Friday, 1 June 2018

Novel: Tidak Kuduga Cintamu Bab 4 (part 1)

BAB 4


WAJAH tuanya kelihatan masam mencuka. Nafasnya turun naik. Dadanya kelihatan berombak. “Budak bertuah tu mesti diajar!” Bibirnya diketap atas dan bawah sebagai tanda dia sedang menahan geram. Api kemarahannya mula mendidih.
“Pandai-pandai buat keputusan sendiri. Bukan nak fikir perasaan orang tua. Buat keputusan ikut kepala otak dia. Kepala otak kita nak letak mana?” Nampaknya kemarahannya tidak dapat dibendung lagi.
“Marina! Marina!” Suara tua itu mula bergema di sekitar rumah kampung dua tingkat tersebut. Membingitkan sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“Ya, Kak Yam!” Pantas sahaja wanita yang bernama Marina itu menjawab. “Kak Yam toksoh duk nepik-nepik panggil saya. Saya ni tak pekok lagi.” Kelihatan wanita yang berumur lingkungan 50-an itu keluar dari dapur sambil menatang dulang. Loghat Kelantannya jelas kedengaran.
“Kak Yam bukannya apa, Mar. Kak Yam geram dengan anak Kak Yam ni. Buat keputusan tak fikir orang lain.” Puan Maryam mula membebel. Pandangannya dilontarkan ke arah adiknya yang sedang berjalan menghampirinya sambil membawa dulang.
Puan Marina hanya tersenyum herot. “Mar ingatkan apa tadi?” Dia mula meletakkan dulang tersebut di atas meja kopi. “Sapo anok Kak Yam tu? Si Afiq ko Nani?” Teh panas itu dituang ke dalam cawan.
Puan Maryam mendiamkan dirinya seketika. Malas rasanya dia mahu menyebut nama anak bertuah yang telah menyakitkan hatinya. “Afiq,” jawabnya pendek.
Puan Marina yang sedang menghidangkan kuih cek mek molek itu pantas mengerutkan dahinya. “Afiq?” Wajahnya pantas memandang wajah kakaknya. “Afiq ado buat gapo ko Kak Yam sampai Kak Yam marah staro tu?” Secawan teh tersebut disuakan buat si kakak yang sedang panas hati itu. Punggungnya dilabuhkan di atas sofa bersebelahan dengan kakaknya.
Puan Maryam mengeluh lemah. “Tak tahu nak oyak lagu mano doh, Mar.” Cawan yang berisi teh panas itu disambutnya. Teh panas itu dihirup perlahan-lahan untuk menghilangkan dahaga yang telah lama bersarang di dalam kerongkongnya. “Dia putus tunang.”
Hampir tersembur kuih cek mek molek yang dimakan Puan Marina saat kata-kata daripada Puan Maryam itu dihadamnya.
“Hah?! Putus tunang?!” Terbatuk-batuk dia jadinya. Pantas sahaja air teh panas itu menjadi penawarnya. Sepantas kilat dia memandang wajah kakaknya.
Bakpo boleh putus?” soalnya ingin tahu.
Puan Maryam hanya mendiamkan dirinya seketika. Cawan yang berada di tangannya itu diletakkan di atas meja kopi. Kepalanya digelengkan. “Kak Yam tak tahu, Mar.” Dia memandang wajah adiknya.
“Habistu macam mana Kak Yam tahu?” Laju sahaja mulut Puan Marina ini meluncurkan soalan. Ada sahaja perkara yang dia ingin ketahui. “Maksud Mar, macam mana Kak Yam tahu yang Afiq tu putus tunang? Sumber daripada mana?”
Puan Maryam mula membetulkan duduknya. “Kak Yam dapat tahu daripada mak Sabrina.” Nafasnya dihela lemah.
“Tapi… betul ke apa yang Kak Yam dengar tu? Mano la tahu kot-kot fitnah.” Puan Marina yang sedang mengunyah itu laju berkata-kata.
“Yalah, mana tahu dia sengaja buat cerita. Mana kita tahu, Kak Yam? Oghe loni tokleh cayo sangat. Lagi-lagi oghe kayo supo keluarga Sabrina tu.” Terherot-herot mulutnya menuturkan bicara.
“Itulah, Mar. Kak Yam pun tak pasti sama ada betul ataupun tidak.” Puan Maryam mengangkat kedua-dua belah bahunya sebagai tanda dia tidak pasti dengan jawapannya itu.
Puan Marina mendiamkan dirinya seketika. Otaknya sedang ligat berfikir. “Kak Yam dah call Afiq? Tanya sama ada berita ni betul ke tak?” Sebelah keningnya kelihatan terangkat sedikit.
Puan Maryam membuang pandang ke arah kuih cek mek molek yang terletak elok di atas piring itu. “Dah tapi…” Dia memandang ke arah adiknya sebelum menyambung kata-katanya.
“…satu panggilan daripada Kak Yam langsung dia tak jawab. Geram Kak Yam tengok budak bertuah tu.” Keluhan kecil keluar daripada mulutnya.
“Apa kata Kak Yam call lagi.” Laju sahaja Puan Marina memberikan cadangan. “Mungkin tadi Kak Yam call dia tengah kerja.” Sebaris senyuman mula dihadiahkan buat si kakak yang sedang susah hati itu.
Puan Maryam mendiamkan dirinya seketika. Dia sedang menimbang-nimbang cadangan daripada Marina itu tadi. Telefon yang berada di atas meja kopi itu segera dicapainya. Nombor telefon anak sulungnya itu pantas sahaja didail.
Puan Marina tersenyum lega saat dia menyedari kakaknya itu menurut cadangannya. Kuih cek molek itu sekali lagi selamat masuk ke dalam mulutnya. Kuih tersebut menjadi kegemarannya sejak dia menetap di Kota Bharu, Kelantan dua puluh tahun yang lalu.
Puan Maryam pula diimport dari Kuala Lumpur untuk menjadi penemannya di rumah ini sejak setahun yang lalu. Masing-masing ibu tunggal dan masing-masing punyai anak yang tinggal berjauhan.
Afiq yang leka membelek-belek DSLR miliknya, tersentak saat iPhone 7 bergetar di dalam kocek seluar jeansnya. Kamera kesayangannya itu diletakkan di atas meja lalu iPhone 7 yang sedang bergetar itu dikeluarkan daripada kocek seluarnya. Skrin telefon pintar tersebut dikerlingnya sebelum panggilan tersebut dijawab.
Glup! Afiq menelan liur saat dia melihat nama pemanggil pada skrin telefon pintarnya. “Mak.” Seram! Bulu romanya pantas sahaja berdiri. Mahu tak mahu, panggilan tersebut dijawabnya. Perlahan-lahan jarinya menyentuh answer pada skrin telefon pintarnya itu.
“Helo! Assalamualaikum, mak.” Takut-takut Afiq menjawab panggilan daripada ibu tercinta. “Ma… Mak, sihat?” Sengaja dia bertanya khabar dahulu agar hati sang ibu sejuk. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi.
“Waalaikumussalam.” Keras kedengaran Puan Maryam menjawab salam daripada anak sulungnya itu. “Abang tak payah tanya-tanya mak kat sini sihat ke tidak. Abang tahu tak abang dah buat mak sakit kepala?” Lantang kedengaran suaranya.
Afiq menjarakkan sedikit telefon pintarnya dengan telinganya. Bingit kedengaran suara si ibu di sebelah sana.
“Mak, apa yang abang dah buat pada mak?” Dia cuba bertanya.
Puan Maryam mendengus marah. Dia membuang pandang ke arah Puan Marina yang sedang memerhatikannya.
“Abang cakap abang tak tahu!” Dia mula bangun daripada duduknya. Geramnya dilempiaskan pada si anak ini. “Yang abang pandai-pandai putuskan tunang dengan Sabrina kenapa?”
