Thursday, 1 January 2015

Esei: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harus ku bawakan?
Ke mana harus ku semaikan cinta ini?
Cinta. Kasih. Sayang. Semua itu tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Tidak mampu untuk digambarkan dalam bentuk yang tulisan. Tidak mampu juga dicorakkan dalam bentuk warna. Lirik lagu juga tidak cukup untuk menggambarkan betapa kita cinta, sayang ataupun kasihkan seseorang itu. Cinta, kasih dan sayang hanya mampu dizahirkan dengan perbuatan. Namun, bagaimanakah kita menzahirkan rasa cinta, kasih ataupun sayang terhadap negara? Adakah rasa cinta, kasih dan sayang terhadap negara masih menebal dalam diri kita sebagai warganegara Malaysia? Ataupun rasa cinta, kasih dan sayang itu telah hilang, luput, hanyut dibawa arus pemodenan yang sedang berkembang pesat ini? Adakah kita sedar bahawa Malaysia juga berhak untuk dicintai, dikasihi dan disayangi oleh rakyatnya sendiri? Tepuk dada tanya hati.
“Saya cintakan awak.” “Sayang, saya sangat sayangkan awak.” “I love you.” Itulah ungkapkan yang selalu kita dengar dan ucap apabila kita sayangkan seseorang itu. Cinta sudah menjadi mainan di sekitar bibir kita. Sayang sudah sebati dalam hati kita. Kasih bagaikan telah lama menghuni dalam diri kita. Tetapi sayang, seribu kali sayang. Ucapan cinta, sayang dan kasih hanya diungkapkan untuk seseorang yang  kita paling cintai seumur hidup kita. Yang kita paling sayang dan kasih sepanjang hidup kita. Mana perginya ungkapan cinta, kasih dan sayang untuk negara kita? Mana perginya rasa cinta, kasih dan sayang terhadap Malaysia? Mana perginya?! Semuanya hilang, lenyap begitu sahaja. Bagaikan ombak laut menghempas pantai.
Cinta terhadap negara bagaikan sudah tiada dalam kamus kehidupan setiap rakyat yang menetap di bumi Malaysia ini. Masing-masing leka dengan kehidupan masing-masing. Masing-masing lalai dengan kedamaian yang kita kecapi sekarang ini. Masing-masing lupa yang Malaysia dulu pernah jatuh tersungkur menyembah bumi. Masing-masing tidak merasai apa yang pernah pejuang-pejuang Melayu rasai dulu yang sanggup bermati-matian menentang penjajah. Benar kata pepatah, melayu mudah lupa. Memang, memang benar kita semua sudah terlupa dek keamanan dan kestabilan bumi Malaysia ini. Kadangkala kita terlepas pandang yang sebenarnya Malaysia ini tidak akan selama-lamanya aman, damai dan makmur. Mungkin tiga puluh tahun akan datang Malaysia akan kembali dijajah pada zahirnya. Tiada siapa yang tahu.
Cinta. Apabila disebut perkataan cinta, pasti anak-anak muda di luar sana tersenyum lebar. Ada yang tersengih-sengih. Tidak kurang juga ada yang tersipu-sipu dek malu. Cinta kepada negara Malaysia. Apabila mendengar sahaja kata-kata tersebut pasti anak-anak muda di luar sana mencebikkan bibir sambil memasamkan muka. Ada juga yang ternganga tanda tidak faham dengan maksud kata-kata tersebut. Tidak kurang juga buat-buat tidak tahu sahaja. Minda anak-anak muda zaman ini terlalu sempit. Sempit dek terlampau banyak disogok dengan pemikiran dari luar negara. Terlampau mengagungkan-agungkan negara luar sedangkan di Malaysialah dia lahir. Di Malaysialah dia kenal apa itu nombor dan huruf. Di Malaysia juga dia mula merangkak, berjalan dan berlari. Di Malaysialah dia mula kenal erti kehidupan yang sebenarnya. Tetapi apabila sudah keluar daripada kepompong, mereka mula lupa asal-usul mereka, bagai kacang lupakan kulit. Mereka mula mengikut budaya Barat yang menyesatkan dan merosakkan diri. Budaya kita sendiri, mereka sudah lupa. Malah ada sesetengah yang menganggap budaya kita, kolot dan ketinggalan zaman. Apakah semua ini?! Adakah mereka anak-anak muda kita yang akan memimpin dan meneruskan legasi di Malaysia tiga puluh tahun akan datang? Adakah ini pemimpin dan peneraju Malaysia yang ingin kita lihat pada masa hadapan? Sedangkan adat dan budaya Malaysia pun mereka tidak ingin ikuti, inikan pula menjadi pemimpin bumi Malaysia ini.
Mengapa kita masih tidak bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Yang Maha Esa kepada bumi Malaysia ini? Mengapa kita masih mengagung-agungkan negara luar daripada mengagungkan negara kita sendiri? Mengapa?! Minda kita telah berjaya dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Mereka berjaya menjajah minda kita dengan jayanya. Setiap inci ruang minda kita telah dipenuhi dengan budaya dari Barat. Maknanya kita masih belum merdeka. Hanya pada zahir dan luarannya sahaja kita telah merdeka. Namun, minda kita masih lagi dipenuhi dengan unsur-unsur dari Barat. Lihat sahaja anak-anak muda kita sekarang ini. Cara hidup, tutur kata, cara berpakaian semuanya kebaratan. Jika ditanya pasti mereka akan mejawab yang mereka mengikut arus permodenan. Mana perginya budaya kita? Mana perginya rasa cinta mereka terhadap Malaysia? Semuanya telah tiada, hanyut dan lenyap begitu sahaja. Tiada sekelumit pun dalam hati mereka ini rasa cinta terhadap Malaysia.
“Adakah anda cintakan Malaysia?” Jika kita ditebak dengan soalan seperti ini pasti kita akan laju menganggukkan kepala. “Ya, sudah pasti saya sangat cintakan Malaysia.” Dengan yakinnya kita menjawab soalan tersebut. Namun, hakikat sebenarnya rasa cinta terhadap Malaysia itu tidak pernah sekalipun hadir dalam hati kita. Semuanya hanyalah di bibir sahaja. Malaysia, bukan mudah untuk mendapatkan kedamaian, keamanan dan kestabilan seperti kini. Keringat pejuang-pejuang Melayu dahulu haruslah sentiasa diingati. Dol Said, Tok Janggut dan Dato’ Sagor bermati-matian menentang penjajah yang bermaharajalela di tanah kita ini. Tunku Abdul Rahman bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan untuk bumi Malaysia ini. Kita? Adakah kita menghargai setiap titik peluh dan keringat mereka? Adakah kita mengambil peduli setiap titik darah yang mengalir keluar membasahi badan mereka demi mempertahankan maruah dan hak kita? Semuanya kita tidak peduli dan ambil kira. Setiap apa yang mereka perjuangkan adalah untuk kita. Kita menganggap enteng perjuangan mereka selama ini.
Wahai anak Melayu! Bangkitlah! Janganlah terlalu leka dan alpa dengan kedamaian yang sedang kita kecapi ini. Kita mestilah bangkit dan bangun melawan musuh yang tidak dapat kita lihat. Bangkitlah bagi menerajui ekonomi bumi Malaysia ini. Janganlah terlalu lalai dengan keamanan yang kita sedang alami ini. Bila-bila masa sahaja keamanan, kemewahan dan kedamaian ini boleh lenyap sekelip mata sahaja. Anak Melayu harus bangkit dan berjuang. Menentang minda yang terlalu mengagungkan budaya dan adat Barat. Menghapuskan penjajah yang secara senyap menjajah kita dengan teknik mereka yang sangat halus. Melenyapkan budaya dan adat Barat yang mula bersarang di dalam diri kita.

