Thursday, 10 July 2014

Cerpen 4 Ihsan 2012 2

MEMORI INDAH BERSAMAMU

Hari ini merupakan hari yang paling istimewa dalam hidupku. Hari ini ialah hari yang paling tidak akan aku lupakan seumur hidupku. Hari yang paling menggembirakan buatku. Tidak lama lagi majlis yang istimewa akan bermula. Tidak lama lagi tetamu akan hadir memenuhi setiap inci ruang tamu di kediamanku. Ya, majlis pertunanganku akan berlangsung pada hari ini. Sedari tadi aku berada di kamar beraduku menunggu pekerja di butikku datang. Aku terasa amat berdebar-debar menunggu saat itu tiba. Jantungku tidak berhenti berdegup sedari tadi namun, aku kawal perasaanku kali ini. Aku kawal dengan tersenyum penuh makna. Senyumanku terhenti sebaik sahaja melihat kotak kecil berwarna coklat yang berada di sudut bilikku.
        “Sejak bila ada kotak kat sini?”
Aku segera mengambil kotak kecil yang berwarna coklat itu.
        Sepertinya kotak tersebut sudah lama kerana habuk menyeliputi luaran kotak kecil itu. Aku melabuhkan punggungku sambil memegang erat kotak tersebut.
        ‘KENANGAN KUSISS’
        Perkataan itulah yang tertera pada penutup kotak tersebut. Beribu persoalan bermain di mindaku tatkala aku melihat perkataan tersebut. Tanpa membuang masa aku membuka penutup kotak tersebut untuk mengetahui isi kandungan yang ada di dalam kotak tersebut. Ternyata di dalamnya hanyalah album foto-foto lama sewaktu zaman persekolahan lalu. Foto-foto tersebut kubelek satu persatu. Ternyata kenangan sewaktu zaman sekolah menengah dahulu amatlah indah.
        Aku memberhentikan jari-jemariku daripada terus membelek helaian muka surat album foto tersebut apabila mataku dapat menangkap sekeping foto kelasku dahulu. Aku mengeluarkan kepingan foto itu lalu kutatap foto itu.
        Eh, ini bukan gambar kelas 4 IHSAN dulu kan, getus hati kecilku sambil menatap lama wajah-wajah kawanku.
        Aku tersenyum sendiri tatkala mengingati kembali kenangan sewaktu berada di kelas 4 IHSAN dulu. Suka, duka, senyum, tawa, tangis semua ada di dalam kelas tersebut. Memori indah terpancar di mindaku tatkala aku merenung lama foto itu. Kini, usiaku sudah menginjak ke angka 29 tahun. Bermakna sudah 12 tahun aku meninggalkan zaman persekolahan yang sungguh indah itu. Aku mengira murid yang ada di dalam gambar tersebut.
        “1,2,3…” Jari-jemariku ligat menunjuk satu persatu wajah rakan-rakanku dahulu.
        “Wah, ada 13 oranglah! Baru aku ingat kelas 4 IHSAN lah kelas yang paling sikit.” Aku menepuk dahiku sambil tergelak kecil.

MEMORI sedikit sebanyak tentang rakan-rakan kelasku di 4 IHSAN sudah terpancar di mindaku. Empat orang lelaki dan sembilan orang perempuan. Itulah bilangan murid yang ada di kelas kami.
        Yang di barisan depan sebelah kanan ni, RAHIMEY.
        Jari telunjukku menunjuk wajah seorang jejaka yang sedang duduk sambil tersenyum itu. Pertemuanku dengan jejaka segak dan tampan itu dua bulan yang lalu terus segar dalam ingatanku. Sewaktu itu aku hendak menuju ke butik milikku.
        Alamak dah pukul 10 pagi! Aku dah lambat! gumamku sambil berjalan laju menuju ke butikku.
        Dengan tidak semena-mena aku terlanggar bahu seorang jejaka lalu katalog dan fail yang sedang aku pegang terjatuh ke bawah.
        “Eh, cik saya minta maaf.” Jejaka tersebut menghulurkan kembali katalog dan fail yang terjatuh itu kepadaku.
        Aku terkedu seketika tatkala melihat wajah jejaka tersebut. Jantungku seakan-akan berhenti berdegup saat melihat ketampanan wajahnya itu. Ketampanan pada wajahnya jelas terserlah. Aku tidak berkata apa-apa sehinggalah jejaka itu bertanya kepadaku.
        “Cik ni SUHAILA, kan?”. Jejaka tersebut mengamati wajahku.
        “Ya, saya. Encik ni siapa? Encik ada kaitan dengan saya ke?”
        Aku mengerutkan sedikit dahiku sambil turut mengamati wajahnya yang tampan itu. Seingat aku, aku tidak pernah sekalipun berkenalan dengan jejaka yang sungguh tampan yang berada di hadapanku.
        “Aku RAHIMEY. Ingat tak?” Jejaka tersebut memegang wajahnya yang tampan itu sambil tersenyum manis sehingga menampakkan barisan giginya yang tersusun elok ke arahku.
        “Oh, kau rupanya RAHIMEY! Kau dah berubah. RAHIMEY, you know what? You are totally different. Aku memang tak kenal kau kalau kau tak kenalkan diri kau. By the way, kau buat apa kat sini?”
        Aku sedikit teruja ketemu dengannya. Masakan tidak senyumannya yang manis itu sahaja sudah cukup membuatkan diriku sebagai seorang wanita tidak keruan jadinya.
        “Well, you know me. INSYIRAH, isteri aku pandai jaga aku. Sebab itu aku jadi handsome macam ni. Aku nak pergi firma guaman aku. Aku jadi peguam syariah. So, kau pulak macam mana?”
        Dia mengangkat sedikit keningnya. Aku terpaku seketika namun, aku dapat mengawal riak wajahku.
        “Aku sekarang ni jadi wedding planner and dah bukak butik pun. Anyway, tahniah sebab dapat isteri sebaik INSYIRAH.”
        Aku menghulurkan tanganku sebagai tanda ingin berjabat tangan dengannya. Dia menyambutnya sambil tersenyum senget.
        “SUHAILA, kau ada masa tak? Kalau ada jom kita pergi minum ke breakfast ke. Lagipun baru pukul 10. Kau dah breakfast?” Dia mengerling sekilas pada jam yang ada di pergelangan tangannya itu. Aku juga mengerling sekilas pada telefon bimbit milikku.
        “Ya Allah. Aku dah lambat nak jumpa customer ni. Sorry, RAHIMEY. I don’t have time. Maybe lain kali. Emm… bye, jumpa lagi.”
         Aku segera meninggalkannya sambil melambaikan tanganku kepadanya. Aku dapat melihat daripada ekor mataku dia membalas lambaianku dengan senyuman manis. Aku tersenyum tatkala mengingatkan pertemuan itu dua bulan yang lalu. Pertemuan yang tidak mungkin aku lupakan seumur hidupku. RAHIMEY, jejaka yang dapat menggetarkan jiwa wanitaku saat aku melihat wajahnya yang tampan itu. Sungguh aku tidak menyangka dia begitu tampan sekali sehinggakan aku tidak dapat mengenalinya sama sekali. Aku berbaring di atas katilku sambil jari-jemariku erat memegang foto lama itu.

