Thursday, 27 July 2017

Novel: Tidak Kuduga Cintamu Bab 3 (part2)

SYAFIELLA merenung dalam-dalam cincin yang bertatahkan berlian itu. Dia masih dalam dilema. Sama ada menerima lamaran daripada Hudson ataupun dia perlu menolak sahaja lamaran tersebut. “Terima ke tak? Terima ke tak?” Berulang-ulang kali soalan tersebut meniti di bibirnya.
Syafiella pantas bangun daripada pembaringannya. Cincin tersebut masih erat berada di dalam genggamannya. “Hudson Smith, kenapalah kau lamar aku sekarang? Tak boleh ke kau lamar aku minggu depan ke tahun depan ke?” Kedenagran dia berdecit sedikit. “Susahlah aku nak buat keputusan macam ni.” Cincin tersebut diletakkan di atas katil.
Syafiella pantas mengambil bantal untuk dipeluk. Dia sudah bersila bulat di atas katil. Kepalanya didongakkan ke atas atas, memandang siling dengan pandangan yang kosong. “Hudson, aku sayangkan kau. Aku cintakan kau tapi… aku…” Kepalanya yang tidak gatal itu digaru. “Hish, susahlah aku nak buat keputusan macam ni.”
Syafiella menyembamkan wajahnya pada bantal. “Hudson, kenapa kau buat aku macam ni?” Pening dia memikirkan lamaran daripada Hudson siang tadi. Kusut dia jadinya.
“Fiella.” Kelihatan Dyana sudah berada di muka pintu kamar tidur Syafiella. “Kau ni kenapa?” Dahinya berkerut tatkala dia melihat Syafiella yang bagaikan manusia kurang siuman itu.
Syafiella yang menyedari kehadiran Dyana itu, mula mengangkat wajah. Pantas pandangannya terarah kepada Dyana yang sudah berdiri bagaikan patung cendana di muka pintu kamarnya.
“Dah macam Mak Esah je aku tengok kau ni, Fiella.” Dyana mula mengatur langkah mendekati katil Syafiella. “Dengan rambut kau serabai. Muka macam nasi basi. Kau ni kenapa?” Dahinya berkerut. Dia memandang Syafiella.
Syafiella hanya mendiamkan dirinya sahaja. Bibirnya dicebikkan sedikit.
Sampai cebikkan bibir macam budak kecik, kau dah kenapa?” Dyana melabuhkan punggungnya di atas birai katil. Ada nada prihatin di hujung katanya.
Syafiella mencerunkan sedikit pandangannya. “Hudson lamar aku.” Cincin yang berada di atas katil itu diambilnya.
Membulat mata Dyana tatkala kata-kata Syafiella itu menyusup masuk ke dalam gegendang telinganya. “Seriously? Hudson lamar kau?” Sekali lagi dia bertanya untuk mendapatkan kepastian. Takut-takut dia tersalah dengar.
Syafiella pantas menganggukkan kepalanya. “Ya, Hudson lamar aku.” Cincin tersebut disuakan kepada Dyana sebagai bukti. “Ini buktinya.”
Dyana yang melihat cincin tersebut, mula mengambilnya. “Bila?” Dibeleknya cincin yang cantik itu.
Syafiella menghela nafas seketika. Pandangannya dicerunkan. “Siang tadi.”
Dyana hanya menganggukkan kepalanya sambil mulutnya membulat membentuk huruf ‘O’. “Habistu kau terima lamaran dia?” Pandangannya beralih ke arah Syafiella. Cincin tersebut diberikan kembali kepada gadis yang berkulit cerah ini.
Syafiella mendiamkan dirinya seketika. Cincin diberikan Dyana itu diambil lalu diletakkan di atas meja sisi. “Aku… entahlah.” Nafasnya dihela lemah.
“Dee, kalau kau jadi aku.” Dia memandang wajah Dyana. “Kau terima tak lamaran daripada Hudson tu?” Dia cuba meminta pendapat.
“Kalau aku jadi kau…” Kata-kata Dyana terhenti di situ. Dia mendiamkan dirinya seketika sebagai tanda dia sedang berfikir. “…aku akan terima lamaran dia, kot.” Nampaknya Dyana masih ragu-ragu dengan pendapatnya. “Tapi… aku tak pastilah dengan pendapat aku, Fiella.” Dia memandang wajah Syafiella.
