Wednesday 19 June 2019

Novel: Dia... Putera Jasmineku! Bab 1 (part 3)


SOALAN pertama yang Imani dengar apabila dia sampai sahaja di rumah sewa bersama Najah malam itu adalah…
“Macam mana Najah boleh ada dengan kau ni, Iman? Bukan ke Najah keluar dengan lelaki yang bawak Myvi tadi?” soal Wani bertubi-tubi. Saat daun pintu terbuka bila dia sedang menonton televisyen, terjegul susuk tubuh Najah dan Imani. Dan serentak itu dia mula rasa ada sesuatu yang tidak kena.
“Kereta Myvi mamat tu rosak tengah jalan,” jawab Imani, malas. Dia sudah merebahkan tubuhnya di atas sofa sementara Najah pula sedang mengunci pintu.
Wani yang sedang mengunyah kuaci itu mula kerut dahi. Dia pandang Imani yang sudah terlelap itu. “Serius?”
Najah mencampakkan tas tanggannya di atas sofa sementara dia mengambil tempat duduk di atas lantai, membelakangi Wani. “That’s was horrible blind date I’ve ever faced…” katanya sambil mengeluh kecil. Tudung bawal yang terlilit elok di kepalanya ditanggalkan.
Wani yang mendengar pantas menegakkan tubuhnya. Dia kelihatan bingung. “Apa kau cakap tadi, Jah?”
Najah menggela nafas panjang, ambil beberapa waktu senggang sebelum bercerita sambil memusingkan tubuhnya menghadap Wani. “Dia cuba nak buat benda tak senonoh dengan aku…”
“Hah?!” Terkejut! Wani sangat terkejut berdasarkan kebundaran matanya membulat nyata gadis berambut afro itu memang betul-betul terkejut.
Dan Najah mula bercerita. Wani khusyuk mendengar. Kelihatan sesekali dia terangguk-angguk sendiri. Kemudian, riak wajahnya bertukar menjadi geram dan dalam masa yang sama geli.
“…thank God jugaklah, Iman ada selamatkan aku waktu tu. Kalau tak… hmmm… tak tahulah nak jadi apa.”
Dia perlu bersyukur dan berterima kasih kerana rakannya yang seorang itu ada untuk membantu. Memang dia terhutang budi kali ini dengan Imani.
“Lain kali, jangan percaya dengan orang dekat WeChat tu. Semua tu nak menipu. Nak ambik kesempatan,” sampuk Imani lantas dia bangkit sambil meregang-regangkan badannya.
Wani juga kelihatan terangguk-angguk sendiri. “Betul tu, Jah.”   
“Okey, lepasni aku janji tak nak dah main WeChat tu semua. Aku tak terdesak pun nak cari boyfriend. Hehehe.” Najah mula tersengih.
“Nad mana? Tak nampak pun dia dari tadi. Lewat dah ni takkan dia tak balik-balik kerja kot?” soal Imani yang baru hendak melangkahkan kakinya menuju kamar tidurnya. Terpandangkan kamar tidur Wani yang dikongsi bersama Nad, seorang lagi penyewa di sini yang sedari tadi tidak nampak langsung kelibat gadis itu.
Wani mula mencebik sambil membuat riak wajah menyampah. “Ada tadi balik tapi… kau paham-pahamlah. Malam-malam jumaat macam ni pergi merendeklah dengan jantan kat hotel bajet sana.”
Mendengarkan jawapan daripada Wani, Imani hanya terangguk-angguk sendiri. Gadis itu pun satu hal. Kehidupannya yang terlalu bebas membuatkan rasa kurang senang antara mereka bertiga. Banyak kali juga Nad bawa balik jantan ke dalam rumah sewa ini untuk bermalam sewaktu mereka bertiga tiada. Banyak kali juga Wani dan Najah menegur perbuatannya namun, gadis itu hanya buat tidak tahu sahaja. Perbuatan Nad itu juga mengundang rasa kurang senang kepada jiran-jiran di perumahan itu. Tetapi Nad itu seorang yang degil dan jenis tidak mahu mendengar teguran orang. Mungkin jika Imani yang menegurnya secara kasar, dia akan berubah.
“Iman, kau tegurlah dia. Sampai bila dia nak bawak jantan ke hulur ke hilir? Kalau kantoi dengan tuan rumah, masak kita weh!”
Imani hanya mengangguk kecil. Dia yang masih mengantuk itu, pantas menghilang diri ke dalam kamar tidur.


