Monday 8 April 2019

Cerpen: Hawa Sayang Acid



SUBUH yang tenang itu diganggu dengan jeritan serta raungan daripada seorang wanita yang sedang bertarung nyawa. Wanita itu sedang terbaring sambil terkangkang di dalam sebuah kamar tidur usang yang hampir-hampir sahaja rebah menyembah bumi.

“SAKIT! ARGHHHHH!”

“Sabar, Sal! Sabar! Bawak mengucap! Istighfar! Sikit je lagi! Teran lagi!” ujar wanita tua yang berhadapan dengan celah kangkang Saliha. Dia sedang membetulkan kain batik yang berada di lutut Saliha. Tangannya sudah siap sedia untuk menyambut bayi yang bila-bila sahaja bakal keluar. Sesekali dia melihat bukaan pintu tempat bayi itu keluar.

Saliha sudah berpeluh sakan. Kesakitan yang dirasakan di sekitar ari-ari dan pinggulnya kian menggila. Dia terasa seperti mahu mati. Tikar mengkuang yang menjadi pelapik tubuhnya digenggam kuat-kuat.

“Mak Biah, aku dah tak tahan! Sakitnya! Baik aku mati aje!” pekiknya dalam kepayahan. Segala tenaga sudah habis digunakan. Terasa seperti nyawanya di hujung tanduk. Kalau dia diberi pilihan dia akan pilih mati sahaja.

“Sal… sabar, nak. Lagi sikit je. Kepala bayi ni dah mula keluar!”

“ERGHHHHH! ERGHHHHH! EGRHHHHH!” Air mata Saliha sudah turun membasahi pipinya. Segala kudrat yang ada dia kerahkan demi satu nyawa.

“Uwerk! Uwerk! Uwerk!”

Saat tangisan bayi itu kedengaran, Saliha sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Tenaganya sudah habis. Kudratnya sudah tiada. Jujur, dia sudah tidak terdaya untuk menggerakkan mana-mana anggota tubuhnya.

Mak Biah tersenyum sambil mendukung bayi yang masih lagi disaluti dengan air ketuban dan darah itu. “Alhamdulillah, Sal! Kau dapat anak perempuan. Bayi kau… selamat…”

Hanya itu yang sempat Saliha dengar sebelum pandangannya kabur dan akhirnya, gelap.


********************

GADIS yang memakai baju tidur bercorak animasi BoiBoiBoy itu sedang tertawa riang. Sesekali dia bertepuk tangan. Walaupun wajahnya comot dan rambutnya kusut masai seperti tiga hari tidak mandi namun, dia tetap riang.

Tepung yang berselerakan di lantai dapur rumah kayu usang itu menjadi permainannya. Diramas-ramas tepung itu kemudian dilumurkan di sekitar wajahnya. Tidak cukup dengan itu diambil sebalang garam lalu dicurahkan di atas kepalanya. Kemudian, dia mengekek tawa. Kini, rupanya tidak ubah seperti pontianak yang baru tertumpah selori garam.

Gadis itu yang sedari tadi mencangkung, bingkas berdiri dan menuju sinki. Pada waktu itu dia ternampak biasan wajahnya pada bontot kuali yang tergantung di atas sinki. Senyuman pantas terukir di bibir mungilnya.

Waaa… antiknya… itee…” katanya dengan susah-payah.

Dia menari-nari serta berpusing-pusing di situ sambil bertepuk tangan. Mungkin dalam kepalanya dia mengandaikan yang dia secantik Nelydia Senrose. Setelah selesai menari, kepala paip dipulas. Air yang deras keluar daripada kepala paip itu membuatkan dia bertambah teruja. Air yang keluar tersebut menjadi alat permainannya yang seterusnya. Habis basah dinding-dinding kayu yang kian melapuk itu. Dia tidak peduli. Nampaknya dia semakin seronok.

“HAWA!”

Hawa kaget lantas menghentikan segala perbuatannya tadi. Tubuhnya mula menggigil apabila dia terdengar derap langkah deras menuju ke arahnya.

“Kau ni memang degil kan Hawa! Aku dah berapa kali cakap dengan kau! Ha?! Kau ni memang tak faham-faham ke?! Asyik nak menyusahkan aku je! Bodoh punya budak!”

Saliha menarik telinga Hawa sekuat yang mungkin. Geram dan sakit hati terhadap gadis ini sudah tidak dapat dibendung. Habis segala harta bendanya dibuat main oleh gadis ini. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dibunuh gadis yang sudah membuat dapur usangnya itu seperti ‘taman permainan’.

Awa atit, mak. Awa atit. Acid… olong awa…” rayu Hawa lirih. Air mata mula bertakung di sekitar tubir matanya. Rayuan Hawa tidak diendahkan oleh Saliha malah wanita itu menguatkan lagi tarikan pada telinga kanan gadis itu membuatkan Hawa menjerit kesakitan. Kali ini, air mata gadis itu mengalir deras.

