Thursday, 1 January 2015

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 25

BAB 25


NAZMI yang sedang menyandang beg sukannya segera masuk ke pusat futsal tersebut. Kelihatan Syafiella sudah sedia menunggu di tempat duduk penonton berseorangan. Nazmi mengerutkan dahinya sedikit apabila matanya menangkap kelibat gadis yang sedang menunggunya.
        ‘Apalah yang dia nak daripada aku?’ getus hati kecilnya.
        Dia yang memakai seluar pendek bersama baju t-shirt ketat berwarna hitam melangkah menuju ke arah gadis tersebut.
        Syafiella yang menyedari Nazmi berjalan ke arahnya mula melambaikan tangannya sambil tersenyum penuh gembira.
        “Apa yang kau nak cakap?” Nazmi melabuhkan punggungnya sambil meletakkan beg sukannya di tepi.
        Syafiella mengerutkan dahinya. Rasa seperti tidak sanggup untuk mengatakan perkara itu kepada jejaka yang dia cintai, Nazmi. Pandangannya dicerunkan. Lama dia mendiamkan diri.
        Nazmi yang melihat mula mengeluh. “Kau ni nak cakap ke tak? Kalau nak cakap cepatlah. Kejap lagi aku nak main.” Dia mula mendesak.
        Syafiella segera mengangkat wajah memandang Nazmi yang sedang mengeluarkan but bola daripada beg sukannya. “Okey. Benda yang aku nak cakap ni pasal kakak aku.”
        Serta-merta Nazmi menoleh memandang wajah Syafiella apabila mendengar nama Fairuz disebut oleh Syafiella. Syafiella tersentak.
        “Kenapa dengan bakal isteri aku? Dia sakit ke? Dia sakit apa? Kat hospital mana?” Bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh Nazmi. Risau pula dia jadinya.
        Syafiella mengeluh lemah. ‘Menyampah pulak aku dengan mamat ni.
Caring sangat dengan kakak aku ni kenapa?’
        Syafiella pantas menggelang. “Tak. Dia sihat aje.”
        “Habistu kenapa pasal dia pulak?” Pantas Nazmi menyoal kembali.
        Syafiella mengeluh lemah. “Itulah, orang belum habis cakap lagi dia dah menyampuk.” Nazmi yang berada di sebelah dikerling sekilas.
        “Yelah, yelah. Aku dah tak nak menyampuk lagi,” ujar Nazmi sambil menyarungkan stoking di kaki sebelah kanan.
        Bibir Syafiella menguntum senyuman puas.
        “Apa yang penting sangat pasal bakal isteri aku sampai tak boleh cakap kat telefon?” soal Nazmi sedikit serius.
        Matanya memandang tepat ke arah bakal adik iparnya. Seperti tidak berpuas hati sahaja.
        Senyuman puas Syafiella tadi serta-merta mati. Matanya membalas pandangan daripada Nazmi. Tiba-tiba sahaja hatinya menjadi pedih. Pedih kerana kakaknya bakal mengahwini jejaka di hadapannya ini. Anak rambutnya dikuak.
        Sambil mengukir senyuman yang hambar dia berkata, “Aku…sebenarnya nak bagitahu kau pasal perkahwinan kau dan kakak aku.”
        “Kenapa?” Nazmi pantas menyoal kembali sambil kerutan di dahinya kelihatan.
        Syafiella menelan air liur. Rasanya tak sanggup untuk memberitahu perkara tersebut tetapi dia terpaksa kerana cintanya terhadap jejaka ini amatlah mendalam. ‘Kakak, maafkan Fiella.’
        Dia menarik nafas sebelum mengeluarkan kata-kata. “Perkahwinan antara kau dan kakak aku terpaksa dibatalkan. Sebab…sebab kakak aku dah ada lelaki lain. Dia nak kahwin dengan lelaki tu.” Suaranya terketar-ketar namun, dia dapat mengawalnya.
