Saturday, 1 August 2015

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 33



BAB 33


RANIA menekan pedal brek. Fairuz yang berada di sebelah dikerling. Fairuz hanya mengerutkan dahinya sahaja.
        “Dah sampai?” Dia memandang wajah Rania.
        Rania hanya tersenyum penuh makna. Enjin kereta dimatikan dan pintu kereta di bahagian pemandu dibuka.
        Fairuz masih juga bingung. Dia keluar daripada perut kereta dalam keadaan terpinga-pinga.
        Rania segera mendapatkan Fairuz. Lengannya dipegang. “Jom, masuk.” Lengan Fairuz segera ditarik oleh Rania.
        Fairuz masih juga begitu. Tercegat di tepi kereta.
        Rania tersenyum memandang wajah Fairuz. “Jomlah, Yuz.” Rania menarik lengan Fairuz.
        Fairuz ikut sahaja langkah Rania. Mereka jalan beriringan menuju ke pintu utama bangunan besar dan tersergam indah pusat beli-belah, The Curve.
        Fairuz tersenyum memandang Rania. “Kau nak bawak aku
shopping ke?” Sebelah keningnya sudah terangkat.
        Rania hanya menggeleng. Fairuz mengerutkan dahinya. “Habistu nak pergi mana?” Rania hanya tersenyum kecil.
        “Kau akan tahu nanti.” Sempat dia mengenyit mata sebelum menyambung kembali langkahnya.
        Fairuz pelik dengan sikap rakannya itu. Dia ikut sahaja langkah kaki Rania.
        Derap kaki mereka melangkah ke arah The Royale Bintang Ice Skatting Rink. Bertambah pelik Fairuz jadinya. ‘Sejak bila pulak Nia pandai main
ice skatting ni,’ getus hati kecilnya. Namun, dia buang segala perasaan tersebut. Dia mengikut sahaja derap kaki Rania.
        Masuk sahaja ke The Royale Bintang Ice Skatting Rink itu terpampang dekorasi patung-patung penguin yang comel belaka. Memang dekorasi tersebut bertepatan dengan
ice skatting.
        Fairuz terkejut. Langkah kakinya terhenti seketika. Dia sememangnya tidak pernah terfikir untuk bermain
ice skatting.
        Rania yang menyedari Fairuz berada dua langkah dibelakangnya mula mendapatkan rakan baiknya itu. “Kenapa dengan kau? Terkejut?” Sebelah kening Rania sudah terangkat. Dia memandang wajah Fairuz.
        Fairuz memandang wajah Rania dengan senyuman sinis terbit di hujung bibirnya. “Sejak bila pulak kawan aku ni minat dengan
ice skatting?” Ada nada sinis di hujung kata-katanya.
        Rania hanya tersenyum. “Kat sinilah tempat aku lepaskan
tension.” Lengan Fairuz segera ditarik.
        “Kalau aku lagi
tension adalah. Sebabnya aku tak tahu main ice skatting ni. Tapi aku tak tahu pulak kawan aku ni suka main ice skatting.” Fairuz ikut sahaja langkah Rania.
        Rania hanya tersenyum. Senyumannya itu penuh makna sekali.
        Rania membuat pembayaran di kaunter. Setelah mendapatkan kasut khas dan glove Rania pergi mendapatkan Fairuz. Rania menghulurkan kasut khas tersebut kepada Fairuz.
        “Aku tak tahu pulak kawan aku ni dah bertukar minat?” Fairuz menyambutnya.
        Rania hanya tersenyum. Dia melabuhkan punggung di sebelah Fairuz. “Tak adalah aku bertukar minat, Yuz. Cuma tempat ni menyimpan seribu satu kenangan buat aku.” Kasut khas untuk bermain
ice-skatting itu disarungkan ke kakinya.
        Fairuz yang mahu menyarungkan kasut tersebut terhenti seketika. Dahinya berkerut. “Seribu satu kenangan antara kau dengan Syafiq?” Dia memandang wajah rakannya itu.