“Kalau ikutkan hati aku nak aje aku tanam kau hidup-hidup, Hawa! Kau ni dahlah terencat! Menyusahkan aku pulak tu! Habis segala tepung dengan garam aku kau buat main, ye! Kau ni memang tak guna! Bodoh! Ada akal tapi terencat! Kenapa kecik-kecik kau tak mampus?! Dah besar menyusahkan orang! Menyesal aku lahirkan kau! Kalau aku tahu kau terencat macam ni dah lama aku gugurkan kau! Biar kau mampus!”

Mak… Awa… atit… Acid… olong Awa…”

“Mak, mak! Siapa mak kau?!” Ditunjal kepala Hawa sekuat hati sehingga terhantuk ke dinding. Hawa yang tidak mempunyai akal yang sempurna itu hanya menangis. Tangisan Hawa dirasakan sangat menjengkelkan lantas Saliha mencapai sudip kayu yang tergantung di sebelah kuali.

 “Kecik-kecik tak nak mampus! Dah besar menyusahkan orang! Lantaklah kau nak mati! Pedulik apa aku!” marah Saliha sambil tangannya laju menghayun sudip sekuat hati di sekitar tubuh gadis itu. Hawa meraung dan menangis semahu-mahunya. Wajahnya sudah basah dengan air mata.

Saliha rasakan gegendang telinganya berdesing setiap kali mendengar suara Hawa. Api kemarahannya semakin memuncak. Dadanya berombak laju. Dikuatkan lagi hayunan sudip itu pada tubuh Hawa sehingga berbunyi kuat apabila sudip kayu berlaga dengan tulang.

Atit… mak, Awa atit… mak… Acid… olong Awa… Awa atit…” rayu Hawa dalam kepayahan cuba untuk menepis dan menahan hayunan kuat sudip itu menggunakan kedua-dua belah tangannya. Setiap kali sudip kayu itu menyentuh mana-mana bahagian tubuh kurusnya, sensasi sakit yang bukan kepalang dirasakan hingga ke tulang kering.

“MAK! APA MAK BUAT NI?!”

Suara garau itu menerjah Saliha menyebabkan wanita itu berhenti. Hawa yang menyedari terus berlari dan mendapatkan empunya suara garau itu.

AcidAwa atit…” adu Hawa lalu bersembunyi di belakang tubuh jejaka sederhana tinggi itu setelah ditenangkan seketika.  

“Kau tengok apa adik kesayangan kau ni buat, Shid! Kau tengok!” ujar Saliha sambil mendepangkan tangannya menunjukkan dapurnya yang serupa tongkang pecah itu.

“Kalau iyapun marahkan Hawa ni janganlah dipukul sampai macam tu sekali, mak. Dia kan tak boleh nak fikir macam kita. Dia tu tak normal. Mak tu bawaklah bersabar sikit. Mak tak kesian ke kat dia?” bela Rashid lembut.

Saliha diam seketika. Dia mendengus kasar. Giginya diketap geram sambil itu matanya tepat merenung Hawa yang curi-curi lihat dirinya daripada belakang badan Rashid.

“Aku dah hilang sabar ni, Shid! Aku dah hilang sabar! Habis tepung berselerak macam ni! Garam satu balang habis dicurah atas kepala dia tu! Kau ingat mak boleh sabar lagi ke?! Eh, Hawa! Kau dengar sini, eh!”

 Saliha mendekati Hawa menyebabkan gadis itu tunduk menyembunyikan wajah dan semakin erat memeluk tubuh Rashid.

“Kau ingat aku ni banyak duit ke nak beli semua benda ni, ha?! Aku dahlah miskin! Kau pulak terencat macam ni! Tak tahulah apa dosa aku dapat anak macam kau ni!”

Kepala Hawa ditunjal sekali lagi. Rashid pantas menepis tangan emaknya itu. Dia mengundur setapak ke belakang bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk bakal berlaku.

“Sudahlah, mak. Nanti bila Shid dapat duit, Shid gantilah balik semua ni. Tepung dengan garam ni berapa ringgit je. Nyawa Hawa ni yang penting, mak. Tak ternilai harganya,” jawab Rashid cuba untuk menenangkan keadaan. Dia sudah masak sangat dengan perangai emaknya itu. Terlalu bencikan Hawa yang tidak berdosa ini. Entah apa sebabnya Saliha membenci Hawa itu, Rashid sendiri tidak tahu. Yang dia tahu Saliha memang bencikan Hawa sejak gadis itu lahir lagi.

“Ah, kau ni tak habis-habis nak bela si terencat ni! Suka hati kaulah! Ak…”

“Kak Sal! Woi! Kak Sal! Kau ada kat rumah tak?”

Suara garau seseorang dari luar membantutkan terus bicara Saliha. Dia terdiam seketika dan mula mengecam suara garau tersebut. Wajah Rashid pula sudah bertukar riak jengkel.

