Monday 19 January 2015

Cerpen: Nur Menyapa Lembaran Baru




KEDENGARAN bunyi mesin dari wad kecemasan. Bising dan bingit. Kelihatan susuk tubuh yang memakai jubah putih dengan beberapa orang wanita yang memakai uniform berwarna putih bergegas menuju ke wad kecemasan itu. Susuk tubuh yang memakai jubah putih itu sudah memegang stetoskop. Sekujur badan yang terbaring kaku di atas katil itu mula mendapat perhatian oleh beberapa orang wanita yang beruniform putih dan susuk tubuh yang bejubah putih itu.
        “Doktor, macam mana?” Salah seorang wanita yang beruniform putih itu bertanya. Dahinya berkerut.
        Susuk tubuh yang memakai jubah putih itu mendiamkan dirinya sebentar. Stetoskop dilekapkan pada sekujur tubuh yang terbaring kaku itu. Riak wajahnya pantas sahaja bertukar saat stetoskop tersebut melekap pada bahagian kiri dada sekujur tubuh itu. Wajahnya diangkat memandang wanita yang beruniform putih itu. “Ini satu keajaiban! Dia hidup!”
              
“Kau siapa?” Gadis itu mengerutkan dahinya. Dia yang sedang duduk di atas katil meluruskan pandangannya. Tidak mahu dia melihat gadis bertudung labuh yang berada di sebelah kanannya. “Aku tak pernah kenal kau pun. Kenapa kau kenal aku?” Nada suaranya kedengaran keras. Tiada nada mesra langsung.
        Syafika mengeluh kecil. Mangkuk yang berisi bubur itu diletakkan di atas paha semula. “Amy memang tak kenal dengan Syaf tapi Syaf kenal dengan Amy. Dah banyak kali Syaf cakap yang kita pernah satu kuliah dulu.” Bibirnya tetap juga tersenyum. Sudu yang berisi bubur itu disuakan ke bibir gadis yang bernama Amy itu.
        Amy diam. Dia yang menyedari ada sudu mendekati bibirnya, mula berdecit sedikit. Kepalanya digelengkan. “Tak, tak.” Dia memusingkan badannya. Mengahadap Syafika yang setia berada di sebelah katilnya. “Aku memang tak pernah kenal perempuan yang bertudung labuh macam kau ni. Tak pernah kenal.” Dia memandang wajah Syafika. Tepat ke dalam anak matanya.
        Syafika menghela nafas panjang. Dia menundukkan wajahnya seketika.
“Doktor kata Amy boleh keluar dari hospital ni lusa.” Dia mengangkat wajah. Memandang wajah Amy yang mula masam mencuka itu. “Amy ikut Syaf. Balik ke rumah Syaf. Biar Syaf jaga Amy sampai Amy sembuh.” Lembut sahaja nada suaranya.
        Amy diam. Tidak kedengaran kata-kata keluar daripada mulutnya. Selimut yang berada di atas katil digenggamnya erat. Giginya diketap geram. Dadanya mula kelihatan berombak.

“Mak cik, kenalkan.” Syafika mula bersuara. “Ini Amy. Amy yang Syaf ceritakan dulu.” Bahu Amy disentuh lembut.
        Mak Cik Phea tersenyum. Pantas tangan kanannya dihulur untuk bersalaman dengan gadis yang berambut perang itu. “Apa khabar, nak?”
        Amy diam. Matanya meliar melihat kawasan sekelilingnya. Sangat aneh kawasan tersebut. Dahinya berkerut. Bibirnya cemerut. Wajahnya masam mencuka. Huluran tangan kanan Mak Cik Phea itu tidak dihiraukan.
        “Tak apalah, mak cik. Amy mungkin tak biasa dengan tempat ini.” Syafika pantas mencelah untuk membetulkan keadaan. “Mak cik bawa Amy masuk ke dalam dan tunjukkan biliknya.”
        Mak Cik Phea pantas menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. “Baiklah, Syaf.” Pandangannya beralih pula ke arah gadis yang baru dikenalinya itu. “Mari, Amy. Mak cik tunjukkan bilik kamu.”

Kedengaran suara orang sedang mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran menerjah gegendang telinga Amy. Suaranya yang merdu itu menarik perhatiannya. Dia bingkas bangun dan mengatur langkah mencari arah suara tersebut. Semakin dekat dia dengan suara tersebut hatinya semakin tenang. Tidak pernah dia rasakan setenang ini.
        Amy mengintai di sebalik tingkap kaca tersebut. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang mengaji. Kelihatan juga Syafika yang sedang mengajar kanak-kanak tersebut. Dia ralit melihat kanak-kanak tersebut. Tenang sahaja matanya melihat. Bibirnya pantas sahaja menguntum senyuman yang penuh makna.
        Syafika yang menyedari kehadiran Amy itu pantas mengalihkan pandangannya. Dia tersenyum sambil memandang wajah Amy yang sedang ralit itu. Hatinya terusik. ‘Mungkin dia datang untuk sama-sama menuntut ilmu denganku.’ Dia bingkas bangun daripada duduknya lalu mengatur langkah ke muka pintu.
        “Assalamuaikum, Amy.” Syafika mula menegur Amy. Dia tersenyum sambil memandang wajah Amy.
        Amy tersentak seketika. Dia yang ralit melihat kanak-kanak tersebut tidak sedar akan kehadiran Syafika. Wajahnya ditundukkan sedikit. “Wa…wa…wa…waalaikumussalam.” Teragak-agak dia menjawab salam daripada Syafika. Bibirnya diketap atas dan bawah.
        “Amy nak belajar mengaji dengan Syaf?” Lembut sahaja Syafika bertanya kepada Amy. Dia mula mendekati Amy.
        Amy pantas menggelengkan kepala. “Tak.” Dia mengangkat wajah. “Ak…aku nak pergi tandas sebenarnya,” Dalihnya. Cuba untuk berselindung. Dia mula mengatur langkah pergi dari situ.
        “Amy,” panggil Syafika sewaktu Amy hendak angkat kaki dari situ. “Tunggu dulu.” Dia cuba untuk menghalang Amy untuk pergi dari situ. Perlahan-lahan dia mendekati Amy.
        Amy memberhentikan langkahnya. Dia diam. Kaku di situ seketika. Menunggu langkah Syafika yang semakin mendekatinya.
        Syafika meraih pergelangan tangan Amy. “Dah sampai masanya, Amy.” Dia tersenyum memandang wajah Amy.
        Amy membalas pandangan daripada Syafika. Dahinya dikerutkan. Dia tidak faham. Pandangannya seolah-olah meminta penjelasan daripada Syafika.
        Syafika tersenyum. Bibirnya seolah-olah tidak jemu untuk menguntum senyuman. “Mungkin Allah dah buka pintu hati Amy. Mungkin hati Amy mula disapa Nur.”   

