Thursday, 1 January 2015

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 28

BAB 28


FAIRUZ berlari-lari anak menuruni anak tangga sambil membetulkan kedudukan blouse dan skirt yang separas lutut itu. Sempat juga dia mengerling sekilas jam di tangan kanannya. Langkahnya laju menuju ke meja makan.
        “Makan, Yuz,” pelawa Datin Noora setelah Fairuz berada di meja makan.
        Fairuz hanya mengangguk sambil menarik kerusi di sebelah papanya. Matanya meliar melihat makanan yang berada di atas meja makan tersebut.
        Nasi goreng, roti bakar dan seteko air kopi panas menjadi antara hidangan sarapan pada hari ini yang disediakan oleh Mak Saleha dan mamanya sendiri. Memang kebiasaanya Datin Noora akan menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Mak Saleha hanya membantu apa-apa yang patut sahaja.
        “Yuz nak apa? Nasi goreng atau roti bakar?” tanya Datin Noora sambil tersenyum ramah.
        “Nasi gorenglah, mama.” Datin Noora menyedok nasi goreng itu ke dalam sepinggan kosong.
        Fairuz memilih nasi goreng sebagai sarapannya kali ini. Matanya kini meliar mencari minuman wajibnya.
        “Mak Sal, tolong ambilkan Yuz…”
        Belum pun sempat Fairuz menghabiskan ayatnya Mak Saleha terkocoh-kocoh menuju ke meja makan tersebut sambil membawa sebotol air Bliss berperisa strawberi.
        “Mak Sal terlupa tadi.” Mak Saleha meletakkan botol tersebut di hadapan Fairuz.
        Fairuz hanya tersenyum apabila Mak Saleha mengetahui apa yang sedang dicarinya. Datin Noora hanya menggelengkan kepala melihat kerenah Fairuz.
        “Kamu ni Yuz, tak ada itu tak boleh makan.”
        Fairuz menuang air Bliss itu ke dalam gelas sambil tersengih. Datin Noora menyuakan pinggan yang berisi nasi goreng itu kepada Fairuz.
        “Ma, Fiella mana?” tanya Fairuz setelah mendapati adiknya itu tidak turut serta di meja makan tersebut.
        Datin Noora mengangkat wajahnya tatkala mendengarkan soalan yang terpacul keluar daripada mulut Fairuz.
        “Tengah siap agaknya. Sekejap lagi turunlah tu.”
        Fairuz hanya menganggukkan kepala sambil menyuapkan sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya.
        “Yuz,
meeting dengan Syarikat Kejuruteraan tu bila?” tanya Dato’ Johan.
        “Esok,” kata Fairuz sambil menguis-nguis pinggan yang masih berbaki nasi goreng itu.
        “Yuz, bila kamu nak beli cincin nikah?” tanya Datin Noora sambil memandang serius wajah Fairuz.
        Hampir tersedak Fairuz mendengarkan soalan yang keluar daripada mulut mamanya namun, cepat-cepat dia meneguk air.
        “Hari ni,” jawabnya ringkas.
        Serentak itu kedengaran loceng rumah ditekan. Bunyi loceng rumah tersebut menyebabkan Fairuz, Dato’ Johan dan Datin Noora berpandangan sesama sendiri. Sambil kerutan di dahi masing-masing semakin bertambah.
        “Siapa yang datang pagi-pagi ni,” omel Datin Noora.
        “Mak Sal, pergi tengok siapa yang datang tu,” arah Datin Noora.
        Mak Saleha tanpa banyak soal terus pergi ke pintu utama dan membukanya. Kelihatan Mak Saleha terjengket-jengket melihat manusia yang datang ke banglo tersebut.
        “Siapa tu, Mak Sal?” Fairuz cuba bertanya sambil lehernya dipanjangkan sedikit untuk melihat manusia tersebut.
        “Entah, Mak Sal rasa macam…bakal suami kamu tu, Yuz. Apa namanya tu…Na…Na…Nazmi.” Mak Saleha memandang wajah Fairuz.
        ‘Ya Allah, apa yang dibuat pagi-pagi ni. Jangan, jangan…’
        Fairuz sudah mengetap bibir. Kerutan di dahinya semakin bertambah.
        “Yuz, pergilah tengok Nazmi tu.”