“ISKANDAR,” tuturku sebaik sahaja mataku dialihkan kepada susuk tubuh yang duduk di sebelah RAHIMEY. Kejadian yang telah menimpa bakal tunangku di    BB ICE CREAM CAFE setahun yang lepas telah menyebabkan aku bertemu dengan jejaka yang sungguh istimewa ini, ZUL ISKANDAR FAHRRUZI.
        “Awak, sedap juga ais-krim kat sini. Tak sia-sialah awak bawa saya makan kat sini. Awak nak tau tak? Baru first time saya datang sini. Awak selalu datang sini dengan kawan awak ke?” Aku menyuap satu sudu ais-krim coklat ke dalam mulutku.
        Sedapnya sehingga tidak terkata. Aku memang penggemar tegar ais-krim. Tidak kiralah apa jenis perisa dan jenama pasti tidak aku tolak asalkan ianya adalah AIS-KRIM.
        “Selalu jugak saya dengan kawan saya datang makan dekat sini lepas habis kitorang training football. Lagipun owner of this café is ex-player of our football team, Harimau Malaya. Dia bersara daripada jadi football player sebab nak uruskan café ni. Dia penjaga gol tapi I don’t remember his name.” Bakal tunangku hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja sambil tangannya menyuapkan satu sudu ais krim ke dalam mulutnya.
        “Oh…macam tu rupanya. Café ni pun boleh tahan juga besarnya. Siap ada pelayan lagi yang hantar dan ambil order. Memang nampak mewahlah café ni tapi harganya masih lagi berpatutan.” Aku tidak habis-habis memuji café ini sambil mataku memandang sekeliling café yang tampak mewah ini.
        “Awak suka? Lain kali saya bawa awak pergi sini.” Dia hanya tersenyum apabila melihat aku amat menyenangi suasana di café ini. Aku memandang sekilas wajahnya dan kemudian pandanganku tertumpu pada suasana di café ini.
        “Eh, maaf encik. Saya tak sengaja.” Aku mengalihkan pandanganku ke arah suara tersebut.
        “Ya, Allah! Macam mana awak boleh jadi macam ni?” Aku pantas berdiri dan berjalan ke arah bakal tunangku yang berada bertentangan denganku. Aku lihat bajunya sudah terkena ais-krim pada bahagian bahu dan dadanya. Pada waktu itu pelanggan di café itu sudah memandang ke arah kami.
        “Maaf, cik, encik. Saya tak sengaja tumpahkan ais-krim dekat baju encik ni.” Pelayan tersebut terketar-ketar tatkala melihat mataku sudah mencerlung memandangnya. Dia hanya mampu menundukkan kepalanya sahaja.
        “Kamu ni cuai betullah.” Aku membuka tas tanganku lalu mengeluarkan sepeket tisu.
        “Saya nak kamu panggil tuan punya café ni, bos kamu. Sekarang juga!” arahku sambil tanganku ligat membantu bakal tunangku membersihkan bajunya yang terkena ais-krim itu manakala mataku tidak putus-putus memandang pelayan tersebut dengan pandangan amarah. Pelayan tersebut mengikut arahanku sambil berjalan laju menuju ke bahagian belakang café tersebut.
        “Awak tak payah marah kat dia sampai macam tu sekali. Kesian dia. Jatuh air muka dia. Lagipun dia kan dah minta maaf dekat saya. Awak tu terlebih emosi sangat. Yang kena bukan awak tapi saya. Tak apalah yang bahagian dada ni biar saya sendiri yang bersihkan. Awak bersihkan bahagian bahu.”
         Aku hanya memandangnya sahaja sambil melepaskan sedikit keluhan dan menuruti permintaannya. Nasib baik bakal tunang yang paling aku sayang, kalau tak jangan haraplah aku nak bersihkan baju dia, gumamku sendirian.
         “Saya bos dekat sini. Ada masalah ke, cik, encik?”
         Aku terus mengangkat wajahku tatkala mendengar suara tersebut menegur kami dari arah tepiku. Aku amati wajahnya. Wajahnya seperti aku pernah kenal sebelum ini cuma aku tidak pasti di mana dan bila.
         Wajahnya yang sememangnya tampan itu terserlah dengan adanya kumis yang nipis. Susuk tubuhnya yang tinggi lampai dan sasa itu tidak ubah seperti model Hero Remaja di majalah. Senyumannya juga tidak kurang hebatnya. Mampu mencairkan setiap wanita yang melihatnya.
         Menyedari aku sedang mengamati setiap inci wajah dan susuk tubuh jejaka yang sedang berdiri tegak di hadapanku sikuku segera disenggol oleh bakal tunangku. Aku segera menoleh ke arahnya lalu dia tersenyum penuh makna ke arahku.
        “It’s him,” kata bakal tunangku separuh berbisik.
        “Emm… cik, saya ZUL ISKANDAR FAHRRUZI. Owner of this café.” Dia segera memperkenalkan dirinya tatkala dia melihat aku tidak putus-putus mengamatinya.
        “Kau ni ISKANDAR, ke?”
         Aku teruja apabila mendapat tahu bahawa jejaka tersebut adalah rakanku di bangku sekolah dahulu.
        “Eh, SUHAILA! Tak sangka kita akan berjumpa di sini.”
        Ternyata dia juga begitu teruja bertemu denganku. Sifat terujanya tidak berubah walaupun sudah menjadi seorang jejaka yang kacak dan bergaya.
        “So, SUHAILA what’s the problem? Sampai nak mengamuk-mengamuk panggil aku. By the way, yang kat sebelah tu siapa? Tak nak kenalkan dekat aku ke?”
        ISKANDAR sudah menjuihkan bibirnya ke arah bakal tunangku sambil tersenyum sinis. Aku sudah tersengih-sengih sambil memandang ke arah bakal tunangku.
        “Oh, yang ni bakal tunang aku merangkap kekasih aku. Aku rasa mungkin kau kenal dia. ISKANDAR come join us.”
        Aku segera memperkenalkan dirinya kepada ISKANDAR. Bakal tunangku juga sudah menghulurkan tangan kanannya kepada ISKANDAR. Dia sudah menyambut huluran tangan bakal tunangku sambil menarik kerusi untuk duduk bertentangan dengan kami.
        “Hei, ex-kawan satu team dah lama kita tak jumpa. So, apa masalahnya sampai sayang kau ni marah-marah pekerja aku.”
        ISKANDAR sudah memandangku dengan mengukir senyuman penuh makna. Aku hanya memandang wajah bakal tunangku sahaja dan menanti jawapan daripada bibirnya.
        “Tak ada apa-apa pun cuma pelayan kau ni tumpahkan ais-krim dekat baju aku. Hal kecik je. Lagipun pelayan kau tak sengaja. Dia pun dah mintak maaf dekat aku. SUHAILA ni aje yang kecoh-kecoh sampai nak jumpa kau,” terangnya kepada ISKANDAR sambil menunjukkan kesan kotoran pada bajunya.
        “Kalau macam tu tak apalah. SUHAILA ni memang suka kecoh-kecoh. Daripada sekolah dulu dia memang macam ni.”
        ISKANDAR sudah tergelak begitu juga dengan bakal tunangku. Aku menjegilkan mataku ke arah ISKANDAR.
        “Anyway, kau buat apa sekarang? Dapat tak jadi wedding planner? Tapi masa dua tahun lepas aku tak jumpa pun kau punya butik. Jadi terpaksalah aku upah orang lain untuk handle wedding aku.”
        Dia mengerutkan sedikit dahinya.
        “Aku dah jadi wedding planner sejak empat tahun lalu. Maybe kau tak tahu nama butik aku sebab itulah tak jumpa. Sorrylah tak dapat tunaikan janji aku pada kau.” Aku terasa bersalah kerana tidak dapat menunaikan janjiku kepadanya.
        “It’s okay. Benda dah lepas. Makanlah lagi. Order lagi. Jangan malu-malu ye, kawan lama. Hari ni aku belanja korang berdua. Aku kan dah janji pada kau masa sekolah dulu.” Dia sudah memanggil pelayannya untuk mengambil pesanan daripada meja kami.
        Aku hanya tersenyum tatkala teringatkan pertemuanku dengan ISKANDAR. Kejadian yang membawa kepada pertemuan yang sungguh bermakna sekali.

AKU sudah duduk semula di birai katil setelah bangun daripada pembaringanku. Sebelah ISKANDAR, AZRA’IE, getus hati kecilku. Anak mataku memandang tepat ke arah susuk tubuh yang sedang duduk sambil menguntum senyuman yang mesra. Aku amati wajahnya betul-betul.
        Ternyata ingatanku kembali kepada kejadian yang menimpaku kira-kira empat bulan lepas. Kejadian yang membawa kepada pertemuan dengan jejaka yang misteri dan tidak kurang ada terselit sedikit keistimewaan dalam dirinya. Sewaktu itu aku dalam perjalanan ke KLIA.
        “Kat sini jugak dia nak rosak. Masa aku nak pergi KLIA nilah kereta nak rosak. Memang malang betullah hari ni. Kalau aku tak pergi jemput dia nanti dia marah pulak.”
        Aku menggaru-garu kepalaku yang dilitupi tudung sambil memandang ke arah kereta milikku. Aku sudah mula bersandar sambil berpeluk tubuh di tepi keretaku yang tersadai di tepi jalan itu. Mahu tidak mahu aku terpaksa menunggu seseorang yang sungguh baik hati untuk menolongku. Jauh di sudut hati aku berdoa kepada Tuhan supaya ada seseorang yang sudi untuk menolongku.
        Dari jauh aku lihat kereta Nissan Almera berwarna putih sudah memperlahankan kenderaannya tanda untuk berhenti. Kereta tersebut sudah berada di hadapanku. Aku lihat pintu di bahagian pemandu sudah terbuka. Seorang jejaka yang dalam lingkungan sebaya denganku keluar apabila pintu bahagian pemandu terbuka dengan memakai kaca mata hitam dan kot hitam tersarung di tubuhnya. Jejaka itu sudah berjalan perlahan menuju ke arahku. Aku terpaku seketika tatkala melihat dirinya yang begitu berkarisma dan mempunyai aura tokoh ahli korporat.
        “Cik, kereta cik ni rosak ke?”
        Tubuhnya yang tinggi lampai dan agak sasa itu sudah mendekatiku. Dia melihat keretaku yang tersadai itu.
        “Emm… ye. Saya tak tahu macam mana boleh rosak kat tengah jalan ni. Saya dahlah nak ke KLIA.” Aku sudah menggeleng-gelengkan kepalaku.
        “Kalau macam tu tak apalah. Nanti saya call kawan saya. Biar dia bawa kereta cik ke workshop dia. Cik kata tadi nak ke KLIA kan? Kebetulan saya pun nak ke sana. Biar saya tumpangkan cik ke sana.”
        Dia sudah mula menanggalkan kaca matanya itu. Wajahnya seperti aku pernah lihat dahulu tetapi aku tidak pasti bila.
        Aku hanya mengangguk. Aku pergi ke keretaku untuk mengambil tas tangan dan kunci kereta milikku. Dia sudah bergerak menuju ke kereta Nissan Almera miliknya sambil bercakap dengan seseorang di telefon. Aku membuka pintu di bahagian penumpang sebelah pemandu manakala dia sudah berada di dalam keretanya.
        “Terima kasihlah sebab tumpangkan saya, encik…”
        “Oh, saya AZRA’IE FAHMI.” Dia segera memperkenalkan dirinya.
        Aku terkejut apabila dia memperkenalkan dirinya lalu aku terus mengamati wajahnya.
        “Kau ni AZRA’IE ke?”
        Jari telunjukku sudah terangkat dan menunjuk ke arahnya. Perasaanku bercampur baur suka, teruja, terkejut. Semuanya bercampur menjadi satu. Dia yang sedar dengan tindakanku hanya tersenyum sahaja.
        “Kau pula SUHAILA, kan?” Dia juga sudah teruja bertemu denganku. Maklumlah sudah lama tidak ketemu.
        “Aku tak sangka kita boleh berjumpa di sini. SUHAILA, sekarang kau buat apa? Kenapa kau nak ke KLIA?” tambahnya.
        “Aku sekarang jadi wedding planner yang macam aku impikan sejak dulu lagi. Aku pergi ke KLIA sebabnya nak jemput seseorang. What about you? Kau nak pergi mana?” Dia fokus dengan pemanduannya. Sesekali wajahku dikerling sekilas.
        “Aku sekarang ni jadi businessman. Jadi untuk mengembangkan lagi business aku, aku nak ke Negara Timur Tengah.” Jari-jemarinya menggenggam erat stereng keretanya.
        “Wow, hebatnya kau,” pujiku sambil tersenyum memandang wajahnya.
        Aku tidak menyangka AZRA’IE akan pergi sejauh ini. Aku hanya mampu tersenyum apabila mengingatkan kejadian yang menimpaku. Kejadian yang membawa kepada pertemuan yang sungguh bermakna pada diriku.
        Daripada seorang jejaka yang misteri dan sukar untuk diduga pada suatu ketika dahulu dan sekarang ini dia sudah berubah. Dia sudah berubah menjadi seorang jejaka yang sungguh istimewa dan sempurna pada pandangan mata wanitaku ini. Saat ini aku merasakan hangat di sekitar tubir mataku. Entah mengapa dadaku menjadi sebak tiba-tiba. Aku segera menarik nafas dalam-dalam untuk mencari kekuatan diriku.       