        Nazmi yang sedang menyarungkan but bolanya mengekek ketawa. “Kalau kau nak bergurau dengan aku pun tak payahlah sampai macam ni sekali, Fiella. Benda ni tak lawak pun. Benda ni serius. Tak boleh buat main-main, Fiella.” Nazmi mengangkat wajah memandang Syafiella. Ketawanya masih tidak berhenti lagi.
        Syafiella menggigit bibir. Jelas risau pada riak wajahnya. “Nazmi, aku tak main-mainlah. Kau fikir aku main-main ke? Benda ni betul. Kakak aku suruh aku beritahu pada kau benda ni.
        Dia kata dia tak sanggup nak beritahu pada kau sebabnya…sebabnya…dia tak nak kau kecewa pasal berita ni. Dia tak sanggup tengok kau sedih.” Nadanya sengaja direndahkan agar lebih lakonannya lebih menjadi.
        Nazmi menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Ketawanya masih tidak berhenti lagi malahan lebih galak lagi.
        “Fiella, aku cakap benda ni tak lawak pun kan? Aduhai, agak-agaklah Fiella kalau kau nak buatkan aku gelak pun.” Nazmi menyeka air mata di sekitar tubir matanya.
        “Kau fikir kahwin ni boleh suka hati buat main-main ke?” Nazmi mengangkat sebelah keningnya.
        Syafiella menghela nafas panjang. “Aku kan dah cakap yang benda ni bukan main-main. Benda ni betul. Aku tak tipu kau, Nazmi. Betul.” Bersungguh-sungguh Syafiella mengiakan segala kata-kata dustanya itu.
        Nazmi memberhentikan segala tawanya. “Betul?” tanya Nazmi inginkan kepastian.
        Syafiella pantas menganggukkan kepalanya. “Betul.” Bersungguh-sungguh dia menaburkan kepercayaan terhadap Nazmi.
        Nazmi tidak sebegitu mudah mempercayai kata-kata daripada Syafiella.
        “Fiella, Fiella. Sudahlah tu. Lupakan hasrat kau untuk memiliki hati aku. Fiella, tak lama lagi aku akan jadi abang ipar kau. Baik kau lupakan sahaja perasaan kau terhadap aku. Aku tak pernah pun bagi apa-apa harapan pada kau, Fiella. Aku anggap kau macam kawan aku je. Lagipun dah lama kita berkawan, Fiella.” Nazmi memandang tepat ke arah anak mata Syafiella.
        “Nazmi, apa kau cakap ni? Apa kau cakap benda-benda merepak macam ni? Apa yang aku cakap semuanya betul. Kau percayalah, Nazmi. Aku tak ada niat pun nak rampas kau daripada kakak aku. Aku kan adik dia. Tak tergamak aku nak buat pada kakak aku sendiri.”
        Syafiella mula meraih simpati. Nada suaranya sengaja dilembutkan agar hati Nazmi semudahnya dan selembutnya menerima kata-kata dusta daripadanya.
        Nazmi mengetap gigi menahan geram. Dia geram dengan sikap Syafiella itu. “Fiella, kau dengar sini. Kau tak payah nak raih simpati daripada aku. Aku tak percaya semua kata-kata kau tu.” Jari telunjuknya lurus menunjuk ke arah wajah Syafiella. Matanya mencerlung memandang wajah gadis itu.
        Wajah Syafiella sudah pucat lesi. Tiada darah yang mengalir di wajah gadis itu.
        “Kalau kau nak tahu kakak kau tak pernah ada rasa cinta terhadap mana-mana lelaki termasuk aku. Kakak kau jugak tak akan ada rasa simpati pada aku. Dan kalau kau nak tahu kakak kau tak akan berani batalkan perkahwinan kami melainkan papa kau yang batalkan! Kau faham!”
        Mata Nazmi sekali lagi membunuh anak mata Syafiella. Jari telunjuknya diturunkan. Kelihatan juga rahangnya sekejapan timbul. Marahnya terhadap gadis itu semakin memuncak. Dia yakin yang gadis itu pasti akan melakukan perkara yang tidak masuk akal bagi mendapatkan dirinya.