“Ya! Aku kat dalam ni! Sekejap!” jawab Saliha nyaring kemudian mula melangkah pergi namun, berpatah balik setelah menyedari gadis yang paling dia benci melirik setiap langkahnya itu. “Shid, kau bawak budak terencat ni keluar dari rumah aku sekarang! Aku tak nak tengok muka dia! Berambus!”

“Mak!”

“Berambus aku kata! Tak faham ke?! Berambus!” tengking Saliha dengan wajah yang merah padam.

Rashid sempat memandang wajah Saliha dan kemudian menggeleng perlahan. Sungguh, dia tidak faham dan mengerti. Wujud lagi manusia yang bencikan anaknya sendiri. Sedangkan haiwan pun sayangkan anak, inikan pula manusia yang dikurniakan akal dan fikiran yang sempurna.

Sejak Hawa lahir, dia tidak pernah nampak Saliha memberikan kasih sayang kepada adiknya itu. Yang dia nampak hanyalah kebencian semata-mata. Hawa yang ketakutan itu mula menangis. Dia tidak berani mahu melihat wajah Saliha yang mula membengis itu. Perlahan-lahan Rashid membawa Hawa keluar dari rumah kayu usang itu. 


********************

“HA, Sani! Kau nak apa?”

Sani yang hanya bertenggek di atas motosikal buruk itu pantas tersenyum sumbing saat tubuh Saliha sudah tersembul di muka pintu. “Macam biasalah, Kak Sal oi!” Dia membuat satu isyarat jari. “Duit…”

“Ah, aku tak ada duit! Kau ni asyik nak mintak duit je! Kerja pun tidak!”

“Alah, Kak Sal. Tak payahlah nak berkira sangat dengan adik kau ni. Takkan adik-beradik sendiri pun nak berkira. Kedekut taik hidung masih betul! Phuii!” rungut Sani lalu meludah ke tanah. Sengaja buat provokasi terhadap kakaknya.

“Bukan masalah kedekut, Sani. Kau tu datang sini asyik nak mintak duit aje. Bukannya kau buat apa-apa yang berfaedah pun, kau buat main judi jugak! Haram tu! Dosa!”

Sani pantas mengekek tawa. “Kau nak cakap pasal halal haram, dosa dengan aku, Kak Sal! Kau tu ha selalu sangat pukul dan marah bagai tak mahu si Hawa tu, tak berdosa ke? Anak sendiri pulak tu. Hawa tu tak buat salah apa pun kau marah jugak. Benci anak sendiri pun bukannya dapat pahala tau! Dapat dosa!”

“Kau tak payah nak perli-perli aku, Sani. Tak payah nak sekolahkan aku. Kau tu patutnya yang kena sekolah lagi! Tak habis-habis dengan judi dia tu!”

“Malas aku nak bertekak dengan kau ni, kak! Mana duit? Aku nak duit!” desak Sani meninggikan suaranya. Dia pantas turun daripada motosikal buruk itu lalu mendapatkan Saliha.

“Eh, kau berambus dari rumah aku!”

Saliha mula meninggikan suara apabila adiknya itu sudah berada di tangga tanpa dia sendiri sedari. Namun, Sani tidak peduli. Dia sudah lama memerhati cincin belah rotan di jari manis kiri kakaknya itu. Kalau digadai pasti lumayan. Beberapa keeping not kertas ungu sudah terlayar di ruangan matanya.

“Bagi aku cincin kau tu, Kak Sal!”

Sani sudah mencengkam pergelangan tangan Saliha. Kali ini dia betul-betul perlukan duit. Tiga malam berturut-turut dia kalah judi. Hutangnya kepada Abu, Jamil dan Lan mesti dilunaskan juga malam ini atau nyawanya bakal dipisahkan daripada badan.

Saliha cuba meleraikan cengkaman Sani itu tetapi tidak berjaya. Mereka mula bergelut. Dia sedaya-upaya cuba mempertahankan cincin itu daripada diambil oleh adiknya. Cincin itulah satu-satunya pemberian arwah suaminya, Hasan kepada dirinya sewaktu pernikahan mereka dahulu dan cincin itulah satu-satunya harta yang dia punya.

Kudrat dan tenaga Sani lebih kuat dibandingkan dengan Saliha. Dicabut cincin belah rotan itu dengan kasar daripada jari manis Saliha menyebabkan Saliha jatuh terjelopok di anak tangga. Jari manisnya yang direntap tadi terasa berdenyut-denyut. Sakitnya bukan kepalang.

“Sani! Kau memang tak guna!” seranah Saliha dengan nada yang perlahan sambil menahan sakit.

Sani tertawa sambil menuruni anak tangga lalu mendekati motosikalnya. “WOAHHOOO! Kaya aku malam ni! Kaya! HAHAHAHA!” Cincin belah rotan itu disimpan ke dalam kocek. Dia menghidupkan enjin motosikal dan berlalu dari situ dengan wajah yang tidak bersalah. 