AKU bingkas berdiri dan berjalan menuju ke meja solek milikku. Aku lihat wajahku dalam cermin yang berada di meja solek. Tidak semena-mena bibirku mula menguntum senyuman. Aku alihkan pandangan mataku ke arah foto yang masih berada dalam genggamanku. Mataku kembali terarah kepada jejaka yang sedang duduk di sebelah kiri sekali sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih berseri itu.
        “AFIQ NORAZMAN,” bisikku perlahan.
        Hanya aku sahaja yang dapat mendengarnya. Entah mengapa hatiku begitu sayu tatkala teringat kembali memori lalu bersama dengan dirinya. Hari-hari yang aku lalui sentiasa ceria dan gembira walaupun banyak tekanan yang menimpa diriku dengan adanya dirinya.
        Pertemuan dengannya kira-kira empat bulan yang lalu pada hari yang sama aku bertemu dengan AZRA’IE sudah memenuhi ruang mindaku. Pertemuan yang tidak dirancang dengan jejaka comel dan agak tampan di balai ketibaan, KLIA itu sudah cukup mengujakanku pada waktu itu. Pada waktu itu aku sedang menunggu ketibaan bakal tunangku yang baru pulang dari Sydney, Australia.
        “Manalah dia ni? Kawan-kawan dia satu team pun tak nampak batang hidung. Patutnya dah sampai. Kesian family diorang yang tunggu lama.”
        Aku sudah tidak senang duduk apabila kelibat yang aku tunggu tidak muncul-muncul. Aku berdiri sambil berpeluk tubuh. Mataku melilau-lilau mencari kelibatnya.
        Tatkala itu aku melihat rakan sepasukannya sudah menuju ke arahku dengan menolak troli namun, kelibatnya tidak juga kelihatan. Masing-masing sudah mendapatkan keluarga masing-masing. Aku sudah mula risau tentang keadaan dirinya.
        Aku cuba bertanyakan dirinya daripada salah seorang rakannya. Salah seorang rakannya sudah mengangkat jari telunjuknya dan menunjuk lurus ke arah dirinya bersama seorang jejaka.
        “Kenapa dengan dia?” Aku sudah mengerutkan dahiku.
        “Tak tahu,” balasnya sambil menggelengkan kepala.
        Aku terus berjalan menuju ke arahnya. Dari jauh aku dapat mendengar suaranya sedang memarahi jejaka itu.
        “Kau tahu tak hadiah ni penting. Aku nak beri pada orang yang penting dalam hidup aku. Kau pula jatuhkan dan pijak hadiah ni,” katanya dengan nada marah.
        Aku sudah mendekati dirinya sambil mengukir senyuman.
        “Hei, boys! Kenapa ni?” Aku sekadar berbahasa.
        “Dia ni jatuhkan dan pijak hadiah yang saya nak beri pada awak.” Bakal tunangku menunjukkan hadiah yang sudah kemek itu.
        “Saya mintak maaf encik. Saya tak sengaja. Saya gantikan dengan coklat special ni. Saya buat sendiri.”
        Jejaka tersebut sudah menunjukkan bungkusan coklat yang besar itu dengan dihiasi reben merah di tepinya.
        “Kau fikir coklat tu boleh ganti dengan hadiah yang aku nak beri ni.”
        Keadaan sudah menjadi tegang. Aku memandang wajah jejaka tersebut dan bakal tunangku silih berganti.
        Ternyata wajahnya sungguh comel. Pipinya yang halus, putih dan gebu itu menyerlahkan lagi kecomelan wajahnya. Tubuhnya yang sedikit gempal dan renek itu mengingatkan aku kepada seseorang, AFIQ NORAZMAN rakan sekelasku dahulu. Ya, wajah dan susuk tubuh jejaka yang berada di hadapanku mirip sekali dengan rakanku dahulu.
        Aku tidak fikir jejaka di hadapanku ini adalah dirinya. Jejaka tersebut juga kelihatan seperti ahli korporat yang sangat berjaya.
        “Nah, saya beri coklat yang istimewa ini untuk cik sebagai ganti kepada hadiah yang encik ni nak beri kepada cik.”
        Jejaka tersebut sudah menghulurkan bungkusan coklat yang besar itu kepadaku. Aku mengambilnya sambil tersenyum memandangnya. Dia turut membalas senyumanku. Senyuman jejaka itu juga mengingatkanku kepada rakanku dahulu namun, aku buang jauh-jauh perasaan itu. Bakal tunangku sudah mengetap gigi menahan geram.
        “Oh, terima kasih encik…”
        “Oh, saya AFIQ NORAZMAN…” Jejaka tersebut pantas memperkenalkan dirinya.
        Aku terkedu seketika apabila mendengar namanya namun, aku dapat mengawal riak wajahku agar tidak terlalu terkejut. Ternyata telahanku benar.
        “Kau AFIQ. Kau kenal tak aku?”
        “Kalau tak silap aku kau SUHAILA, kan?” Dia sedikit teruja.
        Aku hanya mengangguk sahaja. Bakal tunangku juga sudah mulai mengukir sedikit senyuman. Tanpa aku sedari pandangan mataku sudah mula berkaca-kaca. Aku pantas menyeka air mataku. AFIQ juga sudah mula berjabat tangan dengan bakal tunangku. Kedua-dua jejaka di hadapanku sudah mula berbaik.
        “So, AFIQ kau dari mana?” Aku sudah mula ceria dengan pertemuan ini.
        “Aku pergi Paris untuk kembangkan perniagaan aku kat sana. Sekarang ni aku business coklat. Akhirnya dapat juga aku ke Paris. Tempat idaman aku.” Dia sudah menolak trolinya.
        Aku juga mengikuti langkahnya perlahan-lahan. Begitu juga dengan bakal tunangku yang berjalan di tepiku.
        “Macam mana matlamat kau nak anak 15 orang tu? Tercapai tak?”
        Aku sudah mula tergelak kecil apabila mengajukan soalan tersebut kepada dirinya. Dia juga tergelak besar mendengar soalan itu. Bakal tunangku hanya tersenyum sahaja.
        “Tak dapat pun. My wife tak nak anak ramai.” Ternyata gelak tawanya masih bersisa.
        “Eh, jom kita pergi lunch. Dah pukul 1:30 ni. Perut aku pun dah lapar. Hari ni aku belanja sebagai tanda maaf. Nanti kita boleh borak panjang lagi,” sambungnya mengajak kami berdua. Aku dan bakal tunangku hanya mengangguk tanda setuju dengan ajakannya itu.
        Pertemuanku dengannya merupakan pertemuan yang paling manis. Siapa sangka dia boleh menjadi seorang ahli korporat yang berjaya. Sifatnya yang periang dan mudah didekati membuatkan aku berasa selesa berteman dengannya. Dia juga suka bercerita mengenai kehidupannya dan matlamatnya. Ketiadaannya pada waktu sekolah dahulu amat dirasai oleh rakan sekelasku yang lain termasuk diriku. Kali ini air mataku tidak dapat dibendung lagi. Mengalir deras namun, aku pantas menyeka sebaik sahaja air mataku cuba menyentuh pipiku.