        Syafiella pula hanya diam tidak berkutik. Dia tidak berani hendak bersuara walau dengan sepatah perkataan pun.
        Nazmi bingkas bangun sambil diperhatikan oleh Syafiella. Sempat dia menoleh ke arah gadis tersebut sebelum melangkah menuju ke tengah padang futsal.
        “Mulai sekarang kau jangan ganggu aku dan kakak kau lagi. Kau jangan nak masuk campur dalam urusan perkahwinan kami. Kau jugak kena buang perasaan cinta kau terhadap aku. Kalau kau nak tahu hati aku hanya untuk perempuan yang bernama Fairuz Farisha. Kau faham, Fiella!” Matanya mencerlung memandang wajah gadis yang bernama Syafiella itu.
        Syafiella melepaskan keluhan kecil. Ternyata kenyataan yang harus ditelan olehnya amatlah perit dan pedih. Hatinya pilu tetapi apakan daya jejaka di hadapannya bakal menjadi abang iparnya tidak lama lagi. Dia tidak boleh menyangkal takdir.
        Nazmi segera mendapatkan rakan-rakannya di tengah padang futsal. Syafiella hanya memandang sahaja dari jauh susuk tubuh jejaka yang amat dicintainya.
        Perlahan-lahan dia mengepal penumbuk. Bibirnya diketap. Matanya dikecilkan. Hatinya membara dendam kesumat. Pasti pilu dihatinya patut dibalas dengan pilu juga.
        Dia pasti akan membalas apa yang telah dilakukan oleh jejaka itu kepada kakaknya. Dia pasti akan mendapatkan kembali jejaka itu walau dengan apa cara sekali pun. “Lepas ni kita tengok siapa yang ada dalam hati kau, Nazmi.”

FAIRUZ perlahan-lahan menuruni anak tangga. Matanya meliar mencari ahli keluarganya yang lain. Kelihatan Datin Noora dan Mak Saleha sedang berbual rancak di dapur.
        Fairuz segera mendapat dua tubuh wanita yang amat disayanginya.
        “Mama,” panggil Fairuz setelah kakinya menapak ke ruangan dapur.
        Panggilan daripada anak sulungnya itu membuatkan perbualan rancak dua wanita itu terhenti. Datin Noora segera menoleh ke bekalang. Tersembul susuk tubuh Fairuz yang berbaju tidur itu.
        “Mama, senyap aje rumah ni. Semua orang pergi mana?” Fairuz segera mendapatkan Datin Noora yang sedang duduk di atas kerusi. Mak Saleha yang sedang sibuk mengemas dapur mengerling sekilas.
        Datin Noora tersenyum. Dia bingkas bangun sambil melangkah keluar dari dapur membiarkan Mak Saleha seorang diri.
        Fairuz mengerutkan dahi apabila melihatkan mamanya sudah melangkah keluar dari dapur. Mak Saleha yang sedang sibuk mengemaskan dapur dipandang. Fairuz mengangkat kening memandang wajah Mak Saleha. Menandakan dia sedang bertanyakan sesuatu tentang sikap mamanya itu.
        Mak Saleha malas mahu ikut campur urusan majikannya. Dia hanya mengangkat kedua-dua belah bahunya. Fairuz mengeluh lemah sambil keningnya bertaut.
        Kelihatan Datin Noora sudah mengambil tempat di atas sofa di ruang tamu.
        Fairuz pergi mendapatkan mamanya itu. Dia melabuhkan punggung di sebelah Datin Noora.
        “Mama ada sesuatu nak bincang dengan Yuz.” Datin Noora kelihatan tersenyum.
        Fairuz mengerutkan dahinya. Soalannya awal tadi dibiarkan berlalu tanpa jawapan.
        “Sebelum mama bincang dengan Yuz, Yuz nak tanya mama. Mana semua orang pergi? Fiella? Papa?” Fairuz memandang wajah gembira Datin Noora. Kerutan di dahinya semakin kelihatan.
