Monday 14 July 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab2

BAB 2



MALAM itu Fairuz begitu sukar untuk melelapkan mata. Entah mengapa ingatannya terhadap kejadian pagi itu mula terlayar kembali. Kejadian yang membawa kepada pertemuan dengan jejaka comel, Nazmi Faiz. Wajahnya, susuk tubuhnya dan senyumannya kembali bertamu di ruang minda Fairuz.
        ‘Kenapa aku asyik fikirkan dia?’ Fairuz tertanya-tanya diri sendiri.
        Serta-merta juga dia mula teringat kembali kepada seseorang. Seseorang yang berjaya mencuri hatinya. Seseorang yang berjaya menambat hatinya. Seseorang yang membuatnya bahagia dan sentiasa tersenyum. Seseorang itu juga yang telah membuatnya patah hati, kecewa dan menangis.
        ‘Aku tak boleh jatuh cinta sekali lagi! Aku takkan dikecewakan kali kedua! Aku tak boleh!’ Begitu sekali azam Fairuz.
        Kelopak matanya terasa susah sekali untuk ditutup di kala ini. Dia bingkas bangun daripada katilnya. Sempat juga dia mengerling sekilas pada jam dinding yang berada di dalam kamarnya.
        “Satu pagi.”
        Dia sudah tidak peduli dengan waktu lantas segera memulas tombol pintu. Perlahan-lahan Fairuz membuka pintu supaya tidak mengganggu tidur papa, mama dan adiknya. Dia menuruni anak tangga dan menuju ke dapur.
        ‘Mak Sal pun dah tidur,’ getus hatinya apabila melihat bilik tidur yang berada bersebelahan dengan dapur itu sudah gelap.
        Dia membuka peti sejuk lalu mencapai sekotak fresh orange. Fairuz segera mengambil gelas yang berada di rak bersebelahan dengan peti sejuk lalu menuang air fresh orange itu perlahan-lahan. Dia segera duduk di meja yang berada di tengah-tengah dapur itu. Fairuz meneguk fresh orange tersebut.
        Ternyata ingatannya terhadap seseorang kembali terlayar di ruang matanya. Entah mengapa wajahnya yang seiras Nazmi itu memenuhi ruang mindanya.
        Terus ingatannya kembali kepada kejadian dua tahun lalu.
        “Kenapa abang nak jumpa Yuz?” tanya Fairuz kepada jejaka di hadapannya itu.
        Jejaka tersebut menundukkan sedikit wajahnya. Fairuz kelihatan tenang sahaja sambil menyedut air fresh orangenya.
        “Abang, kenapa? Kalau abang ada masalah abang cakap pada Yuz.”
        Fairuz perlahan-lahan menggenggam jari jejaka itu. Riak wajah Fairuz sudah bertukar. Dia yang pada mulanya nampak tenang jelas tampak kerisauan. Jejaka tersebut perlahan-lahan melepaskan kembali genggaman erat jari-jemari Fairuz.
        “Actually…I have something to say, Yuz.” Wajahnya sedikit keruh. 
        “Apa abang nak cakap pada Yuz? Yuz dengar sahaja.” Fairuz jelas menunjukkan keprihatinan pada tunangnya itu.
        “Ka…ka…kalau abang cakap benda ni pada Yuz, Yuz janji…takkan marah pada abang, ye?” pintanya.
        Dia kembali meraih jari-jemari Fairuz untuk digenggamnya. Fairuz mengerutkan sedikit dahinya.
        “Kenapa sampai macam tu?” tanya Fairuz sambil bibirnya cuba untuk mengukir senyuman.
        “Tak ada apa-apa. Cuma abang nak Yuz janji pada abang, boleh?”
        Sekali lagi dia meminta. Kali ini dia mengeratkan genggamannya.
        “Kalau macam tu…Yuz janji untuk abang. Anything for you, abang. Anything for you…” Nada suaranya sudah mendayu dan manja.
        “Sebenarnya abang datang jumpa Yuz sebab…sebab…abang nak kita putus tunang. Abang…abang tak boleh teruskan hubungan kita lagi, Yuz. Abang…tak boleh tipu diri abang. Abang dah ada orang lain yang abang sayang, yang abang cinta. Abang harap Yuz faham dan dapat terima keputusan abang.” Serius kedengaran suaranya.
        Serta-merta Fairuz melepaskan genggaman erat jari-jemarinya sambil keningnya berkerut. “Are you joking, Hilmi?! Abang bergurau, kan? Atau saya yang bermimpi? Abang cakap yang abang sengaja nak buat lawak pada Yuz! Abang cakap pada Yuz! Abang cakap!” Suaranya sedikit meninggi.