        Kata-kata daripada mamanya itu mematikan terus lamunan Fairuz. Dia tersentak lantas memandang wajah mamanya.
        ‘Aku nak kena pergi ke tengok dia?’ desis hatinya.
        Datin Noora menganggukkan kepalanya tanda menyuruhnya untuk pergi melihat Nazmi.
        Sekali lagi loceng rumah banglonya ditekan menyebabkan Fairuz segera bangun daripada duduknya. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke pintu pagar rumahnya.
        Kelihatan Nazmi sudah memberikan senyuman manis untuk bakal isterinya itu.
        Sambil membuka kaca mata hitamnya dia berkata, “
Morning, my wife to be.” Kaca mata hitamnya disisipkan di celah leher baju t-shirtnya.
        Fairuz tidak mengendahkan sapaan daripada Nazmi sebaliknya dia membuka pintu pagar tersebut.
        “Awak nak apa pagi-pagi buta ni?” soal Fairuz sambil berpeluk tubuh.
        Nazmi sudah bersandar pada keretanya. “Nak bawa awak keluar pergi beli cincin.” Dia memandang wajah Fairuz yang nampaknya semakin mencuka itu.
        Kerutan di dahi Fairuz semakin bertambah. “Bukan ke malam tadi awak kata…”
        “Saya tak kata pagi ke petang ke tengah hari ke saya cuma cakap esok kan.
So, suka hati sayalah nak bila.” Bibir Nazmi mula tersenyum nakal.
        Fairuz menjegilkan matanya. “Tapi awak kata awak nak
training football half day.” Pandangan matanya dilemparkan di atas jalan raya.
        Nazmi menghela nafas. “
Half daylah ni. Saya datang training nanti. Tengah hari.”
        Fairuz memandang wajah Nazmi kembali tanpa sebarang perasaan terbit di hatinya.
        “Jadi?” Nazmi menjongketkan sebelah keningnya.
        “Awak kata ada kakak awak. Mana dia?” Mata Fairuz meliar melihat ke dalam kereta Nazmi.
        “Kakak saya datang nanti.” Nazmi kembali mengamati tubuh dan wajah cantik Fairuz yang bertambah mencuka itu.
        “Saya tak nak.” Fairuz segera berpaling sambil melangkah meninggalkan Nazmi.
        Nazmi yang terkejut dengan tindakan Fairuz itu cuba untuk mengejarnya.
        “Tunggu, Fairuz.” Nazmi mengikuti langkah Fairuz.
        “Awak kata malam tadi awak dah setuju.”
        “Tapi saya tak kata yang saya tak boleh tukar fikiran,” kata Fairuz sambil menyambung langkahnya.
        Nazmi menepuk dahinya. ‘Aduh perempuan ni. Susah betul nak pikat hati dia.’
        “Kejap, Fairuz.” Pergelangan tangan Fairuz pantas disambar oleh Nazmi. Perbuatan spontan Nazmi itu membuatkan langkah Fairuz terhenti.
        Nazmi mula merapati tubuh Fairuz. Bibirnya mula didekatkan pada telinga Fairuz.
        “Jom,” bisiknya.
        Sengaja dia berbuat begitu supaya dapat memujuk hati bakal isterinya itu. Fairuz yang membelakangkan Nazmi itu mula mengetap gigi menahan geram. Sepantas kilat Fairuz memalingkan wajahnya menghadap Nazmi.
        Dan serentak itu bibir Nazmi mula mendekati pipi gebu Fairuz. Belum pun sempat bibirnya mendarat di pipi gebu Fairuz tangan Fairuz terlebih dahulu mendarat di pipi Nazmi. Penampar yang agak kuat itu membuatkan Nazmi mengaduh sakit.
        “
Serve you right. Gatal sangat. Fikir saya nak makan pujuk awak.”
        Fairuz tersenyum sinis sambil memandang Nazmi yang sedang mengusap-usap pipi kirinya akibat terkena penampar daripada Fairuz.
        ‘Padan muka kau, Nazmi. Itulah
expert sangat. Kau fikir dia makin suka kau. Makin benci adalah,’ kata Nazmi memarahi dirinya.
        Fairuz menyambung langkahnya.
        “
Ask my parents if you want me to go with you,” kata Fairuz bersahaja.
        Dalam menahan kepedihan akibat penampar Fairuz hinggap di pipinya terselit juga segaris senyuman pada bibir Nazmi.
