AFIQ melabuhkan punggungnya di atas
bangku. “Dah lama sampai?” Dia mengalihkan pandangannya memandang wajah Fairuz.
Kelihatan bibirnya menguntum segaris senyuman mesra.
“Lama tu taklah juga.” Fairuz
memandang wajah Afiq. Sekuntum senyuman diberikan kepada Afiq sebagai balasan.
“Adalah dalam lima belas minit aku tunggu kau.” Dia kemudiannya ketawa kecil.
Afiq juga turut ketawa. “Maaf,
Yuz. Maaflah buat kau tertunggu-tunggu.” Kepalanya yang tidak gatal itu digaru.
“Aku dah tahu dah alasan kau.”
Fairuz membetulkan shawl yang terlilit di kepalanya itu. “Masak
dah aku dengan perangai kau ni, Fiq. Dari dulu tak berubah-ubah.” Kepalanya
digelengkan serentak dengan tawa halus menghiasi kata-katanya.
“Kalau macam tu susahlah aku nak
cipta alasan untuk bagi kau percaya.” Afiq cuba untuk berseloroh.
Berdekah-dekah kedengaran tawa mereka berdua.
Fairuz pantas menghentikan
tawanya. “Fiq, kau jumpa aku ni mesti ada apa-apa kan?” Sebelah keningnya
kelihatan sudah terangkat.
Tawa Afiq mati serta-merta
tatkala soalan daripada Fairuz itu dihadam sebaiknya. “Sebelum tu, Reza tahu
kau jumpa aku kat sini?” Dia mula bertanya untuk mengalih topik buat sementara
waktu.
Fairuz kemudiannya meluruskan
pandangannya. Memandang kanak-kanak yang sedang leka bermain gelongsor, buaian
dan jongkang-jongket dengan riangnya. Anggukan kecil menjadi jawapan kepada
soalan Afiq itu tadi.
“Pasal Reza tu kau tak payah
risaulah. Aku dah cakap dah dengan dia yang kau nak jumpa aku kat sini.” Dia
memandang kembali wajah rakan baiknya itu. “Lagipun… aku memang nak datang sini
bawa Anas main. Kebetulan, kau pula ajak jumpa.”
Kelihatan Afiq
mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham dengan kata-kata Fairuz itu tadi.
“Kalau macam tu baguslah.” Dia membuang pandang ke arah kanak-kanak yang riang
bermain gelongsor. “Karang tak pasal-pasal lebam biji mata aku kena penumbuk Reza
tu.” Dia ketawa kecil sambil memandang wajah Fairuz yang berada di sebelahnya.
“Kau ni Fiq, ada-ada je.” Fairuz
juga tergelak kecil. Lucu barangkali kata-kata yang keluar daripada mulut Afiq
sebentar tadi. “Kau ni datang jumpa aku…” Kata-katanya mati seketika di situ
sambil dia membetulkan duduknya agar lebih selesa. “…mesti ada sesuatu, kan?”
Dia cuba menduga. Ditenungnya Afiq dengan pandangan mata yang agak tajam.
Afiq mencerunkan sedikit
pandangan matanya. Dia hanya mendiamkan dirinya sahaja.
Fairuz mengerutkan dahinya. Dia
memang sudah masak dengan perangai rakan baiknya itu. “Kau… ada masalah?”
Sebelah keningnya sudah terangkat. Sengaja dia menduga isi hati jejaka berkulit
cerah ini.
Afiq menarik nafas dalam-dalam
sebelum memulakan bicara. “Yuz…” Dia mengangkat wajah. Memandang wajah Fairuz.
“Kenapa?” balas Fairuz pendek.
“Aku… sebenarnya…” Afiq menghela
nafas panjang. Sepertinya dia berat mahu menceritakan perkara tersebut kepada
Fairuz.