        Datin Noora membalas pandangan anaknya. “Fiella awal-awal lagi dia dah keluar katanya nak ke pusat futsal. Jumpa kawan dia. Papa pulak pergi
dinner dengan client. Tak tahulah client yang mana satu. Kejap lagi baliklah.”
        Fairuz mengangguk. Kerutan di dahinya dikendurkan.
        “Kenapa tiba-tiba tanya pasal papa dengan Fiella? Ada apa-apa ke?” tanya Datin Noora dengan nada yang agak mencurigakan.
        Fairuz pantas menggeleng. “Tak ada apa-apa. Yuz cuma tanya. Selalu malam-malam macam ni
diorang ada je kat rumah.” Bibirnya menghadiahkan senyuman buat mamanya yang tercinta.
        “Mama nak bincang apa dengan Yuz tadi?” soal Fairuz apabila setelah sekian lama suasana antara mereka mula menghening.
        Datin Noora terkejut. Baru dia teringat akan perbincangannya dengan Fairuz. Makulumlah usia dah lanjut memang pelupa.
        “Mama nak tanya kamu, bilalah kamu ni nak beli cincin, barang hantaran, barang kahwin semua tu? Bila Yuz?” Datin Noora memandang wajah anaknya.
        Fairuz membuang pandang ke arah pintu utama. Malas dia mahu menjawab soalan yang diajukan oleh mamanya. Perkahwinan ini bukan atas kehendaknya langsung.
        Lama dia mendiamkan diri. Soalan yang diajukan kepadanyanya dibiarkan berlalu tanpa jawapan.
        Datin Noora yang menyedari perubahan pada anaknya mula mengerutkan dahi. “Yuz, mama tahu perkahwinan ni bukan atas kehendak Yuz tapi Yuz kena buat jugak semua persiapan kahwin. Nak, mama tanya jawablah.”
        Nadanya sangat lembut dan seakan memujuk. Tangan Fairuz mula diraih untuk memujuk anak sulungnya itu.
        Fairuz memandang wajah penuh pengharapan Datin Noora. Dia menarik nafas sebelum mengeluarkan kata-kata.
        “Mama, Yuz tak mahu tahu semua tu mama. Kalau persiapan tu tak ada tak boleh ke? Semua benda tak jadi ke, ma?” Nadanya seakan tidak berpuas hati.
        Fairuz memang tidak berpuas hati. Dia tidak faham mengapa mama dan papanya sanggup mengahwinkannya dengan budak yang mentah seperti Nazmi itu.
        Dia juga tidak faham mengapa dia harus menerima budak hingusan seperti Nazmi itu suaminya sedangkan Nazmi baru setahun jagung. Dia tidak faham adakah Nazmi itu suami yang terbaik?
        Mungkin perkahwinan ini dilakukan supaya Fairuz boleh memulakan hidup baru tanpa bayangan daripada Hilmi. Mungkin juga perkahwinan ini diadakan supaya Fairuz boleh melupakan bekas tunangnya, Hilmi.
        Namun, semua tujuan tersebut hanyalah sia-sia. Memori sewaktu sedang hangat menyemai cinta bersama Hilmi dahulu sering berlegar di kotak mindanya. Memori itu jugalah yang telah mematikan hati Fairuz untuk menyemai lagi cinta terhadap manusia yang bernama lelaki.
        Datin Noora menggelengkan kepalanya. Dia mengeluh kecil.
        “Yuz, bukan macam tu. Walaupun perkahwinan ini bukan atas kerelaan Yuz, tapi Yuz kena ingat ini satu majlis perkahwinan bukan majlis hari lahir. Kalau Yuz buat macam tu tanpa hantaran nanti orang kata Yuz dengan Nazmi kahwin sebab kena tangkap basah. Kawan-kawan papa mesti nak tengok Yuz jadi raja sehari nanti. Papa kena jaga nama baik dia demi Maya Holding.” Tangan Fairuz digenggam oleh Datin Noora. Cuba memujuk hati Fairuz yang sedang membara itu.