        ‘Yes,’ hatinya berbunga riang. Nazmi melangkah membontoti Fairuz.
        Syafiella melangkah keluar sambil memeluk erat failnya. Langkahnya terhenti di muka pintu apabila sepasang matanya melihat dua figura yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Hampir melorot fail yang berada di pelukannya dek terkejut melihat dua figura itu menuju ke arahnya.
        Senyuman Nazmi juga terhenti tatkala ekor matanya menangkap renungan daripada Syafiella yang berada di muka pintu. Pada saat yang sama renungan mata Nazmi bertemu renungan mata Syafiella. Serta-merta juga langkah Nazmi terhenti.
        “Fiella, kenapa tercegat kat sini?” tegur Fairuz apabila melihat Syafiella yang sedari tadi mematungkan diri di muka pintu.
        Teguran daripada Fairuz itu mematikan terus lamunan Syafiella. Dia pantas melarikan renungannya yang terus-terusan merenung Nazmi. Syafiella hanya tersengih sambil memandang wajah kakaknya yang semakin berkerut itu.
        “Tak ada, kak. Emm…Fiella nak pergi kolej ni.”
        Syafiella mula melangkah menuju ke kereta Suzuki Swift pemberian papanya itu sambil tangannya erat memegang fail. Sebelum masuk ke dalam kereta sempat dia mencuri pandang ke arah Nazmi yang memakai t-shirt hitam bersama seluar jeans hitam juga. Entah mengapa dadanya tiba-tiba merasa sebak. Enggan melayani perasaannya Syafiella menekan pedal minyak dan segera memandu keluar dari situ.
        “Yuz, kenapa Nazmi datang sini pagi-pagi ni?” tanya Datin Noora sambil jalan beriringan bersama Dato’ Johan ke muka pintu.
        “Ha’ah, Yuz. Kenapa?” tanya Dato’ Johan sambil mengancing lengan bajunya.
        “Tanya dia,” suruh Fairuz sambil memandang wajah Nazmi yang berdiri bersebelahan dengannya.
        Nazmi sudah tersengih-sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
        “Tak ada apa,
uncle, auntie. Saya cuma nak ajak Fairuz keluar. Pergi beli cincin. Saya nak minta izin nak bawa dia keluar, boleh?” pinta Nazmi sambil menyalami tangan Dato’ Johan dan Datin Noora.
        “Oh, ingatkan apa tadi. Boleh, pergilah kamu berdua.”
        Nampaknya Dato’ Johan telah memberi keizinan kepada Nazmi untuk membawanya keluar. Datin Noora juga kelihatan menganggukkan kepalanya sambil melemparkan senyuman.
        “Tapi Yuz kena balik awal. Papa nak adakan mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah.” Dato’ Johan mula melangkah keluar sambil membimbit briefcasenya.
        “Memang pun,
uncle. Saya ada training bola lepas ni.” Nazmi mula tersenyum sambil memerhati Fairuz yang mula melangkah masuk untuk mengambil barangnya.
        “Elok sangatlah tu Nazmi.” Datin Noora menganggukkan kepalanya.
        “Mama, Yuz pergi dulu.” Fairuz menyalami tangan mamanya.
        “Pergi dulu,
uncle, auntie,” ucap Nazmi sambil tersenyum hormat ke arah Dato’ Johan dan Datin Noora.
        “Papa,
see you in office later.” Fairuz melambaikan tangannya ke arah Dato’ Johan yang sedang masuk ke dalam kereta itu.
        Nazmi dan Fairuz jalan beriringan. “Awak dengar apa yang papa kata?” tanya Fairuz seakan memberi peringatan kepada Nazmi.
        ‘Aduh, tak dapatlah aku lama-lama dengan dia,’ gumamnya sendirian.
        “Hei, awak dengar tak?” bisik Fairuz.
        Bisikan tersebut mematikan lamunan Nazmi. Dia hanya mengangguk kecil. Fairuz melangkah menuju ke kereta Audi miliknya. Nazmi yang melihat perbuatan Fairuz itu mula mengerutkan dahi.
        “Kita sama-sama naik kereta saya.” Kata-katanya menyebabkan Fairuz berpaling menghadapnya.
        “Atau saya akan tukar fikiran?” Fairuz mula berpeluk tubuh sambil menjongketkan keningnya sedikit.
