Monday, 18 August 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 18

BAB 18


MAKAN malam di banglo mewah Tan Sri Mansor sangat meriah. Ada sahaja cerita yang hendak dibualkan. Walaupun Datin Noora hanya bersembang dengan Farah tetapi mulutnya terlebih ramah. Kedua-duanya sama sahaja. Sesekali diselangi dengan gelak tawa.
         Tan Sri Mansor dan Dato’ Johan rancak berbual mengenai perniagaan. Sesekali ada juga suara Nazirul dan Nazmi mencelah. Kadang-kala Nazmi terdiam juga kerana soal bisnes dia tidak tahu dan malas mahu mengambil tahu. Kalau soal bola sepak dan sukan memang kepakarannya.
         Dato’ Johan juga ada juga bertanya tentang Nazmi, bakal menantunya itu. Kelihatan terangguk-angguk kepalanya mendengarkan cerita Nazmi. Farah juga ada bertanya kepada Fairuz tetapi sepatah yang ditanya sepatah juga yang dijawab. Dia lebih selesa mendiamkan diri. Malas dia mahu meramahkan dirinya. Sekejap sahaja keluarga tersebut sudah dapat menyesuaikan diri.
        Nazmi yang duduk berhadapan dengan Fairuz sesekali menjeling bakal isterinya. Fairuz yang menyedari segera memberi jelingan tajam dan maut buat Nazmi.
        Lauk-pauk yang disediakan habis dimakan oleh keluarga tersebut. Hakimi yang kepenatan bermain bola sepak petang tadi sudah lama terlena di dalam kamarnya.
        Saju jam lamanya aktiviti makan malam sudah selesai. Mak Cik Ton menjalankan tugasnya sebagai seorang pembantu rumah dengan dibantu oleh Farah dan Datin Noora.
        Berkali-kali Mak Cik Ton melarang tetapi Farah dan Datin Noora tetap berdegil. Segan dia kepada Datin Noora.
        “Tak apa, Ton. Biar saya tolong sekali. Nanti kita boleh sambung borak kat dapur.” Datin Noora tetap berkeras juga.
        Dia mengenyit mata kepada Farah. Farah yang memahami isyarat tersebut pantas memboloskan diri ke dalam dapur. Datin Noora dan Farah sengaja membiarkan Fairuz dan Nazmi berduan.
        Tan Sri Mansor dan Dato’ Johan pula lebih selesa berbincang ‘man to man talk’ di ruang tamu. Entah apa yang dibincang oleh mereka. Mungkin soal perniagaan barangkali.
        Nazirul pula tidak kelihatan. Bayangnya tidak kelihatan sejak selesai makan malam. Katanya mahu keluar sebentar.
        “Alang nak ke mana tu?” Farah bertanya apabila melihat Nazirul tergesa-gesa keluar sambil memegang kunci kereta.
        Nazirul yang sedang menyarungkan jaket kulitnya memalingkan wajah. “Angah, alang nak keluar sekejap.”
        Segera dia menyambung langkahnya menuju ke muka pintu. Tidak sampai lima minit kereta Subaru miliknya sudah menderum laju meninggalkan banglo mewah itu.
        Fairuz pula lebih selesa merehatkan dirinya di luar kawasan banglo mewah tersebut. Wakaf kecil yang berada di sudut perkarangan banglo mewah tersebut menarik perhatiannya.
        Langkahnya segera menuju ke situ. Dia tidak sedar langkahnya diperhatikan oleh sepasang mata.
        Lampu menerangi wakaf kecil tersebut. Di belakangnya terdapat replika air terjun yang kecil sementara itu di bawah replika tersebut terdapat sebuah kolam ikan koi yang sederhana besar.
        Pemandangan itu menarik perhatian Fairuz. Mungkin juga jika dia duduk berehat di situ hatinya semakin tenang.
        Melihatkan ikan koi yang berenang-renang itu senyumannya meleret. Deruan daripada air terjun itu sungguh menenangkan jiwanya. Terasa hilang sebentar masalah yang sedang menyerabutkan kepalanya.
        “Seronok tengok ikan?” tegur Nazmi dengan nada suara yang lembut. Terpacul wajah comelnya di tiang wakaf tersebut.
        Hampir terlompat Fairuz ke dalam kolam ikan koi dek terkejut dengan teguran Nazmi.
        Fairuz mengurut dada sambil cuba untuk turun daripada wakaf tersebut. Nazmi yang berada di hadapan wakaf tersebut mula mengerutkan dahinya.
        “Awak nak pergi mana?” Nazmi cuba menyambar pergelangan Fairuz namun, cepat-cepat ditepis olehnya.
        “None of your business.” Fairuz cuba untuk melangkah dari situ.