        Rania hanya tersenyum sambil mengangguk. “Dan aku nak kongsikan kenangan tu dengan kau, Yuz.” Giliran Rania pula memandang Fairuz.
        Fairuz hanya memandang rakannya itu tanpa berkelip. Pelik dia dengan sikap rakannya itu.
        Rania yang menyedari Fairuz memandangnya tidak berkelip mula melayang-layangkan tangannya di hadapan wajah Fairuz.
        “Kau tak payahlah pandang aku macam aku ni hantu langsuir pulak.” Rania mula tergelak kecil. Rambutnya yang pendek seperti Victoria Beckham itu dibetulkan.
        Fairuz mengelipkan matanya beberapa kali. “Aku pelik tengok kau hari ni. Mula-mula
surprisekan aku. Bawa aku pergi tempat ice-skatting. Sekarang ni kau nak berkongsi kenangan kau dengan Syafiq kat aku pulak. Aku confiuse dengan kau hari ni. Selama aku kenal dengan kau aku tak pernah pun dengar kau cakap macam ni pada aku.” Glove yang berwarna biru itu disarungkan di tangannya.
        “Yuz, aku bukannya sekadar nak kongsikan kenangan aku dengan Syafiq pada kau saje. Aku nak kongsikan nasihat dan kata-kata Syafiq yang buat aku menghargai setiap detik kehidupan aku.” Rania sudah bangun daripada duduknya.
        Fairuz mengerutkan dahinya. “Nasihat?” Dia mendongak memandang wajah rakannya yang sedang berdiri di hadapannya itu.
        Rania hanya menganggukkan kepala. Tangannya dihulur kepada Fairuz. Tanda menyuruh Fairuz untuk segera bangun. “
Yup. Aku rasa nasihat dan kata-kata Syafiq tu mungkin memberi kau suntikan semangat untuk menghadapi hidup kau yang baru nanti.” Rania tersenyum.
        Fairuz mencerunkan pandangannya. Bibirnya diketap. Dia rasa ragu-ragu. Ternyata rakannya itu memang benar mahu dia menerima Nazmi sebagai suaminya.
        “Yuz, apa tunggu lagi? Jomlah. Nanti ramai orang pulak.” Rania sudah memegang lengan Fairuz.
        Teguran Rania itu melenyapkan lamunan Fairuz. Dia mengangkat wajah. Memandang wajah rakannya itu. Tanpa dia sedari tubuhnya berdiri. Langkah kakinya mengikut langkah Rania ke arah tempat yang disediakan untuk bermain
ice skatting. Langkahnya sedikit perlahan dek kasut khas yang menyukarkan dia melangkah itu.
        Kelihatan pengunjung sudah memenuhi
ice rink. Ada yang pandai yang bermain ice skatting dan ada juga yang baru belajar. Bagi mereka yang mahu bermain ice skatting bersama ‘penguin’ mereka boleh menyewa patung penguin yang comel itu.
        “Tempat inilah tempat pertama aku dan Syafiq ber
dating,” beritahu Rania. Perlahan-lahan dia menuju ke tengah ice rink tersebut. Tangan Fairuz dipegang dengan kuat agar rakannya itu tidak mudah terjatuh.
       
First date kau kat sini?” Fairuz mengerutkan dahinya. Dia berhati-hati berjalan di atas ice rink itu.
        Rania hanya mengangguk. “Dia kata tak salah kalau kita mencuba perkara baru dalam hidup kita. Macam main
ice skatting. Dia tahu aku baru cuba main ice skatting ni. Dia kata jugak yang dalam hidup kita ni akan sentiasa ada perkara baru yang menanti dan kita mestilah melaluinya. Sebab kalau tiada perkara baru atau tiada cabaran bukan kehidupan namanya.” Kata-kata yang dilontarkan oleh Rania sungguh mendalam sekali.
        Fairuz hanya terdiam seketika sementara Rania pula mula menguntum senyuman. Ternyata Rania mahu Fairuz melalui kehidupan bergelar isteri kepada seorang jejaka yang bernama Nazmi Faiz.