        Nazmi mula melepaskan keluhan. ‘Ish, perempuan ni susah betul.’
        “
Okay, fine. Kalau itu yang awak mahu.” Nazmi mula melangkah menuju ke arah keretanya.
        Fairuz pula membuka pintu keretanya sambil tersenyum sinis. “Fikir aku nak naik satu kereta dengan dia? Jangan haraplah.”

FAIRUZ menolak daun pintu biliknya. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke mejanya. Dia meletakkan tas tangannya bersama beg laptopnya di atas meja. Pandangannya dihalakan ke luar tingkap. Wajahnya yang sedikit cemerut itu merenung pemandangan pagi kota metropolitan itu.
        “Yuz, kenapa kau datang lambat,” Rania bersama sejambak bunga ros di tangan melangkah menuju ke arahnya.
        Fairuz terus memandang ke arah Rania. Sambil melepaskan sedikit keluhan dia berkata, “Aku…aku ada hal tadi.” Dia mula melabuhkan punggung di atas kerusi.
        Rania hanya menggelengkan kepalanya sahaja. Dia meletakkan jambangan bunga ros itu di atas meja Fairuz.
        “Kau ni pagi-pagi lagi muka dah masam.” Rania merenung wajah Fairuz yang sedikit cemerut sambil melabuhkan punggung di hadapan majikannya.
        Fairuz membuang pandang ke arah jambangan bunga ros yang berada di atas meja.
        “Kenapa?” tanya Rania sambil mengerutkan dahinya.
        Fairuz mengangkat wajahnya. “Pagi-pagi lagi dia dah buat hal.” Giginya diketap sedikit tanda geram.
        “Siapa? Nazmi?” duga Rania sambil menjongketkan keningnya sedikit. Fairuz hanya mengangguk kecil.
        “Dia buat apa?” Rania memicit dahinya.
        “Dia ajak aku keluar pergi beli cincin nikah. Malam tadi dia
call aku tapi dia tak bagi tahu bila nak pergi. Pagi tadi dia dah tercongok kat depan pintu pagar rumah aku masa aku tengah breakfast,” cerita Fairuz. Nadanya seakan tidak berpuas hati.
        Rania mengekek ketawa. “Saja nak buat
surprise, kot.”
        Fairuz hanya menjeling tatkala melihat Rania mengekek ketawa. “Eh, aku geram tahu tak, Nia. Kau boleh gelak.” Fairuz mengerutkan dahinya.
        “
Surprise apa kalau macam tu? Buat aku sakit hati dan geram adalah,” sambung Fairuz.
        “Okey, okey.” Dia sudah mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda mahu berhenti ketawa.
        “Kalau dia datang sekarang pun kau tetap marah dia, kan? Apa yang dia buat kat depan mata kau semuanya salah, kan?” Tawa Rania masih bersisa.
        “Kau ni pun keras hati sangat. Cubalah kau fikir secara positif sikit. Mungkin dia buat macam tu sebabnya nak buat kau terpikat kat dia takpun dia curi-curi masa. Dia kan pemain bola sepak yang sentiasa
busy. Kau bukannya tahu schedule dia yang ketat dan padat tu,” terang Rania dengan panjang lebar.
        Fairuz merenung anak mata Rania. ‘Kenapa semua anggap budak tu baik sangat?’ gumam hatinya.
        “Ah, malas aku nak cakap pasal budak tu lagi. Buat sakit hati je.” Fairuz mengalihkan jambangan bunga ros itu ke tepi mejanya.
        “Yuz, lagi 15 minit kau ada meeting dengan ahli lembaga pengarah.” Rania mengerling sekilas jam tangannya.
        “Oh, okey,” Fairuz melemparkan segaris senyuman.
        “Pasal apa ye, Nia?” Fairuz sempat mengerutkan sedikit dahinya. Rania mula berdiri daripada duduknya.
        “Entah, aku dengar-dengar pasal projek baru.” Rania mula mengatur langkah meninggalkan bilik majikannya itu.
        “Ada apa-apa lagi tak selain
meeting tu, Nia?” soal Fairuz sambil tangannya ligat memilih fail-fail yang berada di rak.
        “Oh, ada. Lepas ni kau kena pergi
appointment dengan Dato’ Kamal pasal tender kita yang baru tu dekat Janda Baik. Papa kau kata kau kena handle projek baru tu,” beritahu Rania.