        “Tunggu. Saya nak cakap sesuatu dengan awak.” Nazmi cuba menghalang langkah Fairuz.
        Fairuz mengangkat wajahnya. Cuba memberi jelingan tajam kepada Nazmi.
        “Tak ada apa yang nak dicakapkan lagi. Saya tetap akan kahwin dengan awak.”
        Nada Fairuz kedengaran tegas sekali. Dia beranggapan yang Nazmi akan memujuknya untuk berkahwin dengannya.
        Nazmi yang mendengar mengerutkan dahi. “Bukan, saya tak nak cakap pasal benda tu.” Nazmi mengeluh seketika.
        Fairuz menjongketkan keningnya sambil mendekati kolam ikan koi tersebut. Melihat ikan lebih baik daripada melihat wajah Nazmi.
        Nazmi yang faham dengan tindakan bakal isterinya itu mula medekati Fairuz. Nazmi menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan kata-kata.
        “Dah lama saya tertanya-tanya perkara ni.” Kata-katanya mati di situ seketika.
        Fairuz hanya mematungkan diri sahaja menantikan ayat Nazmi yang seterusnya.
        “Saya pelik kenapa awak tak boleh terima saya sedangkan dulu awak pernah terima saya sebagai kawan awak?” Memang sudah lama dia terlalu pelik dengan ketidak terimaan Fairuz terhadap dirinya.
        Fairuz yang mendengar hanya mendiamkan diri sahaja. Malas dia mahu menjawab soalan daripada mulut Nazmi. Matanya tetap tidak dialihkan daripada melihat ikan koi di dalam kolam tersebut.
        Sesekali Nazmi mengerling wajah Fairuz sekilas.
        Fairuz menarik nafas panjang. “Hati manusia. Boleh berubah-ubah.”
        Ringkas sahaja jawapan daripada Fairuz. Dahinya dikerutkan sedikit.
        Nazmi menyebakkan rambutnya ke belakang. Dia mengeluh kecil. Bukan itu jawapan yang dia mahukan daripada Fairuz.
        “Bukan itu jawapan yang saya nak.”
        “Habis tu awak nak saya jawab apa?”
        Pantas Fairuz manjawab balik. Pandangan matanya tetap tidak beralih. Sedaya-upaya dia cuba memperlahankan suaranya. Bimbang juga didengari oleh keluarganya di dalam.
        “Awak nak saya jawab apa? Jawab yang saya memang sayangkan awak? Macam tu?” Matanya mencerlung memandang wajah Nazmi yang berada di sebelahnya.
        Memang dulu dia menerima Nazmi sebagai seorang kawan tetapi tidak lebih daripada itu. Susah untuk dia menerima jejaka lebih daripada seorang kawan bahkan menjadi peneman hidupnya jauh sekali.
        Nazmi mengeluh mendengarkan kata-kata daripada Fairuz. Pandangannya dibuang ke kolam ikan koi. Dia sengaja tidak mahu bertentangan mata dengan bakal isterinya.
        “Tak. Saya cuma nak penjelasan daripada awak. Itu aje.” Mata Nazmi setia memandang ikan koi yang sedang berenang-renang.
        Fairuz mula berpeluk tubuh. “Saya rasa awak dah cukup faham dengan kata-kata saya tadi. Awak juga dah cukup faham dengan layanan saya terhadap awak selama ni. Jadi, tak ada apa yang nak saya jelaskan lagi.”
        Nazmi mengeluh lagi. Nampaknya dia harus banyak bersabar dengan bakal isterinya itu.
        “Tapi takkan tak ada sebab awak layan saya dingin selepas dapat tahu yang awak akan kahwin dengan saya? Sedangkan dulu awak layan saya dengan elok. Takkan tiba-tiba je.”
        Sekali lagi jejaka itu inginkan penjelasan. Kali ini lebih spesifik. Sebab. Dalam erti kata lain, punca.
        Fairuz yang mendengar hanya mendiamkan diri. Malas mahu menjawab soalan tersebut. Dia tidak mungkin akan mengatakan yang kejadian dua tahun lepas telah menjadi punca dan sebab dia melayan Nazmi sedingin itu.
        Nazmi mengerling sekilas wajah Fairuz. Dia menanti jawapan yang keluar daripada mulut bakal isterinya.
        “Kalau awak nak tahu, kahwin tak ada dalam kamus hidup saya.” Nada suaranya kedengaran tegas sekali.
        “Tapi saya terima awak. Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak.”
        Nada Nazmi merendah dan kedengaran lembut. Dia seolah-olah cuba untuk memujuk Fairuz. Matanya memandang tepat ke arah Fairuz. Pandangan matanya redup dan sayu.
        ‘Harap-harap menjadi kali ni.’ Hatinya berdetik.