Amy membetulkan tudungnya. Dia tersenyum sambil melihat penampilan dirinya pada biasan cermin. Jubah dan tudung labuh kini menjadi perhiasannya. Indah sekali kelihatan dirinya. Sejak tiga bulan yang lalu dia telah berubah. Berubah menjadi seorang insan yang meninggalkan segala larangan-Nya dan mengerjakan segela suruhan-Nya. Dia bukannya Amy yang dahulu. Al-Quran yang berada di atas meja itu diambilnya.
        Syafika perlahan-lahan menapak ke bilik Amy. Langkahnya lemah dan longlai. Dia sudah tiada daya lagi namun, demi setitis ilmu dia gagahkan jua dirinya. Semakin lama kepalanya semakin sakit. Sakit yang teramat sangat.
        Amy menunggu kehadiran Syafika. Al-Quran diletakkan di atas rehal. Dia duduk di atas lantai. Perlahan-lahan Al-Quran tersebut dibuka. Helain demi helain diselaknya. Dia sudah jatuh cinta dengan Kalam Allah ini. Bibirnya tersenyum saat pandangan matanya tumpah pada ayat-ayat suci Al-Quran tersebut.
        ‘Ya Allah! Berikanlah diriku kekuatan. Sesungguhnya aku ingin menyampaikan ilmu-Mu.’ Syafika cuba bertahan. Langkah demi langkah dia atur. Longlai dan lemah. Badannya juga terasa melayang-layang. Dia sudah tidak tertahan lagi. Pandangan matanya mulai kabur. Perlahan-lahan dia rebah di muka pintu bilik Amy.
        “Ya Allah! Syaf!” Amy pantas meluru ke arah sekujur tubuh yang kaku di muka pintu biliknya. Kepala Syafika dipangku. “Syaf! Bangun! Syaf!” Tubuh badan si gadis yang dibaluti jubah putih itu digoncangnya. Diam. Tiada sebarang reaksi daripada Syafika.
        Air mata Amy mulai menitis saat pandangan matanya tumpah pada wajah Syafika. Pucat lesi. Tiada sebarang darah pun yang kelihatan di sekitar wajahnya. Kelihatan cecair berwarna merah keluar daripada hidung dan telinga Syafika. “Mak cik! Tolong! Mak Cik Phea!” Dalam sedu-sedan dia cuba melaung memanggil nama Mak Cik Phea.

Amy menutup Surah Yaasin setelah selesai membacanya. Kubur yang berada di hadapannya dipandang sayu. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian, perlahan-lahan nafasnya dihela.  
        ‘Syafika, terima kasih kerana telah membawa Nur dalam lembaran baru hidupku. Terima kasih kerana kau telah mengajar aku erti kehidupan. Terima kasih juga kerana telah menarik aku keluar daripada lembah kegelapan. Terima kasih, Syafika. Terima kasih.”
        Air mata yang sedari tadi bertakung di sekitar tubir mata Amy telah pecah. Perlahan-lahan air mata laju menuruni lekuk pipinya. Dia bersyukur kerana telah dipertemukan gadis yang sungguh baik akhlaknya. Syafika telah membawa Nur dalam kehidupan barunya.
        ‘Syafika, kini giliran aku pula. Aku ingin jadi sepertimu. Mujahidah yang solehah.’ Dalam sedu-sedan bibir Amy cuba untuk menguntum senyuman. Dia bingkas bangun. Mengatur langkah meninggalkan kubur milik gadis yang tidak dikenalinya dahulu. Sebelum dia melangkah pergi, sempat dia menoleh semula. “Syafika, semoga Allah tempatkan rohmu di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.’ 

Thursday 1 January 2015

Esei: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harus ku bawakan?
Ke mana harus ku semaikan cinta ini?
Cinta. Kasih. Sayang. Semua itu tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Tidak mampu untuk digambarkan dalam bentuk yang tulisan. Tidak mampu juga dicorakkan dalam bentuk warna. Lirik lagu juga tidak cukup untuk menggambarkan betapa kita cinta, sayang ataupun kasihkan seseorang itu. Cinta, kasih dan sayang hanya mampu dizahirkan dengan perbuatan. Namun, bagaimanakah kita menzahirkan rasa cinta, kasih ataupun sayang terhadap negara? Adakah rasa cinta, kasih dan sayang terhadap negara masih menebal dalam diri kita sebagai warganegara Malaysia? Ataupun rasa cinta, kasih dan sayang itu telah hilang, luput, hanyut dibawa arus pemodenan yang sedang berkembang pesat ini? Adakah kita sedar bahawa Malaysia juga berhak untuk dicintai, dikasihi dan disayangi oleh rakyatnya sendiri? Tepuk dada tanya hati.
“Saya cintakan awak.” “Sayang, saya sangat sayangkan awak.” “I love you.” Itulah ungkapkan yang selalu kita dengar dan ucap apabila kita sayangkan seseorang itu. Cinta sudah menjadi mainan di sekitar bibir kita. Sayang sudah sebati dalam hati kita. Kasih bagaikan telah lama menghuni dalam diri kita. Tetapi sayang, seribu kali sayang. Ucapan cinta, sayang dan kasih hanya diungkapkan untuk seseorang yang  kita paling cintai seumur hidup kita. Yang kita paling sayang dan kasih sepanjang hidup kita. Mana perginya ungkapan cinta, kasih dan sayang untuk negara kita? Mana perginya rasa cinta, kasih dan sayang terhadap Malaysia? Mana perginya?! Semuanya hilang, lenyap begitu sahaja. Bagaikan ombak laut menghempas pantai.
Cinta terhadap negara bagaikan sudah tiada dalam kamus kehidupan setiap rakyat yang menetap di bumi Malaysia ini. Masing-masing leka dengan kehidupan masing-masing. Masing-masing lalai dengan kedamaian yang kita kecapi sekarang ini. Masing-masing lupa yang Malaysia dulu pernah jatuh tersungkur menyembah bumi. Masing-masing tidak merasai apa yang pernah pejuang-pejuang Melayu rasai dulu yang sanggup bermati-matian menentang penjajah. Benar kata pepatah, melayu mudah lupa. Memang, memang benar kita semua sudah terlupa dek keamanan dan kestabilan bumi Malaysia ini. Kadangkala kita terlepas pandang yang sebenarnya Malaysia ini tidak akan selama-lamanya aman, damai dan makmur. Mungkin tiga puluh tahun akan datang Malaysia akan kembali dijajah pada zahirnya. Tiada siapa yang tahu.
Cinta. Apabila disebut perkataan cinta, pasti anak-anak muda di luar sana tersenyum lebar. Ada yang tersengih-sengih. Tidak kurang juga ada yang tersipu-sipu dek malu. Cinta kepada negara Malaysia. Apabila mendengar sahaja kata-kata tersebut pasti anak-anak muda di luar sana mencebikkan bibir sambil memasamkan muka. Ada juga yang ternganga tanda tidak faham dengan maksud kata-kata tersebut. Tidak kurang juga buat-buat tidak tahu sahaja. Minda anak-anak muda zaman ini terlalu sempit. Sempit dek terlampau banyak disogok dengan pemikiran dari luar negara. Terlampau mengagungkan-agungkan negara luar sedangkan di Malaysialah dia lahir. Di Malaysialah dia kenal apa itu nombor dan huruf. Di Malaysia juga dia mula merangkak, berjalan dan berlari. Di Malaysialah dia mula kenal erti kehidupan yang sebenarnya. Tetapi apabila sudah keluar daripada kepompong, mereka mula lupa asal-usul mereka, bagai kacang lupakan kulit. Mereka mula mengikut budaya Barat yang menyesatkan dan merosakkan diri. Budaya kita sendiri, mereka sudah lupa. Malah ada sesetengah yang menganggap budaya kita, kolot dan ketinggalan zaman. Apakah semua ini?! Adakah mereka anak-anak muda kita yang akan memimpin dan meneruskan legasi di Malaysia tiga puluh tahun akan datang? Adakah ini pemimpin dan peneraju Malaysia yang ingin kita lihat pada masa hadapan? Sedangkan adat dan budaya Malaysia pun mereka tidak ingin ikuti, inikan pula menjadi pemimpin bumi Malaysia ini.
Mengapa kita masih tidak bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Yang Maha Esa kepada bumi Malaysia ini? Mengapa kita masih mengagung-agungkan negara luar daripada mengagungkan negara kita sendiri? Mengapa?! Minda kita telah berjaya dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Mereka berjaya menjajah minda kita dengan jayanya. Setiap inci ruang minda kita telah dipenuhi dengan budaya dari Barat. Maknanya kita masih belum merdeka. Hanya pada zahir dan luarannya sahaja kita telah merdeka. Namun, minda kita masih lagi dipenuhi dengan unsur-unsur dari Barat. Lihat sahaja anak-anak muda kita sekarang ini. Cara hidup, tutur kata, cara berpakaian semuanya kebaratan. Jika ditanya pasti mereka akan mejawab yang mereka mengikut arus permodenan. Mana perginya budaya kita? Mana perginya rasa cinta mereka terhadap Malaysia? Semuanya telah tiada, hanyut dan lenyap begitu sahaja. Tiada sekelumit pun dalam hati mereka ini rasa cinta terhadap Malaysia.
“Adakah anda cintakan Malaysia?” Jika kita ditebak dengan soalan seperti ini pasti kita akan laju menganggukkan kepala. “Ya, sudah pasti saya sangat cintakan Malaysia.” Dengan yakinnya kita menjawab soalan tersebut. Namun, hakikat sebenarnya rasa cinta terhadap Malaysia itu tidak pernah sekalipun hadir dalam hati kita. Semuanya hanyalah di bibir sahaja. Malaysia, bukan mudah untuk mendapatkan kedamaian, keamanan dan kestabilan seperti kini. Keringat pejuang-pejuang Melayu dahulu haruslah sentiasa diingati. Dol Said, Tok Janggut dan Dato’ Sagor bermati-matian menentang penjajah yang bermaharajalela di tanah kita ini. Tunku Abdul Rahman bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan untuk bumi Malaysia ini. Kita? Adakah kita menghargai setiap titik peluh dan keringat mereka? Adakah kita mengambil peduli setiap titik darah yang mengalir keluar membasahi badan mereka demi mempertahankan maruah dan hak kita? Semuanya kita tidak peduli dan ambil kira. Setiap apa yang mereka perjuangkan adalah untuk kita. Kita menganggap enteng perjuangan mereka selama ini.
Wahai anak Melayu! Bangkitlah! Janganlah terlalu leka dan alpa dengan kedamaian yang sedang kita kecapi ini. Kita mestilah bangkit dan bangun melawan musuh yang tidak dapat kita lihat. Bangkitlah bagi menerajui ekonomi bumi Malaysia ini. Janganlah terlalu lalai dengan keamanan yang kita sedang alami ini. Bila-bila masa sahaja keamanan, kemewahan dan kedamaian ini boleh lenyap sekelip mata sahaja. Anak Melayu harus bangkit dan berjuang. Menentang minda yang terlalu mengagungkan budaya dan adat Barat. Menghapuskan penjajah yang secara senyap menjajah kita dengan teknik mereka yang sangat halus. Melenyapkan budaya dan adat Barat yang mula bersarang di dalam diri kita.