“Samalah macam aku, Dee.” Syafiella mula mendekati gadis yang bertubuh gempal dan berkulit kuning langsat itu. “Aku tak pasti sama ada aku nak terima lamaran dia ataupun tak.” Rambutnya yang panjang separas pinggang dan serabai itu mula diikatnya.
“Habistu kau cakap apa kat dia?” tanya Dyana ingin tahu.
“Aku cakap aku perlukan masa untuk berfikir.” Syafiella menguak anak rambutnya. “Tapi… aku tak bagi lagi jawapan aku. Aku cuma cakap yang aku perlukan masa. Kau rasa kan Dee, boleh pakai ke alasan aku tu?” Sebelah keningnya mula terangkat.
Dyana mencebikkan bibirnya seketika tanda dia sedang berfikir. Pandangannya dibuang ke arah sudut kamar tidur tersebut. “Entahlah, Fiella.” Kedua-dua belah bahunya kelihatan terangkat. “Munasabah je alasan kau tu. Boleh diterima tapi…”
Dia terlebih dahulu memandang wajah Syafiella sebelum menyambung kata-katanya. “…tak ada sebab untuk kau tolak lamaran dia, kan?” Jari telunjuknya lurus menunjuk ke arah rakannya itu.
Syafiella diam seketika. Keluhan kecil kedengaran keluar daripada mulutnya sebelum dia mengeluarkan kata-kata. “Ada…” Lemah kedengaran suaranya.
“Aku dengan dia berlainan agama. Dia Catholic. Aku Islam. Kau tahu kan kalau agama Catholic tu macam mana? Pegangan agama diorang kuat. Aku takut bila kitorang dah kahwin nanti, aku tak boleh bimbing dia. Silap-silap aku boleh terpesong nanti.”
“Ada betulnya apa yang kau cakap tu, Fiella.” Ternyata Dyana juga menyokong kata-kata rakannya itu tadi.
So, sekarang aku tak tahu nak buat keputusan. Aku masih cintakan dia tapi…” Kedengaran sayu nada suara Syafiella.
“…itulah perbezaan agama dan budaya. Budaya, cara hidup tu aku boleh terima lagi. Tapi kalau dah melibatkan bab agama itu yang menyebabkan… aku berbelah bahagi.” Kepalanya digelengkan sedikit sebagai tanda dia sukar untuk membuat keputusan.
“Fiella, dia ada tak cakap sebab dia nak kahwin dengan kau selain daripada cinta?” Dyana cuba menebak.
“Ada.” Syafiella menganggukkan kepalanya. “Dia cakap dia nak kahwin dengan aku sebab lepas ni dia nak bawa aku ke Malaysia. Dia dapat tawaran kerja kat situ.”
“Kau dah jumpa keluarga dia? Sekurang-kurangnya, jumpa mak dia?” Laju sahaja soalan meluncur keluar daripada mulut Dyana.
“Belum lagi.” Syafiella menggelengkan kepalanya. “Dia tak cakap apa-apa pulak pasal tu.”
“Bagus.” Dyana mula tersenyum gembira. “Kalau macam tu kau kena buat keputusan lepas kau jumpa keluarga dia ataupun lepas jumpa mak dia. Daripada situ kau boleh simpulkan keluarga dia jenis yang macam mana. Sama ada kuat agama ataupun tak. Daripada situ baru kau boleh buat keputusan.” Panjang lebar hujah si Dyana Marzuki ini. Bagaikan Doktor Pakar Cinta sahaja dia memberikan pendapat dan nasihat.
Kelihatan Syafiella mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai tanda setuju dengan kata-kata Dyana itu tadi. “Bagus idea kau, Dee.” Dia mula tersenyum. “Terima kasih, Dee.” Tubuh Dyana itu mula dirangkul. “Sebab itulah aku sayang kau lebih.”
Dyana hanya ketawa kecil. “Sama-sama, Fiella. Aku bagi pendapat ni pun sebab aku sayangkan kau. Aku nak hidup kau nanti bahagia.” Dia meleraikan rangkulan Syafiella. “Kau tu fikir masak-masak dulu sebelum buat keputusan. Ini melibatkan masa depan kau. Jangan buat keputusan terburu-buru.”

“Baik, bos!” Siap bertabik lagi Syafiella. Serta-merta meledak ketawa mereka berdua. 

0 comments:

Post a Comment