BAB 21
“Adik nak pergi mana?” tanya Nazirul semasa dia melintasi ruang tamu. Kelihatan Nazirul sedang duduk berehat di atas sofa sambil menonton televisyen.
Nazmi memberhentikan langkahnya dan berpaling apabila mendengar pertanyaan daripada Nazirul.
“Lepak mamak sekejap.” Cap yang setia di tangannya kini tersarung di kepala.
Remote televisyen ditekan. Matanya kembali terarah kepada adik bongsunya itu.
“Adik, alang nak cakap sekejap.” Kedengaran suara Nazirul serius.
Segera Nazmi berpusing menghadap Nazirul yang sedang duduk di atas sofa.
“Apa dia?” Nazmi mula mendekati Nazirul.
“Duduk sini.” Nazirul menepuk-nepuk sofa di sebelahnya.
Nazmi melabuhkan punggung di sebelah Nazirul. Tangannya diletakkan di atas paha.
“Alang nak cakap apa?” tanya Nazmi lagi. Dia memandang wajah Nazirul yang kelihatan sedikit serius.
“Macam serius je benda ni. Selalu alang tak pernah serius macam ni.” Nazmi tersenyum sinis. Tidak pernah dia melihat abangnya serius itu.
“Memang alang nak cakap benda serius pun.” Tegas sahaja kedengaran suara Nazirul.
Nazmi sedikit terkejut. Dia menelan air liur. Lagaknya seperti sedang menghadap guru disiplin. Macam dia sedang melakukan kesalahan besar dan akan dibuang sekolah. Cepat-cepat dia membetulkan duduknya.
Mata Nazirul tetap juga terarah pada siaran televisyen itu. Sengaja dia menseriuskan keadaan. Bukannya selalu dia serius begini. Jarang-jarang bahkan tidak pernah.
‘Kecut jugak adik aku ni.’ Hatinya sudah terbahak-bahak ketawa. Dia tidak boleh langsung mengarut kali ini jauh sekali ketawa. Dia perlu membuat keadaan seserius mungkin.
“Pasal perkahwinan adik.” Dia memandang wajah Nazmi yang nampaknya sedikit pucat.
Nazmi memberanikan diri membalas pandangan daripada Nazirul. Senyuman cuba diukir olehnya walaupun mungkin akan kelihatan sumbing.
“Kenapa, alang? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Dahinya dikerutkan sambil kepalanya yang tidak gatal digaru. Dia cuba membuat muka bodoh dan tak tahu apa-apa.
Tiba-tiba sahaja jarinya dipetik. “Hah, adik tahu! Alang tak berkenan dengan dia, kan? Dia bukan type alang? Tak pun dia tak cantik?”
Nazmi cuba meneka. Jari telunjuknya dilayang-layangkan di hadapan wajah Nazirul. Ketawa kecil juga kedengaran. Kata-kata yang dikeluarkan sengaja membuatkan keadaan agar tidak serius.
Nazirul cuba menahan dirinya daripada menghamburkan ketawa. Lucu dengan riak wajah adiknya. Sekejap pucat. Sekejap buat muka bodoh. Sekejap buat muka pelik.
‘Adik, actually she is my type.’ Sejujurnya Nazirul mengakui yang bakal adik iparnya itu merupakan seorang gadis yang cantik. Nasib baik dia sudah ada tunang, kalau tidak laju dia kebas.
Jari telunjuk Nazmi pantas dipegang.
“Adik, alang tak main-main. Alang sekarang ni serius.” Dengan wajah yang serius dia memandang Nazmi.
Nazmi nampaknya terkejut dengan tindakan abangnya.
Nazirul melepaskan pegangan jari telunjuk Nazmi.
“Okey, okey.” Nazmi pantas mengangguk. “Sorry, adik tak buat lagi.” Dia mengakui kesalahannya.
Nazirul menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan kata-kata.
Nazmi hanya melihat perbuatan abangnya.
“Adik setuju dengan perkahwinan ni?” tanya Nazirul sambil matanya memandang tepat wajah Nazmi.
Mata Nazmi kemudian mencerun memandang sofa. Nafasnya dihela lemah.
“Setuju.” Matanya kemudian membalas pandangan Nazirul.
Nazirul kemudiannya mengangguk.