Oleh itu, semailah rasa cinta, kasih dan sayang kita terhadap bumi Malaysia ini. Biarkan cinta, kasih dan sayang itu mewangi, kembang di dalam diri setiap rakyat yang menetap di bumi Malaysia yang bertuah ini. Hal ini kerana rasa cinta, kasih dan sayang yang ada dalam diri ini akan membuatkan kita menghargai Malaysia yang bertuah ini. Pejuang Melayu juga akan perlahan-lahan lahir untuk memimpin Malaysia dengan lebih matang lagi. Nama Malaysia juga akan harum mewangi setiap pelosok dunia. Rakyat Malaysia juga akan disebut-sebut di setiap inci dunia. Mereka yang berada di luar negara akan hormat kepada kita sekaligus mereka tidak akan sewenang-wenangnya memandang enteng dan memperlekehkan kita. Malaysia, tanah tumpah darahku. Di sinilah bermulanya sebuah kelahiran dan di sini jugalah berakhirnya sebuah kematian. Akan kutaat kepadamu, Malaysia sebagaimana yang telah aku ikrarkan dahulu. Malaysia harus dicintai, disayangi dan dikasihi kerana di sini matinya sebuah kebencian dan di sini lahirnya sebuah cinta. 

Memenangi TEMPAT PERTAMA dalam pertandingan menulis esei sempena hari Kemerdekaan peringkat universiti di UiTM Seri Iskandar pada tahun 2014  
   


5 comments:

  1. assalam sis.. boleh sy minta izizn copy esei sis utk pertandingan esei sy nnti

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wasalam. Boleh sy tahu utk pertandingan ape dgn lebih detail? Siapa yg anjurkan? Tolong sertakan flyer sekali ye. Terima kasih.

      Delete
  2. itu pertandingn esei peringkat daerah sis.. sy tk de flyer dia sis.. sy murid yg wakil sek je

    ReplyDelete