Thursday, 28 August 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 20

BAB 20


NAZMI dan rakan sepasukannya akan menjalani latihan ringan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya. Kelihatan dia dan rakan sepasukannya sedang memanaskan badan sebelum memulakan latihan tersebut.
        Otaknya masih ligat memikirkan perkara malam tadi. Antara dia dan Fairuz. Dia masih juga memikirkan kata-kata yang keluar daripada mulut Fairuz.
        ‘Pengalaman? Apa pengalaman yang buat dia tak terima aku? Setahu aku, aku tak pernah keluar dengan dia kecuali masa ambil kereta dia kat workshop dulu.’ Kerutan di dahinya mula kelihatan.
        ‘Ah, sudahlah Nazmi! Jangan sibuk fikir pasal benda tu. Sekarang kau kena berusaha untuk pikat hati dia.’ Perasaan tersebut mula dibuang jauh-jauh. Perasaan yang mengganggu fokus latihan bola sepaknya.
        Kaki kanannya dilipat ke belakang dan tangan kanannya menarik kakinya.
        “Bro, mamak malam ni jom.” Fakhri menepuk bahu Nazmi.
        Tepukan daripada Fakhri itu menyebabkan Nazmi hilang imbangan dan hampir terjatuh. Nasib baik sempat dia memasang kekuda untuk mengelakkannya jatuh tersembam ke padang.
        Jurulatih yang berbangsa Cina itu hanya memandang mereka dari jauh dengan pandangan yang tajam.
        “Nazmi, Fakhri! Stay focus!” Jeritnya dari jauh.
        Nazmi dan Fakhri hanya tersengih sambil menggaru kepala. “Okay, coach!” balas mereka serentak.
        Rakan sepasukannya yang lain hanya melihat sambil ketawa kecil. Ada juga yang menggeleng kepala.
        “Hoi, korang berdua ni kenapa? Ada awek lalu ke tadi?” Jerit Hazwan salah seorang daripada rakan sepasukannya sambil ketawa.
        Nazmi dan Fakhri yang mendengar hanya buat bodoh sahaja. Kalau dilayan nanti dimarah pula oleh jurulatih.
        “Hazwan! Focus!” Jurulatih tersebut kembali melantangkan suaranya.
        Hazwan hanya mengangkat tangan sambil tersengih-sengih.
        Nazmi dan Fakhri menyambung kembali stretching mereka yang tergendala itu.
        “Kau kenapa tepuk bahu aku?” Kedengaran nada suaranya sengaja diperlahankan. Takut pula didengari oleh jurulatih mereka. Tangan kirinya disilangkan ke bahu kanan.
        Fakhri mengeluh sambil mengikut apa yang dilakukan oleh Nazmi. “Kau tak dengar apa aku cakap tadi?” Giliran tangan kanan pula disilangkan ke bahu kiri.
        Nazmi mengerutkan dahinya. “Kau ada cakap dengan aku ke?” Dia membongkokkan badannya ke hadapan sambil kakinya dikangkangkan luas sedikit.
        “Ada.” Badannya sudah ditegakkan.
        “Apa dia?” tanya Nazmi sambil membongkokkan badannya ke belakang. Kedua-dua belah tangannya dicekak di pinggang.
        “Malam ni kita lepak mamak. Dah lama rasanya tak lepak mamak,” ajak Fakhri sekali lagi.
        Nazmi menghentikan stretching sambil memandang wajah Fakhri. Lama dia mendiamkan diri. “Emm…bolehlah. Ajak satu team sekali. Barulah seronok sikit.” Nazmi mula berlari setempat.
        Fakhri juga turut mengikut setiap pergerakan Nazmi. “Kalau macam tu cantiklah. Nanti aku beritahu satu team. Aku ada surprise untuk kau.” Fakhri mula mengencangkan larian setempatnya begitu juga dengan Nazmi.
        Nazmi menjongkatkan keningnya. “Apa dia?” Dia menamatkan larian setempatnya.
        “Adalah. Nama pun surprise mana boleh beritahu.” Fakhri tersenyum sinis sambil mula berjalan menyertai rakan sepasukannya yang lain.
        Nazmi terdiam di situ. Terfikir dia dengan surprise yang akan diterima olehnya.
        “Nazmi! Apa buat kat situ lagi? Come here. Join the team. We gonna start training.” Jurulatih sudah melaung memanggilnya. Nazmi tersedar lantas berlari mendapatkan rakan sepasukannya.