“Kenapa kau ni, Fiq?” Fairuz
terlebih dahulu bertanya. Laju sungguh soalan meluncur keluar daripada
mulutnya. Dahinya mula berkerut. “Cakap tersekat-sekat. Ada apa-apa ke?” Dia
pula yang tidak sabar mendengar ‘luahan perasaan’ daripada rakannya.
Afiq mengeluh berat. Dia diam
seketika. Cuba untuk merangka ayat buat si rakan baik yang tidak sabar ini. Dia
mula bermain dengan kunci kereta yang berada di jarinya. “Kalau…” Dia memulakan
bicara namun, terhenti seketika di situ. “…aku nak minta pendapat kau, boleh?”
Fairuz mula tersenyum senget. “Boleh.
Apa salahnya?” Dia mula berpeluk tubuh. “Selama ni kau tak pernah minta izin
pun dengan aku, kau nak minta pendapat ke apa ke? Selalu kau main cakap je
dengan aku.” Dia mula mendekatkan dirinya dengan Afiq. “Kau beritahu aku cepat
kau ada masalah apa?”
Afiq berdehem seketika sebelum
memulakan bicaranya. “Aku rasa aku macam…” Tersekat sekali lagi bicaranya.
Berat sungguh nampaknya dia mahu menceritakan perkara ini kepada Fairuz. Nafasnya
dihela seketika sebelum dia menyambung kata-katanya. “…macam aku nak putuskan
pertunangan aku dengan Rina.”
“Hah? Putus?” Terbeliak mata
Fairuz tatkala mendengar kata-kata daripada Afiq itu tadi. ‘Biar benar diorang berdua ni?’ desis hatinya. “Kau biar betul, Fiq? Nak
putuskan pertunangan kau dengan Rina?” Sekali lagi dia mengutarakan soalan
kepada empunya badan untuk mendapatkan kepastian.
Afiq memang sudah mengagak
reaksi yang akan diberikan oleh Fairuz. Dia diam seketika. Perlahan-lahan
kepalanya dianggukkan.
Fairuz hanya menggelengkan
kepalanya tatkala anggukan Afiq menjadi jawapan buat soalannya tadi.
“Astaghfirullah hal azim.” Dia beristighfar panjang. “Kau dah habis fikir ke,
Fiq? Dah tak ada jalan lain selain daripada putus tunang?”
Afiq mula bangun daripada
duduknya. “Dah.” Anak rambutnya dikuak. “Aku rasa macam… aku tak boleh teruskan
hubungan aku dengan Rina.” Badannya dipusingkan menghadap Fairuz. “Daripada aku
bercerai masa kahwin nanti, lebih baik aku putuskan pertunangan dulu.” Dia mula
berpeluk tubuh. “Sekurang-kurangnya tak adalah malu nanti.”
Fairuz memalingkan wajahnya
seketika. “Apa salah Rina? Apa salah Rina sampai kau nak putuskan pertunangan
kau dengan dia?” Dahinya mula berkerut. Dia memandang wajah Afiq.
Afiq mencebikkan bibirnya.
“Rina? Rina tak salah apa-apa.” Kepalanya kelihatan digeleng-gelengkan. “Cuma…
aku yang salah. Salah membuat pilihan.” Dia tersenyum sinis.
“Rina bukannya pilihan keluarga.
Kau dengan dia bertunang bukan paksaan ataupun desakan daripada keluarga.”
Fairuz tajam memandang anak mata rakan baiknya itu. “Korang berdua bertunang pun atas dasar cinta. Kenapa tiba-tiba
kau nak putus ni?” Dahinya berlapis. Pening dia memikirkan masalah rakannya
yang seorang itu.
“Entahlah.” Afiq mengangkat
kedua-dua belah bahunya. “Mungkin… perasaan cinta dan sayang aku pada Rina dah
hilang. Dah tak ada. Kosong.” Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam
kocek seluar jeansnya. “People change, bak kata orang. Perasaan berubah mengikut masa.”
“Mudah alasan kau, Fiq.” Fairuz
menghela nafas panjang. “Habistu Rina tahu tak pasal perkara ni?” Dia
membetulkan duduknya agar lebih selesa.