********************

RASHID sedang duduk memeluk lutut merenung Hawa yang sedang leka bermain pasir pantai itu. Sesekali dia lihat gadis itu ketawa sendiri. Entah apa yang lucu dia sendiri pun tidak tahu.

Kasih dan sayang terhadap gadis itu tidak terkira nilainya. Dia terlalu sayangkan Hawa. Dia tidak kisah adiknya itu terencat malah, cacat sekalipun. Yang dia kisah hanyalah kasih dan sayang dia terhadap gadis yang tidak sempurna akalnya.

Dia masih lagi ingat sewaktu Hawa masih bayi. Segalanya dia yang uruskan. Dialah yang memandikan Hawa, menyuap Hawa makan, membersihkan najis Hawa. Semuanya dia.

Saliha?

Menyentuh Hawa pun Saliha tidak mahu malahan, wanita tua itu tidak mahu melihat langsung wajah Hawa. Mujur ada Nek Jah yang duduk di hujung kampung itu yang membantunya. Jika tidak pasti dia tidak dapat melihat Hawa yang sedang riang bermain dengan pasir pantai itu.

Rashid kembali memandang ke hadapan. Ombak yang bergulung-gulung tidak jemu-jemu menghempas pantai sama seperti hatinya yang tidak jemu-jemu mencurahkan kasih dan sayangnya kepada Hawa. Dia tersenyum. Melihat ciptaan Allah yang sempurna terbentang di hadapannya dan juga melihat manusia ciptaan Allah yang tidak sempurna akalnya sedang riang bermain. Dia yakin pasti ada hikmah di sebalik semuanya yang terjadi.

Acid!” laung Hawa riang dari jauh. Terkedek-kedek gadis itu berjalan menghampiri Rashid sambil membawa baldi kecil berwarna merah yang penuh dengan pasir.

Rashid pantas mengukir senyuman bahagia. Ya, baginya kebahagian yang sebenar adalah Hawa. Dia tidak mahu untuk meminta lebih, cukuplah dia dapat berada di sisi Hawa dan membuatkan Hawa tersenyum dan tertawa riang. Itu sudah sangat-sangat membahagiakan dirinya.

“Kenapa?” soalnya lembut setelah Hawa berada di sisinya.

Hawa bertinggung di hadapan Rashid lalu meletakkan baldi merah itu di hadapannya. Dia merenung mata Rashid sebelum mula berbicara. “Acid… ayang… Awa?” Dengan susah payah dia bertanya.

Saat itu Rashid terasa hangat di sekilar tubir matanya. Entah kenapa soalan daripada Hawa meluluhkan hati jejakanya. Air jernih mula bertakung namun, pantas dia menyeka.

“Mestilah Acid sayang Hawa. Saaaayang sangat-sangat. Kenapa Hawa tanya Acid macam tu? Hawa sayang Acid?”

Gadis itu dilihat beriya-iya mengangguk. Bibir mungilnya menguntum senyum. “Awa… ayang… Acid. Ayang… anyak… ni…” Lalu baldi merah yang penuh dengan pasir itu dilayangkan di hadapan Rashid.

Rashid ketawa kecil cuba untuk menyembunyikan sebak yang mula bersarang di dada. Di ruangan matanya kini terlayar situasi Saliha memukul, memarahi dan mengherdik Hawa tengah hari tadi. Dia dapat rasakan kesakitan, kesedihan dan ketakutan Hawa. Silap dia tidak menyimpan tepung dan garam di tempat yang tersorok agar tidak dapat dilihat oleh Hawa.

Acid…”

Panggilan daripada Hawa itu mematikan lamunannya. Dia kembali merenung wajah polos Hawa.

Mak… ayang… Awa… tak?”

Rashid tersentak seketika. Soalan Hawa itu benar-benar merentap hatinya. Pandangannya sudah terasa berkaca namun, dia kalihkan sebentar wajahnya dan mengesat air mata yang sudah penuh di sekitar tubir matanya.

“Mestilah sayang. Hawa kan… anak mak,” tipunya sekadar untuk menyedapkan hati Hawa.

Nape… mak… elalu… arah… Awa…?”

Dengan pantas tubuh Hawa diraih lalu dibawa ke dalam dakapannya. Kepala Hawa dibawa rapat ke dadanya manakala matanya dipejam rapat-rapat sambil dia biarkan air mata jatuh bercucuran. Kesedihannya tidak dapat dibendung lagi. Dia tidak mahu Hawa melihat dirinya menangis begini. Dia perlu sentiasa kuat untuk Hawa. Demi senyuman dan tawa riang Hawa, dia perlu sembunyikan segala kesedihannya.