        Fairuz mengetap bibir. “Kalau macam tu Yuz serahkan perkara ni pada mama. Suka hatilah mama nak buat apa. Janji perkahwinan tu jadi macam mana yang mama dan papa harapkan.”
        Fairuz melepaskan genggaman tangan mamanya. Dia bingkas bangun daripada duduknya dan mula memanjat anak tangga.
        Datin Noora cuba mengejar langkah deras anaknya. “Yuz, mama bukan nak bermaksud macam tu.”
        Datin Noora mula memanjat anak tangga. Fairuz mempercepatkan langkahnya menuju ke kamar tidurnya.
        “Mama tahu perkara ni berat buat Yuz tapi Yuz kena tahu inilah jalan yang terbaik untuk melupakan Hilmi.” Datin Noora masih juga memujuk.
        Fairuz tersentak seketika apabila mendengarkan kata-kata daripada Datin Noora. Langkah kakinya yang deras itu serta-merta terhenti. Ternyata telahannya selama ini terhadap perkahwinan ini adalah benar.
        Datin Noora tersenyum lega. Dia berhenti di anak tangga belakang Fairuz.
        Fairuz segera memusingkan badannya menghadap Datin Noora. Tangannya digenggam untuk mendapatkan sedikit semangat.
        “Mama, kalau inilah tujuan mama kahwinkan Yuz dengan Nazmi mama salah sama sekali.” Langkah derasnya disambung kembali.
        Datin Noora terpinga-pinga. Dia tidak faham dengan apa yang diperkatakan oleh anak sulungnya itu. Kakinya laju dihayun mengikut rentak kaki anak sulungnya.
        “Yuz, mama tak faham apa yang Yuz cakapkan tadi.” Datin Noora mula bingung dengan apa yang diperkatakan oleh Fairuz.
        Fairuz sampai di kamar tidurnya. Tombol pintu dipulas kasar. Sempat dia berpaling ke belakang sebelum memboloskan dirinya ke dalam kamar tidur.
        “Mama tak perlu faham apa yang Yuz cakap tadi. Sekarang, mama sahaja yang uruskan perkahwinan Yuz. Yuz tak mahu tahu apa-apa tentang perkara ni. Yuz tak kisah mama nak buat apa. Yuz tak kisah semua tu.”
        Daun pintu dibuka dan Fairuz memboloskan diri ke dalam kamar tidur. Pintu dikunci dan Fairuz bersandar pada pintu tersebut.
        Datin Noora sudah berada di hadapan pintu kamar anaknya. Ketukan pintu bertalu-talu namun, tidak diendahkan oleh Fairuz.
        “Yuz, bukak pintu ni. Bagi mama peluang untuk pujuk Yuz.” Tangannya bergilir-gilir mengetuk pintu dan memulas tombol pintu.
        Fairuz menekup mukanya dengan kedua-dua belah tangannya. Hatinya jadi pedih dan sakit apabila isu perkahwinan antara dia dan Nazmi dibangkitkan. Pasti dia akan sakit hati dan naik geram.
        “Dah tak ada peluang lagi mama. Yuz tetap akan kahwin juga.” Kedengaran suara Fairuz dari dalam.
        Datin Noora menghela nafas panjang. Dia tidak tahu bagaimana mahu memujuk anaknya yang seorang itu.
        “Yuz, mama faham perkara ni susah buat Yuz. Okey, mama akan uruskan segala persiapan perkahwinan Yuz nanti.” Datin Noora mula melangkah pergi meninggalkan Fairuz di dalam kamar tidurnya. Kakinya mula menghayun menuruni anak tangga.
        Fairuz meraup wajahnya. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Tombol pintu dipulas semula. Daun pintu dikuak.
        Datin Noora yang menyedari Fairuz sudah membuka pintu segera berpaling. Kelihatan wajah Fairuz tersembul di muka pintu.
        “Mama, Yuz minta maaf. Yuz harap mama faham.” Fairuz memandang wajah mama kesayangannya.
        Datin Noora menarik nafas dan menghembuskannya perlahan-lahan. Dia hanya mengangguk kecil.






0 comments:

Post a Comment