Oleh itu, semailah rasa cinta, kasih dan sayang kita terhadap bumi Malaysia ini. Biarkan cinta, kasih dan sayang itu mewangi, kembang di dalam diri setiap rakyat yang menetap di bumi Malaysia yang bertuah ini. Hal ini kerana rasa cinta, kasih dan sayang yang ada dalam diri ini akan membuatkan kita menghargai Malaysia yang bertuah ini. Pejuang Melayu juga akan perlahan-lahan lahir untuk memimpin Malaysia dengan lebih matang lagi. Nama Malaysia juga akan harum mewangi setiap pelosok dunia. Rakyat Malaysia juga akan disebut-sebut di setiap inci dunia. Mereka yang berada di luar negara akan hormat kepada kita sekaligus mereka tidak akan sewenang-wenangnya memandang enteng dan memperlekehkan kita. Malaysia, tanah tumpah darahku. Di sinilah bermulanya sebuah kelahiran dan di sini jugalah berakhirnya sebuah kematian. Akan kutaat kepadamu, Malaysia sebagaimana yang telah aku ikrarkan dahulu. Malaysia harus dicintai, disayangi dan dikasihi kerana di sini matinya sebuah kebencian dan di sini lahirnya sebuah cinta. 

Memenangi TEMPAT PERTAMA dalam pertandingan menulis esei sempena hari Kemerdekaan peringkat universiti di UiTM Seri Iskandar pada tahun 2014  
   


Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 30

BAB 30


“JADI, projek di Janda Baik tu akan bermula minggu hadapan. Saya lantik awak, Azim sebagai ketuanya.” Fairuz memandang wajah jejaka yang berwajah kacukan Arab yang berada di hadapannya.
        Jejaka yang bernama Azim itu hanya mengangguk sahaja. Akur dengan arahan majikannya.
        Fairuz mengalihkan pandangannya kepada gadis yang berkulit putih dan berbadan agak gempal yang duduk bersebelahan dengan Azim. “Mimi, saya nak kamu jadi penolong kepada Azim. Kamu dan Azim kena pastikan projek di sana berjalan dengan lancar.”
        Gadis yang bertudung litup itu hanya mengangguk. “Baiklah, Cik Fairuz. Saya dan Azim pasti akan bekerjasama dalam projek ini.” Mimi memberikan keyakinan kepada Fairuz.
        “Cik Fairuz jangan risau kami berdua akan pastikan projek di Janda Baik ini akan siap pada waktu yang ditetapkan.” Kini giliran Azim pula memberikan kata-kata yang meyakinkan kepada Fairuz.
        Fairuz memandang wajah Azim dan Mimi silih berganti. Nampaknya Fairuz yakin yang mereka akan memberikan sepenuh komitmen kepada projek kali ini. “Kalau begitu projek itu akan bermula pada minggu hadapan.”
        Fairuz memberikan arahan kepada perkejanya. Azim dan Mimi hanya mengangguk tanda faham.
        “Ada apa-apa nak tanya, Azim dan Mimi?” Fairuz memandang wajah mereka berdua silih berganti.
        Jejaka yang memakai baju kemeja berwarna putih itu hanya menggeleng perlahan. Nampaknya dia sudah faham dengan arahan yang diberikan oleh Fairuz. Gadis yang duduk di sebelahnya juga kelihatan menggeleng kepalanya.
        “Tak ada,” jawab mereka hampir serentak.
        Fairuz mengangguk sambil berkata, “Baiklah, kalau ada apa-apa masalah pasal projek tu kamu berdua boleh jumpa saya.
And another thing, Mimi.” Pandangannya berlaih kepada gadis yang manis berbaju kurung itu.
        Gadis tersebut terus memandang wajah Fairuz.
        “
Make sure setiap minggu hantar laporan tentang projek tu di atas meja saya, okey. Saya nak tengok perkembangan tentang projek itu pada setiap minggu.” Fairuz bersahaja sahaja ketika memberikan arahan kepada pekerjanya.
        Mimi hanya mengangguk faham. “Baiklah, Cik Fairuz. Saya akan hantar laporan tersebut pada setiap minggu.” Mimi mengikut sahaja arahan daripada Fairuz.
        “Cik Fairuz akan melawat ke tapak projek ke?” Jejaka yang agak segak dan tampan itu sudah bertanyakan kepada Fairuz.
        Fairuz hanya tersenyum. “Tengoklah keadaan nanti.”
        Fairuz berkira-kira mahu melihat tapak projek itu secara senyap-senyap. Dia tidak akan memberitahu yang dia akan melawat ke tapak projek itu. “Kalau tak ada apa-apa kamu berdua boleh sambung kerja balik.”
        Azim dan Mimi bingkas bangun daripada duduknya. Sambil mengucapkan terima kasih mereka berdua melangkah keluar dari bilik Fairuz.
        Fairuz menarik nafas lega. Lega kerana projeknya yang di Janda Baik itu telah diserahkan kepada yang bertanggungjawab melaksanakannya. Pantas Fairuz menyerahkan projek itu kepada pekerjanya yang bertanggungjawab sebagai penyelia tapak projek.
        Dia mengerling sekilas pada jam tangan miliknya. Pukul 10:05 pagi. Masih awal lagi.
        Jambangan bunga ros yang berada di tepi mejanya dipandang. Masih tiada petunjuk siapakah gerangan yang memberikannya jambangan bunga ros itu kepadanya.
        Dia mula bergerak ke almari yang menempatkan fail miliknya. Perlahan-lahan sebuah fail dikeluarkan daripada almari itu. Dia membelek-belek helain kertas yang berada di dalam fail tersebut.
        “Assalamualaikum.” Tiba-tiba sahaja ada suara yang memberi salam kepadanya dari luar. Seakan-akan suara tersebut amat dikenalinya.
        Dia segera menoleh ke arah suara tersebut. Ternyata satu susuk tubuh wanita yang amat disayangingnya sudah tersembul di muka pintu.
        Fairuz membuntangkan matanya. Terkejut dengan kedatangan secara mengejut wanita itu.
        “Wa…wa…waalaikumussalam.” Tergagap-gagap dia menjawab salam daripada wanita itu. Fail yang berada di tangannya diletakkan di atas meja.
        Wanita itu mula melangkah mendapatkan Fairuz.
        “
What a surprise, mama! Yuz tak sangka pun mama nak datang office Yuz.” Fairuz mula duduk sambil melemparkan senyuman buat mamanya.
        Datin Noora yang mengenakan baju kaftan bersama tudung hanya tersenyum riang. “Mama saje datang kat
office Yuz ni nak buat surprise. Nak tengok anak mama ni buat kerja ke tak?” Datin Noora sudah mengambil tempat di hadapan Fairuz.
        Fairuz hanya ketawa kecil. “Mama, anak mama ni
workerholic tau.” Sengaja Fairuz membangga diri.
        “Mama ni datang papa tahu tak? Pak Man hantar ke?” Fairuz memandang wajah mamanya.
        “Tahu. Mama datang dengan Farah,” kata Datin Noora bersahaja.
        Fairuz terdiam seketika. Nama Farah mula bermain di kepalanya. Seingatnya Datin Noora tidak mempunyai kawan yang bernama Farah melainkan daripada kalangan datin.
        “Farah? Siapa Farah? Ini mesti anak kawan mama, kan? Anak
Auntie Aishah? Tak pun anak Auntie Zah?” Fairuz memberikan andaian. Sengaja dia meneka siapakah gerangan Farah yang dimaksudkan.
        Datin Noora laju menggeleng. “Takkan kamu tak ingat. Farah bakal kakak ipar kamu. Kakak Nazmi.” Datin Noora memberikan penjelasan.
        Fairuz tersntak. Farah. Ya, dia masih ingat pertemuannya dengan wanita yang dimaksudkan oleh mamanya iaitu kakak kepada Nazmi beberapa hari lepas. Dahinya berkerut.
        “Mama buat apa datang sini dengan Kak Farah?” tanya Fairuz inginkan kepastian.
        Datin Noora hanya tersenyum penuh makna. “Mama datang sini nak ajak Yuz pergi
shopping. Nak suruh Yuz temankan mama pergi shopping.” Sengaja Datin Noora bermain teka-teki dengan anak sulungnya.
        Dahi Fairuz makin berkerut jadinya. “
Shopping? Kenapa ajak Yuz? Bukan Kak Farah ada nak temankan mama?” Makin pelik pula dia jadinya. Tidak pernah-pernah mamanya mengajaknya untuk beli-belah.
        ‘Jangan, jangan…’ hatinya mula membuat andaian sndiri. Dia menganggap bahawa perkara ini mesti ada kena-mengena dengan perkahwinannya.
        “Nak pergi
shopping barang hantaranlah. Banyak lagi nak kena buat.” Datin Noora kelihatan bersahaja. Dia sengaja datang ke pejabat Fairuz agar dia dapat mengajak Fairuz untuk membeli-belah.
        Ternyata telahannya benar. Dia tidak mahu mengikut mamanya membeli barang perkahwinan. Kepalanya berputar idea-idea. “Mama, Yuz minta maaf. Yuz memang tak boleh pergi hari ni. Yuz banyak kerja.
Meeting sana sini. Appointment berlambak.”
        “Yuz jangan nak tipu mama. Mama dah tanya Rania. Yuz
free hari ni.” Datin Noora memandang tepat ke arah anak mata Fairuz. Kedengaran suaranya tegas sekali.
        “Mama tak kira apapun alasan Yuz hari ni Yuz kena ikut mama jugak,” tegas Datin Noora. Matanya memandang tepat wajah Fairuz yang nampaknya sedang gusar.
        “Mama tahu kan Yuz dah serahkan semua urusan perkahwinan Yuz pada mama. Jadi Yuz tak nak ambik tahu pasal benda ni lagi.” Fairuz masih lagi memberikan alasan. Dia sebolehnya tidak mahu mengikut mamanya.
        Datin Noora mengeluh kecil. “Memang Yuz dah serahkan semuanya pada mama. Tapi tak bermakna Yuz boleh lepas tangan macam tu aje.” Datin Noora tetap juga tidak mengalah. Dia sedaya-upaya mahu memujuk anaknya yang sulung itu.
        Fairuz membuang pandang ke arah luar tingkap. “Yuz tak nak perkahwinan ini berlaku. Jadi kenapa Yuz tak boleh lepas tangan pulak? Sedangkan mama dan papa yang beria-ia nak Yuz kahwin.” Fairuz masih juga tidak berputus asa. Dia tidak mahu mengalah.
        Datin Noora hanya menggelengkan kepalanya. “Yuz, kalau Yuz masih bersikap macam ni mama takkan teragak-agak untuk cakap pada papa. Mama akan cakap pada papa yang Yuz akan dihalau dari rumah dan akan dipecat dari Maya Holding.”
        Datin Noora mula mengugut Fairuz. Nafasnya turun naik. Dia marah dengan sikap Fairuz yang terlalu mementingkan perasaan sendiri.
        Fairuz terdiam seketika. Bibirnya diketap. Pandangannya dicerunkan. Dia takut kalau-kalau dia tidak diterima oleh keluarganya sendiri.
        “Okey, Yuz akan ikut.” Akhirnya Fairuz memberikan kata putus.
        Datin Noora tersenyum lega. Fairuz mengemaskan mejanya dan mula mengambil tas tangan miliknya. Datin Noora pula bingkas bangun daripada duduknya. Mereka mula mengatur langkah meninggalkan bilik Fairuz.