Rashid mengucup lama ubun-ubun rambut Hawa. Dia terlalu sayangkan Hawa. Dia terlalu kasihkan Hawa. Rembang-rembang senja mula kelihatan di dada langit. Biarlah rembang-rembang senja ini menjadi saksi yang kasih dan sayang seorang abang tidak dapat disangkal lagi.      



     
********************

SIANG sudah melabuhkan tirai. Giliran malam pula mengambil alih. Hawa masih lagi berada di pantai walaupun bintang-bintang dan bulan mula kelihatan menyerikan dada langit yang kian menghitam.

Memang menjadi kebiasaannya menunggu Rashid pulang dari laut. Tidak kira siang, malam malah subuh sekalipun dia sanggup menunggu abangnya pulang dari laut. Bukan hasil ikan yang ditangkap oleh Rashid yang dia tagihkan jauh sekali duit hasil titik peluh Rashid menjadi seorang nelayan yang dia inginkan tetapi kasih dan sayang daripada Rashid yang selalu dia harapkan. Hanya kasih dan sayang Rashid itu sahaja yang memberikan dia kekuatan untuk hidup selama 15 tahun ini. Meskipun akalnya tidak sempurna namun, dia tahu erti kasih dan sayang yang sebenar.

Berbekalkan lampu daripada warung yang berdekatan, Hawa dapat melihat satu per satu sampan naik ke gigi pantai. Setiap kali sampan naik, dia pasti berlari ke arah sampan tersebut. Tidak kira siapa yang berada di dalam sampan itu pasti dia akan menerjah. Bagi nelayan di situ mereka sudah terbiasa dengan perangai Hawa. Mereka tidak takut malah selalu beramah mesra dengan Hawa.

“Eh, Hawa! Kau tak balik lagi?” soal Pak Tam yang sedang mengikat tali sampannya itu pada sebuah tiang kecil.

Hawa menggeleng. “Awa… unggu… Acid.” Dia kemudian berlari semula ke tengah pantai setelah mendapati sampan tersebut bukan milik Rashid. Dia tetap setia menunggu walau apa jua rintangan yang melanda.

Pak Tam menggeleng kecil. Dia simpati dengan nasib Hawa itu.

Hawa kembali bertinggung. Dia bermain dengan pasir pantai itu. Berbekalkan sebatang ranting kecil, dia menconteng-conteng pasir pantai itu. Sesekali dia bertepuk riang dan kembali menconteng. Entah apa yang dia lukis, hanya dia sahaja yang tahu.

Dari jauh Sani sedang memerhatikan Hawa. Memang sejak maghrib tadi dia memerhati Hawa dari warung yang berdekatan itu. Naluri kelelakiannya sudah bergelodak. Sudah lama dia menantikan saat ini. Ya, malam ini dia akan melunaskan nafsunya yang sejak dahulu ditahan.

Dia bingkas bangun. Not kertas lima ringgit diselitkan di bawah cawan kaca yang sudah kosong itu lalu dia berlalu meninggalkan warung itu. Nafsunya sudah tidak tertahan lagi. Dia perlu dapatkan Hawa sekarang. 


********************

“HAWA…”

Hawa terkejut lantas dia bingkas berdiri lalu menjauhi tubuh kurus itu. Dalam samar-samar lampu warung yang berdekatan, dia dapat melihat Sani berjalan perlahan-lahan menghampirinya.

“Hawa… Hawa nak tak ikut Pak cik ehhh Abang Sani balik rumah? Kesian Abang Sani tengok Hawa sorang-sorang kat pantai ni. Abang Sani hantar Hawa balik nak tak?” pujuk Sani lembut. Tangannya sudah mula menjalar di sekitar wajah dan rambut Hawa. Dia dapat rasakan kelembutan wajah polos Hawa itu. Sungguh mengasyikkan. Wajah Hawa yang suci dan naif itu membuatkan dirinya berada dalam keghairahan.

Hawa dapat rasakan sentuhan Sani itu lain macam. Dia mula mejauhi tubuh jejaka itu tetapi semakin dia menjauh, semakin Sani mendekat. Dia menggigil ketakutan. “Anganlah… Awa… tak… uka…” rintihnya lirih sambil dia menepis tangan Sani yang sudah menjalar di sekitar leher dan tubuhnya pula.

Sani tidak peduli. Dia menolak kasar tubuh gadis itu lalu Hawa jatuh terlentang. Saat itu air mata sudah bertakung di sekitar tubir mata Hawa. Otaknya yang tidak sempurna itu dapat memproses yang Sani akan melakukan perbuatan yang sumbang terhadap dirinya. Hawa mahu bangun namun pantas Sani sudah berada di atas tubuhnya. Lutut Sani sudah menghimpit pahanya. Hawa tidak dapat lari lagi. Dia mahu menjerit namun, pantas mulutnya ditekup.

“Kau jangan berani-berani jerit! Kalau kau jerit siap kau aku kerjakan!” ugut Sani separuh berbisik.