        “Aku kata aku tak boleh main
ice skatting ni. Aku tak pandai. Dia cuma cakap kita cuba dulu. Belum cuba belum tahu. Dan kata-kata yang aku tak boleh lupa ialah tak kenal maka tak cinta.” Rania memandang wajah Fairuz.
        Fairuz pula hanya terdiam. Mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Rania.
        Rania melepaskan pegangan tangan Fairuz. Fairuz hilang imbangan lalu jatuh terduduk di atas
ice rink tersebut. Fairuz mengerutkan dahi menahan sakit dek terjatuh di atas ice rink tersebut. Dia mengusap-usap pinggulnya sambil mengangkat wajah memandang wajah Rania yang berada di hadapannya.
        “Kau ni saje nak bagi aku jatuh, kan? Sakit tahu tak, Nia.” Fairuz merungut. Giginya diketap geram.
        Rania menghulurkan tangannya kepada Fairuz. “Kalau hidup ini tak ada erti kesakitan dalam kejatuhan, pasti kita tidak akan pernah menghargai kesenangan dalam kebahagiaan.” Sekali lagi Rania menuturkan kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Syafiq.
        Fairuz mencerunkan pandangan. Dia terdiam. Huluran tangan Rania tidak dihiraukan.
        Rania mendekatkan dirinya kepada Fairuz. “Kalau kita berada dalam kesusahan pasti ada insan yang sudi menolong kita.” Rania tersenyum.
        Fairuz mendongak. Dahinya berkerut kerana memikirkan kata-kata yang dilontarkan kepadanya sedari tadi. Kata-kata tersebut memberikan maksud yang mendalam. Fairuz menyambut huluran tangan Rania.
        Rania menarik Fairuz untuk berdiri kembali. “Kali ini aku pasti tak akan biar kau jatuh lagi. Dan kau pun mesti berhati-hati supaya tak terjatuh lagi.” Rania memadang wajah Fairuz. Dia memegang lengan Fairuz.
        “Macam itulah kehidupan. Sentiasa ada jatuh dan bangunnya. Sentiasa ada perkara baru yang kita belum cuba dan laluinya. Sentiasa ada cabaran yang menghiasi kehidupan kita. Kehidupan kita ini penuh warna-warni. Kadangkala warna terang dan ceria.
        Kadangkala pula warna bertukar gelap dan suram. Kadangkala ada warna yang belum pernah ditemui hadir dan cuba untuk menambah sedikit warna dalam kehidupan kita.” Kali ini kata-kata Rania penuh isi dan mendalam.
        Fairuz hanya diam. Rania berjalan menuju ke tepi
ice rink tersebut. “Macam itulah yang Syafiq beritahu pada aku.” Rania mula melepaskan pegangan kejap lengan Fairuz.
        Fairuz hanya mengangguk. “Betul apa yang Syafiq cakap tu. Kehidupan kita ni banyak ranjau durinya.” Fairuz mengiakan semua kata-kata Rania itu tadi.
        “Kehidupan ini susah kita nak jangka. Banyak sangat
surprise. Ada kejutan yang gembira. Ada juga kejutan yang sedih.” Rania memandang Fairuz. Dia tersenyum.
        “Macam kau. Buat
surprise kat aku.” Fairuz ketawa kecil begitu juga dengan Rania.
        “Tapi memang betul apa yang kau cakap pada aku tadi. Kehidupan ni memang susah kita nak jangka. Dalam hidup aku pun banyak sangat kejutan. Kejutan yang aku tak pernah sangka akan berlaku pada aku.” Fairuz mula menundukkan padangan.
        Dia teringat pertunangannnya yang kecundang di tengah jalan. Otaknya mula memproses memori peristiwa tersebut satu persatu.
        Rania yang menyedari perubahan pada rakannya mula memaut bahu Fairuz. “Kau tak perlu kenangkan peristiwa kau dulu. Yang penting sekarang kau kena hadapi kehidupan baru kau tak lama lagi.” Dia mengusap bahu rakannya itu.
        Fairuz mengangkat wajahnya. Pandangannya dialihkan pada wajah rakannya itu. “Nia, aku pasti akan hadapinya walaupun hati aku ni tak terima. Tapi aku perlukan kau di sisi aku, Nia.” Jari-jemarinya mula meraih jari-jemari Rania. Cuba untuk menyatukannya dalam satu genggaman jari-jemari yang tidak akan terlepas.