FAIRUZ, Farah dan Datin Noora sedang seronok membeli-belah di sebuah pusat beli-belah yang terkemuka di ibu negara. Farah dan Datin Noora yang seronok membeli-belah hantaran dan barang perkahwinan Nazmi dan Fairuz.
        Fairuz pula hanya menuruti sahaja. Pelbagai jenis baju dan tas tangan dicuba oleh Fairuz. Pelbagai jenis minyak wangi dan juga alat solek ditata rias oleh Fairuz. Hampir kesemua jenis kasut bertumit tinggi disarungkan oleh Fairuz.
        “Nazmi tak ikut sekali ke?” tanya Datin Noora sambil melangkah menuju ke bahagian kedai makan.
        Farah yang berada di sebelah hanya menggeleng. “Tak. Dia sibuk dengan
training dia. Lagipun dia kata malam ni ada perlawanan persahabatan. Maklumlah dia kan pemain bola sepak. Sibuk memanjang kat padang tu.”
        Fairuz yang berada di sebelah Datin Noora menghela nafas lega. ‘Nasib baik budak tu tak ikut. Kalau tak…’ Hatinya mula berkata-kata. Dia merasa lega dan sedikit gembira kerana Nazmi tidak mengikutinya membeli-belah barangan pengatin.
        Mereka sama-sama menghayun langkah menuju ke bahagian kedai makan.
        “Yuz tunggu sini dengan Kak Farah. Mama nak pergi
washroom sekejap,” pinta Datin Noora. Dia menyerahkan beg kertas kepada Fairuz.
        “
Auntie pergi washroom kejap.” Sempat Datin Noora meminta diri daripada wanita ayu yang memakai paloza labuh berwarna kelabu bersama cape berwrna ungun lembut dan shawl glitter berwarna gold. Farah hanya mengganguk.
        Datin Noora segera ke tandas yang berada tidak jauh dari situ.
        Farah dan Fairuz jalan beriringan menuju ke kedai makan. Mereka melabuhkan punggung di atas kerusi yang di sediakan. “Bila Kak Farah balik Johor Bahru?” tanya Fairuz memulakan perbualan. Rasa kekok segera dibuang jauh-jauh. Farah pula yang terasa kekok apabila Fairuz memanggilnya ‘Kak Farah’.
        “Tak payahlah nak panggil Kak Farah. Panggil angah aje, okey?” Farah mula membetulkan panggilan Fairuz terhadapnya.
        Fairuz perlahan-lahan mengangguk. “Okey, a.n.g.a.h.” Satu-satu dia menuturkan perkataan ‘angah’.
        Farah menghadiahkan senyuman buat bakal adik iparnya itu. “Angah balik lusa. Dah dekat seminggu angah ada kat sini. Angah datang sini pun sebab nak bantu apa yang patut pasal majlis perkahwinan nanti.”
        Farah memandang wajah Fairuz. Mulut Fairuz membulat membentuk huruf ‘O’.
        “Angah nak tanya Fairuz sikit boleh?” Farah mula meminta izin untuk bertanya kepada Fairuz.
        Fairuz hanya mengangguk sambil menghadiahkan sebaris senyuman buat Farah. “Boleh.” Farah memandang tepat wajah bakal adik iparnya.
        Nafasnya ditarik perlahan-lahan sebelum mengeluarkan kata-kata. “Betul ke Fairuz setuju dengan perkahwinan ni?”
        Pertanyaan itu sekali lagi menerjah gegendang telinga Fairuz. Dia tersentak seketika. Entah kali ke berapa gegendang telinganya didatangi soalan tersebut. Dia juga sudah malas mahu menjawab soalan tersebut. Rasa muak pun mula menyelubungi dirinya.
        Namun, bakal kakak iparnya itu tidak boleh tahu tentang keterpaksaannya menerima perkahwinan ini. Masalah yang dihadapinya biarlah dia dan Nazmi sahaja yang tahu.
        Pandangan matanya dicerunkan. Lama dia mendiamkan diri. Dia tidak tahu mahu memberikan jawapan yang bagaimana.
        Farah yang melihat Fairuz hanya mendiamkan diri mula mengerutkan dahi. “Fairuz, ada yang tak kena ke?” Farah mula bertanya untuk mengurangkan kesangsian yang bersarang di dalam benaknya.
        Fairuz mangangkat wajah memandang wajah Farah. Kepalanya laju digeleng.
        Makin bertambah kerutan di dahi Farah jadinya. “Habistu kenapa? Angah minta maaf kalau perkahwinan ini menghalang Fairuz. Perkahwinan ini yang menghancurkan masa depan Fairuz. Angah tahu susah untuk kita terima jodoh pilihan keluarga. Tapi mungkin jodoh pilihan keluarga itu yang terbaik untuk kita.”
        “Bukan macam tu, angah.” Pantas dia memotong kata-kata Farah. Dia memandang tepat wajah Farah.
        Nafasnya ditarik dalam-dalam. “Yuz setuju dengan perkahwinan ini. Perkahwinan ini mungkin yang terbaik untuk Yuz. Perkahwinan ini tak akan membawa sebarang keburukan pada Yuz.” Fairuz sedaya-upaya cuba untuk memberikan kata-kata yang meyakinkan kepada Farah.
        Sebenarnya apa yang diperkatakan sangatlah berbeza dengan kata hatinya. ‘Angah, sebenarnya perkahwinan ini yang akan menghancurkan masa depan Yuz. Sebenarnya Yuz tak setuju pun dengan perkahwinan ini.’
        Mendirikan rumah tangga tidak ada dalam kamus hidupnya. Perkahwinan tidak pernah terfikir di benaknya. Hatinya yang telah hancur pasti tidak akan bercantum kembali. Hatinya telah tertutup untuk berkongsi hidup dengan manusia yang bernama lelaki.
        Farah tersenyum lega. Lega dapat mendengarkan penjelasan yang meyakinkan daripda Fairuz. “Baguslah kalau macam tu. Lega angah dengar.”
        Farah juga turut mengurut dadanya. “Angah harap Fairuz dapat jaga Nazmi dengan sebaiknya. Angah harap Fairuz dapat membimbing dia menjadi seorang suami yang baik. Maklumlah Nazmi tu muda lagi. Angah harap dengan adanya Fairuz nanti Nazmi tak akan sibuk lagi. Dia akan ada masa dengan
family.”
        Jelas sekali Farah amat mengharapkan Fairuz dapat menjadikan Nazmi seorang lelaki yang baik. Farah juga mengharapkan Fairuz akan menjadikan adiknya itu seorang yang mementingkan keluarga.
        Fairuz merasa sungguh tertekan kala ini. Dia tidak tahu apa yang bakal dijawabnya bagi meyakinkan Farah.
        Fairuz tidak sanggup menghambakan dirinya demi seorang lelaki lagi. Dia tidak sanggup menanggung luka di hati kerana seorang lelaki. Namun, dengan kehadiran Nazmi yang bakal menjadi suaminya telah mengubah segalanya. Hatinya telah bulat dan tekad yang dia tidak akan jatuh cinta dengan suaminya sendiri.
        Fairuz hanya mengangguk kecil. Dia tidak tahu mahu bereaksi apa lagi. Farah sekali lagi tersenyum lega.
        “Baguslah kalau Fairuz dah faham. Angah harap perkahwinan Fairuz dan Nazmi akan kekal hingga akhir hayat.”
        Begitu tinggi sekali harapan Farah terhadap masjid yang bakal dibina oleh Nazmi dan Fairuz. Sedangkan Fairuz tidak pernah mengimpikan untuk hidup bahagia bersama Nazmi. Malah berumah tangga hingga kekal akhir hayat jauh sekali.
        “Wah, rancak betul kamu berdua berborak!” Teguran daripada Datin Noora mematikan terus perbualan mereka.
        Farah hanya tersengih sahaja. “Tak adalah rancak sangat
auntie. Baru nak berkenal-kenalan.” Farah mula berseloroh.
        Fairuz pula hanya mengangguk. Mengiakan kata-kata Farah. “Betul cakap angah tu, mama.
Kitorang borak biasa-biasa aje.” Fairuz juga turut tersengih.
        Datin Noora hanya tersenyum sinis. “Iyalah tu borak-borak biasa. Takkan borak-borak biasa sampai boleh panggil Farah dengan panggilan yang mesra. Panggil angah lagi tu.” Datin Noora sengaja mengusik anaknya dan Farah.
        Farah hanya tergelak kecil. “Saya yang sebenarnya suruh Fairuz panggil saya angah. Senang sikit. Tak lama lagi Fairuz nak jadi adik ipar saya. Kena panggil angah jugak.” Farah mengerling sekilas wajah Fairuz sambil tersenyum penuh makna.
        Fairuz hanya mengangguk kecil sambil tersengih sedikit. Buat-buat suka.
        “Eh, jomlah kita jalan lagi. Banyak tempat yang nak kena pergi ni,” ajak Datin Noora. Farah bingkas bangun begitu juga dengan Fairuz.