Hawa diam. Dia tidak mampu bergerak. Tubuhnya sudah dikunci oleh lelaki durjana ini. Pada waktu itu dia sudah dapat merasakan hembusan nafas Sani sedang merayap di sekitar wajah dan lehernya. Kemudian, dia dapat rasakan tangan Sani sedang rakus merayap di sekitar dadanya. Waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya diperlakukan sebegitu. Air mata bercucuran jatuh menuruni pipinya.

Acid… Acid… Acid…” Hanya itu yang mampu Hawa ucapkan sebelum bibirnya dicium rakus oleh Sani si sang durjana.  

Sani mengoyak baju yang dipakai oleh Hawa. Nampaknya gadis itu ikutkan sahaja kehendak nafsunya. Bagus. Tubuh Hawa kaku. Bagaikan tidak bernyawa di situ. Pandai pun kau ye, budak terencat. Bagus. Senang kerja aku.

Bahagian atas dada Hawa sudah tersingkap. Menampakkan asetnya yang putih gebu itu. Sani yang melihat sudah menelan liur. Dia sudah tidak tunggu lama. Lantas aset yang terbentang luas di hadapan matanya itu ‘disentuh’ rakus.

Hawa mula meronta namun, tenaga gadisnya tidak dapat melawan nafsu rakus Sani. Dia tidak terdaya mahu berbuat apa-apa. Dia relakan sahaja walaupun otaknya yang tidak sempurna itu tidak mahu.

“HOI!”

Sani yang sedang enak meratah tubuh Hawa itu terkejut. Lantas dia bangun daripada tubuh gadis yang sudah menjadi tempat melempiaskan nafsunya. Namun, belum pun sempat dia melarikan diri satu tumbukan padu singgah di rahangnya. Dia yang tidak bersedia itu terpelanting ke belakang.

“BINATANG KAU SANI!” jerit Samad yang kebetulan baru pulang dari laut bersama dengan Tahar. Mujur dia ternampak kejadian yang tidak senonoh itu berlaku. Kalau tidak mahu habis seluruh tubuh Hawa diratah oleh si durjana itu.

“Dengan Hawa pun kau buat benda yang tak senonoh ni ye! Siap kau!” Satu lagi penumbuk dilayangkan di rahang Sani dan kali ini Sani jatuh terjelopok.

Hawa yang pada ketika itu ketakutan sedang duduk sambil memeluk lutut dan berusaha menutup bahagian dadanya yang sudah terdedah itu. Matanya terpejam rapat manakala tubuhnya pula menggigil hebat. Wajahnya pula sudah basah dengan air mata.

Acid… Acid… Awa… akut… Acid… ane? Aliklah… epat… Awa… atut…”



********************

“KAU ni memang menyusahkan akulah, Hawa!” marah Saliha lantang. Kepala Hawa ditunjalnya kuat menyebabkan gadis itu terdorong ke belakang.

“Kalau dah terencat tu buat jelah cara terencat! Tak payah mengada pergi tunggu Rashid kat pantai tu! Ini satu hal pulak aku nak menguruskan kau! Kecik-kecik tak nak mampus! Dah besar menyusahkan orang!” Lantas laju tangannya memukul kuat lengan Hawa.

“Padan dengan muka kau, Hawa! Memang kau layak pun kena cabul dengan Sani tu! Nasib kau tak kena rogol, kalau tak sia-sia je nanti kau bunting! Siapa nak uruskan kau kalau kau bunting?! Aku jugak tahu tak?! Ha?! Tak payah nak nangis sangat! Otak kau tu terencat! Bukannya boleh fikir apa-apa pun!” Ditolak kepala gadis itu sehingga Hawa hampir-hampir sahaja terjatuh. Tangisan Hawa tidak terhenti.

Sewaktu Samad sedang bertumbuk dengan Sani, orang kampung datang setelah dipanggil oleh Tahar untuk menyelamatkan Hawa. Hawa yang sedang ketakutan itu telah dibawa pulang ke rumah Saliha. Mujur Sani tidak sempat memperkosa Hawa dan mujur juga Samad datang menyelamatkan dirinya.

“Kau ni kenapa ha Hawa?! Asyik-asyik nak buat aku pe…”

“Mak Sal! Asslamualaikum! Mak Sal!”

Saliha berhenti memarahi Hawa. Dia segera ke muka pintu untuk melihat tetamu yang datang malam-malam begini.

“Kenapa, Mad? Ada apa-apa ke?”

Samad yang sedang tercungap-cungap itu terdiam seketika. Cuba untuk mengambil nafas yang sudah berterabur memandangkan dia berlari tadi untuk ke rumah Saliha. “Shid… Shid… Rashid…” katanya putus-putus. Nafasnya tidak cukup.

Mendengarkan sahaja nama Rashid, Hawa terus sahaja melangkah mendekati muka pintu. Dia mahu tahu perkhabaran apa yang Samad bawa tentang abangnya itu. Tengah-tengah malam begini Rashid belum pulang-pulang juga dari laut.

