskan talian telefon. Nampaknya usahanya untuk merapatkan hubungan antara Nazmi dan Lissa kali ini tidak berjaya. Mungkin lain kali usahanya akan menjadi.
        “Lissa, I minta maaf.” Fakhri meletakkan telefon bimbitnya di atas katil.
        “Lissa,” bisik Nazmi.
        Saat ini terbayang di ruangan mata wajah dan susuk tubuh gadis tersebut. Dia selalu ternampak gadis itu di tempat dia bermain futsal bersama rakan-rakannya. Pernah juga dia dikenalkan oleh rakannya.
        Entah mengapa mindanya terlintas bakal isterinya, Fairuz Farisha. Wajah cantiknya dan susuk tubuhnya memenuhi ruang mindanya. Bayangan gadis yang bernama Lissa itu terus lenyap dan hilang begitu sahaja. Teringat dia kepada Fairuz terus senyumannya meleret.
        Gadis itu telah berjaya menawan hati lelakinya. Gadis itu juga telah berjaya mencuri hati lelakinya. Sejak awal lagi dia sudah jatuh hati pada gadis itu.
        Walaupun gadis itu menolak cintanya mentah-mentah namun, dia tetap kuat memberi cintanya kepada si gadis itu. Semakin kuat dia menolak semakin kuat jugalah cintanya kepada si dia.
        Teringat juga kata-kata yang selalu terhambur kepadanya. Kedengaran sedikit keluhan keluar daripada mulutnya. Kata-kata yang dihamburkan oleh si gadis sering memedihkan hatinya, namun dia reda dan sabar. Kerana cintanya terhadap si gadis dia sanggup disakiti.
        Nazmi memboloskan dirinya ke dalam bilik mandi. Dia ingin membasahkan tubuhnya yang sudah melekit itu. Dia malas melayani perasaanya lagi. Namun jauh di sudut hatinya dia berdoa agar Fairuz dapat menerima cintanya seikhlas dan setulus hati.