AKU duduk di atas kerusi meja solek dan membelakangkan cermin solek itu. Foto lama itu masih lagi berada dalam gengamanku. Pandanganku kembali terarah kepada foto lama itu.
        “NADIHA,” tuturku apabila pandangan mataku sudah tertancap kepada seorang gadis comel dan genit yang sedang berdiri sambil mengukir senyuman yang menggoda.
        Pertemuanku dengan gadis berkulit sawo matang itu kira-kira seminggu lalu kembali terlayar di ruangan mataku saat ini. Tidak semena-mena bibirku perlahan-lahan mengukir senyuman. Pertemuanku dengan gadis itu di pasar malam merupakan pertemuan yang indah sekali.
        “SUHAILA, jomlah balik. Dah lewatlah ni.”
        Rakanku sudah mula gelisah dan mengajakku untuk pulang ke rumah sewa kami. Dia mula memaut lenganku dan perlahan-lahan menarikku untuk pergi dari pasar malam tersebut.
        “Ala kejap lagilah. Aku ada nak beli barang sikit.” Aku mula melepaskan pautannya daripada lenganku.
        “Kau nak beli apa lagi? Dah banyak ni. Aku penat. Nak balik.” Dia menunjukkan empat beg plastik yang berisi makanan yang kami beli sebentar tadi sambil melepaskan keluhan berat.
        “Kalau kau penat, nah ambik kunci kereta ni…” Aku mengeluarkan kunci daripada poket seluar jeansku. “…kau pergi masuk dalam kereta dulu. Relaks dulu. Tunggu aku. Nah, masukkan sekali plastik ni dalam kereta.”
        Aku memberi beg plastik yang berisi makanan kepadanya. Dia menyambutnya dan tersenyum kelat.
        “Kau jangan lama-lama pulak.” Dia memberi peringatan kepadaku.
        “Promise…”
        Aku sudah mengangkat sebelah tanganku untuk meyakinkannya. Dia hanya mengangguk kecil sambil berlalu pergi meninggalkan aku seorang diri. Aku hanya memandang kelibatnya yang sudah hilang dalam keramaian orang yang berada di situ. Mataku melilau-lilau mencari gerai makanan yang menjadi pilihanku. Aku berhenti di sebuah gerai yang menjual burger.
        “Kak, bagi burger ayam dua.” Aku memesan burger itu kepada penjual burger.
        Dia hanya mengangguk sahaja sambil memberi isyarat kepada seorang rakannya supaya menyuruh membuat dua burger ayam. Memandangkan begitu ramai pelanggan yang menunggu aku terpaksa menunggu hampir dua puluh minit.
        “Dik, nah ni burgernya.” Penjual wanita itu sudah memberi aku beg plastik yang berisi dua burger ayam.
        Aku menyambutnya sambil memberikan sejumlah wang untuk membayar harga burger berkenaan.
        “Mama, mama…adik nak burger tu.” Aku tersentak tatkala ada anak kecil yang sedang memegang erat tanganku.
        Aku lantas menundukkan pandangan mataku ke arah anak kecil tersebut. Sejak bila pulak aku ada anak? Nak kata aku ada adik tak ada, getus hati kecilku sambil mengerutkan sedikit dahiku.
        Anak kecil itu yang menyedari aku memandangnya semacam sudah mula ketakutan. Jelas menampakkan dia ketakutan berdasarkan daripada riak wajahnya. Perlahan-lahan dia melepaskan pegangan erat tangannya.
        “Kat sini rupanya anak mama. Puas mama dengan papa cari.” Seorang wanita sudah mengendong anak kecil itu bersama dengan seorang jejaka berada di sebelahnya.
        “Emm…cik, anak saya ni mengganggu cik ke? Kalau mengganggu saya mintak maaf.” Wanita itu sudah meminta maaf kepadaku.
        Mungkin dia menyedari anaknya itu menggangguku. Aku melihat wajahnya sambil tersenyum mesra. Ternyata wajah wanita itu amat aku kenali dahulu. Kulitnya yang sawo matang mengingatkanku kepada salah seorang rakan kelasku dahulu. Tak mungkin dia. Aku mula membuang perasaan itu jauh-jauh.
        Jejaka yang berada di sebelahnya juga aku amati. Wajahnya yang sungguh tampan dan susuk tubuhnya yang sasa itu mengingatkanku kepada rakan lamaku dahulu. Ya, kulitnya yang putih melepak itu menyerlahkan lagi ketampanan yang sedia ada pada dirinya.
        Tubuhnya yang sasa dan kelihatan berotot sana sini mampu menggetarkan setiap mata wanita yang melihatnya. Masakan jejaka yang perasan bagus dan poyo itu mampu aku lupakan. Takkanlah dia…dengan…dia. Sekali lagi hatiku berkata-kata.
        “Both of you look so familiar. May…I know your names?” Aku segera bertanya kepada mereka berdua untuk menghilangkan segala persoalan yang bersarang di mindaku.
        “Oh, I’m NADIHA and this guy is my husband, JAD AJWAD. Emm…if you don’t mind, may I know your name?”
        Aku sudah terkedu mendengar nama mereka berdua. Ternyata telahanku selama ini benar. Ternyata wanita yang comel dan jejaka yang tampan ini merupakan rakan lamaku.
        “Emm…aku SUHAILA.”
        Pandangan mataku sudah mulai kabur. Mataku sudah mulai berkaca-kaca. Aku pantas menyeka air mataku yang sudah bertakung di tubir mataku sambil tersenyum memandang mereka berdua.
        “Kau SUHAILA,” kata mereka berdua serentak. NADIHA sudah menurunkan anaknya lalu memeluk erat tubuhku.
        “Ya, Allah! Lamanya aku tak jumpa dengan kau.” NADIHA sudah menangis teresak-esak apabila dia mendakap erat tubuhku.
        Kali ini air mataku tidak dapat dibendung lagi. Air mataku merembes-rembes keluar. Aku biarkan sahaja air mataku keluar dengan derasnya. Rinduku kepadanya tidak dapat dibendung lagi.
        “So, sekarang kau buat apa? Semenjak dah kahwin ni aku nampak kau makin lawa. Oh, seronok ek dapat laki handsome macam JAD? Dah berapa lama kau kahwin dengan JAD?”
        Aku meleraikan pelukan erat kami dan mula berseloroh. JAD hanya tergelak kecil sahaja sambil mula menggendong anaknya itu. NADIHA hanya tersenyum menahan malu. Mukanya juga sudah dialihkan kepada suaminya yang tercinta.
        “Aku sekarang ni jadi bakery. Dah bukak kedai bakery pun. Aku dah kahwin dengan dia selama empat tahun. Baru dapat anak seorang.”
        “Berapa tahun anak kau ni, JAD?” Aku pantas bertanya kepada JAD.       
        “Tiga tahun. Tak lama lagi adik-adiknya yang lain akan menyusul.” JAD sudah mula mengerling ke arah isterinya sambil tersenyum penuh makna. NADIHA hanya menumbuk lembut bahu suaminya.
        “Anyway, kau buat apa sekarang? Yang kau ni sibuk tanya orang, kau tu dah berpunya ke belum?”
        NADIHA mengenyit mata ke arahku. Aku lihat JAD sudah menjongketkan keningnya sebagai tanda dia juga bertanya perkara yang sama pada diriku. Aku mula tersengih-sengih memandang mereka berdua.
        “Aku sekarang jadi wedding planner, macam apa yang aku impikan selama ni. Oh, minggu depan majlis pertunangan aku. Korang berdua datanglah.” Aku mula mengukir senyuman sambil memandang mereka berdua.
        Ternyata pertemuanku dengan NADIHA dan JAD kembali terlayar di ruangan mataku. Gadis berkulit sawo matang itu sudah berjaya mencapai impiannya. Kini, dia sedang meniti bahagia bersama dengan suami tercinta yang juga rakan setingkatanku. Siapa sangka jejaka yang perasan bagus itu sedang meniti behagia bersama gadis genit itu. Tiada siapa yang menjangka perkara tersebut akan berlaku namun, segalanya sedang berlaku sekarang.