        Rania menundukkan padangannya memandang genggaman jari-jemari yang sudah bertaut manjadi satu. “Aku pasti akan berada di sisi kau, Yuz. Akulah insan yang sudi menolong kau.” Rania cuba untuk menguntum senyuman. Tangannya mengusap genggaman jari-jemari tersebut.
        Tubir mata Fairuz mula bergenang. Sememangnya dia tidak kuat menghadapi ujian ini. Namun, dengan adanya Rania, insan yang sentiasa memberinya semangat dia kuat. Terpaksa juga dia gagahkan dirinya mengikut kata orang tuanya walaupun hati sendiri tidak langsung menerima.

KERETA Mitsubishi Lancer menderum laju meninggalkan perkarangan rumah banglo mewah milk Tan Sri Mansor. Pagi-pagi lagi Nazmi telah memandu kereta kesayangannya. Tidak tahu ke mana arah tujunya.
        Nazirul yang sedang menuruni anak tangga memberhentikan langkahnya apabila gegendang telinganya menangkap bunyi enjin kereta Nazmi yang meninggalkan perkarangan banglo. ‘Ke mana pulak adik aku ni pergi pagi-pagi?’ Hatinya mula berkata-kata.
        Langkahnya disambung kembali menuju ke arah dapur. Di dapur kelihatan Tan Sri Mansor sedang menikmati sarapan manakala Mak Cik Ton pula sedang mengemas dapur.
        “Mak Cik Ton, adik saya tu nak ke mana?” tanya Nazirul sebaik sahaja kakinya menyentuh bahagian dapur. Dia melabuhkan punggung di sebelah Tan Sri Mansor yang sedang enak menikmati hidangan nasi goreng itu.
        Mak Cik Ton yang sedang mencuci pinggan di sinki mula menoleh ke belakang. “Nami kata nak ke rumah Fairuz. Ada hal penting katanya,” beritahu Mak Cik Ton.
        “Hal penting apa sampai pagi-pagi buta dah pergi sana?” Tan Sri Mansor pula menyampuk.
        “Ha’ah, Mak Cik Ton. Hal penting apa?” Giliran Nazirul pula menyampuk. Bertanya perkara yang sama. Dia mula menyendukkan nasi goreng itu ke dalam pinggannya.
        Mak Cik Ton yang sedang membasuh pinggan itu hanya mengangkat bahu. “Entahlah, Zirul, Tan Sri. Mak Cik Ton pun tak tahu. Tapi nampak macam penting sangat sebab dia macam tergesa-gesa.” Mak Cik Ton menutup kepala paip. Tangannya yang basah itu dilap dengan menggunakan tualan bersih. Dia melabuhkan punggung di hadapan Nazirul.
        “Pukul berapa dia balik malam tadi, Ton?” tanya Tan Sri Mansor. Matanya memadang wajah Mak Cik Ton.
        “Pukul tiga pagi rasanya. Kalau tak silap Tonlah, Tan Sri.” Dahinya berkerut mengingatkan waktu dia membuka pintu apabila Nazmi pulang ke rumah. Nazirul menggeleng kepala.
        “Ish, tak penat ke adik ni? Malam tadi main bola dekat Jakarta. Pukul tiga pagi baru balik. Patutnya rehatkanlah badan tu. Ini tak. Pagi-pagi lagi dah pergi rumah Fairuz.” Nazirul yang sedang menguis-nguis nasi goreng di dalam pinggan itu mula merungut.
        Sememangnya Nazmi tidak peduli dengan keletihan yang melanda badannya. Dia sudah terbiasa begitu. Keletihan sudah lali dengan dirinya. Hal ini kerana dia telah terbiasa dengan jadual perlawanan bola sepak yang padat. Selama tiga hari dia telah berada di Jakarta, Indonesia kerana menghadapi perlawanan penting bagi pasukan Harimau Muda A.