“Ke… kenapa dengan Rashid, Mad?” soal Saliha tidak sabar. Dia sudah rasa tidak sedap hati.

“Shid… Shid… lemas. Dia dengan Daud lemas kat tengah laut sana…”

Saliha terasa dunianya berputar ligat. Sebelum pandangannya gelap. Hawa pula tersenyum riang. Dia yang tidak mengerti apa yang dikatakan oleh Samad itu melompat-lompat riang.

Yeay! Acid… alik… Acid… alik… Awa… uka… Awa… uka…” Dia bertepuk tangan sambil berlari mengelilingi ruang tamu yang kosong itu. Hilang sungguh kesakitan dan kesedihan yang menimpa dirinya sebentar tadi. Bila disebut tentang Rashid segala-galanya hilang begitu saja. 


********************

HARI ini genap seminggu perkhabaran Rashid dan Daud lemas di laut sana. Mayat kedua-dua mereka masih lagi belum ditemui. Hanya sampan mereka yang karam sahaja ditemui selepas hampir lima hari pencarian. Usaha menyelamat masih lagi diteruskan. Orang kampung pula berjemaah mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk agar mayat mereka berdua segera ditemui.
Hawa sudah menjadi penunggu di pantai ini sejak seminggu yang lalu. Perkhabaran tentang abangnya yang dipercayai lemas itu tidak memberi kesan langsung pun terhadapnya. Dia masih tetap juga menunggu kepulangan Rashid. Dia masih setia memanti Rashid turun daripada sampannya dan memeluk dirinya seperti sebelum-sebelumnya.
“Hawa, buat apa kat sini maghrib-maghrib macam ni? Kenapa tak balik rumah?” soal Siti, gadis manis yang bertudung itu. Dia yang bekerja di warung berdekatan pantai itu selalu memerhatikan Hawa sejak seminggu yang lalu. Gadis belasan tahun ini tidak jemu-jemu datang ke pantai ini tidak kira siang mahupun malam.
Awa… unggu… Acid. Acid… tak… alik… agi,” jawab Hawa sambil bermain-main dengan hujung rambutnya yang kusut-masai itu.
Siti terasa sebak saat mendengarkan jawapan naif daripada gadis tidak sempurna akalnya ini. Air mata sudah bertakung di sekitar tubir matanya. Mungkin Hawa tidak mengerti bahawa Rashid tidak akan pulang ke pangkuannya buat selama-lamanya.
Jap… agi… Acid… alik… Awa… ayang… Acid… angat…”
Saat itu air mata Siti mengalir deras. Sedih benar dia mengenangkan nasib Hawa ini. Gadis ini terlalu naif untuk mengerti semuanya tentang dunia ini. Tentang Rashid yang pergi menghadap Sang Pencipta. Tentang jasad Rashid yang masih lagi belum ditemui. Tentang Saliha yang sudah separuh gila berada di rumah sorang-sorang. Tentang segalanya.
Walaupun setahun Hawa menunggu Rashid di pantai ini, semuanya tidak akan berubah. Rashid tetap sudah tiada lagi. Rashid tidak akan pulang. Hawa seperti sang pungguk yang rindukan bulan. Bulan terlalu jauh untuk sang pungguk capai namun, pungguk tetap setia menanti si bulan jatuh ke pangkuannya.



