Thursday, 1 January 2015

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 29

BAB 29


MALAM itu Fakhri segera memandu kereta ke gerai mamak yang dikatakan oleh Nazmi pagi tadi. Tidak sabar rasanya dia mahu mendengar perkara yang ingin diperkatakan oleh rakan baiknya itu sendiri. Dia mengambil tempat duduk yang agak stratergik agar Nazmi boleh memberitahu perkara tersebut. Pesanan telah dibuat.
        Tidak sampai setengah jam menunggu Nazmi sampai di tempat yang telah dijanjikan.
        “
Bro, sorry lambat.” Bahu Fakhri ditepuk dari belakang.
        “Tak apa. Aku pun baru aje.” Fakhri memandang wajah Nazmi.
        Nazmi mengambil tempat duduk di hadapan Fakhri. “Pandai kau pilih tempat duduk ni. Stratergik sikit.” Nazmi memandang sekeliling gerai mamak itu. Fakhri tersenyum bangga.
        “Saje aku pilih tempat duduk kat sini.
Privacy sikit. Senang kau nak cakap benda rahsia dengan aku.” Fakhri memperlahankan suaranya. Sengaja dia berbuat begitu.
        Nazmi tersenyum sinis. “Mana kau tahu aku nak cakap benda rahsia dengan kau?” Nazmi menjongketkan sebelah keningnya.
        “Aku dah lama kenal kau,
bro. Kalau kau nak jumpa aku empat mata macam ni mesti kau nak cakap benda rahsia dengan aku, kan?” Fakhri tersenyum herot.
        “Iyalah tu, Fakhri. Kau kan sahabat aku dunia akhirat.” Nazmi menepuk lengan Fakhri. Fakhri ketawa kecil begitu juga diikuti dengan Nazmi.
        “Kau
order air dulu baru kau cerita pada aku.” Fakhri sudah melambaikan tangan kepada pelayan gerai mamak itu.
        Pelayan gerai yang berbangsa India itu datang sambil membawa buku nota dan sebatang pen.
        “Mau minum apa, adik main bola?” tanya lelaki yang sudah mengenali mereka berdua itu. Kepalanya sudah digeleng-gelengkan. Pelat Indianya jelas kedengaran.
        Nazmi memandang wajah lelaki yang berkumis tebal itu. “Macam biasalah.” Malas Nazmi mahu memesan minuman yang luar daripada kebiasaannya.
        “Okey, minum itu milo ais satu. Makan mau?” Lelaki yang sentiasa tersenyum itu sudah mencatatkan pesanan Nazmi.
        “Tak mau.” Laju Nazmi menggeleng.
        “Okey, milo ais satu saja?” tanya lelaki India itu sekali lagi.
        Nazmi menganggukkan kepalanya. Lelaki India itu masuk semula ke dalam gerai mamak itu.
        Fakhri menyedut air teh ais yang berada di hadapannya.
        Nazmi menundukkan pandangan. Berdebar pula rasanya untuk memeberitahu perkara tersebut kepada rakan baiknya sendiri. Wajahnya diangkat semula. Kaca mata hitam yang disisipkan di leher bajunya dikeluarkan lalu diletakkan di atas meja. Nafasnya ditarik dalam-dalam untuk meraih kekuatan diri.
        “Aku nak kahwin.” Hanya tiga perkataan itu yang mampu keluar daripada kerongkong Nazmi.
        Fakhri yang sedang enak menikmati teh ais hampir tersembur.
        “Hah?! Kau nak kahwin?!” Matanya buntang memandang Nazmi. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Dia menyoal Nazmi kembali.
        Nazmi hanya mengangguk sambil tersenyum.
        Fakhri pantas melekapkan belakang tapak tangannya pada dahi Nazmi.
        “Tak panas. Biasa je. Tak demam pun,” gumam Fakhri.
        Nazmi hanya mengerutkan dahinya. Pelik dengan sikap rakannya itu. Pasti rakannya itu tidak mempercayai kata-katanya.
        “Tak pun aku yang mimpi?” Fakhri menepuk pipinya beberapa kali.