AKU kembali menatap foto lama tersebut. Jari telunjukku kini sedang menunjuk lurus ke arah susuk tubuh seorang gadis yang sedang berdiri itu. NABILA. Ya, gadis berkenaan bernama NABILA. Gadis yang aku kenali dahulu sebagai seorang gadis yang biasa dan sentiasa bersederhana.
        Sekarang gadis ini telah menjadi seorang wanita yang sangat bergaya dalam setiap pemakaiannya. Yang sentiasa menitik beratkan fesyen trend terkini sebagai keutamaannya. Pertemuanku dengan wanita ini sukar untuk aku lupakan dan kini, memenuhi setiap inci ruang mindaku. Pertemuan itu berlaku kira-kira lima bulan lepas di KLIA. Sewaktu itu aku sedang menghantar bakal tunangku untuk berlepas ke Sydney, Australia.
        “Awak, jaga diri baik-baik tau kat sana.” Aku menghulurkan bagasi berwarna coklat itu kepadanya.
        “Awak janganlah risau. Saya tahu jaga diri kat sana. Awak tu yang kena jaga diri kat sini.” Dia sudah mengambil bagasi miliknya.
        Dia memandang ke arahku dengan pandangan mata yang redup. Aku membalas pandangan matanya dengan pandangan yang sedih. Suasana hening mula menerjah kami saat itu. Saat ini, aku rasa ingin memeluknya namun, apakan daya dia belum menjadi yang halal untukku.
        Aku berasa sebak tiba-tiba. Pandangan mataku sudah mulai kabur. Mataku sudah mulai berkaca-kaca. Aku merasakan ada air mata menyentuh pipiku. Dia yang menyedari aku sedang menangis mula merapati diriku. Amat rapat sehingga aku terasa kehangatan desah nafasnya. Aku yang menyedari perbuatannya itu mula mengundur setapak.
        “Awak janganlah sedih macam ni. Kalau awak sedih macam ni berat hati saya nak pergi. Nah…” Dia sudah menghulurkan sapu tangan miliknya kepadaku.
        Aku menyambutnya. “…kesat air mata awak tu. Saya pergi sana bukannya nak bercuti tapi sebabkan ada latihan dan friendly match dengan kelab bola sepak di sana. Saya pergi bukannya lama, sebulan je. Bukannya setahun atau selama-lamanya. Nanti kalau saya sampai kat sana, saya call awak, okay,” pujuknya.
        Dia sudah mula menarik bagasinya menuju ke balai berlepas dan menyertai rakan sepasukannya yang lain. Aku hanya mampu menggigit bibir menahan sebak. Dari jauh dia sudah melambaikan tangannya dan membuat isyarat tangan yang dia akan menefonku sebaik sahaja sampai di sana.
        Aku membalas lambainnya sambil tersenyum hambar. Apabila aku lihat kelibatnya sudah hilang, aku mula mengatur langkah pulang. Langkah yang aku atur sungguh longlai sekali. Sepanjang perjalanan aku hanya memandang lantai dengan pandangan kosong.
        Ya, pandanganku kosong sekosong perasaanku kini kerana ketiadaannya. Aku hanya menundukkan wajahku sambil melangkah longlai menuju ke arah pintu keluar. Tidak semena-mena aku terasa seperti bahuku terlanggar seseorang.
        “Hei, tak nampak ke? Are you blind?”
        Suara wanita itu menyebabkan aku mengangkat wajahku untuk melihat siapakah gerangan wanita tersebut.
        Dari bawah aku dapat melihat dia mengenakan kasut tumit tinggi lebih lima inci tingginya berwarna merah menyala dengan gaun beralun berwarna senada dengan sepatunya manakala blaus yang dipakainya berwarna pink dipadankan pula dengan tudung berwarna pink cair.
        Sepertinya wanita ini begitu mementingkan gaya dan penampilan dirinya. Sementara aku hanya mengenakan pakaian santai sahaja. Baju t-shirt lengan panjang bersama seluar jeans dan tudung hitam tersarung di tubuhku.
        “Maaf. Saya tak sengaja.” Aku sudah memulakan bicara.
        “Maaf konon. Awak ni lain kali kalau jalan tu mata letak kat depan bukan letak kat lutut.” Sinis sungguh kata-katanya itu.
        Aku sudah mengetap gigi kerana geram dengan kata-katanya itu. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku menampar mukanya. Sombong sungguh wanita itu. Dia sudah membuka kaca mata hitam yang dipakainya. Sebaik sahaja dia membuka kaca mata hitam miliknya itu, wajahku terus diamati olehnya. Dia tidak putus-putus mengamati wajahku. Aku hanya membatukan diriku apabila menyedari perbuatannya itu. Kini, setiap inci wajahku dan susuk tubuhku diamatinya.
        “Are you…SUHAILA?”
        Wanita itu mula bertanya kepadaku sambil jari telunjuknya lurus menunjuk ke arah wajahku.
        “Yup, dan awak…”
        Aku teragak-agak untuk mengeluarkan kata-kata. Saat ini aku sudah mengerutkan keningku.
        “I’m NABILA. Ingat tak?” Dia pantas memperkenalkan dirinya sebaik sahaja menyedari kerutan di keningku.
        “Oh, kau NABILA rupanya. Aku hampir tak kenal kau. You look such a gorgeous woman.”
        Aku sudah mula memeluk dirinya. Dia juga memeluk erat diriku. Air mataku juga sudah berhamburan keluar.
        “Hey, don’t cry…”
        Dia meregangkan pelukan erat kami lalu jari-jemarinya ligat mengesat air mataku yang sudah merembes di pipiku.
        “So, sekarang kau buat apa? Kau buat apa kat sini?”
        Aku bertanya kepada dirinya sambil tersenyum memandang wajahnya yang tercalit sedikit solekan itu.
        “Aku sekarang dah jadi fashion designer yang terkenal. Aku nak pergi LA ada fashion show kat sana…”
        “NABILA.”
        Suara tersebut memanggilnya dari jauh menyebabkan dia menunjukkan isyarat tangan menyuruh empunya suara tersebut menunggunya sebentar. “…aku dah lambat ni. Lain kali kita borak lagi. I got to go…”
        Dia sudah mula mengatur langkah meninggalkanku sambil menarik bagasi hitam. Dia melambaikan tangannya dan bergegas menuju ke balai berlepas. Aku membalas lambaiannya. Ya, mungkin lain kali kita akan berjumpa lagi. Aku mengiakan kata-katanya. Ternyata gadis yang sentiasa bersederhana dalam penampilannya sudah berubah menjadi seorang wanita yang amat menitik beratkan setiap inci penampilannya. Aku kembali mendakap erat foto lama tersebut.

PANDANGAN mataku terus dialihkan kepada susuk tubuh seorang wanita yang berkulit kuning langsat itu. Sebelah NABILA, HANUM, getus hati kecilku. Gadis itu sedang berdiri sambil tersenyum manis. Kejadian yang menimpa dirinya kira-kira sebulan yang lalu menyebabkan berlakunya pertemuan yang sungguh manis antara aku dan dirinya. Ternyata gadis berwajah bulat ini tidak kurang hebatnya dalam dunia perniagaan. Kejadian tersebut berlaku sewaktu aku hendak keluar dari butik milikku.
        “Hei, Yana! Kau nak ikut aku tak pergi lunch.” Aku sudah berdiri di muka pintu sambil memegang pemegang pintu.
        Pekerjaku merangkap rakanku sudah mengangkat wajahnya tatkala aku memanggilnya namanya.
        “Tak nak. Banyak kerja lagi nak kena siap.”
        Yana menggelengkan kepala sahaja sambil tangannya ligat membuat gubahan hantaran yang dipesan oleh pelanggan.
        “Betul tak nak ikut aku.” Aku meyakinkannya.
        Dia tetap menggelengkan kepala sahaja sambil matanya tidak putus-putus melihat gubahan tersebut.
        “Kalau kau tak nak ikut tak ape. Tapi kau nak kirim apa-apa tak?” Aku mengangkat keningku.
        “Nak. Nasi tomato dengan ayam masak merah.” Jari telunjuknya sudah diletakkan di tepi bibir.
        Aku hanya mengangguk sahaja. Aku nak makan dengan sapa pulak ni? Kalau nak makan dengan dia mesti dia tengah sibuk training bola sepak. Ha, aku ajak Lyn.
        Aku mengeluarkan telefon bimbitku sambil mencari nombor telefon rakan serumahku, Haslynda. Sementara itu tangan kiriku sudah menolak daun pintu untuk keluar.
        Bamm!!!
        Aku terkejut mendengar bunyi yang sungguh kuat itu. Mujur telefon bimbit yang masih berada di tangan tidak terjatuh. Aku mengurut dadaku berkali-kali sambil menarik nafas. Terkejut sungguh. Bunyi dentuman itu seperti dekat denganku.
        Takkanlah ada orang terlanggar pintu ni. Aku mengerutkan dahiku sambil mencari-cari apakah ada orang yang terlanggar pintu yang aku buka itu. Alangkah terkejutnya aku tatkala melihat seorang lelaki berbadan gempal pengsan di sebalik pintu itu.
        “Apa yang bunyi kuat sangat tadi?”
        Belum pun sempat aku memanggil Yana dia sudah berada di tepiku sambil melihat lelaki tersebut. Aku tidak dapat berkata apa-apa sebaliknya hanya memandang sahaja tubuh yang kaku itu. Rasa kesal dan bersalah sudah menyelubungi diriku. Orang ramai yang berada di kaki lima tersebut sudah mengerumuni tempat kejadian.
        “Kat sini pun pencurinya, encik.” Seorang wanita bersama dua orang anggota polis sudah meluru ke tempat kejadian.
        Apa yang terjadi ni? Aku makin bingung dengan suasana yang berlaku sekarang.
        “Encik, lelaki ni tak guna. Dia ragut beg tangan saya,” kata wanita tersebut kepada dua orang anggota polis itu. Dua orang anggota polis itu sudah membawa lelaki tersebut ke balai polis yang berdekatan.
        “Nasib baik ada cik yang bukak pintu masa peragut tu tengah lari. Apalagi peragut tu pun terlanggarlah pintu tu.” Cerita salah seorang mereka yang berada di situ kepada wanita tersebut.
        “Mana satu cik yang awak cakap tu?” tanya wanita itu.
        “Tu.” Lelaki tersebut menjuihkan bibir ke arahku yang sedang rancak berbual dengan Yana.
        Wanita tersebut perlahan-lahan menuju ke arahku sambil mencuit bahuku. Yana yang sedar perbuatan wanita itu terus berlalu pergi meninggalkan kami berdua.
        “Terima kasihlah, cik…”
        “…SUHAILA…”
        Aku pantas memperkenalkan diriku dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita tersebut. Dia menyambut huluran tanganku sambil tersenyum dan memperkenalkan dirinya pula.
        “Aku HANUM. Ingat tak?” Ternyata wanita tersebut ialah rakan sekelasku dahulu. Aku hanya mengangguk sahaja sambil memeluk dirinya.
        “Sekarang kau buat apa? Dah kahwin ke belum?” Aku sudah mula meleraikan pelukan kami.
        “Oh, sekarang aku jadi usahawan kerepek yang berjaya. Emm…aku dah kahwin. Sorry, aku tak jemput kau sebabnya lost contact.” Dia sudah mula menyeka air mata yang mula berlinangan di tubir matanya.
        “Tak apa. Aku faham.” Aku memegang bahunya untuk memujuknya. Ternyata gadis yang aku kenali dahulu menjadi seorang wanita yang sangat berjaya dalam perniagaannya. Gadis yang dahulunya biasa sahaja kini menjadi seorang wanita yang sangat hebat.