        Tanpa dia sedari tubir matanya telah menakung air mata yang menunggu masa untuk pecah.
        Hilmi yang sudah menjadi bekas tunangnya itu melepaskan sedikit keluhan. “Tak Yuz…tak. Abang serius…abang nak kita putus tunang.”
        Jarinya meraih kembali jari Fairuz. Fairuz menepis jarinya. Hilmi bersandar pada kerusi sambil menarik nafas.
        “How could you do this to me.” Perlahan-lahan air mata mula mengalir di pipinya.
        “Abang tahu tak lagi sebulan kita nak kahwin. Abang sanggup buat macam ni pada Yuz. Selama ni Yuz bagi segala jiwa raga Yuz pada abang. Yuz bagi seluruh hati dan cinta Yuz pada abang. Yuz setia pada abang tapi…”
        Air matanya semakin laju mengalir. “…apa yang abang balas? Apa yang abang balas?! Abang hancurkan hati Yuz.”
        Fairuz merintih. Esak tangisnya tidak dapat dibendung lagi. Fairuz tidak segan silu mengeluarkan air mata.
        Hilmi hanya mediamkan diri sahaja. Dia juga kesal dengan keputusan yang dibuatnya.
        “Kenapa abang sanggup buat Yuz macam ni? Kenapa?!” soal Fairuz. Hilmi membatukan diri sahaja. Dia tidak tahu apa yang ingin diperkatakan lagi.
        “Kenapa abang diam?! Cakap, bang! Cakap!” Fairuz mula mendesak sambil air matanya laju merembes keluar.
        “Abang…abang…tak tahu Yuz.” Hilmi teragak-agak mengeluarkan kata-kata.
        “Sudahlah, bang. Yuz tak nak dengar apa-apa lagi daripada abang. Cukuplah abang dah hancurkan hati Yuz.” Fairuz mula berdiri dan ingin meninggalkan Hilmi.
        Sebaik sahaja Fairuz ingin berlalu pergi, tangan Hilmi pantas memegang pergelangan tangannya.
        “Yuz, maafkan abang.”
        Sekali lagi Hilmi meminta maaf. Fairuz memalingkan mukanya dan menarik nafas dalam-dalam sebelum kembali memandang wajah bekas tunangnya. Mata mereka bertatapan namun, pantas Fairuz merenung tajam ke arah bekas tuangnya.
        “Let me go.”
        Fairuz mendengus marah. Hilmi melepaskan pegangannya.
        “Abang tak payah minta maaf lagi. It’s too late.”
        Dia mencabut cincin yang berada di jari manisnya lalu diletakkan di atas meja. “Cukuplah abang dah hancurkan hati Yuz. Jangan pernah tunjuk muka abang depan Yuz lagi lepas ni.”
        Fairuz berlalu pergi meninggalkan Hilmi yang sedang melaungkan namanya. Semakin laju langkah Fairuz semakin laju juga air matanya berhamburan keluar.
        “Hai, kak! Takkan minum fresh orange pun boleh terharu?” Syafiella Farhani menegurnya.
        Teguran adiknya itu membuatkan dia tersedar daripada lamunannya. Fairuz mengesat air matanya dan mula mengukir senyuman hambar kepada adik kesayangannya yang duduk di sebelahnya.
        “Kakak ada masalah ke? Teringat kat Abang Hilmi ke?” tanya Syafiella sambil merenung wajah bungkam kakaknya.
        Fairuz tersenyum dan mula bergerak ke sinki untuk membasuh gelasnya.
        “Kakak, perkara tu dah dua tahun berlalu. Kakak tak perlu fikirkan pasal dia lagi. Kakak aje yang fikir pasal dia, dia tak pernah pun fikir pasal kakak. Kakak jangan fikir lagi, okey?”
        Syafiella memegang bahu kakaknya. Fairuz hanya tersenyum memandang adiknya.
        ‘Fiella, kau takkan tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran kakak sekarang ni,’ desis hatinya.
        “Eh, yang Fiella ni tak tidur lagi kenapa? Esok ada kuliah pagi, kan?” kata Fairuz cuba mengubah topik.
        “Kakak tidur dulu. Mengantuk.” Fairuz berlalu pergi meninggalkan adiknya itu.
        “Kakak, kakak.” Syafiella menggelengkan kepala sambil membontoti kakaknya memanjat anak tangga menuju ke bilik mereka.

0 comments:

Post a Comment