        Fail tersebut ditarik dengan cermat oleh Fairuz. “Hmm…ada apa-apa lagi?” Fairuz mula menyelak helaian kertas yang terdapat dalam fail tersebut.
        “Rasanya setakat itu sahaja, Yuz. Tak ada apa-apa lagi.” Rania mula menolak daun pintu bilik Fairuz.
        “Yuz, aku nak sambung kerja balik. Nanti tak pasal-pasal aku kena
sound dengan papa kau. Kalau ada apa-apa kau call aku, okey,” ujar Rania sambil melemparkan senyuman buat rakan baiknya merangkap majikannya itu.
        Fairuz mengangkat wajah lantas menganggukkan kepalanya. Kelibat Rania sudah tidak kelihatan. Fairuz segera berkemas-kemas mahu ke bilik mesyuarat.
        Tatkala itu Blackberry Z30nya menjerit minta diangkat. Segera dia membuka tas tangan dan tanpa melihat nama pemanggilnya skrin ‘
answer’ disentuh olehnya.
        “Helo.” Kedengaran suara Fairuz memulakan perbualan.
        “Helo.” Kedengaran suara Nazmi di dalam talian.
        “Awak dah sampai
office?” tanya Nazmi. Caring.
        “Saya ni bukan budak-budak lagi. Saya tahu jalan nak ke
office saya. Awak tak payah sibuk-sibuk nak tanya saya dah sampai ke belum,” marah Fairuz.
        Nazmi yang sedang memandu kereta mengeluh perlahan. “Saya cuma risaukan awak sahaja. Awak kan perempuan. Sekarang macam-macam boleh jadi. Saya cu…”
        “Dah, dah. Saya tak nak dengar kata-kata yang
sweet daripada awak tu sebabnya kalau awak yang cakap semuanya jadi sour and bitter, tahu tak? Awak simpanlah kata-kata awak tu. Jangan haraplah kata-kata tu boleh buat saya cair dengan awak.
        Sekarang saya nak
meeting. Saya busy, banyak kerja. Bye.” Pantas sahaja Fairuz memotong kata-kata daripada Nazmi dan talian terus dimatikan tanpa sempat Nazmi untuk mengakhiri perbualan tersebut.
        “Helo, awak! Helo.” Nazmi berdecit sedikit setelah menyedari talian telefon telah pun terputus.
        ‘Ya, Allah, berikanlah kesabaran kepada hatiku ini demi ingin merebut tempat dalam hati bakal isteriku.’ Nazmi menarik nafas dalam-dalam setelah selesai berdoa.
        Fairuz mengambil segala barang keperluannya untuk dibawa ke bilik mesyuarat sambil mendengus marah.
        “Budak ni memang tak faham bahasa, kan? Dah aku kata tak suka, sampai bila-bila pun aku tak suka.” Dia mula mengatur langkah menuju ke bilik mesyuarat.

NAZMI bergegas menuju ke bilik persalinan. Sepertinya dia sedang tergopoh-gapah untuk menjalani latihan di padang. Langkahnya deras menuju ke bilik persalinan.
        Pintu bilik persalinan tersebut pantas dibuka. Beg sukannya diletakkan di atas bangku. Manakala dia cepat-cepat menukar pakaian. Stoking bola disarungkan dengan segera. But bola dipakai dengan cepat.
Cap yang berada di atas kepalanya ditanggalkan.
        “
Bro, kenapa kau lambat?” Tiba-tiba sahaja ada suara datang menegurnya dari arah belakang.
        Nazmi yang sedang menyarungkan baju menoleh sekilas. Kelihatan susuk tubuh Fakhri mula berjalan ke arahnya.
        “Aku ada hal tadi.” Ringkas sahaja jawapan daripada Nazmi.
        Fakhri mula duduk di atas bangku di sisi Nazmi.
        “Korang tak
start training lagi ke?” tanya Nazmi. Tangannya masih ligat mengemaskan pakaian yang bersepah di atas bangku.
        “Dah. Hari ni
coach lambat sikit. Kitorang rehat sekejap ni.” Fakhri mula meneguk air 100 Plus yang berada di bawah bangku tersebut.
        “
Coach ada tanya pasal aku tak?” Beg sukannya dizipkan.