        Sambil berpeluk tubuh Fairuz membalas pandangan Nazmi. Bibirnya terukir senyuman yang paling sinis.
        “Sayang? Cinta?” Nadanya kedengaran bosan.
        Dia sebenarnya sudah muak dan mual dengan perkataan tersebut. Hatinya tidak luluh langsung mendengarkan pengakuan cinta dan sayang itu daripada Nazmi. Hatinya seolah-olah telah mati. Perasaannya juga telah lama hilang.
        Pandangannya dilontarkan kembali ke arah kolam ikan koi. “Saya dah penat dengar perkataan tu keluar daripada mulut awak. Telinga saya ni naik bernanah dengan perkataan tu keluar daripada mulut awak.”
        Nazmi yang mendengar mula menggelengkan kepala. “Memang betul saya sayangkan, saya cintakan awak. Saya jatuh hati dengan awak sejak pertama kali kita berjumpa. Sejak saya tolong awak masa kereta awak rosak dulu.”
        Nazmi mula mendekatkan tubuhnya ke tubuh Fairuz. Dia mengharapkan perhatian daripada Fairuz. Dia tidak meminta lebih. Cukuplah dengan hanya memberinya ruang untuk mencintai. Memberi ruang hati untuk dihuni.
        Sekali lagi pandangan matanya begitu sayu dan redup. Nada suaranya juga kedengaran rendah dan lembut.
        Fairuz memicit dahinya sambil tertawa kecil. “Cepat betulkan awak jatuh cinta? Cepat betulkan awak jatuh hati? Senang betulkan awak jatuh cinta dengan saya? Padahal awak tak kenal siapa saya. Awak tak tahu asal usul saya. Tapi…senang betul awak jatuh hati kat saya, kan?”
        Fairuz tersenyum mengejek sambil memandang bakal suaminya.
        Nazmi hanya mematungkan diri sahaja. Mungkin tidak tahu untuk diperkatakan.
        “Betullah orang kata, cinta itu buta,” sambungnya lagi sambil kembali mengalihkan pandangannya. Sesekali dress labuh berwarna coklat lembut itu dibetulkan.
        “Bila orang tu dah terkena dengan cinta, orang tu akan lupa segala-galanya.” Fairuz menggeleng kepala sambil tergelak kecil.
        Nazmi memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam kocek seluar jeansnya.
        “Mungkin. Cinta tak kenal usia,” balas Nazmi mahu mengaitkan dengan dirinya.
        Pandangan Fairuz tetap juga sama. “Awak tu masih budak lagi. Tak tahu tentang cinta. Tak tahu apa akibatnya kalau terkena cinta. Tak tahu apa ertinya cinta. Yang tahu hanya manisnya cinta je.”
        “Dan awak tu walaupun dah 26 tahun tetap tak tahu hargai cinta. Tetap tak hargai orang yang dah cinta dan sayangkan awak. Tetap tak boleh nak terima.”
        Sepantas kilat Fairuz memandang wajah Nazmi yang kelihatan sedikit serius. Matanya menjeling memandang Nazmi. Geram mula terbit dalam hatinya. Sedari tadi dia cuba menahan rasa geram yang bersarang di dalam dirinya. Nampakanya akan terhambur jua nanti.
        “Awak tak ada hak nak nilai orang. Awak tak ada hak nak nilai cinta sebab awak tak ada pengalaman.”
        Jari telunjuknya menunjuk lurus ke arah wajah Nazmi. Giginya diketap geram. Matanya mencerlung memandang Nazmi. Gayanya macam harimau yang akan menelan mangsanya hidup-hidup.
        Nazmi tenang sahaja berhadapan dengan ‘singa betina’ yang lapar itu di hadapannya. Dia mengeluh kecil. Nampaknya bakal isterinya itu memang susah untuk difahami.
        Fairuz berpusing dan mula mengatur langkah meninggalkan Nazmi. Perasaan marah dan geramnya bercampur-baur. Dia memang yakin yang dia tidak akan menerima Nazmi sebagai suaminya nanti.
        “Saya nak awak tahu apa yang saya cakap tadi semuanya betul, ikhlas dan tulus datang daripada hati saya.”
        Serta-merta langkah Fairuz terhenti mendengarkan kata-kata yang dikeluarkan oleh Nazmi. Hatinya bertambah geram dan berang.
        Dress labuh yang dipakainya diangkat sedikit agar langkahnya lebih laju. Dia mahu segera meninggalkan jejaka tersebut.
        Menyedari kelibat Fairuz hilang dia terduduk di wakaf kecil tersebut. Dahinya berkerut-kerut bagai memikirkan masalah yang melanda negara. “Pengalaman? Pengalaman apa pulak? Ah, biarlah! Mungkin tak ada kena-mengena.”  

0 comments:

Post a Comment