Saturday, 1 August 2015

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 34



BAB 34


“AKU tak sangka pulak yang abang pilot kau boleh jugak jadi sehebat William Shakespears.” Fairuz mengacau air di hadapannya dengan menggunakan straw. Tawa kecilnya kedengaran.
        Rania yang duduk di hadapan Fairuz menggelengkan kepalanya. “Tak adalah sehebat William Shakespears cuma dia pandai memberikan nasihat pada aku.” Rania juga turut ketawa kecil. Air dihadapannya disedut.
        “Tapi kau pun sama hebatnya jugak. Untung aku dapat kawan macam kau ni, pandai berfalsafah.” Fairuz ketawa lagi.
        Rania juga turut ikut ketawa. “
So, macam mana kau rasa sekarang? Dah tenang?” Sebelah keningnya terangkat.
        Fairuz mengacau minumannya dengan menggunakan straw. Pandangannya dicerunkan. “Okey. Tenang jugalah diri aku ni kalau nak dibandingkan dengan semalam.” Dia mengangkat wajah memandang wajah Rania. Senyuman kecil terbit di hujung bibirnya.
        Pelayan restoran tersebut datang sambil membawa dua biji pinggan untuk mereka. Dua biji pinggan tersebut diletakkan di atas meja mereka dengan cermat.
       
Thank you,” ucap mereka berdua hampir serentak kepada pelayan tersebut. Pelayan lelaki yang muda itu hanya mengangguk sebelum berlalu pergi mengambil pesanan di meja orang lain.
        “Baguslah tu. Tak sia-sia aku bawa kau ke sini untuk tenangkan fikiran.” Tangan Rania laju mencapai sudu dan garfu yang disediakan di dalam pinggan.
        Fairuz mengangguk kecil sambil tangannya menyuap
spaghetti cabonara. “Nia, terima kasih sebab sudi bawa aku jalan-jalan. Tenangkan diri aku yang tengah serabut ni,” ucapnya setelah spaghetti cabonara di dalam mulutnya habis ditelan.
        Rania yang sedang menguis-nguis nasi ayam lemon itu mengangkat wajah. “Tak ada hal punya. Aku kan kawan baik kau.” Senyuman jelas terukir di bibirnya.
        Bibir Fairuz turut menguntum senyuman. Dia beruntung kerana mempunyai rakan yang baik seperti Rania.
       
“BILA kita nak ke Slovakia tu, Ryzal?” tanya Fakhri sambil memandang wajah Ryzal.
        Ryzal mengerutkan dahinya. Dia mencerunkan pandangan namun, kakinya melangkah mengikut rentak kaki Fakhri. “Kalau tak silap aku dua bulan lagi.” Dia kembali memandang wajah Fakhri.
        “Oh, kalau macam tu tak lama lagilah ni.” Kedua-dua belah tangannya dilmasukkan ke dalam kocek seluar
jeansnya.
        “Ha’ah. Aku dengar
coach nak bawak 25 orang pemain tapi tak sure siapa yang coach nak bawak.” Ryzal membetulkan kaca mata hitam yang dipakainya. Pengunjung pusat beli-belah terkemuka, The Curve itu masih bertali arus.
        Fakhri mencebikkan bibirnya. “Mesti aku tak terpilih. Aku kan selalu jadi
reserve je. Kau dengan Nazmi mesti dapat punya.” Dia memandang Ryzal.
        Ryzal hanya tersenyum. Bahu Fakhri dipaut. “
Bro, kau tak payahlah risau. Aku yakin kau mesti akan dipilih pergi ke Slovakia tu. Kau kan defender terbaik.” Dada bidang Fakhri ditumbuk lembut.
        Fakhri menolak sedikit tubuh Ryzal. “Kau tak payah nak sedapkan hati akulah. Aku tahu kau tu selalu jadi
striker pilihan.” Pandangannya dibuang ke arah sebuah restoran.
        Langkah kaki Fakhri terus terhenti tatkala matanya menangkap susuk tubuh wanita yang sedang enak menjamu selera sambil bergelak ketawa. Sepertinya wajah cantik wanita itu pernah menjadi penjamu selera matanya pada suatu ketika dahulu. Wajah wanita itu juga pernah dilihatnya.
        Dahinya dikerutkan. Oleh sebab jarak antara dirinya dan wanita tersebut agak jauh matanya dikecilkan bagi kelihatan lebih jelas. ‘Rasanya macam…’ detik hatinya.
        Langkah kaki Ryzal juga turut terhenti. Matanya memandang pelik reaksi rakannya. “
Bro, kau ni kenapa?” Bahu Fakhri ditepuk namun, dia reaksi.
        Fakhri masih berdiri tegak sambil memandang ke satu arah. Otak Fakhri sedang memproses memori dulu. Memori antara dia dengan Nazmi.
        ‘Memang betullah perempuan tu Fairuz, bakal isteri Nazmi.’ Dia sudah mengingati kembali wajah Fairuz yang pernah ditunjukkan oleh Nazmi kepadanya. Nazmi pernah menunjukkan wajah Fairuz di dalam gambar di telefon bimbitnya.
        Ryzal masih juga pelik dengan rakannya itu. Dahinya dikerutkan. “Fakhri, kau kenapa?” Bahu rakannya itu ditepuk beberapa kali.
       