********************

“MAKAN!”
Hawa tetap menggeleng. Nasi putih berlaukkan ikan masin serta kicap yang disuakan di hadapannya hanya dipandang kosong. Hawa dipaksa pulang ke rumah oleh Saliha setelah dia hampir-hampir sahaja pengsan akibat kelaparan. Mana tidaknya, Hawa hanya makan sedikit sahaja sepanjang seminggu dia menjadi penunggu di pantai tersebut.
Saliha jadi geram. Dia yang melihat gelengan Hawa dari belakang, mula menghampiri gadis yang tidak bermaya itu. “Aku kata makan, makanlah! Cuba jangan buat perangai boleh tak, Hawa?!” Ditolak kepala Hawa sehingga Hawa yang sedang duduk bersila itu hampir jatuh tersembam.
“Makan, Hawa!” Saliha sudah berada di hadapan Hawa. Dia bercekak pinggang sambil membuntangkan matanya. Hawa hanya diam membisu sambil menunduk. Dia tidak mahu makan dan minum. Yang dia mahu hanyalah kepulangan Rashid ke pangkuannya.
Awa… awa… nak… Acid…” Sayu nada suaranya berbicara.
“Rashid dah mati! Dia dah mati! Abang kesayangan kau tu dah mati, Hawa! MATI! Dia tak balik ke sini lagi! Faham tak?!” Suara Saliha menggegarkan rumah kayu usang itu. Hujan lebat yang turun menambahkan lagi effect gegaran itu.
Acid… tak… ati… Acid… elum… alik…” Susah payah Hawa mempertahankan pendapatnya. Dia memandang tepat ke mata Saliha.
Saliha naik geram. Darah berlumba-lumba menyerbu ke kepalanya. Marahnya sudah sampai. Dia bertinggung lalu mengambil sesuap nasi bersama ikan masin itu. Lantas menyumbat sesuap nasi itu ke dalam mulut Hawa dengan kasar.
“Aku dah suruh kau makan, kan? Tapi kau tak nak! Nanti orang kampung semua mengata aku! Sekarang, ha makan! Makan! Telan! Makan aku kata! Makan!”
Saliha ambil lagi sesuap nasi lalu disumbat ke dalam mulut Hawa dengan kasar. Dia melakukannya itu berkali-kali sehingga hatinya puas. Hawa pula pantas meraung dan menangis. Tangisannya amat kuat sehinggakan melawan bunyi hujan lebat di luar sana. Nasi yang disumbat tadi penuh di sekitar wajahnya.
“Baru puas hati aku! Kau ni tak habis-habis menyakitkan hati aku dari lahir sampai sekarang!” Pinggan yang masih lagi berbaki nasi itu dihempaskan sahaja dengan kasar. 
“Menyesal aku lahirkan kau, budak terencat! Kau tu satu sen pun tak guna! Kalau kau nak mampus, kau pergi mampus sekarang!” Tubuh yang tidak berdosa itu ditolaknya dengan sekuat hati. Saliha bingkas bangun dan menendang tubuh anak yang tidak berdosa itu pula sebelum berlalu dengan hati yang sebal.
Hawa yang jatuh tersembam itu perlahan-lahan bangun dengan wajah yang penuh dengan nasi. Dia merangkak ke muka pintu sambil tersedu-sedan.
Acid… Acid… Awa… nak… AcidAwa… ayang… Acid…”
Tiba di muka pintu, Hawa mengesot untuk menuruni tangga usang itu. Perlahan-lahan dia gagahkan jua tubuhnya untuk berdiri apabila telah sampai ke anak tangga yang terakhir. Hujan lebat serta guruh dan kilat sudah tidak dipedulikan olehnya. Dia hanya mahu Rashid. Rashid, Rashid, Rashid dan Rashid.


********************

DENGAN langkah yang longlai dan basah kuyup, Hawa tiba di pantai. Dari kejauhan dia ternampak ada sebuah sampan sedang perlahan-lahan menghampiri ke gigi pantai. Hujan yang terlalu lebat membataskan penglihatannya. Dalam samar-samar air hujan dia dapat melihat susuk tubuh lelaki yang berada di dalam sampan sedang melambai-lambai ke arahnya.



Hawa meraup wajahnya. Nasi yang penuh di wajahnya dibersihkan. Matanya tetap memandang ke arah susuk tubuh lelaki yang masih lagi melambai-lambai ke arahnya. Lama dia memerhati dan akhirnya, dia menguntum senyum.
Acid! Acid… alik! Yeay!”
Hawa pantas berlari mendapatkan sampan yang masih lagi berada di tengah laut itu. Dia berlari-lari dan tidak sedar sudah berada di dalam air. Sampan yang dia lihat seolah-olah dekat kini semakin lama semakin jauh. Dia cuba mengejar tetapi sampan itu pula seakan berlari menjauhi dirinya.
Hawa tidak sedar yang kini dia sudah pun berada di tengah-tengah laut. Air sudah sampai ke paras hidungnya. Kakinya mula mengayuh laju. Sampan tadi semakin tidak kelihatan. Susuk tubuh lelaki tadi juga sudah tidak kelihatan melambainya.
Namun, Hawa tidak berputus asa mengejar. Dia yang tidak pandai berenang itu mula tercungap-cungap. Kakinya sudah tidak mencecah ke dasar lagi. Kakinya sudah tergantung-gantung dan bermakna dia sudah berada di tengah-tengah laut yang dalam.
Acid! Olong! Olong… Awa!”
Hawa terasa nafasnya pendek. Dalam kepayahan dia mencari nafas, matanya dapat melihat Rashid mencapai tangannya. Pada waktu itu, dia terasa mahu melompat. Rashid sudah berada di hadapan matanya! Ternyata penantiannya selama ini tidak sia-sia. Dia bukanlah sang pungguk yang rindukan bulan lagi. Bulan yang selama ini ditunggu-tunggu sudah jatuh ke dalam pangkuannya.  
Hawa nampak Rashid tersenyum. Hawa juga membalas senyumannya. Rashid tarik tangan Hawa dan bawanya ke dasar lautan. Hawa mengikut tanpa banyak soal. Semakin lama, Hawa rasakan perjalanannya bersama Rashid ke dasar lautan semakin lama semakin kabur sebelum sepenuhnya gelap gelita. 
 



3 comments: