Monday, 14 July 2014

Cerpen: Cahaya Tirai Besi

Kedengaran sayup-sayup azan Subuh mengejutkan aku daripada lena. Aku membuka mataku seluas-luasnya. Ingin melihat keindahan ciptaan Yang Maha Esa yang tak pernah aku hargai selama ini. Aku bingkas bangun daripada pembaringanku. Pantas aku menjengahkan kepalaku keluar.
        Gelap. Tiada apa yang dapat aku lihat. Tiada sinaran cahaya matahari. Tiada sinaran pagi yang terpancar di wajahku. Baru aku tersedar yang aku bukannya tinggal di tempat dahulu. Tempat yang dahulunya bagaikan syurga bagiku. Tempat yang dahulunya menjadi titik hitam bagiku.
        Penjara Sungai Buloh. Aku melihat papan tanda tersebut dengan pelbagai perasaan. Geram, marah, benci. Semuanya bercampur menjadi satu. Sebelah kiri dan kanan aku ada pegawai polis yang erat memegang lenganku. Aku geram. Sepanjang perjalanan aku mengetap bibir menahan geram. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku belasah pegawai polis itu.
        Aku melabuhkan punggungku semula. Aku tersenyum sinis sewaktu teringatkan pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini. Ke Penjara Sungai Buloh yang digeruni oleh semua orang.
        Setelah azan subuh tadi berakhir aku pantas mengambil wuduk. Tanggungjawab kepada Yang Maha Berkuasa harus ditunaikan dengan segera. Kepala paip kuputar dengan cermat.
        Air yang mengalir keluar daripada kepala paip itu kutadah. Entah mengapa tiba-tiba datang satu perasaan sayu dan sedih menerjah ke tangkai hatiku. Perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
        Dahulu, air wuduk tidak pernah menyentuh mana-mana anggota tubuhku. Tidak pernah sekali pun aku membasahkan anggota tubuhku ini kerana Yang Maha Agong.
        Dahulu, arak menjadi minumanku. Dadah menjadi makananku. Pil kuda menjadi penawarku. Maksiat menjadi darah dagingku. Nyawa manusia sesuka hati aku ragut. Darahnya seringkali menyembur-nyembur di sekitar badanku.
        Aku bangga! Aku sungguh bangga kerana akulah yang berkuasa di kawasan itu! Tiada siapa yang berani melawan aku!
        Hakikatnya aku terlupa. Aku terlupa bahawa ada Sang Pencipta yang memerhatikan setiap inci gerak langkahku. Aku lalai. Aku alpa. Aku tidak pernah mengenali siapa Penciptaku sebenarnya.
        Air mataku laju menuruni lekuk pipiku. Aku biarkan sahaja air mata itu bercucuran keluar. Asalkan air mata itu keluar kerana Yang Maha Besar.
        Setelah selesai mengambil wuduk, sejadah yang tergantung kuambil dan kubentangkan menghadap kiblat. Kopiah putih lusuh pantas kusarungkan di kepalaku yang separuh botak itu. Niat kulafazkan dan takbir kuangkat.
        Sewaktu aku lidahku membaca Surah Al-Fatihah, perasaan sayu dan sedih datang lagi. Sekali lagi air mata bercucuran keluar. Aku biarkan sahaja air hangat ini menyentuh pipiku.
        Sewaktu aku sujud, aku rasa akulah hamba yang paling hina di sisi Yang Maha Pencipta. Selama ini aku tidak pernah sujud kepada Yang Maha Esa. Selama ini aku rasakan akulah yang paling berkuasa. Orang bawahan aku yang selama sujud di hadapanku. Aku menjadi bongkak dan angkuh.



         
“Ya Allah! Kau ampunkanlah dosaku. Dosa yang selama ini telah aku lakukan. Sesungguhnya aku tidak layak untuk syurga-Mu. Tetapi aku pula tidak sanggup menanggung seksa neraka-Mu. Dari itu kurniakanlah keampunan kepadaku. Ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.” Doa kupanjatkan setelah selesai solat. Air mata ini seolah-olah tidak jemu menyentuh pipiku. 
        Al-Quran yang terletak di atas meja kuambil. Aku pandang sayu kitab suci itu. Selama 40 tahun aku hidup tidak pernah sekali pun aku menyentuh kitab suci ini bahkan membacanya jauh sekali. Fikiranku melayang-layang kepada satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan.
        “Abang, ini hadiah untuk abang.” Yasmin, isteriku menghulurkan kotak yang cantik berbalut di hadapanku. Dia tersenyum.
        Aku mengerutkan dahi. “Hadiah?! Untuk apa?!” Aku tidak faham dan mengerti maksud isteriku ini.
        Yasmin menarik muka masam. “Laa…hari ini anniversary kita yang ke lima. Takkan abang tak ingat?” Sebelah keningnya sudah terangkat.
        Aku mengetap bibir atas dan bawah tanda sedang berfikir. Setelah lama berfikir, baru aku teringat. Hari ini, 16 Ogos tarikh aku melafazkan ijab dan kabul. Tarikh wanita di hadapanku ini sah menjadi isteriku. Aku tersenyum kelat. “Ya, baru abang ingat.” Aku pandang wajahnya yang ayu itu.
        Yasmin tersenyum semula. “Abang ni sibuk sangat sampai anniversary kita pun tak ingat.” Punggungnya dilabuhkan bersebelahan denganku. “Nah, ambil ni.” Sekali lagi kotak yang cantik berbalut itu dihulurkan kepadaku. “Min, tak minta apa-apa. Min hanya harap rumah tangga kita ni kekal sampai ke Jannah.”
        Aku menyambut hulurannya tadi perlahan-lahan. Kotak yang cantik berbalut itu kupandang kosong. Tiada perasaan.
        “Abang, bukaklah. Apa tunggu lagi?” Yasmin beria-ia menyruh aku untuk membuka balutan kotak tersebut.
        Aku hanya menganggukkan kepala. Kertas pembalut tersebut kubuka dengan rakus sekali. Aku berharap agar di dalamnya terdapat barangan yang mahal dan boleh membuatkan diriku dipandang tinggi oleh ‘anak-anak buahku’.
        Ternyata telahanku salah sama sekali. Di dalamnya terdapat sebuah Al-Quran. Aku geram. Aku marah. Aku seolah-olah menjadi orang yang tidak siuman. Pada hari itu juga aku lafazkan cerai kepada isteriku dan aku halau mereka pergi jauh daripada hidupku.
        Kini, Al-Quran di hadapanku ini menjadi penemanku sepanjang berada di tirai besi ini. Menjadi petunjuk supaya aku kembali ke jalan-Nya.
        “Faqis Ashraf bin Azim.” Aku tunduk sewaktu hakim memanggil namaku. “Kamu dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah.”
        Hatiku luluh. Badanku lemah. Sungguh, aku tidak menyangka hidupku berakhir di tali gantung.  


p/s: cerpen ni memenangi hadiah saguhati dalam pertandingan menulis cerpen anjuran AADK pada tahun 2014 peringkat pelajar universiti

0 comments:

Post a Comment