“Kenapa alang tanya adik macam tu? Apa nampak macam adik tak setuju ke?” Nazmi ketawa kecil. Pelik dengan pertanyaan yang diajukan oleh Nazirul. Dia sudah semestinya setuju dengan perkahwinan ini.
Nazirul membuang pandang ke arah siaran televisyen. Lama dia mendiamkan diri. Mencari point untuk perbincangan ‘man to man talk’ yang seterusnya.
Nampaknya Nazmi begitu bersetuju dengan perkahwinannya ini. Betullah apa yang diperkatakan oleh papanya.
Nazmi hanya menunggu. Tidak berani untuk dia berkata apa-apa. Takut pula dia dengan Nazirul yang ‘baru’ ini.
Nazirul kembali memandang wajah adiknya.
Segera Nazmi mengangkat wajah apabila Nazirul sedang memandangnya.
“Adik memang betul setuju? Papa tak paksa untuk adik setuju perkara ni?” Sekali lagi pertanyaan yang berbaur pelik itu menerjah ke gegendang telinganya.
Nazmi ketawa. Sambil menepuk bahu abangnya dia berkata, “Alang, kenapa alang tanya adik macam tu? Alang tak percaya pada adik ke?”
Dia menggelang-geleng kepala. Tangan pada bahu abangnya diturunkan. “Adik setuju. Betul adik setuju. Papa memang tak paksa langsung untuk adik setuju perkahwinan ni. Ini memang kehendak adik.” Tawanya masih bersisa.
Nazirul masih tetap bereaksi dengan reaksi yang sama. Matanya memandang wajah Nazmi yang merah padam kerana ketawa.
“Okey, alang percaya.” Nazirul menganggukkan kepalanya.
Ketawanya diberhentikan. “Baguslah kalau alang percayakan adik.” Bibirnya mengukir senyuman lega.
“Cuma alang nak tanya, adik dah sedia nak pikul tanggungjawab? Adik dah sedia nak pegang tittle suami orang dan tak lama lagi mungkin papa orang?” Kata-katanya mati di situ.
Bibir Nazmi yang tadi mengukir senyuman kini mati dengan serta-merta.
Nazirul menyambung kembali kata-katanya. “Alang ni bukannya apa. Alang dengan angah risau kalau adik tak dapat nak jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya. Adik muda lagi. Bakal isteri adik lagi tua daripada adik. Yalah, adik tu jarang melekat kat rumah. Asyik sibuk dengan padang dan bola sepak.”
Kali ini nada suaranya tidak kedengaran serius. Nadanya kedengaran lebih santai.
Nazmi mengangguk-anggukkan kepalanya. “Insyaallah, lang. Adik akan jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya. Adik jugak akan manage schedule adik supaya boleh selalu luangkan masa dengan family. Insyaallah, lang. Insyaallah.”
Nazmi memandang kembali wajah Nazirul yang kelihatan tidak seserius tadi.
Nazirul segera memaut bahu adiknya. “That’s my brother.”
Tangannya membuka cap yang dipakai oleh adiknya lalu diusap-usap kasar rambut adiknya.
Nazmi yang menyedari perbuatan abangnya segera meloloskan dirinya. “Alang, rosaklah rambut adik.”
Tangan Nazirul segera dialihkan. Nazmi mencebik sambil membetulkan gaya rambutnya. Habis gaya rambutnya yang seperti Justin Bieber itu.
Nazirul hanya mengekek ketawa. Nampaknya dia sudah kembali kepada keadaan asal. “Dah handsome dah adik alang ni. Tapi tak boleh lawan alang.”
Cap kepunyaan Nazmi disarungkan di kepalanya. Sambil membuat aksi poyo Nazirul mendabik dada.
Nazmi yang melihat hanya mencebik. “Eleh, tak payah nak poyo sangatlah. Setakat Tom Cruise Malaysia tak mainlah. Orang ni dah jadi Justin Bieber celop tau.” Giliran Nazmi pula berbangga.
Gaya rambut yang seperti Justin Bieber itu sudah dibetulkan. Sweater yang tersarung di tubuhnya dibuka zipnya. Sengaja menunjukkan baju t-shirt yang dipakainya.
Nazirul mengepal penumbuk melihat gaya Nazmi yang seperti Justin Bieber itu. Bibirnya diketap geram.
Memang benar gelaran Tom Cruise Malaysia sudah sebati dengan diri Nazirul semenjak bangku sekolah lagi. Rakan-rakan perempuan di sekolahnya menggelarkan gelaran itu kepadanya.