FAIRUZ melangkah masuk ke dalam bangunan Maya Holding dengan langkah yang longlai dan tidak bermaya. Perasaannya masih sama seperti malam tadi. Berkecamuk. Hatinya tidak tenang tetapi dia cuba berlagak tenang di hadapan kedua-dua orang tuanya. Peristiwa malam tadi hanya diketahui oleh Mak Saleha dan dirinya.
        Fairuz perlahan-lahan menolak daun pintu biliknya. Tas tangan dan beg bimbit diletakkan di atas meja. Punggungnya terus dilabuhkan di atas kerusi. Keluhan kedengaran keluar daripada mulutnya.
        Tidak lama kemudian Rania melangkah masuk ke dalam biliknya. Seperti kebiasaan Rania sebagai setiausahanya akan masuk ke dalam biliknya sebaik sahaja Fairuz masuk.
        Sejambak bunga ros setia berada di tangannya. Kepalanya digeleng tatkala melihat wajah Fairuz yang bungkam itu. “Kau ada masalah ke?”
        Jambangan bunga ros itu diletakkan di atas meja Fairuz. Rania duduk di hadapan Fairuz tanpa dipelawa.
        Fairuz hanya mendiamkan diri. Pandangannya ditundukkan.
        Rania mengerutkan dahinya. “Yuz, besar sangat ke masalah kau tu sampai aku tak boleh tolong?”
        Wajah Fairuz ditenungnya. Risau dia dengan keadaan Fairuz yang sebegitu rupa.
        Pandangannya dialihkan pada wajah rakannya di hadapan. Dia menelan air liur.
        “Tak, Nia. Aku tak ada apa-apa masalah. Aku okey je. Betul aku okey.” Dia cuba menyangkal andaian Rania. Sedaya upaya dia cuba untuk mengukir senyuman. Wajahnya sengaja diceriakan.
        Rania tetap tidak percaya dengan rakannya itu. Renungannya tajam menusuk ke dalam anak mata Fairuz.
        “Kau jangan nak tipu aku, Yuz. Aku dah lama kenal kau.” Nadanya kedengaran tegas.
        Serta-merta riak wajah Fairuz berubah. “Jadi, kau memang tak percaya aku?”
        Laju Rania menggeleng.
        “Ini mesti pasal bakal suami kau tu, budak tu, kan? Pasal Nazmi?” tanya Rania inginkan kepastian. Dia sudah dapat mengagak masalah yang sedang melanda Fairuz.
        Mata Fairuz mencerun. Dia menarik nafas dan kemudiannya menghembuskannya perlahan-lahan. Dia mengangguk kecil.
        Rania mengeluh perlahan.
        “Apa lagi yang dia buat pada kau?” Serius kedengaran nada suaranya.
        Jambangan bunga ros yang berada di hadapannya dialihkan. Jari-jemari Fairuz diletakkan di atas meja.
        “Sayang? Cinta?” Fairuz tersenyum sinis.
        Rania yang mendengar berasa pelik dengan kata-kata yang dituturkan oleh Fairuz.
        “Dia kata dia sayangkan aku. Dia kata dia cintakan aku sejak pertama kali aku dan dia bersua muka,” sambungnya sambil tergelak kecil.
        Kerutan di dahi Rania bertambah. Pelik benar dengan sikap Fairuz hari ini. Sekejap susah hati, sekejap senang hati.
        “Tapi aku langsung tak terkesan dengan apa yang dia cakap pada aku. Hati aku tak rasa apa-apa pun bila dia cakap perkataan tu pada aku.”
        Nadanya kedengaran tegas. Tiada lagi tawa kecil.
        Rania hanya menjadi pendengar setia.
        “Dua perkataan tu ibarat racun dalam hati aku. Perkataan tu dah tak ada makna langsung dalam hidup aku.” Nada suaranya ditinggikan sedikit. Matanya merenung wajah Rania.
        Pandangan Rania mencerun memandang lantai bilik Fairuz.
        “Lelaki semuanya sama. Pandai ucap tapi tak pandai nak hargai. Pandai ucap tapi tak pandai nak realisasi. Pandai ucap tapi tak pandai nak pertahankan. Mulut semua bukan main manis.” Nada suaranya direndahkan.
        Tubir matanya terasa panas dan hangat. Butir-butir jernih sedang bertakung di sekitar tubir matanya. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk mencari kekuatan diri.