        “Betul. Memang bukan mimpi.” Dia menundukkan pandangannya.
        “
Bro, jadi betullah kau nak kahwin ni?” Sekali lagi Fakhri bertanya. Wajahnya yang sedikit keliru itu memandang wajah Nazmi.
        Nazmi ketawa kecil sambil mengangguk untuk kali kedua. “Ya, betul. Aku memang nak kahwin tak lama lagi.” Dia memandang wajah Fakhri. Lucu melihat respon yang diterima daripad rakannya itu.
        “
Bro, kahwin ni bukan benda main-main tau. Takkan baru sehari kau kenal dah nak kahwin. Kahwin ni bukan macam main pondok-pondok tau. Kahwin ni sampai akhir hayat. Sampai akhirat. Kita ni muda lagi.” Bersungguh-sungguh nampaknya Fakhri memberikan nasihat kepada Nazmi.
        Nazmi pula mengerutkan dahinya. Dia bingung dan tidak faham dengan kata-kata Fakhri itu.
        “Apa kau mengarut ni? Aku baru kenal sehari? Apa kau cakap ni? Aku tak fahamlah.” Bertalu-talu soalan yang keluar daripada mulut Nazmi.
        Fakhri hanya tersenyum herot. “Takkan itupun aku nak kena beritahu.” Dia mula menyedut air teh aisnya.
        Pelayan lelaki tadi datang sambil membawa segelas milo ais yang dipesan oleh Nazmi tadi. Perbualan mereka terhenti seketika.
        “Adik main bola, ini milo ais sudah mari.” Gelas yang berisi milo ais itu diletakkan di atas meja.
        Nazmi memandang wajah lelaki India yang lingkungan 40-an itu. “Terima kasih, ane.” Nazmi menguntum senyuman.
        Lelaki India tersebut menganggukkan kepalanya sambil masuk kemabali untuk melayan pelanggan yang lain.
        Milo ais dikacaunya dengan menggunakan straw. “Apa yang kau kena beritahu aku?” Sekali lagi dahinya berkerut.
        Fakhri tersenyum sinis. “Eleh, pura-pura tak tahu pulak. Cepat betul kau nak kahwin dengan Lissa. Baru sekali aku kenalkan kat kau dah nak kahwin dengan dia.” Fakhri tersenyum memandang Nazmi. Senyumannya penuh makna.
        Nazmi yang sedang menyedut milo ais hampir tersembur. “Lissa? Sejak bila pulak aku nak kahwin dengan minah mengenyam tu?”
        “Habis tu dengan siapa? Fiella?” Pantas Fakhri menyoal kembali.
        Nazmi laju mengeleng. “Fiella? Lagilah tak masuk akal.”
        “Habis tu siapa lagi?” Soalan Fakhri meluncur lagi.
        Bibir Nazmi menguntum senyuman yang penuh makna. Dalam benaknya kini terbayang wajah dan susuk tubuh gadis yang amat dicintainya. “Fairuz Farisha. Kakak Fiella.”
        Fakhri tersentak seketika. Dia bagaikan tidak percaya yang Nazmi bakal mengahwini kakak Syafiella iaitu gadis yang rapat dengannya.
        “Amboi, kau! Rapat dengan Fiella sebab nakkan kakak dialah ni, ha?” Fakhri mula mengusik. Teh ais yang tinggal suku itu disedutnya.
        Nazmi menundukkan pandangan. Dia bermain dengan kaca mata hitamnya. “Tak ada. Jodoh pilihan keluarga.” Nazmi memandang wajah Fakhri.
        “Habistu kau setuju?” tanya Fakhri inginkan kepastian. Dia ingin memastikan sama ada rakannya itu setuju ataupun tidak dengan jodoh pilihan keluarga. Nazmi tersenyum.
        “Aku sangat setuju,
bro. Aku sangat setuju,” kata Nazmi meyakinkan Fakhri. Nampaknya Nazmi memang setuju dengan perkahwinan yang diatur oleh keluarga.
        Fakhri juga turut tersenyum. “Baguslah kalau macam tu. Tapi aku pelik sikit dengan kau ni. Apa yang istimewanya bakal isteri kau ni sampai kau boleh terima dia? Selalunya kau bukan main susah nak suka dengan perempuan-perempuan lain.” Fakhri mengerutkan dahinya.
