Sunday 17 February 2019

Novel: Tidak Kuduga Cintamu Bab 6 (part 1)


PUAN Marina keluar dari dapur sambil menatang sebuah dulang. Dia berjalan dengan penuh berhati-hati supaya cawan, piring dan teko yang diletakkan di dalam dulang itu tidak terjatuh lalu pecah.
Puan Maryam tersenyum sambil memandang dua orang tetamu yang berada di hadapannya. “Ezah, baru sampai?” sapanya sekadar untuk berbasa-basi.
Puan Faezah pantas mengangguk. “Ya, kami baru sampai dari KL pagi tadi. Terus kami ke sini… nak berjumpa dengan Kak Yam.”
Puan Maryam kelihatan terangguk-angguk dan mulutnya membentuk huruf ‘O’. Sebagai tanda dia faham dengan jawapan yang diberikan oleh Puan Faezah tadi.
“Kami berdua cepat-cepat datang ke rumah Maryam ni sebab ada hal penting yang nak dibincangkan,” ujar Dr. Lukman Hakim pula.
“Ha’ah, Kak Yam.” Laju Puan Faezah mengangguk tanda setuju. “Kami datang sini cepat-cepat pun sebenarnya ada hal penting yang nak dibincangkan.”
Suasana hening seketika tatkala menyedari kehadiran Puan Marina yang membawa dulang itu. Dia menghidangkan air dan kuih buat tetamu yang datang bertandang. “Jemput minum.” Dia tersenyum lantas segera beredar. Tidak mahu masuk campur urusan kakaknya itu. Biarlah kakaknya yang menyelesaikannya sendir.
Puan Maryam mendiamkan dirinya seketika. Riak wajahnya berubah. Dia seakan sudah mengerti maksud kedatangan pasangan suami isteri itu untuk berjumpa dengannya. “Hal penting apa?” soalnya dengan nada yang sengaja dikawal. Dahinya dikerutkan. Sengaja dia bertanya soalan yang dia telah tahu jawapannya.
Puan Faezah memandang wajah suaminya. Dia mencuit paha suaminya sambil mulutnya terkumat-kamit menyatakan sesuatu tetapi hanya suaminya sahaja yang mendengar. Dr Lukman Hakim pula kelihatan terangguk-angguk. Sesekali riak wajahnya bertukar tatkala mendengar kata-kata isterinya. Dahinya berkerut.
Sabrina hanya memerhatikan dari luar perbincangan antara ibu bapanya dan ibu Afiq. Malas dia mahu ikut campur perbincangan ‘orang tua-tua’ itu.
Kedengaran Dr Lukman Hakim berdehem seketika sebelum memulakan kata-kata. “Begini, Maryam.” Dia memandang wajah Puan Maryam.
“Sebenarnya, kami berdua ni datang nak putuskan pertunangan anak-anak kita tu secara elok memandangkan mereka dah putuskannya sendiri. Walaupun mereka dah putus dan Rina kata dia dah pulangkan cincin tunang tu pada Afiq, kami ni tetap nak datang sini jumpa dengan Maryam sebab nak putus secara elok. Yelah, kita ni ada adat. Kalau kita masuk secara elok nanti keluar pun secara elok. Budak-budak ni mana tahu semua tu. Diorang main belasah saja.”
Puan Maryam mengangguk faham. “Baguslah kalau macam tu. Saya pun tak setuju dengan keputusan mengejut budak-budak tu. Baru dua bulan setengah bertunang dah putus. Betul tak, Ezah?” Dia memandang Puan Faezah.
“Betul tu, Kak Yam. Kami berdua ni pun bantah keputusan mereka tu. Diorang tu ikut kepala sendiri semuanya. Bukan fikir pun pasal hati dan perasaan kita. Bila bercinta bukan main berjanji sakan. Ini baru bertunang dua bulan setengah dah… putus. Alasannya dah tak cinta. Senang betul.”
“Kami ingat bolehlah berbesan dengan Maryam tapi… tidak kesampaian,” kata Dr. Lukman Hakim sedikit kecewa.
“Tak apalah, Doktor. Tak ada rezeki. Jemput minum.” Puan Maryam tersenyum. Cuba untuk menyembunyikan pelbagai perasaan yang bersarang dalam hatinya.
Puan Faezah hanya mengangguk kecil. Cawan yang berisi milo panas yang masih berasap itu dicapainya.
Sabrina yang mendengar dari jauh mula mencebikkan bibir. “Antara salah satu sebab kenapa aku tak suka berbincang dengan kaum-kaum hampir veteran ini. Diorang ni suka sangat nak salahkan kita orang muda. Semua salah kita. Diorang semua betul.” Matanya dijelingkan sedikit manakala kedua-dua belah tangannya disilangkan.


1 comment:

  1. Casinos With Free Spins at Boomtown Casino
    Free 다 파벳 먹튀 spins at Boomtown Casino · Casino Games · 마추 자 먹튀 Live Dealer Casino · Bonuses · Live Dealer Casino · 강원 랜드 앵벌이 Table Games · Slots 레이즈포커 · 강원랜드후기 Video Poker · Games.

    ReplyDelete