        “Dua tahun aku merana sebab cinta. Dua tahun aku menderita sebab lelaki.”
        Pandangannya mulai kabur. Perlahan-lahan butir-butir jernih turun membasahi pipinya yang gebu.
        Rania mula meraih jari-jemari Fairuz untuk digenggam. Cuba untuk menenangkan rakannya itu. Cuba untuk memberi kekuatan diri. Cuba untuk berkongsi emosi yang sama.
        “Yuz, sudahlah tu. Yang lepas biarlah lepas. Sekarang, kau kena tumpukan pada perkahwinan kau dan juga bakal suami kau, Nazmi. Kau tak payah kenangkan pasal bekas tunang kau tu. Kau jangan paksa diri kau untuk terima dia. Kau slow-slow dulu. Kenal dengan dia dulu.”
        Jari perempuan Fairuz diusap lembut. Cuba memujuk rakannya.
        Fairuz mengesat air matanya. “Tapi aku memang tak boleh nak terima dia. Hati aku memang dah mati untuk manusia yang bernama lelaki. Hati aku tak tahu apa erti cinta? Apa erti sayang? Apa erti perkahwinan? Apa erti suami? Hati aku dah mati, Nia! Hati aku dah mati!”
        Nadanya semakin meninggi. Luahan hatinya sudah tidak tertanggung lagi. Semakin laju air matanya merembes keluar.
        Rania menelan air liur. Nampak begitu berat bebanan yang ditanggung oleh Fairuz. Dia tidak boleh berbuat apa-apa. Hanya mampu memberi nasihat dan memujuknya sahaja.
        “Yuz, sudahlah. Kalau hati kau memang tak terima dia nak buat macam mana? Kalau aku kat tempat kau aku akan terima perkahwinan ni dan aku reda. Mungkin dah sampai masa kau lupakan bekas tunang kau tu. Mungkin Nazmi Faiz jodoh kau. Aku harap kau bersabar, Yuz.” Rania cuba memberi nasihat kepada Fairuz dengan selembut-lembutnya.
        “Yuz, aku harap kau sabar. Anggap ini semua dugaan dalam hidup kau.” Sekali lagi Rania meraih jari-jemari perempuan Fairuz untuk digenggam.
        Fairuz mengeratkan genggaman jari-jemarinya. Air matanya telah berhenti keluar.
        “Nia, terima kasih sebab kau sudi dengar masalah aku. Kau sudi dengar luahan hati aku. Nia, kaulah tempat aku meluahkan perasaan.”
        Fairuz mula mengesat air matanya. Bibirnya mula mengukir senyuman walaupun dia merasakan senyuman itu hambar.
        Rania hanya mengangguk sambil bibirnya mula menguntum senyuman yang manis khas buat Fairuz.
        “Yuz, kenapa dengan jari kau? Siap berbalut bagai.” Matanya menangkap hujung jari telunjuk Fairuz yang berbalut. Dahinya berkerut.
        Perasaan risau mula menerjah dirinya. Mana tahu cubaan membunuh diri? Tapi Fairuz masih mempunyai akal yang waras.
        Fairuz segera memandang hujung jari telunjuknya. Terus ingatannya teringat akan peristiwa malam tadi. Riak wajahnya kelihatan berubah namun, cepat-cepat dia menyembunyikan perubahan riak wajahnya dengan secalit senyuman terukir di bibir mungilnya.
        “Oh, tak ada apa-apa. Luka sikit je.” Senyuman yang sedikit hambar itu terukir di bibirnya. Cuba untuk meyakinkan Rania.
        Rania kelihatan sedikit lega. Senyuman lega jelas terukir di bibirnya.
        “Terkena pisau ke? Belajar masak? Maklumlah nak hidup berumah tangga,” seloroh Rania sambil tergelak kecil.
        Fairuz juga berpura-pura ketawa.
        “Kau ni macam tahu-tahu aje. Sekodeng aku ke?” Giliran Fairuz pula berseloroh.
        Serentak itu terhambur jua ketawa Rania. Fairuz juga ikut ketawa tetapi sedikit hambar. Ketawanya cuma hanya ingin menyenangkan hati rakannya sahaja. ‘Berumah tangga? Yakin ke berumah tangga?’


0 comments:

Post a Comment