AKU mulai berdiri dan menuju ke arah tepi tingkap bilikku. Foto lama itu masih berada erat dalam genggaman tanganku. AZHANI, bisikku. Tidak semena-mena dadaku merasa sebak tatkala pandangan mataku tertumpu pada susuk tubuh seorang gadis yang pada diriku sungguh istimewa. Ya, pada pandangan mataku gadis ini sungguh istimewa. Pertemuanku dengan gadis yang berlesung pipit itu kira-kira tiga bulan lalu sudah cukup mengujakanku dan sedikit sebanyak dapat melespakan rinduku terhadap dirinya. Pertemuanku dengannya di sebuah hotel mewah sekitar ibu kota kembali terlayar di ruangan mataku.
        “Helo, Yana! Kau lambat lagi ke nak sampai?” Aku sudah berada di hadapan pintu hotel tersebut.
        “Kejap lagi aku sampai. Aku sangkut kat jam ni.” Kedengaran suara Yana di hujung talian.
        “Kalau boleh kau cuba cepat sikit tau. Banyak kerja kita nak buat ni.” Aku mula melangkah ke ballroom sambil memegang beberapa kuntum bunga dan keperluan untuk menghias dewan hotel ini.
        “Okay.” Yana terus mematikan talian tanpa sempat untuk aku mengakhiri perbualan kami.
        Hari ni aku akan menjalankan tugasku sebagai seorang perunding dan perancang perkahwinan. Bersama dengan tujuh orang rakan sekerjaku kami akan merealisasikan impian bakal raja sehari. Mungkin kami akan akan menginap di hotel ini satu malam.
        “Rin dengan Lan pergi letak barang-barang ni dekat ballroom dulu. Emm…Zul dengan Ain pergi ambik barang-barang yang ada lagi kat dalam van tu. Kau, Liya ikut aku pergi check in bilik hotel kita.”
        Aku memberi arahan kepada pekerjaku. Mereka mengikut sahaja arahanku tanpa membantah. Nasib baik family pengantin bagi bilik penginapan ni, kalau tak jangan haraplah kitorang nak duduk hotel mewah macam ni. Aku sudah mula mengatur langkah menuju ke bilik hotel.
        Pekerjaku juga hanya membontotiku sahaja. Sebaik sahaja selesai check in, aku dan Liya bergegas ke pintu hadapan hotel untuk menunggu Yana. Ternyata Yana sudah menunggu kami berdua di pintu hadapan.
        “Korang pergi mana?” Yana menerjah kami berdua sebaik sahaja aku dan Liya menghampirinya.
        “Kitorang pergi check in.” Liya memulakan bicara.
        “SUHAILA, kau pergi ambik barang-barang selebihnya kat dalam kereta aku. Ni kuncinya. Jangan lupa kunci sekali ye.”
        Yana sudah pun menuju ke ballroom hotel bersama Liya sambil menarik bagasi yang berisi barang keperluan untuk menghias ballroom tersebut. Aku segera pergi ke tempat parkir kereta dan menuju ke bonet kereta Proton Waja milik Yana. Aku membuka bonet kereta tersebut dan mencapai dua buah pasu bunga yang berwarna putih. Aku segera menutup bonet kereta tersebut dan menekan punat lock pada kunci tersebut.
        Aku memegang dua buah pasu bunga tersebut agak tinggi, memandangkan ketinggian pasu bunga tersebut separas pinggangku. Aku berjalan laju menuju ke arah ballroom tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Yang aku mahu hanya satu sahaja, ingin sampai cepat kerana dua buah pasu ini terlalu berat. Walaupun pasu ini bukan daripada seramik ataupun kaca tetapi ianya berat.
        Sebaik sahaja aku melintasi front desk dan menuju ke ballroom, aku terasa seperti bahuku berselisih dengan seseorang. Ianya sungguh kuat sehingga aku terdorong ke belakang sedikit.
        “Maaf, saya mintak maaf.” Wanita yang sebaya denganku sudah meminta maaf kepadaku.
        Menyedari perbuatannya itu aku segera menoleh ke arahnya. Ternyata wanita itu bersama dengan seorang jejaka. Sepertinya mereka itu suami isteri. Aku segera meletakkan kedua-dua buah pasu bunga itu di bawah lalu memandang ke arahnya sambil tersenyum. Wanita tersebut mengamati wajahku lama.
        “You look so familiar. Kita pernah jumpa ke sebelum ni?” Wanita tersebut mengerutkan dahinya.
        Sepertinya aku amat mengenali wanita itu dahulu tetapi aku tak pasti. Perlahan-lahan wanita itu mengukir senyuman. Aku hanya membatukan diri sahaja.
        “Oh, baru aku ingat! Kau ni SUHAILA. Aku AZHANI.”
        Aku hanya mengangguk. Ya, dia memang AZHANI rakan kelasku dahulu. Tanpa aku sedari dia telah memeluk tubuhku. Jejaka yang berada di sebelahnya hanya tersenyum.
        “Lamanya kita tak jumpa. How’s your life now? Kau buat apa kat sini? Honeymoon ke?”
        Aku meregangkan pelukan erat kami, namun dia tetap memegang erat lenganku. Mukanya sudah merona merah. Malu barangkali.
        “Oh, great. Sekarang ni aku dah jadi executive kat syarikat perkapalan. Aku kat sini pun sebab urusan kerja. Kenalkan, my husband merangkap my boss.” Dia sudah memperkenalkan jejaka yang memakai kot itu.
        Jejaka tersebut tersenyum ke arahku. Aku turut membalasnya. Ternyata kebahagian jelas terpancar daripada riak wajah merka berdua. Kini, AZHANI sedang meniti bahagia bersama suami tercinta. Pertemuanku dengannya dapat melepaskan rindu yang sering bertamu dalam diriku. Air mataku mengalir deras. Aku biarkan sahaja.

AKU mengesat air mataku yang berhamburan keluar daripada tubir mataku. Mataku kembali tertancap pada susuk tubuh gadis yang tinggi lampai dan berkulit cerah itu. AISYAH. Ya, namanya cantik secantik orangnya. Pertemuanku dengan gadis berkulit cerah itu amat memeranjatkanku.
        Daripada seorang gadis yang berwatakan seperti lelaki berubah menjadi seorang wanita yang sungguh feminine. Perubahan yang berlaku ke atas dirinya itu amat memeranjatkan diriku. Pertemuan tersebut berlaku kira-kira dua tahun lalu sewaktu aku berada di butik milikku.
        “Hei, SUHAILA! Kau nak keluar tak ni?” Yana sudah berada di muka pintu.
        “Tak nak. Kejap lagi aku ada appointment dengan customer.” Aku mengangkat wajahku sambil menggeleng-gelengkan kepala.
        “Kau nak kirim tak?” Sekali lagi Yana bertanya.
        “Tak. Emm…sebenarnya aku tengah puasa,” kataku sambil tersenyum memandangnya.
        “Aish…sejak bila pulak kau puasa ni? Puasa ganti ke…puasa sunat?” Yana mula berseloroh.
        “Emm…” Aku tidak menjawab pertanyaannya.
        Tanpa aku sedari Yana telah pun pergi bersama dengan tiga orang pekerjaku. Aku duduk di atas kerusi kecil sambil menyelak helaian majalah yang berada di tanganku. Aku menunggu customer tersebut di suatu sudut butikku. Tempat biasa aku dan customer selalu berbincang.
        “Ni dia cik.”
        Aku mengalihkan pandanganku kepada Liya sebaik sahaja dia sudah berada di hadapanku bersama dengan seorang wanita. Aku bingkas bangun.
        “Thanks Liya. You may go now.” Kelihatan Liya sudah berlalu pergi meninggalkan aku dan wanita itu.
        “So, cik ni yang buat appointment kelmarin?” Aku sudah menghulurkan tanganku.
        Aku terkedu seketika melihat susuk tubuh dan wajah wanita itu. Ternyata wanita yang berada di hadapanku sungguh cantik. Susuk tubuhnya yang tinggi lampai itu menarik pandangan wanitaku. Kulitnya yang cerah itu menambahkan lagi kecantikan pada wajahnya.
        “Yes I am,” katanya sambil tersenyum.
        Senyumannya yang manis itu dapat membuatkan sang lelaki terpana melihatnya. Aku pantas mengawal riak wajahku dan mempersilakannya untuk duduk di hadapanku.
        “So, cik mana bakal pengantin lelaki?” Aku memulakan berbicara.
        “Oh, dia outstation. Dia suruh saya bincang dengan awak dulu.” Dia sudah mula membetulkan duduknya di atas kerusi.
        “Kalau macam tu tak apalah. Okay, cik tengok dulu katalog ni. Cik decide dulu tema apa cik nak. Nanti yang lain saya uruskan. By the way, apa nama cik? Saya lupa.” Aku menyuakan beberapa katalog kepadanya sambil tersenyum memandangnya.
        “Nama saya SITI AISYAH. Nah…ini kad nama saya.” Dia menghulurkan kad namanya kepadaku.
        SITI AISYAH. Takkanlah dia…tak mungkin dia. Setahu aku SITI AISYAH yang aku kenal lain sangat. Aku menyambut kad namanya dengan beribu kerutan di dahiku. Aku membaca kad nama tersebut. Hmm…akauntan, sekali lagi hatiku berkata-kata. Aku sudah tidak senang duduk dengan wanita jelita di hadapanku ini.
        “Emm…cik ni SITI AISYAH ZULKIFLI, ke?” Aku menjongketkan keningku.        
        “Yes…and you are…”
        “SUHAILA…” Aku pantas memperkenalkan diriku. Ternyata wanita di hadapanku ialah rakan sekelasku dahulu.
        “Long time no see, SUHAILA.”
        Dia sudah mula mendepangkan tangannya. Aku mendakap erat tubuhnya sambil air mataku merembes keluar. Aku tak sangka kau jadi macam ni, AISYAH. Sekali lagi hatiku berkata-kata. Ternyata pertemuanku dengannya telah menyebabkan aku terkejut melihat perubahan drastik yang berlaku ke atas dirinya. Aku sungguh kagum melihat perubahan yang berlaku ke atas dirinya.
        Aku sudah membuka langsir tingkap bilikku. Aku pandang langit. Gadis yang dahulunya aku lihat bagaikan langit dengan bumi bezanya dengan sekarang. Sangat berbeza dengan penampilannya sekarang. Tiada siapa yang menjangkakan perkara sebegini akan berlaku pada dirinya namun, segalanya telah dan sedang berlaku sekarang. Perlahan-lahan aku menguntum senyuman apabila teringatkan pertemuanku dengannya. Wanita yang dapat menggetarkan jiwa kaum Adam apabila melihatnya.