        Tidak sampai dua jam perjalanan kereta Mitsubishi Lancer telah sampai ke perkarangan rumah banglo milik keluarga Fairuz. Kedatangannya memang dinantikan oleh Datin Noora dan suaminya.
        “Macam mana dengan Fairuz,
auntie? Ada apa-apa berita ke?” tanya Nazmi sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam ruang tamu rumah tersebut. Punggungnya dilabuhkan di hadapan kedua-dua ibu bapa Fairuz.
        Datin Noora yang sedang duduk di atas sofa itu memandang wajah suaminya. “Memang ada. Yuz ada hantar sms.”
        Dato’ Johan mengeluarkan telefon bimbitnya dan memberi telefon bimbit tersebut kepada Nazmi. Sms yang dihantar oleh Fairuz dibaca oleh Nazmi.
       
Auntie, kita tak tahu apa yang terjadi. Tapi saya yakin Fairuz selamat. Auntie dengan uncle jangan risau.” Nazmi memberikan semula telefon bimbit itu kepada Dato’ Johan. Nazmi cuba menenangkan Dato’ Johan dan Datin Noora walaupun hatinya sangat risaukan keadaan bakal isterinya itu.
        Dato’ Johan hanya mengangguk. Datin Noora pula masih risau akan keadaan anak sulungnya itu.
        “Maaflah Nazmi, menyusahkan kamu. Yelah, kamu baru balik main bola dari Jakarta malam tadi. Tentu penat. Tak cukup rehat.” Datin Noora mula meminta maaf kepada Nazmi.
        Nazmi hanya tersenyum. “Tak adalah
auntie, uncle. Tak menyusahkan pun. Saya dah biasa dengan keadaan macam ni. Memang saya yang nak datang rumah auntie ni. Saya risau pasal Fairuz.” Pandangannya bersilih ganti antara Dato’ Johan dengan Datin Noora.
        Tiba-tiba sahaja iPhone 5s miliknya berbunyi minta diangkat. Dia menyeluk poket seluar jeansnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya.
       
Uncle, auntie, sekejap, ye.” Nazmi mula meminta izin. Dato’ Johan dan Datin Noora hanya mengangguk.
        Nazmi berdiri daripada duduknya dan mula melangkah keluar.
        “Helo,
bro!” Kedengaran suara Fakhri di hujung talian.
        “Helo, Fakhri. Kau nak apa?” soal Nazmi. Kedengaran suara Nazmi merendah sedikit.
        “Kau okey tak ni? Ada apa-apa berita pasal bakal isteri kau?” Fakhri memulakan perbualan. Dia tahu rakannya itu sedang risau. Dua keping roti diletakkan di dalam pembakar roti.
        Nazmi bergerak ke keretanya. Dia menyandarkan tubuhnya pada kereta tersebut. “Hmm… okey. Ada. Dia ada hantar sms kat papa dia.”
        Fakhri melabuhkan punggung di atas kerusi sementara menunggu roti tersebut siap dibakar. “Sms? Sms elok ke sms yang tak elok?”
        Nazmi menyisir rambutnya. “Dia kata dia selamat. Dia nak tenangkan diri. Entahlah… aku pun tak tahu sama ada betul ke tak.” Dia meraup wajahnya.
        Fakhri mengerutkan dahinya. Dua keping roti itu telah siap dibakar. Diambilnya dan disapu dengan kaya. “Aku rasa mungkin betul apa yang dia cakap tu. Tapi kau tak payah risau. Aku yakin dia akan selamat.” Fakhri mula memberikan keyakinan.
        Nazmi menghela nafas. Dia memeluk tubuh. “Entahlah… aku pun tak tahu. Aku harap dia selamat. Okeylah,
bro. Aku chow dulu. Bye.” Nazmi mula menamatkan perbualan.
        “Okey,
bye.” Talian terus dimatikan oleh Fakhri sebaik sahaja dia mengakhiri perbualan.
        iPhone 5s miliknya disimpan kembali ke dalam kocek seluar jeansnya. Dahinya dikerutkan. Sememangnya dia risau akan keadaan Fairuz.
