Monday, 18 August 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 17

BAB 17


DATO’ Johan dan Datin Noora menuruni anak tangga. Mereka sudah sedia untuk ke rumah bakal besan mereka, Tan Sri Mansor. Dato’ Johan segak mengenakan baju batik berwarna biru lembut. Datin Noora pula nampak anggun dengan jubah berwarana sedondon dengan suaminya dan turbin terlilit di kepalanya. Masing-masing sudah bersedia untuk ke banglo mewah milik Tan Sri Mansor.
        Ini kali pertama mereka menjejakkan kaki ke banglo mewah bakal besannya itu. Kereta Peugeot milik Dato’ Johan sudah sedia untuk dipandu. Kelihatan pemandu peribadi keluarga tersebut, Pak Man sudah sedia menunggu.
        Kelihatan Syafiella bergegas menuruni anak tangga. Dato’ Johan dan Datin Noora yang sedang menunggu Fairuz di ruang tamu hanya berpandangan sesama sendiri.
        “Fiella nak pergi mana?” tanya Datin Noora tatkala Syafiella sedang melintasi mereka berdua.
        Langkah Syafiella serta-merta mati. Matanya memandang kedua-dua ibu bapanya. “Fiella nak pergi…emm…jumpa kawan sekejap.”
        Dato’ Johan yang mendengar hanya menggeleng sahaja. “Bukan ke mama dah beritahu yang malam ni kita ada dinner di rumah Tan Sri Mansor?”
        Datin Noora mengangguk. Mengiakan kata-kata suaminya.
        Syafiella hanya tersenyum kelat. Tidak sanggup rasanya untuk dia bersua muka dengan bakal abang iparnya itu. Hatinya tidak tega untuk membenarkan Nazmi menjadi abang iparnya. Otaknya ligat memikirkan alasan untuk meyakinkan mama dan papanya.
        “Hmm…memang mama ada beritahu Fiella tapi Fiella dah janji dengan kawan Fiella dulu yang Fiella nak jumpa dia. Kesian dia kalau Fiella tak jumpa dia. Fiella nak tolong dia buat assignment.”
        Sedaya upaya dia cuba untuk memberikan alasan yang munasabah. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu mana arah tujunya. Sebaik sahaja dia mendapat tahu yang mereka sekeluarga akan ke rumah Nazmi hatinya terus tidak tenteram. Mungkin dia keluar untuk menenangkan fikiran.
        Dato’ Johan melepaskan sedikit keluhan. “Kalau macam tu suka hati kamulah. Papa dengan mama tak boleh nak halang kamu. Lagipun bukan kamu yang nak kahwin.”
        Datin Noora laju mencubit paha Dato’ Johan. “Bang, diorang nak kenal dengan keluarga kitalah. Bukannya dengan Yuz je,” bisik Datin Noora.
        “Habis tu takkan awak nak paksa Fiella pulak nak suruh ikut kita. Nanti lambat-laun kenallah mereka tu dengan Fiella. Fiella bukannya budak kecik lagi. Dah besar panjang. Biarlah dia jumpa dengan kawan dia tu. Lagipun dia janji dengan kawan dia dulu,” sangkal Dato’ Johan.
        Datin Noora yang mendengar hanya mencebikkan bibir.
        Syafiella hanya mematungkan diri sambil melihat drama sebabak antara papa dan mamanya. Risau juga dengan alasan yang diberikan tadi. Takut pula papa dan mamanya tidak menerima alasan yang diciptanya tadi.
        Kerana mahu melepaskan diri dia mengerling sekilas jam tangan di pergelangan kiri tangannya.
        “Hmm…mama, papa. Fiella dah lambat ni. Fiella pergi dulu, ye?” pinta Syafiella sambil menyalami tangan kedua-dua orang tuanya.
        Datin Noora dan Dato’ Johan hanya mengangguk sambil menyambut huluran salaman anaknya itu.
        “Fiella, jangan balik lewat,” pesan Datin Noora.
        Syafella hanya tersenyum sumbing sambil berlalu meninggalkan mereka berdua. Syafiella menarik nafas lega. Pintu kereta Suzuki Swift telah dibuka dan Syafiella segera memboloskan dirinya ke dalam tempat duduk pemandu. Tangannya erat memegang stereng. Terdengar keluhan kecil keluar daripada bibir mungilnya. Dia tidak tahu ke mana dia harus pergi untuk menenangkan dirinya. Pedal minyak ditekan dan tidak sampai lima minit enjin keretanya laju menderum meninggalkan rumah banglo tersebut.
        Sementara Fairuz pula tidak mahu untuk menyertai makan malam bersama keluarga Nazmi. Kalau ikutkan hatinya dia malas mahu pergi namun, kehendak mamanya harus dituruti. Begitu juga dengan perkahwinannya dengan Nazmi. Terpaksa juga dia terima. Semua yang dia lakukan kerana terpaksa.
        Wajahnya sedari tadi masam mencuka. Malas dia mahu menyerikan wajahnya dengan senyuman. Mengenakan dress labuh berwarna coklat lembut manakala rambutnya dibiarkan lepas. Solekan pula hanya biasa-biasa sahaja. Malas dia mahu melaram cantik-cantik.
        Kalau tidak Fairuzlah orang yang suka melaram. Sengaja dia memilih gaya yang tidak disukai olehnya langsung. Dia juga sengaja memilih dress yang dia paling benci. Semuanya gara-gara terpaksa.
        Lambat-lambat dia melangkah keluar daripada kamar tidurnya. Penampilannya tidak diamati di cermin. Selalunya dialah orang yang paling lama terpacak di hadapan cermin.
        “Ah, lantaklah dia nak kata aku selekeh ke apa. Kalau nampak aku selekeh mungkin dia reject aku,” bisiknya sambil tersenyum.
        Terbayang juga andai perkahwinannya dengan Nazmi tidak menjadi. Pasti seronok.
        Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga sambil diperhatikan oleh mama dan papanya.
        “Ha, baru tahu nak turun.” Dato’ Johan sudah bercekak pinggang sambil menggelengkan kepalanya.
        Semakin laju Fairuz menuruni anak tangga. Anak rambutnya dikuak ke belakang.
        Datin Noora sudah sedia menunggu di dalam kereta manakala Dato’ Johan pula sedang membuka pintu kereta. Pak Man pula sudah lama menunggu.
        Mak Saleha segera mendapatkan Fairuz yang sedang memakai kasut. Dia mengerti yang Fairuz tidak sukakan perkara ini. Perlahan-lahan tangannya mengusap belakang bahu Fairuz.
        Fairuz yang sedang leka memakai kasut mula berpaling menghadap wanita tua tersebut. Mata Mak Saleha merenung Fairuz dengan pandangan yang penuh makna dan tersirat.
        “Yuz, Mak Sal harap Yuz dapat terima semua ini.” Suaranya seakan memujuk. Hati tuanya amat mengetahui isi hati Fairuz.
        Fairuz hanya mengangguk. Tubir matanya mula berkaca-kaca.
        “Yuz, cepat sikit. Kita dah lambat ni.” Datin Noora sudah menurunkan cermin kereta.
         Kata-kata daripada Datin Noora mematikan drama sebabak antara Mak Saleha dan Fairuz. Segera Fairuz melangkah menuju ke arah kereta.
        “Mak Sal, jangan lupa kunci semua pintu.”
        Sempat juga Datin Noora memberi pesanan sebelum kereta Peugeot menderum laju meninggalkan banglo tersebut. Mak Saleha hanya menggelengkan kepala sambil menutup pintu utama banglo tersebut.

0 comments:

Post a Comment