Bro, ak… ak… aku nak pergi toilet sekejap.” Bahu Ryzal ditepuk sebelum dia melangkah dengan tergesa-gesa ke tandas lelaki.
        “Fakhri, tungggu aku. Fakhri!
Bro!” Ryzal cuba mengejar langkah Fakhri namun, dalam sekelip mata susuk tubuh Fakhri hilang dalam keramain pengunjung. Ruzal berdecit sedikit sambil melabuhkan punggung di atas kerusi panjang yang disediakan di situ.
        Sampai di satu sudut yang agak tersorok daripada keramaian pengunjung Fakhri segera mengeluarkan telefon bimbitnya daripada kocek seluar. Nombor telefon Nazmi segera didail.
        Nazmi yang sedang memandu terkejut apabila iPhone 5s miliknya berbunyi. Nama pemanggil dilihat sebelum bebas tangan diaktifkan untuk menjawab panggilan.
        “Helo, Nazmi,” sapa Fakhri setelah Nazmi berada di talian.
        “Helo, Fakhri. Kau nak apa?” tanya Nazmi.
        “Aku… ada benda nak beritahu kau ni.” Suara Fakhri kedengaran perlahan sedikit.
        Nazmi yang sedang erat memegang setereng kereta mengerutkan dahinya. “Apa dia? Bunyi macam penting je.”
        “Memang penting pun, Nazmi. Aku… aku nampak Fairuz tadi.” Tenang sahaja Fakhri memberitahu.
        “Hah?! Kau nampak Fairuz?! Be… be… betul ke ni?!” tanya Nazmi sedikit terkejut. Hampir tertekan pedal brek dibuatnya kerana terlalu terkejut.
        Fakhri menarik nafas. “Ya, betul. Aku baru nampak dia tadi.”
        “Dia selamat ke? Dia, okey?” Nazmi pantas bertanya keadaan Fairuz.
        “Dia selamat. Dia okey sangat, Nazmi. Sekarang dia ada kat The Curve,” beritahu Fakhri lagi.
        Nazmi mengerling sekilas jam di skrin telefon bimbitnya. “Okey, lebih kurang 15 minit lagi aku sampai. Terima kasih,
bro. Kau kawan aku dunia akhirat. Bye.” Terus talian dimatikan tanpa sempat Fakhri untuk mengakhiri perbualan.
        Fakhri hanya menggelengkan kepalanya. “Sayang sangat kau kat Fairuz tu, kan?” Telefon bimbitnya disimpan kembali.
       
