Sunday 20 July 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 4

BAB 4


Dua bulan kemudian…
“APA?! Kahwin?!” bentak Fairuz terkejut. Dia memandang mamanya, Datin Noora. Pandangannya seolah-olah merayu mamanya untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku sekarang.
        “Yes. Papa nak kamu kahwin.” Serius nada Dato’ Johan. Dia memandang tepat ke arah anak sulungnya itu.
        “Apa semua ni, pa?!” Fairuz mengerutkan dahinya memandang Dato’ Johan dan kemudian kembali memandang Datin Noora.
        “Papa nak Yuz kahwin dengan anak kawan papa, Tan Sri Mansor.”
        Dato’ Johan tetap tenang. Dia seolah-olah sudah tahu reaksi anaknya. Datin Noora hanya mendiamkan diri sahaja.
        “What?! Apa semua ni, pa? Apa semua ni?”
        Makin tidak keruan Fairuz jadinya. Dia menghentakkan tangannya pada sofa. Dato’ Johan melepaskan sedikit keluhan.
        “Semua ni untuk kebaikan kamu juga, Yuz.” Dato’ Johan seolah memujuk.
        “Papa cakap semua ni untuk kebaikan Yuz? Kahwin dengan lelaki yang langsung Yuz tak kenal. Papa cakap semua ni untuk kebaikan Yuz? No! Yuz takkan kahwin!”
        Fairuz mula berdiri sambil berpeluk tubuh. Dato’ Johan memandang Datin Noora. Pandangannya seolah-olah menyuruh isterinya untuk berkata sesuatu bagi memujuk anaknya.
        “Betul apa yang papa cakap tadi. Semua ni untuk kebaikan Yuz. Dah dua tahun Yuz putus tunang. Papa dengan mama tunggu kalau-kalau Yuz ada pengganti, tapi sampai sekarang tak ada pun. Jadi papa putuskan untuk kahwinkan kamu dengan pilihan kami.”
        Datin Noora memegang lembut bahu Fairuz. Dia menenangkan Fairuz yang nampaknya sedang menahan rasa geram. Fairuz duduk kembali.
        “Papa dengan mama tahu lelaki tu baik. Dia takkan kecewakan kamu macam apa yang Hilmi buat pada kamu.”
        Dato’ Johan kembali bersuara. Nadanya lebih kepada memujuk.
        “Yuz tak kira dia baik macam mana pun, Yuz takkan kahwin. Kalaupun papa dengan mama carikan pak ustaz sekalipun Yuz takkan kahwin. Papa dengan mama tak faham perasaan Yuz.”
        Fairuz mula bertegas. Dato’ Johan memandang wajah merah padam Fairuz itu.
        “Sebab papa dengan mama fahamlah kami suruh Yuz kahwin.”
        Dato’ Johan melepaskan keluhan berat. Fairuz menarik nafas dan kemudian menghembuskannya dengan kasar.
        “Sampai bila-bila pun Yuz takkan kahwin.”
        Dia mula berdiri dan ingin meninggalkan perbincangan yang sungguh menyebalkannya itu. Dato’ Johan menggelengkan kepalanya.
        “Habis sampai bila kamu nak macam ni?” Datin Noora mula berdiri. Fairuz sempat menoleh sebelum kakinya menyentuh anak tangga.
        “Sampai mati!”
        Suara Fairuz mula bergetar. Dia terus memanjat anak tangga menuju ke biliknya.
        Belum pun sempat dia sampai di anak tangga kelima satu suara yang amat keras menempelak gegendang telinganya. Dia tidak menoleh sebaliknya memberhentikan langkahnya sahaja.
        “By hook or by crook, Fairuz Farisha akan kahwin dengan Nazmi Faiz! Kalau tak Fairuz Farisha akan dihalau keluar dan tidak akan mendapat hak mewarisi harta pusaka Dato’ Johan termasuk akan dipecat dari Maya Holding!” Dato’ Johan memberi amaran yang lebih berbaur ugutan.
        Nazmi Faiz. Sekali lagi nama itu menempelak gegendang telinganya. Semakin laju jadinya langkah Fairuz menuju ke kamarnya.
        Dia menghempas kuat pintu biliknya. Dahinya berpeluh. Nafasnya turun naik. Jantungnya berdegup kencang.
        “Tak mungkin! Tak mungkin!” Berkali-kali dia menidakkan kata-kata papanya sebentar tadi.
        Fairuz meluru ke arah katil empuknya. Dia duduk di birai katil sambil menggigit bibir.
        ‘Aku takkan kahwin dengan dia atau sesiapa pun. Aku tetap tidak akan kahwin! Aku tetap tidak akan kahwin!!’ Hatinya menjerit dan meronta-meronta tidak mahu menghadapi perkara tersebut.
        Pintu diketuk dari luar bertalu-talu namun, Fairuz hanya mendiamkan diri sahaja. Dia tahu pasti mamanya yang berada di luar.
        “Kak, bukak pintu. Fiella nak masuk,” pinta Syafiella.
        Nasib baik adiknya. Bolehlah dia berkongsi masalah dengan Syafiella.
        Fairuz laju membuka pintu untuk adiknya. Syafiella masuk bersama segelas fresh orange kegemaran kakaknya di tangan.
        “Fiella tahu kakak ada problem.” Syafiella menghulurkan gelas tersebut kepada kakaknya sambil melabuhkan punggung bersebelahan kakaknya.
        Fairuz menyambutnya lalu meneguk air fresh orange untuk menghilangkan resah di hati.
        “Papa suruh kakak kahwin,” katanya sambil meletakkan gelas itu di atas meja kecil. Syafiella mengeluh.
        “Kenapa pun?”
        “Kakak tak nak.”
        Fairuz memandang wajah adiknya.
        “Kenapa kakak tak nak?”
        Syafiella mengerutkan dahi.
        “Sebabnya kakak takut perkara lama akan berulang kembali. Lagipun kakak berazam takkan kahwin sampai bila-bila.”
        Fairuz menundukkan pandangan. Syafiella mula mengukir sedikit senyuman.
        “Kak, perkara tu takkan berulang kembali. Bukan semua lelaki macam bekas tuang akak. Mungkin lelaki tu sayang dan cinta kat kakak lebih daripada Abang Hilmi. Percayalah pada Fiella.”
        Dia memegang lembut bahu kakaknya. Fairuz meraih tangan adiknya dan dibawa ke pahanya.
       “Are you sure?” soalnya sambil memandang wajah adiknya penuh pengharapan. Syafiella mengeratkan genggamannya.
        “Yes. Believe me,” kata Syafiella sambil tersenyum.
        Fairuz semakin mengukir senyuman. Mungkin sedikit sebanyak kata-kata adiknya dapat meyakinkannya.
        “No! Kakak tetap dengan pendirian kakak. Fairuz Farisha tetap takkan kahwin dengan Nazmi Faiz!” Serta-merta air muka Syafiella berubah.




0 comments:

Post a Comment