        Fakhri meletakkan kembali botol 100 Plus itu di kaki bangku tersebut. “Tak ada pulak. Dia cuma cakap kau masuk
training hari ni lewat sikit. Itu aje.” Fakhri memandang Nazmi.
        “Nasib baik aku dah cakap kat
coach malam tadi yang aku ada hal sikit. Kalau tak mengamuk coach kita tu.” Nazmi mengelap peluh-peluh yang membasahi dahinya. Ternyata keadaannya yang tergesa-gesa itu menyebabkan peluh-peluh membasahi dahinya.
        “
Bro, hal apa?” tanya Fakhri ingin tahu. Wajahnya memandang Nazmi.
        Nazmi diam seketika. Soalan Fakhri susah mahu dijawab oleh Nazmi. Dia masih lagi menyembunyikan perkara tentang perkahwinannya dengan Fairuz.
        “
Bro, malam ni lepak mamak jom. Aku belanja,” ajak Nazmi mahu menukar topik. Nazmi melabuhkan punggungnya di sebelah Fakhri. Dia menepuk bahu Fakhri.
        Mata Fakhri terus sahaja bersinar. Soalannya yang tadi juga telah dilupakan. Cakap pasal mamak sahaja mseti Fakhri akan terlupa segala-galanya.
        “Cantik sangat tu,
bro.” Wajah Fakhri mula ceria.
        Nazmi menghela nafas lega. Nasib baik dia pandai menukar topik perbualan mereka.
        “Kita ajak satu
team. Barulah happening,” sambung Fakhri.
        Nazmi diam seketika. Sebenarnya dia mengajak Fakhri untuk keluar malam ini kerana ingin memberitahu perkara yang sepatutnya diberitahu.
        Nazmi laju menggeleng. “Tak boleh. Malam ni aku nak belanja kau je. Kau tak payah nak ajak
diorang semua. Aku nak cakap something dengan kau malam ni.” Nazmi mula memaut bahu rakan baiknya itu.
        Fakhri mengerutkan dahinya. Wajahnya memandang wajah Nazmi. “Apa dia,
bro?”
        Pantas soalan itu berlegar di kepalanya. Selalu Nazmi tidak pernah menyimpan rahsia besar seperti ini.
        “Kau tunggu je malam nanti.” Nazmi bingkas bangun. Bibirnya menguntum sedikit senyuman.
        “Cepat sikit!
Coach dah tunggu!” Kedengaran suara kapten pasukan Harimau Muda A, Faizal dari luar bilik persalinan.
        Fakhri bingkas bangun dan segera menapak keluar dari bilik persalinan tersebut dengan diikuti oleh Nazmi.
        “Kau kenapa lambat, Nazmi?” tanya Faizal sebaik sahaja kaki Nazmi melangkah keluar bilik persalinan tersebut.
        Nazmi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. “Aku…aku ada hal sikit tadi.” Nazmi memandang wajah Faizal. Mereka melangkah laju menuju ke padang.
        “Nasib baik
coach dah tahu kalau tak mati kau Nazmi. Hari ni coach moody sikit. Lain macam aje aku tengok tadi.” Faizal memberitahu Nazmi.
        “Memang betul apa yang Faizal cakap tu. Seram bulu tengkuk aku tengok
coach tu hari ni, bro. Semacam mukanya.” Fakhri turut sama menyokong kata-kata Faizal.
        Nazmi sudah menggigit bibir. Takut pula dia kalau dimarahi oleh jurulatih yang berbangsa Cina itu.
        “Tapi kau tak perlu risau.
Coach faham keadaan kau.” Faizal menepuk bahu Nazmi. Menenangkan sedikit rasa risau yang sedang membelenggu diri
Nazmi.
        Nazmi hanya menganggukkan kepala dan tersenyum sedikit. Mereka masih lagi melangkah laju menuju ke padang.
        “Mesti
coach risau pasal friendly game esok.” Fakhri memberi andaian.
        Faizal juga turut mengangguk. “Mungkin. Esok kita ada
friendly game dengan Chonburi FC, Thailand. Itu yang coach risau agaknya.” Faizal juga turut mengiakan kata-kata daripada Fakhri.
        Nazmi pula hanya diam sahaja. Fikirannya jauh melayang. Jasadnya sahaja yang berada di sini tetapi fikirannya hilang entah ke mana.

                                                                   

0 comments:

Post a Comment