LEWAT petang itu Fairuz begitu penat. Balik sahaja daripada pusat beli belah itu terus sahaja dia merebahkan dirinya di atas katil. Terlelap dia seketika. Baru setengah jam dia melelapkan mata dia dikejutkan dengan sayup-sayup suara azan Maghrib.
        Dia terus gagahkan juga dirinya ke bilik air menunaikan tanggungjawab terhadap yang Maha Esa. Tuala yang disangkutkan dicapai dengan segera. Kakinya dihayun menuju ke bilik air.
        Tiba-tiba sahaja kedengaran Blackberry Z30 miliknya berdering. Dia segera mencapai telefon bimbit miliknya yang terletak di atas meja soleknya. Skirn telefon bimbitnya dikerling sekilas.
        Tertera nama pemanggil, ‘Budak Gila.’ Rupanya Nazmi yang menelefonnya lewat petang itu. Dia merengus kasar.
        “Apa yang budak ni nak?” gumamnya sendirian. Pantas Blackberry Z30 dicampak ke tengah katil. Langkahnya disambung menuju ke bilik air.
        “Tak angkat? Kenapa?” Nazmi berdecit sedikit. Dia yang sedang bersedia untuk bermain pada malam ini mula mengerutkan dahi. Nombor telefon Fairuz pantas didail kembali.
        Fairuz yang sedang membersihkan badannya di dalam bilik air mendengar telefon bimbitnya menjerit minta diangkat.
        “Budak ni memang tak faham ke?”
Shower di dalam bilik air itu dimatikan. Dia mencapai tuala untuk membaluti tubuhnya.
        Di luar kedengaran telefon bimbitnya menyanyi riang. Dia mendengus kasar. Dia pantas melangkah keluar dari bilik air lantas baju tidurnya pantas disarungkan di tubuhnya.
        Tangannya pula laju mencapai Blackberry Z30 yang berada di atas katil. Panggilan dijawab tanpa melihat nama pemanggilnya.
        “Awak nak apa
call saya waktu maghrib macam ni?” Tanpa memberikan salam dan permulaan perbualan Fairuz pantas bertanya dengan nada yang agak kasar.
        “Helo! Assalamualaikum.” Kedengaran suara seorang wanita yang jarang menerjah ke gendang telinga Fairuz. Fairuz terkesima seketika.
        ‘Macam mana aku boleh tak perasan ni?’ Dia mula menggigit bibir.
        “Wa…wa…waalaikumussalam, Umi Khalida. Umi sihat?” Terketar-ketar suara Fairuz menjawab salam daripada ibu saudaranya itu.
        “Alhamdulillah, Yuz. Umi sihat. Yuz sihat?” Kedengaran suara ceria daripada sang pemanggil di sebelah sana.
        “Yuz…Yuz…sihat. Alhamdulillah.” Fairuz sedaya-upaya cuba untuk memaniskan suaranya. Dia melabuhkan punggung di atas birai katil.
        “Umi kacau Yuz ke?” tanya Umi Khalida inginkan kepastian. Takut pula dia kalau panggilannya itu mengganggu anak saudaranya. Yalah, mula-mula sahaja dia sudah dimarahi.
        Fairuz sengaja ketawa kecil. “Tak…tak ada, umi.” Ketawa kecilnya sengaja dibuat-buat.
        “Habistu kenapa marah-marah umi tadi?” tanya Umi Khalida lagi inginkan kepastian.
        Otak Fairuz berlegar-legar idea untuk memberikan alasan kepada ibu saudaranya itu.
        “Tak, umi. Tadi tu ada kawan Yuz yang
call. Dia tak berhenti-henti call Yuz dari tadi. Tu…yang Yuz marah dia tadi. Ingatkan dia yang call tapi umi pulak yang call.” Kepalanya yang tidak gatal itu digaru. Ketawa kecil juga menghiasi alasannya yang sengaja direka-reka.
        “Umi ingatkan Yuz marahkan umi tadi. Itu yang umi tanya Yuz. Mana tahu kalau-kalau umi ganggu Yuz ke?” Suara Umi Khalida sangat lembut dan penuh dengan sifat keibuan jelas kedengaran.
        “Tak ada umi. Yuz tak marahkan umi. Yuz marahkan kawan Yuz tadi. Kenapa umi
call Yuz?” Fairuz mula bertanyakan tujuan sebenar Umi Khalida menelefonnya.
        “Umi sebenarnya
call Yuz ni sebab nak ucap tahniah atas perkahwinan Yuz. Umi tak sangka Yuz akan kahwin dengan bekas tunang Yuz dulu.”
        Fairuz tersentak seketika. Dia bakal berkahwin dengan bekas tunangnya? Tak mungkin. Dia sebenarnya akan berkahwin dengan pilihan hati ibu dan bapanya.
        “Tak, umi. Yuz bukan kahwin dengan bekas tunang Yuz tu.” Pandangannya dicerunkan. Kepalanya digeleng beberapa kali.
        “Habistu dengan siapa?” Umi Khalida pantas bertanya.
        Setahunya Fairuz tidak pernah pun bertunang atau menjalinkan hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki lain selain bekas tunangnya itu.
        Fairuz mendiamkan dirinya seketika. Dia sekali lagi diasak dengan pertanyaan yang sukar untuk dijawabnya.
        “Pi…pi…pilihan mama dengan papa.” Perlahan-lahan Fairuz menuturkan kata-kata itu kepada ibu saudaranya. Suaranya juga direndahkan sedikit.
        Umi Khalida hanya mengangguk. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Fairuz, namun perasaan tersebut pantas dibuangnya jauh-jauh.
        “Umi juga nak minta maaf pada Yuz sebab umi dengan abi tak dapat datang majlis Yuz.” Pantas Umi Khalida menukar topik perbualan mereka.
        “Tak apa umi. Majlis Yuz ni pun sederhana je. Umi kat mana sekarang?” Fairuz mula bertanya keadaan Umi Khalida. Maklumlah ibu saudara dan bapa saudaranya itu selalu berpindah-randah ke luar negara kerana tuntutan kerja.
        “Umi dengan abi sekarang ni ada di Afrika. Bulan depan abi kena pindah ke kedutaan Stolkholm di Sweeden. Terpaksalah umi dengan abi pindah ke Sweeden bulan depan. Majlis Yuz tu bulan depan, kan?” beritahu Umi Khalida dengan penuh lemah-lembut.
        “Ha’ah, umi. Majlis tu lebih kurang dalam sebulan lebih lagi. Laa…Abi Syafawie kena pindah kerja lagi ke? Bukan baru setahun ke abi kerja di Afrika tu? Takkan dah kena tukar, kot?” Fairuz mula mengerutkan dahinya.
        “Ha’ah Yuz nampaknya macam itulah, tapi Yuz jangan risau. Umi dah suruh anak-anak umi datang ke majlis Yuz. Umi suruh Balqis dengan Adam datang ke majlis Yuz nanti.”
        “Tak apa, umi. Yuz tak kecik hati pun kalau umi dengan abi tak datang. Yuz faham keadaan umi dengan abi.” Fairuz sedaya upaya memberikan kata-kata yang meyakinkan supaya ibu saudaranya itu tidak risau tentang ketidakhadiran mereka ke majlisnya nanti.
        “Baguslah kalau Yuz dah faham keadaan umi dengan abi. Sekali lagi umi dengan abi minta maaf.” Kelihatan Umi Khalida tersenyum lega.
        “Umi tak payah minta maaf pun. Yuz faham.” Fairuz mula berdiri dan bergerak ke tingkap.
        “Lega umi rasa bila Yuz dah faham. Umi nak ke pasar ni. Jangan lupa kirim salam pada papa dan mama Yuz.” Umi Khalida mula meminta izin untuk mengakhiri perbualan mereka.
        “Insyaallah. Sampaikan salam Yuz juga pada abi dan anak-anak umi.” Fairuz kelihatan menganggukkan kepalanya.
        “Insyaallah. Assalamualaikum, Yuz.”
        “Waalaikumussalam.” Talian dimatikan sebaik sahaja Fairuz menjawab salam daripada Umi Khalida.
        Dia menarik nafas lega. Lega kerana terpaksa berpura-pura dengan ibu saudaranya itu.
        “Ini semua kau punya pasal.” Dia membaling Blackberry Z30 miliknya ke tengah katil. Giginya diketap geram.
        Sejadah yang digantung dibentangkan. Telekung yang berada di penyidai disarungkan. Dia telah bersedia untuk menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa.
        Niat solat pada waktu Maghrib dilafazkan sebelum takbir diangkat. Dia mengabdikan diri pada Yang Maha Pencipta.
        Telekung dibuka setelah solat fardu Maghrib selesai. Sekali lagi Blackberry Z30 miliknya berbunyi riang menandakan ada sms masuk. Dia segera mencapai telefon bimbit miliknya yang berada di tengah katil.
        ‘Budak Gila’. Tertera nama Nazmi yang mengirimkan sms tersebut kepadanya. Fairuz mendengus kasar sebelum dia melihat sms yang dikirim oleh Nazmi.
       