Afiq menggelengkan kepalanya.
“Rina tak tahu tentang perkara ni.” Dia melabuhkan punggungnya semula. “Tapi… In
Shaa Allah aku dengan dia akan berjumpa dan kami akan berbincang secara baik.
Kalau kami putus pun kami akan putus secara baik,” ujarnya cuba untuk
menyedapkan hati Fairuz.
“Fiq, aku tak boleh nak buat
apa-apa. Sekarang ni keputusan ada pada tangan kau dan Rina. Aku hanya boleh
beri nasihat pada kau je.” Fairuz cuba untuk memberikan nasihat buat sang
jejaka tinggi lampai dan berkulit putih ini.
“Seeloknya, kau fikirlah
masak-masak dulu sebelum nak putuskan pertunangan ni. Fikir baik-baik. Aku
takut kau buat keputusan terburu-buru lepastu menyesal tak sudah.” Perut Fairuz
yang semakin membesar itu menyebabkannya tidak selesa untuk duduk. “Jangan jadi
macam kes aku sudahlah. Aku tak nak kau jadi macam aku nanti.”
Afiq hanya mengganggukkan
kepalanya sahaja. “Baiklah, mak buyung. Aku ikut cakap kau,” selorohnya sambil
meledak tawa.
“Kau ni.” Fairuz menampar lembut
lengan Afiq. “Jangan main-main dengan perkara ni, Fiq. Ambil serius.” Dia cuba
mengingatkan rakan baiknya yang suka sangat mengambil enteng perkara yang serius.
“Kalau aku jadi Rina dah lama
aku tumbuk muka kau ni.” Dia kelihatan sudah mengepal penumbuk. “Geram aku
tengok kau ni.” Bibirnya diketap sambil dia menahan tawa.
Afiq sudah terlebih dahulu
meledak tawa. “Ya, Yuz. Aku akan fikir masak-masak. Aku ingat semua pesanan kau
tu,” beritahunya cuba untuk meyakinkan Fairuz.
“Kalau macam tu aku nak balik
dulu.” Fairuz mula meminta izin untuk beredar dari situ. “Tak larat aku nak
duduk dengan perut macam belon ni lama-lama kat sini.” Tawanya kedengaran di hujung
katanya.
“Anas, jom kita balik. Lain kali
kita datang sini lagi.” Dia mula melaung memanggil nama anak lelakinya yang
sedang enak bermain di taman permainan itu.
Afiq mengganggukkan kepalanya.
“Hati-hati jalan tu. Dah berapa bulan?” Sebelah keningnya terangkat sebagai
tanda dia sedang bertanya kepada Fairuz.
Fairuz mula bangun daripada
duduknya sambil matanya melihat susuk tubuh kanak-kanak lelaki sedang berlari
mendapatkannya. “Enam bulan dah.” Dalam kepayahan dia cuba bangun sambil
perutnya yang membulat itu dipegangnya. “Anas, cepat sikit.”
Afiq hanya memerhatikan sahaja
Anas, anak kepada Redza dan Fairuz yang sedang berlari-lari anak mendapatkan
ibunya. Comel sungguh Anas ini. Wajahnya saling tak tumpah seperti Fairuz.
Tubuh badannya pula seperti Redza. Molek sahaja.
‘Dapat ke aku merasa semua ni?
Dapat ke aku merasa ada anak, ada isteri nanti?’ Jauh di suduh hati Afiq dia
inginkan keluarga yang dibinanya sendiri. Dia juga seperti manusia biasa. Nalurinya
sama. Mahu berkahwin dan membina kehidupan keluarga yang bahagia. Namun, dia
masih belum bertemu jodoh lagi sehingga kini. Masih mencari-cari calon isteri
yang sesuai.
Dari kejauhan, Fairuz memimpin
tangan anaknya masuk ke dalam perut kereta. Tidak sampai lima minit, kereta
Citroen laju menderum merentasi jalan raya.

0 comments:
Post a Comment