Novel: Dia... Putera Jasmineku! Bab 1 (part 2)


“MANA mamat muka bulan ni?” Imani menekan-nekan skrin telefon pintarnya. Dahinya berkerut. Sesekali telefon itu dibawa ke cuping telinganya. Kemudian dia berdecit sedikit. Setelah hampir tiga saat tiada jawapan, dia letak telefon pintarnya di atas meja warung itu dengan kasar.
Perbuatannya itu membuatkan Najah terkejut. Dikerling wajah Imani yang kian sebal itu. “Kau kenapa?”
“Bengang dengan mamat muka bulan.”
Najah pantas kerut dahi. “Mamat muka bulan? Siapa?”
Perbualan mereka terhenti apabila seorang pelayan kedai menghantar pesanan air yang telah dipesan hampir 15 minit tadi. Setelah mengucapkan terima kasih, pelayan yang berumur lingkungan belasan tahun itu cepat-cepat beredar. Mungkin dia seram melihat wajah Imani yang macam singa lapar itu.
Teh tarik dengan buih lebih itu, Imani hirup. Perlahan-lahan.
Ah, nikmatnya!
Terasa hilang segala kepenatan membelasah jejaka tak guna itu tadi. Namun, kenikmatan dia menikmati teh tarik buih lebih itu hanya bertahan kurang daripada dua minit sebelum mamat muka bulan itu datang menerjah.
What’s up, dude!”
Imani tersedak tatkala ada tangan tiba-tiba sahaja menepuk belakang badannya dengan kuat. Tak guna betul! Hidungnya terasa sangat sakit tatkala teh tarik itu masuk terus ke dalam rongganya.
“Woi! Cibs lah kau ni!” seranahnya sambil terbatuk-batuk. Wajahnya sudah merah padam. Najah pantas memberikan bantuan dengan menepuk-nepuk belakang tubuh rakannya itu.
Mamat muka bulan itu hanya ketawa. Dia lantas mengambil tempat duduk di hadapan Imani dengan selamba. “Relakslah.”
Imani pantas menjeling tajam. Kalau ikutkan hati mahu kepala jejaka berwajah bayi (baby face) ini kena pelangkung dengannya.
“Diamlah, Amir!”
Amir, rakan paling rapat dengan Imani. Jejaka ini yang selalu ada dengannya. Teman lepak dan teman tempat dia mengadu bila ada masalah. Persahabatan mereka terjalin disebabkan oleh minat yang sama dan perangai mereka juga lebih kurang sama. Atau… lebih tepat lagi mereka sekepala. Jejaka inilah satu-satunya manusia yang memanggil Imani dengan panggilan…
“Ali, aku tahu kau bengang dengan aku sebab lambat. Sorry. Kau tahu kan aku tengah handle budak-budak nak UPSR tu tuisyen kat sekolah? Jadi, tadi aku terpaksa chonglah budak-budak tu yang aku ada emergency and terpaksa habiskan tuisyen awal,” ujar Amir memberikan alasan.
Ali, singkatan nama untuk Alia Imani.
“Cikgu yang berdedikasi, konon…” Pantas Imani mengejek sambil dia mengekek tawa. Najah hanya diam dan menjadi pendengar perbualan atau lebih kepada perbalahan.
“Hakalah! Aku memang cikgu yang berdedikasi. Kau je punca kededikasian aku semakin merudum,” tuduh Amir melulu.
“Ah, engkau! Dahlah lambat, banyak bunyi pulak. Pergi order!” Cepat-cepat Imani mengalih topik. Karang kalau dibiar berlarutan mahu sampai esok malam mereka bertengkar.
Amir segera angkat tangan. Tidak sampai dua saat, pelayan belasan tahun itu datang. Mengambil pesanan dan terus sahaja berlalu dari situ.
“Apahal kau belasah mamat tu?” soal Amir seraya merapatkan tubuhnya dengan meja tersebut. Dia renung wajah Imani yang nampak tegang itu. Terkejut dia sewaktu mendapat panggilan daripada gadis itu semasa sedang mengajar tadi.
Imani menyebabkan rambutnya yang pendek dan sedikit keperangan itu ke belakang. “Dia cuba nak buat benda tak senonoh kat Najah. Kebetulan aku nampak, aku belasahlah dia and then…”
And then?”
And then dia panggil aku pengkid lepastu dia kata Najah girlfriend aku. Aku geram, aku hentaklah kepala dia pakai helmet aku. Pastu aku dengan Najah blah,” cerita Imani dengan selamba.
What?! Kau hentak kepala dia pakai helmet?” soal Amir, kaget.
Yup. Apsal?”
Terer gila kau, dude!” puji Amir sambil tersenyum. Imani juga turut tersenyum bangga. Ada juga orang memujinya walaupun jelas-jelas perbuatannya mmebelasah jejaka itu salah. Kemudian, pandangan Amir beralih pula kepada Najah yang pada ketika itu sedang mengunyah ais.
“Najah okey?” soalnya lembut.
Najah hanya mengangguk sambil tersenyum. Imani yang melihat mula meluat. Disepak kaki jejaka yang sedang mengenyitkan matanya kepada Najah. Terjerit Amir dibuatnya. Najah pantas terkejut. Meja warung itu kelihatan ternaik sedikit akibat kepala lutut Amir menghentaknya. Seketika, meja mereka menjadi tumpuan pelanggan lain.
“Aduh! Kau ni apahal, Ali?” Kelam-kabut dia mengusap kepala lututnya yang terasa berdesing seperti kena panah petir apabila berlaga dengan meja. Sakit betisnya disepak dengan Imani tidak dapat menandingi kesakitan kepala lututnya itu.
“Nak ngorat, jangan depan aku.” Imani menjegilkan matanya sedikit sebelum menyambung katanya kembali, “Kau patut tanya aku. Bukannya Najah. Sah-sahlah aku yang belasah mamat tu sekarang cerita dia,” katanya tidak puas hati.
Amir merenung wajah Imani, lama. Dia betul-betul mengamati setiap inci wajah rakannya itu. “Tak ada lebam pun kat muka kau. Maknanya kau okeylah tu.” Lantas ketawa berdekah-dekah.