Kenapa tak jawab call?
        Ternyata Nazmi mahukan sebab mengapa Fairuz tidak menjawab panggilan telefonnya tadi.
        “Suka hati aku nak jawab
call kau ke tak,” gumam Fairuz sendirian. Giginya diketap geram sebelum jarinya laju menyentuh perkataan ‘Delete Message’ pada skrin telefon bimbitnya.
        “Dengan mesej kau sekali aku tak suka.” Blackberry Z30 itu dibaling kembali ke tengah katil.     



Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 29

BAB 29


MALAM itu Fakhri segera memandu kereta ke gerai mamak yang dikatakan oleh Nazmi pagi tadi. Tidak sabar rasanya dia mahu mendengar perkara yang ingin diperkatakan oleh rakan baiknya itu sendiri. Dia mengambil tempat duduk yang agak stratergik agar Nazmi boleh memberitahu perkara tersebut. Pesanan telah dibuat.
        Tidak sampai setengah jam menunggu Nazmi sampai di tempat yang telah dijanjikan.
        “
Bro, sorry lambat.” Bahu Fakhri ditepuk dari belakang.
        “Tak apa. Aku pun baru aje.” Fakhri memandang wajah Nazmi.
        Nazmi mengambil tempat duduk di hadapan Fakhri. “Pandai kau pilih tempat duduk ni. Stratergik sikit.” Nazmi memandang sekeliling gerai mamak itu. Fakhri tersenyum bangga.
        “Saje aku pilih tempat duduk kat sini.
Privacy sikit. Senang kau nak cakap benda rahsia dengan aku.” Fakhri memperlahankan suaranya. Sengaja dia berbuat begitu.
        Nazmi tersenyum sinis. “Mana kau tahu aku nak cakap benda rahsia dengan kau?” Nazmi menjongketkan sebelah keningnya.
        “Aku dah lama kenal kau,
bro. Kalau kau nak jumpa aku empat mata macam ni mesti kau nak cakap benda rahsia dengan aku, kan?” Fakhri tersenyum herot.
        “Iyalah tu, Fakhri. Kau kan sahabat aku dunia akhirat.” Nazmi menepuk lengan Fakhri. Fakhri ketawa kecil begitu juga diikuti dengan Nazmi.
        “Kau
order air dulu baru kau cerita pada aku.” Fakhri sudah melambaikan tangan kepada pelayan gerai mamak itu.
        Pelayan gerai yang berbangsa India itu datang sambil membawa buku nota dan sebatang pen.
        “Mau minum apa, adik main bola?” tanya lelaki yang sudah mengenali mereka berdua itu. Kepalanya sudah digeleng-gelengkan. Pelat Indianya jelas kedengaran.
        Nazmi memandang wajah lelaki yang berkumis tebal itu. “Macam biasalah.” Malas Nazmi mahu memesan minuman yang luar daripada kebiasaannya.
        “Okey, minum itu milo ais satu. Makan mau?” Lelaki yang sentiasa tersenyum itu sudah mencatatkan pesanan Nazmi.
        “Tak mau.” Laju Nazmi menggeleng.
        “Okey, milo ais satu saja?” tanya lelaki India itu sekali lagi.
        Nazmi menganggukkan kepalanya. Lelaki India itu masuk semula ke dalam gerai mamak itu.
        Fakhri menyedut air teh ais yang berada di hadapannya.
        Nazmi menundukkan pandangan. Berdebar pula rasanya untuk memeberitahu perkara tersebut kepada rakan baiknya sendiri. Wajahnya diangkat semula. Kaca mata hitam yang disisipkan di leher bajunya dikeluarkan lalu diletakkan di atas meja. Nafasnya ditarik dalam-dalam untuk meraih kekuatan diri.
        “Aku nak kahwin.” Hanya tiga perkataan itu yang mampu keluar daripada kerongkong Nazmi.
        Fakhri yang sedang enak menikmati teh ais hampir tersembur.
        “Hah?! Kau nak kahwin?!” Matanya buntang memandang Nazmi. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Dia menyoal Nazmi kembali.
        Nazmi hanya mengangguk sambil tersenyum.
        Fakhri pantas melekapkan belakang tapak tangannya pada dahi Nazmi.
        “Tak panas. Biasa je. Tak demam pun,” gumam Fakhri.
        Nazmi hanya mengerutkan dahinya. Pelik dengan sikap rakannya itu. Pasti rakannya itu tidak mempercayai kata-katanya.
        “Tak pun aku yang mimpi?” Fakhri menepuk pipinya beberapa kali.
        “Betul. Memang bukan mimpi.” Dia menundukkan pandangannya.
        “
Bro, jadi betullah kau nak kahwin ni?” Sekali lagi Fakhri bertanya. Wajahnya yang sedikit keliru itu memandang wajah Nazmi.
        Nazmi ketawa kecil sambil mengangguk untuk kali kedua. “Ya, betul. Aku memang nak kahwin tak lama lagi.” Dia memandang wajah Fakhri. Lucu melihat respon yang diterima daripad rakannya itu.
        “
Bro, kahwin ni bukan benda main-main tau. Takkan baru sehari kau kenal dah nak kahwin. Kahwin ni bukan macam main pondok-pondok tau. Kahwin ni sampai akhir hayat. Sampai akhirat. Kita ni muda lagi.” Bersungguh-sungguh nampaknya Fakhri memberikan nasihat kepada Nazmi.
        Nazmi pula mengerutkan dahinya. Dia bingung dan tidak faham dengan kata-kata Fakhri itu.
        “Apa kau mengarut ni? Aku baru kenal sehari? Apa kau cakap ni? Aku tak fahamlah.” Bertalu-talu soalan yang keluar daripada mulut Nazmi.
        Fakhri hanya tersenyum herot. “Takkan itupun aku nak kena beritahu.” Dia mula menyedut air teh aisnya.
        Pelayan lelaki tadi datang sambil membawa segelas milo ais yang dipesan oleh Nazmi tadi. Perbualan mereka terhenti seketika.
        “Adik main bola, ini milo ais sudah mari.” Gelas yang berisi milo ais itu diletakkan di atas meja.
        Nazmi memandang wajah lelaki India yang lingkungan 40-an itu. “Terima kasih, ane.” Nazmi menguntum senyuman.
        Lelaki India tersebut menganggukkan kepalanya sambil masuk kemabali untuk melayan pelanggan yang lain.
        Milo ais dikacaunya dengan menggunakan straw. “Apa yang kau kena beritahu aku?” Sekali lagi dahinya berkerut.
        Fakhri tersenyum sinis. “Eleh, pura-pura tak tahu pulak. Cepat betul kau nak kahwin dengan Lissa. Baru sekali aku kenalkan kat kau dah nak kahwin dengan dia.” Fakhri tersenyum memandang Nazmi. Senyumannya penuh makna.
        Nazmi yang sedang menyedut milo ais hampir tersembur. “Lissa? Sejak bila pulak aku nak kahwin dengan minah mengenyam tu?”
        “Habis tu dengan siapa? Fiella?” Pantas Fakhri menyoal kembali.
        Nazmi laju mengeleng. “Fiella? Lagilah tak masuk akal.”
        “Habis tu siapa lagi?” Soalan Fakhri meluncur lagi.
        Bibir Nazmi menguntum senyuman yang penuh makna. Dalam benaknya kini terbayang wajah dan susuk tubuh gadis yang amat dicintainya. “Fairuz Farisha. Kakak Fiella.”
        Fakhri tersentak seketika. Dia bagaikan tidak percaya yang Nazmi bakal mengahwini kakak Syafiella iaitu gadis yang rapat dengannya.
        “Amboi, kau! Rapat dengan Fiella sebab nakkan kakak dialah ni, ha?” Fakhri mula mengusik. Teh ais yang tinggal suku itu disedutnya.
        Nazmi menundukkan pandangan. Dia bermain dengan kaca mata hitamnya. “Tak ada. Jodoh pilihan keluarga.” Nazmi memandang wajah Fakhri.
        “Habistu kau setuju?” tanya Fakhri inginkan kepastian. Dia ingin memastikan sama ada rakannya itu setuju ataupun tidak dengan jodoh pilihan keluarga. Nazmi tersenyum.
        “Aku sangat setuju,
bro. Aku sangat setuju,” kata Nazmi meyakinkan Fakhri. Nampaknya Nazmi memang setuju dengan perkahwinan yang diatur oleh keluarga.
        Fakhri juga turut tersenyum. “Baguslah kalau macam tu. Tapi aku pelik sikit dengan kau ni. Apa yang istimewanya bakal isteri kau ni sampai kau boleh terima dia? Selalunya kau bukan main susah nak suka dengan perempuan-perempuan lain.” Fakhri mengerutkan dahinya.
        Bibir Nazmi tidak lekang daripada senyuman. “Entahlah,
bro. Aku rasa aku dah kena panah cinta pandang pertama, kot?” Dia menyedut air milo ais yang masih hanya luak suku.
        Fakhri hanya menggelengkan kepalanya sambil ketawa kecil. ‘Nazmi, Nazmi. Tak sangka aku kau dah nak tukar status dalam usia semuda ni,’ detik hatinya.
        “Kau ingat tak perempuan yang aku cerita dulu?” Nazmi memulakan pertanyaan.
        Fakhri menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tanda otaknya sedang memproses memori dulu. “Perempuan yang mana? Aku tak ingatlah.” Fakhri tersengih.
        Nazmi mengerutkan dahinya. “Alah, perempuan yang aku tolong dia sebab kereta dia rosak dulu. Ingat tak?” Nazmi mengangkat sebelah keningnya.
        Fakhri menggaru kepalanya lagi. “Yang mana?” gumamnya sendirian.
        Tiba-tiba sahaja otaknya dapat mengingat. Dia memetik jari. Wajahnya ceria.
        “
Yes! aku dah ingat. Perempuan yang kau kata cantik macam bidadari tu. Kau pun ada tunjuk gambar perempuan cantik tu pada aku, kan?” Jari telunjuk Fakhri melayang-layang di hadapan Nazmi.
        Nazmi menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Ya, memang betul. Perempuan tulah yang bakal aku kahwini tak lama lagi. Perempuan tu jugalah
yang jadikan aku macam orang gila bayang.”
        Mata Fakhri membuntang memandang wajah Nazmi. “Maksud kau, perempuan tu akan jadi isteri kau? Perempuan yang kau kata macam bidadari tu sebenarnya kakak Fiella?” tanya Fakhri inginkan pengesahan.
        Nazmi mengagukkan kepalanya bersama senyuman di ceria di bibirnya.
        Fakhri menghela nafas lega. “Tahniah,
bro. Itulah jodoh namanya.” Pantas Fakhri berjabat tangan dengan Nazmi.
        Nazmi menyambutnya sambil berkata, “Terima kasih,
bro.” Tangannya menepuk bahu Fakhri.
        “Aku tak sangka kau akan kahwin secepat ni. Kalau aku tahu kau nak kahwin tak adalah aku nak kenalkan kau dengan Lissa.” Dia memandang wajah Nazmi.
        “Nak buat macam mana? Jodoh aku dah sampai cepat. Lagipun ini pilihan papa aku. Papa aku yang suruh aku kahwin dengan dia.
Bro, kau tak payahlah nak beritahu Lissa pasal benda ni ye?” Nazmi memandang wajah Fakhri sebelum menyedut air milo ais kegemarannya.
        Fakhri mengerutkan dahinya. “Kenapa pulak? Nanti kalau dia nak kat kau macam mana?”
        “Biarlah dia. Lambat laun dia akan tahu sendiri. Kalau dia nak kat aku kau gantikan aje tempat aku.” Nazmi ketawa kecil.
        “Okey, aku ambik dia. Kau jangan marah, ye?” Ketawa Fakhri meledak.
        Nazmi pantas menggeleng. “
Bro, aku nak mintak tolong sikit, boleh?” tanya Nazmi setelah tawa Fakhri mereda.
        “Apa dia?” Fakhri memandang wajah Nazmi.
        “Kau jadi pengapit aku, boleh?” pinta Nazmi.
        “Boleh. Tak ada hal. Kalau nak jadi pengantin lelaki pun aku sanggup,
bro.” Fakhri mula berseloroh.
        Nazmi laju mengepal penumbuk. “Kau langkah mayat aku dulu.” Serta-merta meledak ketawa mereka berdua.
        “Eh, bila langsungnya?” tanya Fakhri setelah ketawa mereka mereda.
        Milo ais disedut oleh Nazmi perlahan-lahan. “Lebih kurang dalam sebulan lebih jugaklah.” Nazmi memandang wajah Fakhri.
        “Cepatnya.” Fakhri tersentak seketika.
        “Bak kata papa aku benda baik tak elok buat lambat-lambat.” Sekali lagi ketawa mereka berderai.