ANAK mataku kembali terarah kepada susuk tubuh gadis yang tidak kurang tinggi itu. Gadis berkulit sawo matang ini bernama HAIFA. Kejadian yang menimpa rakanku menemukan aku kepada gadis yang periang ini. Ingatanku terhadap pertemuanku dengan gadis aktif ini kira-kira dua minggu lepas terus terlayar di ingatanku. Aku tergelak kecil tatakala teringatkan kejadian yang berlaku.
        “Mana Yana ni?” omelku sambil mengerling sekilas ke arah jam tangan milikku.
        Jam menunjukkan hampir ke pukul dua petang, namun kelibat yang aku tunggu tidak datang juga. Aku sudah mula risau dengan keadaan dirinya.
        “Zul, ada tak Yana cakap apa-apa?” Aku menoleh ke arah jejaka yang berkaca mata itu.
        “Tak ada pun.” Zul hanya memandangku sekilas dan kembali menyambung kerjanya.
        Mana sajalah si Yana ni? Aku sudah mula menggigit bibir menahan kerisauan yang mula menyelubungi diri ini. Aku mengambil telefon bimbit untuk menelefon Yana. Alamak topup habis pulak. Aku mencampak telefon bimbitku kembali di atas meja yang di penuhi dengan bunga.
        “SUHAILA, cuba kau tengok kat luar tu?”
        Liya menunjukkan aku ke arah tempat parkir bertentangan butikku. Aku mula memanjangkan leherku dan mataku meliar mencari tempat yang ditunjukkan oleh Liya.
        “Nampak macam Yana. Tapi siapa kat sebelah dia tu?” Aku dapat melihat Yana di tempat parkir bersama seorang wanita lingkungan sebaya denganku.
        “Baik kau pergi tengok. Mana tau ada masalah ke? Nampak macam diorang berdua tu tengah bergaduh je.” ujar Liya menyuruhku untuk pergi ke tempat parkir tersebut.
        Aku pandang wajah Liya. Dia membalas pandanganku sambil menyuruhku untuk pergi ke tempat tersebut. Aku akur dengan cadangannya dan mula melangkah pergi ke tempat tersebut. Dari jauh aku dapat mendengar suara Yana yang serius itu. Kedengaran juga suara keras daripada wanita itu. Memang benar kata Liya, mereka sedang bergaduh.
        “Kau fikir nak ganti kereta aku ni murah. Hei, ni kereta mahallah.” Sindiran wanita itu cukup pedas.
        Aku sudah mula tidak sedap hati. Aku gagahkan juga langkah kakiku untuk mendekati mereka. Aku mula mendekati gadis yang berambut panjang separas pinggang itu.
        “Yana, kenapa ni?” Aku memaut lengannya. Belum pun sempat Yana menjawab soalanku wanita tersebut laju memberikan jawapannya.
        “Kawan awak ni dah langgar belakang kereta saya. Sekarang ni saya nak mintak ganti rugi.”
        Aku lihat bahagian belakang kereta Volkswagen, Polo Sedan berwarna hitam matellic itu sudah kemek sedikit. Ya, jelas kelihatan ianya telah dilanggar.
        “Ma…ma…mana ada aku langgar kereta kau. Kau tu yang mengundur daripada parkir tu tak tengok belakang sebab tu jadi macam tu! Kau fikir kereta kau je ke? Kereta aku pun sama!” Suara Yana sudah mula meninggi. Aku lihat bahagian hadapan kereta Proton Waja milik Yana sudah kemek juga.
        “Dah langgar tak nak mengaku konon.” Sinis sungguh kata-kata wanita itu.
        Yana sudah mengetap gigi menahan geram. Aku hanya memerhatikan sahaja kerenah mereka. Mereka tidak ubah seperti anak kecil yang bergaduh berebutkan gula-gula. Masing-masing tidak mahu mengalah. Aku pandang wajah Yana dan wanita sombong itu silih berganti.
        “Aku tak langgarlah.” Suara Yana mula bergetar.
        Yana sudah mula mendekati tubuh langsing wanita tersebut sambil tangannya sudah naik ke pipi wanita tersebut. Wanita tersebut menggigil ketakutan. Nampaknya keadaan menjadi semakin tegang. Ternyata Yana sudah naik berang. Belum pun sempat tapak tangan Yana hinggap ke pipi wanita itu, aku pantas memegang pergelangan tangannya.
        “Enough, Yana! Don’t act like a child!” Serius kedengaran suaraku.
        Aku pandang wajah Yana dengan pandangan yang serius. Nampaknya kemarahan Yana sudah mulai mengendur. Aku lepaskan pegangan erat pergelangan tangan Yana itu perlahan-lahan. Wanita tersebut melepaskan keluhan yang berat. Ternyata dia sudah mulai lega.
        “Macam nilah. Nanti saya call kawan saya, dia ada workshop kereta. Saya suruh dia bawak dua-dua kereta sekali ke workshop dia. Macam mana, boleh? Jangan risau sekejap aje boleh siap.”
        Aku memberi cadangan kepada mereka berdua. Ternyata mereka berdua setuju dengan cadanganku.
        “Who should I thank to…”
        “…SUHAILA.”
        Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita tersebut. Dia mengamati wajahku lama. Ternyata dia seperti mengenali diriku sebelum ini.
        “Kau SUHAILA, kan? Kau ingat aku tak? HAIFA SABIAN.” Dia menguntum senyuman dan kemudian memeluk diriku.
        “Ya, aku ingat kau. Mana boleh lupa.” Aku juga turut membalas pelukannya. Yana juga sudah mula mengukir senyuman.
        “Bila kau balik dari Manchester? Kau sekarang buat apa?” Aku meleraikan pelukan erat kami.
        “Dua tahun lepas. Sekarang ni aku jadi akauntan dekat bank.” Ternyata dia begitu gembira dengan pertemuan ini. Bibirnya tidak lekang daripada mengukir senyuman. Aku juga gembira bertemu dengannya. Aku tergelak tatkala teringatkan pertemuanku dengan gadis aktif itu. Kejadian yang membawa kepada pertemuan yang sangat istimewa.

AKU kembali duduk di birai katil milikku. Mataku kembali terarah kepada foto lama yang berada dalam genggaman eratku. ALIA MARJAN. Anak mataku tertumpu kepada gadis berkulit cerah dan bermata bundar itu. Gadis yang aku kenal sentiasa menceriakan hidupku seperti AFIQ NORAZMAN. Ketawa bersama hingga tidak keruan jadinya. Ideanya untuk membuat kami sekelas pecah perut tidak pernah kering. Walaupun sifatnya agak kasar seperti lelaki namun, di sebalik dirinya ada terselit sedikit kelembutannya.
        Kelembutannya itu telah menambat hati seorang jejaka. Keayuan dan kelembutannya itu telah membuatkan dirinya nampak begitu istimewa di mata jejaka tersebut. Siapa jejaka bertuah tersebut? Biarlah dia sahaja yang mengetahuinya.
        Pertemuan dengan dirinya kira-kira dua minggu lepas telah mengujakan diriku. Pertemuan yang tidak disangka-sangka itu telah membuatkan diriku begitu teruja sekali.
        Aku mengorak langkah ke satu-satunya syarikat fotografi yang terkenal di ibu kota. Aku berada di sini untuk membuat tempahan photographer bagi majlis pertunanganku tidak lama lagi. Aku pergi ke syarikat tersebut dengan ditemani oleh seorang rakanku, Yana. Bakal tunangku tidak dapat menemaniku kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan. Tidak mengapa asalkan ada rakanku yang mahu menemaniku.
        Tepat jam sepuluh pagi aku dan Yana sudah masuk ke dalam pejabat fotografi tersebut. Aku lihat ada seseorang sudah setia menunggu kedatangan kami. Kami melangkah ke arahnya sambil tersenyum mesra. Dia turut membalas senyuman kami.
        “Sila duduk.” Dia mempersilakan kami untuk duduk.
        Kami pun melabuhkan punggung di sebuah sofa panjang. Kelihatannya santai sahaja perbincangan kami ini.
        “Cik ni ke yang buat appointment semalam?” Aku menggangguk.
        “Saya Encik Baddrol. Manager office ni. You can call me Encik Bad.” Lelaki yang dalam lingkungan 30-an itu memperkenalkan dirinya kepada kami.
        “Oh, saya SUHAILA…dan ini kawan saya, Yana.” Giliran aku pula memperkenalkan diri kami. Lelaki tersebut hanya tersenyum.
        “So, awak nak khidmat photographer daripada syarikat kami ni?” Aku menggangguk lalu memandang Yana yang berada di sebelahku.
        “Bila majlis awak tu?”
        “Lebih kurang dua minggu lagi.” Aku pantas menjawab.
        “Anyway, Encik Bad. Can I have a professional photographer during my ceremony? Kalau boleh saya nak seorang atau dua orang sahaja fotografer dan kalau boleh saya tak nak yang amatur.” Aku menjongketkan sedikit keningku.
        “Nak yang professional ya?”
        Dia sudah menyandarkan tubuhnya pada sofa yang bertentangan dengan kami. Aku mengangguk laju.
        “Kalau awak nak yang professional saya boleh bagi. Nanti saya panggil dia supaya awak boleh deal dengan dia.”
        Encik Bad segera menuju ke meja pekerjanya yang dikatakan seorang photographer professional itu. Aku dan Yana berpandangan sesama sendiri sambil memberi senyuman menuh makna.
        “This is she. Our only professional photographer.”
        Encik Bad sudah bersama seorang wanita lingkungan sebaya denganku. Wanita tersebut tersenyum ke arah kami lalu melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengan kami bersama Encik Bad.
        “Saya ALIA…” Wanita tersebut pantas menghulurkan tangannya. Aku terdiam seketika.
        “Saya SUHAILA dan ini Yana.” Aku pantas menyambut huluran tangannya itu. Dahi ALIA sudah berkerut tatkala mendengarkan namaku. Mungkin dia mengenaliku sebelum ini.
        “Kau ingat aku tak? ALIA MARJAN?” Dia sudah mula menunjukkan keterujaan berdasarkan riak wajahnya.
        “Oh, kau ALIA MARJAN! Mana boleh lupa.”
        Aku sudah mula berdiri untuk berpelukan dengannya. Dia turut membalas pelukanku. Encik Bad dan Yana hanya memandang kami berdua dengan pandangan yang bingung.
        “Dah lama kita tak jumpa.” Aku sudah mula menitiskan butir-butir air mata, namun cepat-cepat aku menyekanya.
        “Kau jadi photographer aku…” pintaku sambil meleraikan pelukan kami.
        “Ye la…tak kan jadi photocopy kau pulak…” selorohnya.
        Serta-merta meledak ketawanya. Aku juga ketawa mendengar selorohnya. Encik Bad dan Yana juga tidak ketinggalan ketawa mendengarkan ALIA berseloroh. Ternyata sifatnya dahulu tidak berubah sama sekali. Loyar buruknya dan lawaknya menjadi penemanku sehari-hari di kelas dahulu.
        Hari yang aku lalui sungguh ceria dan gembira dengan adanya dirinya. Gadis seperti ALIA adalah satu dalam seribu. Satu per satu kenangan bersama dengan gadis berkulit cerah itu mula menerjah mindaku saat ini. Aku ketawa tatkala teringatkan pertemuanku dengannya tempoh hari.