Afiq diam seketika. Bang! Tepat mengena ke kepalanya. Dia tahu dia salah. Sepatutnya ibunya diberitahu sebelum dia membuat keputusan ini. Dia culas. Ada hati tua yang wajib dijaga.
“Kenapa diam, abang?” Puan Maryam yang menyedari pemanggil di sebelah sana mendiamkan diri, pantas menyoal. “Patutlah mak call banyak kali tadi tak jawab. Mak tahu abang yang salah dalam hal ni. Sebab itu, mak tanya pun abang tak boleh nak jawab.” Ayat sentap sudah dikeluarkan oleh empunya nama penuh Puan Siti Maryam binti Haji Mokhtar.
Afiq menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Dahinya dipicit-picit. Pening dia jadinya. “Mak, tadi abang ada photoshoot. Abang ada kerja. Mak tak ingat ke kerja abang? Kerja abang memang tak boleh diganggu mak.” Dia mula menjelaskan keadaan yang sebenar. “Pasal putus tunang tu… ya, abang mengaku abang salah. Abang sepatutnya beritahu pada mak tapi…”
“Dah!” Pantas Puan Maryam memotong kata-kata anaknya itu. Belum pun sempat Afiq menghabiskan kata-katanya, dia pantas memotong. “Tak payah nak berdolak-dalik dengan mak lagi. Mak tak kira weekend ni abang mesti balik Kelantan. Jumpa dengan mak bincang dengan mak.” Dia mula memberikan kata putus.
Kedengaran Afiq berdecit sedikit. “Mak, abang ada kerja weekend ni. Abang jadi photographer untuk majlis perkahwinan kat Kuala Selangor. Mak, abang minta maaf. Abang tak boleh balik Kelantan weekend ni.”
Puan Maryam menghela nafas panjang. “Abang ganti dengan photographer yang lain. Mak nak weekend ni abang mesti ada kat rumah ni. Faham!” Pantas sahaja dia membuat keputusan.
“Assalamualaikum.” Perbualan segera dimatikan.
“Mak, mana boleh macam ni. Mak, ni kerja abang. Mak! Helo, mak! Mak!” Afiq memangil-manggil Puan Maryam yang nampaknya sudah mematikan talian telefon tersebut.
“Dah, letak pulak.” Dia berdecit sedikit sambil meletakkan iPhone 7 itu di atas meja.
“Siapa tu? Mak kau?” Azri, rakan sekerja merangkap rakan baik Afiq mula bertanya. Punggungnya dilabuhkan di hadapan rakan baiknya itu.
Afiq hanya mengangguk lemah. “Mak aku paksa aku balik Kelantan weekend ni.” DSLR yang berada di atas meja itu pantas dicapai.
“Eh, weekend ni bukan ke kau jadi photographer untuk wedding kat Kuala Selangor tu?” Azri mengerutkan dahinya. Tidak silap dia, Afiq memang ada kerja pada hari minggu ini.
“Itulah yang menjadi masalah sekarang.” Afiq memasukkan DSLR tersebut ke dalam begnya. “Mak aku paksa aku balik Kelantan. Tak boleh ubah keputusan dia.” Kepalanya digelengkan.
Azri diam seketika. Dahinya mula mengerut. Pandangannya dicerunkan. “Bro, aku gantikan tempat kau weekend ni. Kau baliklah Kelantan. Mesti mak kau nak bincang pasal kau dengan Rina tu.” Dia mula memberikan cadangan.
Afiq menimbang-nimbang cadangan Azri itu. Otaknya sedang ligat berfikir sama ada ingin menerima atau menolak cadangan rakan baiknya itu.
Puan Marina pantas mendekati Puan Maryam. “Lagu mano ni, Kak Yam?” Sebelah keningnya terangkat.

Puan Maryam menggenggam erat telefon bimbitnya. “Dia balik Kelantan weekend ni. Confirm!”

0 comments:

Post a Comment