Nazmi pula mendapat jolokan Justin Bieber celop oleh peminat-peminat bola sepak. Gayanya yang kelihatan seperti Justin Bieber. Kadangkala ada yang menggelarkan Nazmi dengan gelaran Kaka Malaysia. Tidak kurang juga Messi Asia dan Mesut Ozil kerana skill permainannya.
Tangan Nazirul laju mengusap-usap rambut Nazmi yang sudah dibetulkan itu. Nazirul mengekek ketawa manakala Nazmi mebuat muka sedihnya.
Rambutnya yang berjuntaian di dahi ditiup. “Tengok apa dah jadi kat rambut adik. Dah tak handsome dah. Semua ni alang punya pasal.”
Nazirul tidak berhenti mentertawakan adiknya.
Nazmi dan Nazirul memang begitu. Sering berlawan siapa yang lebih kacak dan bergaya. Hakikatnya Nazmi lebih kacak berbanding Nazirul.
Perangai kedua-dua beradik itu tidak ubah seperti kanak-kanak berumur lima tahun padahal masing-masing sudah berumur 27 dan 22.
Riuh-rendah kedengaran dari ruang tamu menyebabkan Farah yang sedang berehat di ruang tamu bahagian atas segera turun.
Nazmi cuba merampas cap yang tersarung di kepala Nazirul. “Bak sini cap adik.” Tangannya menggapai cap berwarna hitam yang tersarung di kepala abangnya.
Nazirul pantas menghalang perbuatan adiknya. Perkara tersebut menyebabkan berlaku pergelutan kecil antara Nazmi dan Nazirul.
Riuh-rendah di bahagian ruang tamu mempercepatkan langkah Farah tambahan pula kedengaran suara Nazmi dan Nazirul.
Cap yang berada di tangan Nazirul cuba dirampas oleh Nazmi. Sepantas kilat Nazirul menyembunyikan cap tersebut di belakangnya.
Sememangnya perangai mereka tidak pernah berubah. Seperti budak-budak yang berumur dua tahun sahaja.
“Hei, alang, adik! Buat apa tu?” Farah menggelengkan kepalanya tatkala melihat telatah kedua-dua orang adiknya itu.
Perebutan cap itu serta-merta terhenti. Nazmi dan Nazirul memandang Farah yang masih berada di anak tangga.
Kerutan di dahi Farah semakin kelihatan. Perasaannya berbolak-balik. Mahu dimarah, bukan budak kecil lagi. Mahu dipukul, sudah dewasa.
Nazmi mengambil kembali cap hitam tersebut sambil membetulkan kedudukan sweaternya yang sedikit kedut.
Farah mula mendekati Nazmi dan Nazirul. “Korang ni dah besar panjang tapi perangai…Masayaallah. Macam budak-budak.”
Kepalanya digeleng berkali-kali. “Sorang ni dah jadi tunang orang. Yang sorang lagi ni pulak nak jadi laki orang tak lama lagi. Anak saudara sendiri pun tak macam ni. Kimi pun tak macam ni. Kalau Kimi nampak mesti dia malu dapat bapak saudara yang macam ni.”
Matanya memandang wajah Nazmi dan Nazirul silih berganti. Nazirul hanya tersengih manakala Nazmi pula tersenyum sumbing.
“Angah, bila lagi alang nak bergurau dengan adik ni? Selalu adik sibuk kat padang, alang pulak sibuk kat pejabat. Tak lama lagi adik nak jadi suami orang. Bila lagi alang nak berguarau dengan adik kalau bukan hari ni?” Keningnya dijongketkan sambil memandang adiknya. Bahu adiknya ditumbuk lembut.
Farah melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan Nazirul.
Nazmi mengerling sekilas pada jam tangan yang terlilit di pergelangan tangannya. “Eh, adik dah lambat ni.”
Dia mula bingkas bangun sambil diperhatikan oleh kakak dan abangnya. “Angah, alang, adik pergi dulu. Melayan orang perasan Tom Cruise Malaysia buatkan adik lambat.”
Bibirnya dijuihkan ke arah Nazirul yang sedang memberikan pandangan maut kepadanya. Bantal kecil yang berada di belakangnya dibaling tepat ke arah Nazmi. Nasib baik dengan kepakaran yang dimilik oleh seorang pemain bola sepak kebangsaan dia sempat mengelak balingan bantal tersebut.