AKU kembali menatap foto lama tersebut selepas tawaku mereda. Mataku kini tertumpu kepada empunya susuk tubuh comel bernama AFIQAH. Kehadirannya juga sedikit sebanyak memberi keceriaan dalam hidupku sehari-hari. Pertemuan dengannya kira-kira enam bulan lepas kembali terlayar di ruangan mataku. Pertemuan yang begitu bermakna sekali buat diriku dan juga buat dirinya.
        “Hello! SUHAILA, boleh tak ambik aku kat rumah? Kereta aku tiba-tiba buat hal. Nanti kau tolong hantar aku dengan baby aku pergi nursery. Lepas tu hantar aku pergi ofis, ye?” pinta Reena, kawanku dalam talian.
        “Okay. Kejap lagi aku datang rumah kau. Aku dah nak keluar rumah ni. Bye…”
        Aku mematikan talian sambil menyarungkan kasut dan bergegas menuju ke keretaku. Tidak sampai lima minit aku sudah memandu ke rumah rakanku, Reena. Bekas rakan serumahku dahulu dan kini telah berpindah rumah kerana telah mendirikan rumah tangga.
        Aku sudah berada di perkarangan rumah Reena. Aku membunyikan hon untuk membuatnya gelabah. Kelihatan dia terkocoh-kocoh menuju ke arahku sambil menggendong anak kecilnya.
        “Reena, cik abang kau mana?” tanyaku sebaik sahaja Reena masuk ke dalam kereta. Kami juga sudah berada di jalan raya.
        “Suami aku pergi outstation semalam.” Dia mengerling ke arahku sambil mencebik bibir. Aku tahu kekecewaan jelas terpancar daripada riak wajahnya.
        “Dia outstation kat mana? Sampai bila?” tanyaku inginkan kepastian.
        “Dia outstation kat Sandakan, Sabah. Dia pergi outstation sampai minggu depan.” Reena menundukkan wajahnya sambil membelai-belai lembut rambut anak kecilnya.
        “Alah Reena…janganlah sedih.”
        Aku memujuknya sambil mengerling sekilas wajahnya yang mula mendung itu. Dia hanya tersenyum sambil mengalihkan pandangan ke arah jalan raya. Lebih kurang dua puluh minit perjalanan akhirnya kami tiba di nursery yang dikatakan oleh Reena tadi.
        “SUHAILA, kau nak ikut aku tak?” Reena bertanya kepadaku sambil membuka pintu kereta untuk keluar.
        Aku hanya mengangguk sambil mematikan enjin kereta. Aku dan Reena sudah bergerak menuju ke pintu pagar rumah teres dua tingkat itu. Nampaknya nursery ini begitu selamat untuk anak-anak kecil.
        Setelah loceng ditekan sebanyak dua kali barulah kelibat seorang wanita muncul. Wanita itu menuju ke arah kami berdua. Aku terkesima seketika tatkala melihat wajah wanita tersebut. Wajahnya amat aku kenali dahulu. Aku amati wajah wanita yang sedang menuju ke arah kami.
        “Jemputlah masuk,” pelawa wanita tersebut apabila membuka pintu pagar itu. Aku dan Reena melangkah masuk ke dalam nursery tersebut.
        “Puan nak hantar anak puan, ke?” tanya wanita tersebut kepada Reena.
        Suaranya juga amat aku kenali, namun aku buang perasaan tersebut jauh-jauh. Mungkin kebetulan. Aku cuba menyedapkan perasaanku sahaja. Reena mengangguk lantas menyerahkan anak kecilnya yang dikendong itu kepada wanita tersebut. Kini, anak kecil itu sudah bertukar tangan.
        “Nanti pukul lima petang saya ambik anak saya.” Reena menghulurkan beg berisi keperluan anak kecilnya kepada wanita tersebut.
        “Lina jangan nakal-nakal. Lina ikut auntie…” Reena mencubit pipi gebu anaknya itu.
        Menyedari Reena bertanyakan nama wanita tersebut, dia terus memperkenalkan dirinya. “Lina ikut Auntie AFIQAH…” Wanita tersebut pantas menghabiskan ayat Reena.
        Aku terkejut mendengarkan nama wanita tersebut. Ternyata telahanku selama ini benar. Kali ini, aku tidak dapat menyembunyikan riak wajah terkejutku.
        “Kau AFIQAH ke? Kau ingat aku tak, SUHAILA?” Aku pantas bertanya kepadanya.
        “Aku ingat kau. Mana boleh lupa.” Aku segera memeluk erat tubuhnya. Reena tersenyum sahaja melihat kami berdua. Pertemuanku dengannya amat mengejutkan dan tidak disangka-sangka. Pertemuan dengan gadis comel itu sudah cukup bermakna bagi diriku.

TIDAK semena-mena air mataku tumpah sekali lagi. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Air mataku merembes-rembes keluar. Tatkala itu segala kenangan bersama kawan-kawan sekelasku kembali memenuhi ruang mindaku. Aku bawa foto lama itu ke dalam dakapanku. Aku dakap erat-erat foto lama itu. Rinduku terhadap rakan-rakanku dahulu tidak dapat dibendung lagi.
        Satu per satu wajah rakan-rakanku dahulu kembali memenuhi ruang mataku. RAHIMEY, ISKANDAR, AZRA’IE, AFIQ NORAZMAN, NADIHA, NABILA, HANUM, AZHANI, AISYAH, HAIFA, ALIA dan AFIQAH.
        Rakan-rakanku dahulu yang mewarnai kehidupan seharianku. Rakan-rakan yang mengajar aku erti dan makna sebuah kehidupan. Rakan-rakan yang menghulurkan tangannya kepadaku ketika aku sedang meraba-raba dalam kegelapan. Rakan-rakan yang mampu membuat aku tersenyum kembali selepas aku kecewa. Rakan-rakan yang menceriakan hidupku walaupun banyak kesusahan dan tekanan yang melingkari hidupku. Rakan-rakan yang senantiasa mendampingiku ketika kesedihan membelenggu diriku. Rakan-rakan yang mampu berkongsi masalah dan kekecewaan bersama. Rakan-rakan yang boleh berkongsi cerita apa pun. Rakan-rakan yang mengajar aku erti sebuah persahabatan yang sebenarnya.
        Suasana hening mula menerjah diriku saat ini. Aku biarkan sahaja air mata ini merembes-rembes keluar. Biarlah air mata ini keluar sebanyak mana pun asalkan ianya keluar untuk rakan-rakanku.
        “SUHAILA, bukak pintu. Aku ni, Yana.”
        Ketukan pintu itu membuatkan aku terkejut lantas aku kesat air mataku yang membasahi pipi ini. Aku lepaskan pegangan erat foto lama itu dan menghempaskannya di atas katil. Aku mula berdiri dan kembali memandang ke arah foto lama tersebut. Sayu rasa hati ini. Rindu terhadap rakan-rakanku dahulu sudah mula menyelubungi diriku.
        “SUHAILA, cepat bukak pintu.”
        Ketukan bertalu-talu itu membuatkan aku segera menuju ke pintu bilikku. Aku menarik nafas dalam-dalam untuk mencari kekuatan. Perlahan-lahan jariku menyentuh tombol pintu dan memulas tombol pintu itu.
        “Ha, bukak pun. Kenapa susah sangat kau nak bukak pintu ni?” Kelihatan Yana sudah menarik nafas lega.
        Rakan-rakan sekerjaku juga turut berada sama dengan Yana. Aku hanya tersenyum sahaja.
        “Kau menangis?” Yana memegang pipiku.
        Menangis? Mengapa hari ini aku perlu bersusah payah mengeluarkan air mata ini? Sepatutnya hari ini aku perlu bergembira. Berkali-kali aku menidakkan perasaanku saat ini namun, aku tidak mampu.
        Aku memegang perlahan pergelangan tangannya dan menarik tangannya supaya tidak lagi memegang pipiku. Aku menyuruh mereka untuk masuk. Yana sudah berkerut-kerut memandangku.
        “Kau tak payah risau. Aku tak apa-apa.”
        Aku mula mengukir senyuman hambar. Jauh di sudut hatiku saat ini aku ingin ketemu semula dengan rakan-rakan yang dahulunya menjadikan hidupku seindah pelangi dan menyinari hidupku seperti matahari. Aku berharap kita akan bertemu suatu hari nanti. Aku tidak tahu bila namun, aku tahu pastinya hari itu akan tiba juga nanti.  
         

      

           

 


0 comments:

Post a Comment