        Bibir Nazmi tidak lekang daripada senyuman. “Entahlah,
bro. Aku rasa aku dah kena panah cinta pandang pertama, kot?” Dia menyedut air milo ais yang masih hanya luak suku.
        Fakhri hanya menggelengkan kepalanya sambil ketawa kecil. ‘Nazmi, Nazmi. Tak sangka aku kau dah nak tukar status dalam usia semuda ni,’ detik hatinya.
        “Kau ingat tak perempuan yang aku cerita dulu?” Nazmi memulakan pertanyaan.
        Fakhri menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tanda otaknya sedang memproses memori dulu. “Perempuan yang mana? Aku tak ingatlah.” Fakhri tersengih.
        Nazmi mengerutkan dahinya. “Alah, perempuan yang aku tolong dia sebab kereta dia rosak dulu. Ingat tak?” Nazmi mengangkat sebelah keningnya.
        Fakhri menggaru kepalanya lagi. “Yang mana?” gumamnya sendirian.
        Tiba-tiba sahaja otaknya dapat mengingat. Dia memetik jari. Wajahnya ceria.
        “
Yes! aku dah ingat. Perempuan yang kau kata cantik macam bidadari tu. Kau pun ada tunjuk gambar perempuan cantik tu pada aku, kan?” Jari telunjuk Fakhri melayang-layang di hadapan Nazmi.
        Nazmi menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Ya, memang betul. Perempuan tulah yang bakal aku kahwini tak lama lagi. Perempuan tu jugalah
yang jadikan aku macam orang gila bayang.”
        Mata Fakhri membuntang memandang wajah Nazmi. “Maksud kau, perempuan tu akan jadi isteri kau? Perempuan yang kau kata macam bidadari tu sebenarnya kakak Fiella?” tanya Fakhri inginkan pengesahan.
        Nazmi mengagukkan kepalanya bersama senyuman di ceria di bibirnya.
        Fakhri menghela nafas lega. “Tahniah,
bro. Itulah jodoh namanya.” Pantas Fakhri berjabat tangan dengan Nazmi.
        Nazmi menyambutnya sambil berkata, “Terima kasih,
bro.” Tangannya menepuk bahu Fakhri.
        “Aku tak sangka kau akan kahwin secepat ni. Kalau aku tahu kau nak kahwin tak adalah aku nak kenalkan kau dengan Lissa.” Dia memandang wajah Nazmi.
        “Nak buat macam mana? Jodoh aku dah sampai cepat. Lagipun ini pilihan papa aku. Papa aku yang suruh aku kahwin dengan dia.
Bro, kau tak payahlah nak beritahu Lissa pasal benda ni ye?” Nazmi memandang wajah Fakhri sebelum menyedut air milo ais kegemarannya.
        Fakhri mengerutkan dahinya. “Kenapa pulak? Nanti kalau dia nak kat kau macam mana?”
        “Biarlah dia. Lambat laun dia akan tahu sendiri. Kalau dia nak kat aku kau gantikan aje tempat aku.” Nazmi ketawa kecil.
        “Okey, aku ambik dia. Kau jangan marah, ye?” Ketawa Fakhri meledak.
        Nazmi pantas menggeleng. “
Bro, aku nak mintak tolong sikit, boleh?” tanya Nazmi setelah tawa Fakhri mereda.
        “Apa dia?” Fakhri memandang wajah Nazmi.
        “Kau jadi pengapit aku, boleh?” pinta Nazmi.
        “Boleh. Tak ada hal. Kalau nak jadi pengantin lelaki pun aku sanggup,
bro.” Fakhri mula berseloroh.
        Nazmi laju mengepal penumbuk. “Kau langkah mayat aku dulu.” Serta-merta meledak ketawa mereka berdua.
        “Eh, bila langsungnya?” tanya Fakhri setelah ketawa mereka mereda.
        Milo ais disedut oleh Nazmi perlahan-lahan. “Lebih kurang dalam sebulan lebih jugaklah.” Nazmi memandang wajah Fakhri.
        “Cepatnya.” Fakhri tersentak seketika.
        “Bak kata papa aku benda baik tak elok buat lambat-lambat.” Sekali lagi ketawa mereka berderai.  


0 comments:

Post a Comment