Wednesday 12 June 2019

Novel: Dia... Putera Jasmineku Bab 1 (part 1)


BAB 1
            

IMANI menujah perut jejaka itu lantas menghentaknya dengan menggunakan siku hingga jejaka itu terlentang di atas lantai. Dia tersenyum sinis melihatkan keadaan jejaka itu semakin layu itu di tangannya.
“Hoi! Anak jantan! Bangunlah! Apsal lembik sangat?!” teriaknya dengan nada sinis sambil selamba memegang helmet di tangan kirinya. Dia menunduk sedikit, merenung jejaka itu yang terkial-kial bangun. Dalam kesamaran lampu jalan, dia dapat melihat wajah jejaka itu berkerut-kerut menahan sakit.  
“Dasar jantan gila seks!” Sekali lagi penumbuk melayang di wajah tatkala jejaka itu cuba untuk bangun. Terpaling wajah jejaka itu hingga tersembam ke lantai.
“Lain kali kalau dah gatal sangat telur tu, garulah! Bukannya nak tayang-tayang kat perempuan lain! Faham!”
Lalu celah kelangkang jejaka itu disepaknya sekuat hati. Geram betul dia! Biar padan muka dengan jantan tak guna macam dia ni!
“ARGHHHHHHH!”
Bergema jeritan jejaka berkemeja kotak-kotak dengan seluar pendek itu. Nasib baik malam ini tiada pengunjung di taman bunga ini, kalau tidak mahu jadi kes polis! Senak terasa dia hingga ke hujung kepala. Berpeluh-peluh dia dibuatnya.
Imani tersengih. Dia rasa hendak ketawa. Lembik betul jejaka ini kalau hendak dibandingkan dengan dia. Kemudian, matanya menyorot ke arah gadis bertudung yang sedang duduk memeluk lutut di belakangnya.
“Jom, Jah. Kita balik. Dah setel ni,” ajaknya seraya mendekati gadis itu.
Gadis yang masih ketakutan itu perlahan-lahan bangun. Dia cuba mengintai keadaan jejaka itu yang kelihatan parah di matanya. “Teruk kau belasah dia. Kalau mati macam mana?”
Imani tergelak kecil. “Tak payah risaulah. Tak mati punya. Setakat masuk klinik lepastu MC tiga hari eloklah tu,” bicaranya penuh yakin. “Najah, jom balik. Aku lapar dah ni tak dinner.” Lalu tangan gadis itu ditarik kasar membuatkan Najah terpaksa mengikut.
“Woi pengkid!”
Pantas langkah Imani terhenti begitu juga dengan Najah. Dia menoleh ke arah suara garau itu yang masih lagi dalam nada menahan sakit. Tak sedar diri punya jantan!
Korang berdua ni couple ye? Patutlah kau marah sangat aku kacau girlfriend kau tu. Haha! Funny gila!”
Imani terasa telinganya berdesing tatkala jejaka itu menuturkan kata-katanya. Darahnya sudah mendidih hingga ke kepala. Nafasnya turun naik dengan laju. Najah yang sedar, pantas memegang lengan Imani dengan kuat. Dia tidak mahu gadis itu bergaduh dengan lebih teruk lagi. Bukan dia tidak kenal dengan Imani. Kaki hentak orang dan kaki gaduh dalam KL ni. Namun, pantas Imani tepis.
“Aduh, Iman! Iman! Kau nak buat apa tu???!”
Najah mula panik apabila Imani sudah laju meluru ke arah jejaka itu semula sambil membawa helmet di tangan kirinya. Dia sudah mengagak akan ada kejadian yang tidak diingini.
“Apa kau cakap aku tadi, SETAN?!” jerkahnya sambil menarik kolar baju jejaka itu hingga terberdiri jejaka tersebut. Matanya merenung tajam bagai singa lapar manakala rahangnya pula sekejapan timbul.
Namun, jejaka itu tidak gentar. Malah tenang dia menjawab, “Kau pengkid. Kau pengkid, kan?!”
“JAHANAM!”
“IMAN!”
Dihentak kepala jejaka itu sekuat hati dengan helmet. Melayang tubuh jejaka itu dibuatnya hingga terlanggar pokok. Najah segera berlari mendapatkan Imani. 
“Lain kali jangan panggil aku pengkid! Faham?!”
Helmet lantas dipakai lalu dia bersama Najah berlalu dari situ dengan perasaan marah yang masih lagi belum reda. Sementara itu, jejaka itu masih lagi berada di situ. Menahan kesakitan yang amat dahsyat.

Novel: Dia... Putera Jasmineku Prolog


TUBUHNYA sedang menggigil… kesejukan?
Tidak!
Tubuhnya menggigil ketakutan. Huh?
Di tangan kanannya terdapat sebilah pisau yang berlumuran darah. Mata takutnya itu merenung sekujur tubuh seorang lelaki dewasa yang sedang terkulai layu itu. Melihat keadaannya seperti nyawanya telah lama dicabut oleh Sang Izrael.
Perut mayat itu terburai. Seolah-olah ditikam berulang kali. Gadis yang memegang pisau itu tiba-tiba sahaja mengalirkan air mata. Sambil dia mengesot ke belakang dengan laju sehingga menempel ke dinding, pisau yang penuh dengan darah itu dilepaskan. Berdenting kuat bunyi pisau tersebut apabila berlaga dengan lantai mozek.
Di luar keadaan hujan lebat dan kilat sabung menyabung. Keadaan di dalam rumah ini gelap. Tiada cahaya.
“BUKAN AKU YANG BUNUH DIA! BUKAN AKU YANG BUNUH DIA!”
Gadis itu mundar-mandir sambil dia menarik-narik rambutnya yang panjang itu. Dia kelihatan sangat bingung dan tidak tentu arah. Seketika kemudian, dia berhenti. Matanya merenung tajam ke arah sebuah pintu keluar. Lalu segera dia menghayun langkah keluar dari tempat tersebut.