“Dia yang perasan Justin Bieber.”
Langkah kaki Nazmi laju ke muka pintu sambil mengekek ketawa. Usikan antara mereka memang sudah sebati.
“Jangan balik lambat sangat.” Farah sempat berpesan kepada adik bongsunya itu sebelum dia keluar.
Enjin kereta Mitsubishi Lancer kedengaran menderum laju meninggalkan perkarangan banglo mewah itu.
Farah bertukar tempat duduk dan duduk di sebelah Nazirul. Dia mencuit Nazirul yang sedang leka dengan siaran televisyen.
Nazirul segera menoleh wajah Farah yang berada di sebelahnya. Keningnya dijongketkan.
“Alang dah ‘man to man talk’ dengan adik?” tanya Farah inginkan kepastian. Nada suaranya sengaja diperlahankan. Bimbang juga kedengaran oleh Mak Cik Ton dan Tan Sri Mansor.
Nazirul mengangguk.
“Apa adik kata?” Nampaknya dia tidak berpuas hati. Tubuhnya didekatkan dengan adiknya.
Nazirul hanya memandang pelik dengan sikap kakaknya.
Farah yang mengerti mula tersenyum herot. “Angah tak buat apa-apa. Kita bukannya boleh kahwin pun. Kita mahram.” Farah menjeling memandang adiknya.
Nazirul hanya tersengih. “Mana tahu angah rindukan Abang Danny?” Ketawanya terhambur. Sengaja dia berseloroh dengan kakaknya itu.
Farah terus mencubit pinggang Nazirul. “Tak ada maknanya. Abang Danny tu sepuluh kali lagi handsome daripada alang.” Farah mula membangga diri.
Nazirul mengaduh kesakitan. Dia mengusap-usap pinggangnya yang terasa bisa akibat cubitan daripada Farah.
“Aduh, macam sepit ketam jari angah ni.” Terkial-kial dia menahan sakit.
“Siapa yang suruh mengarut? Angah tanya benda lain dia cakap benda mengarut pulak.” Kakinya disilangkan.
“Cepat. Apa yang adik cakap?” sambungnya.
Nazirul memandang wajah Farah. Sambil bersama sebuah keluhan kecil dia berkata, “Adik memang setuju, ngah. Memang betul apa yang papa cakap pada alang. Adik yang setuju dengan perkahwinan ni.” Nazirul menganggukkan kepalanya.
Farah kelihatan terkejut tetapi cepat-cepat dia mengawal perasaan terkejutnya itu. Dia menelan air liur.
“Jadi betullah apa yang papa kata tu?” Bulat matanya memandang wajah adiknya.
Nazirul menganggukkan kepalanya.
Sungguh, Farah sangat risau tentang masa depan adik bongsunya yang akan bergelar suami itu. Umurnya terlalu muda untuk berkahwin dan memimpin sebuah keluarga. Tambahan dia terlalu sibuk dengan kerier sebagai seorang pemain bola sepak.
Ibu jarinya digigit sedikit. Perasaan risau mula bersarang di dalam dirinya. “Tapi angah rasa ada yang tak kena.”
Wajahnya diangkat merenung wajah Nazirul.
Kerutan di dahi Nazirul mula kelihatan. “Apa yang tak kena, angah?” tanya Nazirul. Pelik.
‘Apa yang tak kena? Rasanya semua biasa sahaja. Atau aku yang terlepas pandang? Entahlah.’ Pertanyaan bertalu-talu menghiasi mindanya.
Mata Farah kembali mencerun. “Entahlah. Angah pun tak tahu. Tapi angah rasa tak sedap hati.”
Matanya kembali memandang wajah adiknya.
Nazirul bersandar di sofa. “Mungkin perasaan angah, kot. Alang tak rasa ada apa-apa yang tak kena dalam rumah ni. Semuanya nampak biasa je.”
Nazirul cuba membuang andaian yang bukan-bukan. Farah menguak anak rambutnya.
“Mungkin, kot?” Farah cuba mengukir senyuman.
Walaupun senyumannya dirasakan hambar. Cuba untuk menyedapkan perasaannya. Perasaannya kuat mengatakan yang ada sesuatu di sebalik semua ini.

0 comments:
Post a Comment