        “Nazmi, buat apa kau datang sini?” Kedengaran suara Syafiella menegurnya. Entah mana datangnya Syafiella Nazmi sendiri pun tidak tahu. Sedar-sedar sudah ada di hadapannya.
        Nazmi memandang Syafiella yang sudah berada di hadapannya. “Kau… kau dari mana? Tiba-tiba je dah ada kat depan aku.” Nazmi mengerutkan dahi.
        Syafiella ketawa kecil. “Eh, helo! Encik Nazmi Faiz Mansor! Patutnya aku yang tanya kau macam tu tau. Pagi-pagi dah ada kat rumah aku.” Syafiella memandang wajah Nazmi.
        Nazmi membuang pandang ke arah pemandu peribadi Dato’ Johan, Pak Man yang sedang mengelap kereta Peugeot. “Tak ada apalah. Saja aku datang rumah bakal mak bapak mertua aku. Kenapa? Tak boleh?” Kedengaran suaranya sedikit kasar.
        Syafiella mula tersenyum herot. Dia berpeluk tubuh. “Okey tak apa. Tapi aku tahu sebab kau datang sini. Pasal kakak aku hilang, kan?” Dia memandang tepat ke arah anak mata Nazmi. Anak rambutnya dikuak.
        Nazmi mengalihkan pandangannya. Dia enggan bertentang mata dengan gadis yang menggilainya itu. Dia diam tidak berkutik.
        Syafella menggeleng kepala. “Kau tak payah nak sibuk-sibuk cari kakak aku. Kakak aku larikan diri sebab dia tak nak berkahwin dengan kau.” Jari telunjuknya menunjuk lurus ke arah wajah Nazmi.
        Nazmi laju menepis jari telunjuk Syafiella. “Aku yakin yang Fairuz tak akan buat macam tu. Aku yakin.” Mata Nazmi mencerlung memandang Syafiella.
        “Jangan yakin sangatlah, Nazmi. Aku kenal kakak aku lebih daripada kau. Dia bencikan kau. Dia tak suka kahwin dengan kau sebab itulah dia larikan diri.” Syafiella tetap mempertahankan pendiriannya.
        Nazmi pantas menggeleng. “Semua itu aku tahu. Dia tak nak kahwin dengan aku. Dia bencikan aku tapi aku cintakan dia. Memang kami ditakdirkan untuk bersama.” Dia mula bertegas.
        Luluh hati Syafiella apabila mendengarkan pengakuan cinta daripada Nazmi. Sememangnya dia tidak rela melihat Nazmi bersama dengan orang lain apatah lagi dengan kakaknya sendiri.
        “Kau tak payah nak kejarkan orang yang bencikan kau. Kau tak payah nak paksa orang sukakan kau. Sedangkan ada orang yang di depan mata kau sendiri, sukakan kau. Cintakan kau. Sayangkan kau. Kenapa kau perlu terkejar-kejar orang yang bencikan kau, Nazmi? Kenapa? Sedangkan aku yang kat depan mata kau ni cintakan kau, sayangkan kau.” Syafiella mula merintih. Nada suaranya mula merendah. Tubir matanya telah menakung butir-butir jernih.
        Nazmi mengeluh kecil. “Fiella, dah banyak kali aku cakap pada kau. Kau buanglah perasaan tu. Walau macam mana pun kata-kata kau terhadap aku, hati aku tetap teguh. Hati aku hanya untuk Fairuz Farisha sahaja. Kalau inilah permainan kau Fiella, kau hentikanlah. Sia-sia sahaja kau buat macam ni. Aku sikit pun tak percaya kata-kata kau, Fiella.”
        Jari telunjuknya menunjuk lurus ke wajah Syafiella. Matanya menikam anak mata Syafiella. Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah banglo itu semula.
        Syafiella menyeka air mata yang bertakung di sekitar tubir matanya. Bibirnya diketap geram. “Kakak, Fiella akan pastikan yang suami kakak tu akan melutut pada Fiella.” Nafasnya turun naik. Dia nekad akan mendapatkan Nazmi walau dengan apa cara sekali pun.


0 comments:

Post a Comment