“KAU nak pergi mana lepas ni? Nak terus balik ke rumah kau ke, Yuz?” tanya Rania sambil memasukkan baki duit ke dalam pursenya.
        Fairuz mengerling sekilas pada skrin telefon bimbitnya. “Aku nak jalan-jalan dulu kat sini. Lagipun awal lagi. Baru pukul dua.” Dia memandang wajah rakannya sambil anak rambutnya dikuak.
        “Okey, jom.” Rania bingkas bangun dan segera meninggalkan restoran tersebut diikuti dengan Fairuz.
        Hari ini Fairuz dan Rania tampil dengan gaya ringkas sahaja. Seluar
jeans bersama t-shirt lengan panjang yang agak tebal. Rambut Fairuz pula diikat kuda manakala rambut Rania yang pendek dan kemas seperti gaya rambut Victoria Beckham. Jarang-jarang mereka berpenampilan begini. Lebih santai dan ringkas sahaja namun, kecantikan dua rakan rapat itu tetap menyerlah.
        “Aku rasa ada
sales kat kedai kasut tu,” beritahu Rania.
        Mata Fairuz terus sahaja bersinar-sinar. Senyuman ceria terbit di hujung bibirnya. “Wow! Bolehlah aku nak beli kasut kat situ. Jom kita pergi sana,” ajak Fairuz. Dia sudah terlebih dahulu menarik lengan Rania.
        “Kau ni kalau cakap pasal kasut mesti laju, kan? Dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah.” Rania menggelengkan kepalanya. Langkahnya mengikut sahaja langkah kaki Fairuz.
        “Kau macam baru sehari kenal aku?” Sebelah kening Fairuz diangkat. Rania hanya ketawa kecil.
        “Fairuz, kat sini awak rupanya,” tegur Nazmi sebaik sahaja dia dapat memintas langkah Rania dan Fairuz. Nazmi sudah terpacak betul-betul di hadapan mata Fairuz. Sambil tersenyum lega dia mula merapati Fairuz dalam keramaian pengunjung.
        Langkah Fairuz terhenti secara mengejut begitu juga dengan Rania. Dia terkejut lantas pegangan kejap lengan Rania dilepaskan. “Aw… aw… awak buat apa kat sini?” tanya Fairuz separuh terkejut.
        Nazmi hanya mengukir senyuman. “La… nak bawak awak balik rumahlah. Semua risau pasal awak.”
        Fairuz mula berpeluk tubuh. “Tak payah nak bawa saya balik. Saya tahu jalan balik sendiri. Saya dah besar bukannya budak kecil lagi.” Suaranya kedengaran kasar.
        Nazmi mengeluh kecil. “Awak, semua orang risaukan keadaan awak. Mama, papa, saya risaukan awak. Awak tak balik-balik dari malam tadi. Jom, saya bawa awak balik.”
        Nazmi mula memujuk wanita yang sedang bertakhta dalam hatinya. Nada suaranya kedengaran lembut sekali. Dia mula meraih pergelangan tangan Fairuz.
        Fairuz pantas mengalihkan tangannya. Matanya menjeling tajam ke arah Nazmi.
        “Tak kisahlah semua tu. Yang penting saya tak nak balik ikut awak. Jom, Nia.” Fairuz mula mengatur langkah meninggalkan jejaka yang dibencinya. Rania yang sedari tadi menjadi patung cendana mula mengatur langkah mengikut rakannya.
        Nazmi berdecit sedikit apabila Fairuz enggan mengikutnya pulang ke rumah. Dia mula mengejar langkah laju Fairuz dan Rania. Kelebihannya sebagai seorang pemain bola sepak yang professional ternyata membuahkan hasil. Dia berjaya menyambar pergelangan tangan Fairuz.
        “Awak, tunggu.” Sepantas kilat pergelangan tangan Fairuz berjaya disambar olehnya.
        Langkah kaki Fairuz terhenti. Dia cuba untuk meleraikan pegangan erat pergelangan tangannya namun, Nazmi enggan meleraikan pegangan eratnya.
        “Awak, tunggu dulu.” Nazmi memandang wajah Fairuz. Cuba untuk meraih perhatian daripada bakal isterinya.
        Fairuz enggan melihat wajah Nazmi. Giginya diketap geram. “Lepaskan saya atau saya akan jerit yang awak cuba nak rogol saya?” Dia memandang tepat ke arah anak mata Nazmi.
        Nazmi akur dengan permintaan Fairuz. Dia meleraikan pegangan erat tersebut. Kedua-dua belah tangannya diangkat. “Okey, saya dah lepaskan awak.” Lagaknya seperti orang yang sedang bersalah sahaja.
        Fairuz berpeluk tubuh. “Awak nak apa? Awak tak faham ke apa yang saya cakap tadi?” Dia memandang tepat wajah Nazmi.
        “Awak,
please. Ikut saya balik. Mama dengan papa awak risau sangat-sangat. Tolong, awak. Ikut saya balik.” Nazmi merayu kepada Fairuz. Rania hanya mampu menjadi seorang pemerhati sahaja.
        Fairuz membuang pandang ke arah pengunjung yang datang bertali arus. Nafasnya ditarik sebelum mengeluarkan kata-kata. “Nazmi, saya nak tenangkan fikiran. Saya nak lupakan sekejap masalah yang timbul pada saya. Tapi jangan risau saya akan balik tak lama lagi. Saya tak bodoh nak larikan diri semata-mata tak nak kahwin dengan awak. Saya akan kahwin dengan awak.”
        Dia memandang wajah Nazmi. “Jadi, saya harap awak faham.
Please, jangan ganggu saya.” Fairuz memberikan penjelasan kepada Nazmi. Suaranya lembut sahaja.
        Nazmi mula mengerti dan hanya mengangguk kecil. Fairuz dan Rania mula mengatur langkah meninggalkan Nazmi dalam keramaian pengunjung.

0 comments:

Post a Comment