Monday, 1 September 2014

Novel: Cintaku Hanya Untukmu bab 23

BAB 23


“KAU ingat tak masa kita lawan dengan Bahrain tahun lepas?” tanya Baddrol, salah seorang daripada rakan sepasukannya.
        Nazmi, Fakhri dan rakan sepasukannya yang lain sedang melepak di gerai mamak. Memang pada kebiasaannya mereka akan meluangkan masa bersama jika tidak terikat dengan sebarang perlawanan. Kebiasaannya gerai mamak merupakan mangsa mereka untuk melepak.
        Mereka akan bergelak tawa dan bergurau senda bersama. Beginilah caranya untuk merapatkan lagi hubungan antara mereka. Kadangkala sampai larut malam mereka akan melepak dan meluangkan masa di gerai mamak ini.
        Wan sudah tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
        Rakan sepasukannya yang lain sudah menutup mulut menahan tawa.
        Dia memang tidak mengingati perkara yang berlaku tahun lepas. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru lagi. Dia memandang wajah Baddrol dengan muka blurnya.
        “Bad, aku memang tak ingatlah,” balas Wan sambil mengerutkan dahinya.
        Matanya dialihkan pada rakan-rakannya yang sudah separuh mati menahan ketawa. Dahinya dikerutkan.
        Hazwan yang duduk di sebelahnya sudah tidak tahan lagi. Dia menepuk bahu Wan.
        “Takkan kau tak ingat? Masa kita lawan dengan Bahrain tahun lepas untuk kelayakan ke Olimpik. Masa tu kau baru masuk kat team ni.” Hazwan mula memberitahu.
        Kerutan di dahi Wan semakin bertambah. Dia sedaya upaya cuba untuk mengingati perkara yang diberitahu oleh Hazwan dan Baddrol.
        Rakan-rakannya yang lain menunggu sambil tersenyum.
        Wan memetik jarinya. Matanya bersinar-sinar memandang wajah Hazwan dan Baddrol silih berganti. “Hah, aku dah ingat.”
        Wajahnya yang teruja itu tiba-tiba bertukar menjadi marah. “Oh, patutlah korang tahan gelak tadi, ye. Rupanya korang nak gelakkan aku. Kurang asam, kau Bad. Kau bangkitkan balik cerita tu.”
        Terhambur ketawa mereka semua apabila mendengarkan kata-kata daripada Wan. Mereka bergelak tawa sampai tak ingat dunia.
        Wan hanya memerhati rakannya yang ketawa tak ingat dunia.
        Tidak kurang ada juga yang menghentak meja. Mamak di gerai tersebut sudah terbiasa dengan mereka.
        Nazmi yang berada bertentangan terlebih dahulu memberhentikan tawanya. Air mata di sekitar tubir matanya diseka.
        “Yang kau pergi golkan kat gawang sendiri tu kenapa?” Nazmi kembali ketawa apabila teringatkan kembali peristiwa itu.
        Wan hanya tersengih. Dia sememangnya tidak berkecil hati dengan seloroh rakan-rakannya itu.
        “Manalah aku tahu. Aku tak sengaja.” Dia meggaru-garu kepalanya sambil memandang Nazmi.
        Kata-katanya mengundang tawa segelintir rakannya.
        “Aduhai, macam manalah kau boleh tak perasan, Wan. Ryzal yang goalkeeper punyalah besar tu pun kau boleh tak perasan.”
        “Hoi, besar tu tak betul okey.” Pantas Ryzal memotong kata-kata Fakhri. Jari telunjuk Ryzal menunjuk lurus ke arah wajah Fakhri. Fakhri segera tersenyum.
        Wan menangkat bahunya. “Entah, aku pun tak tahu.” Tersengih-sengih Wan macam kerang busuk.
        Farhan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mencapai cawan yang berisi kopi di hadapannya. Sempat dia berkata-kata sebelum menghirup kopi. “Aku tak fahamlah dengan kau ni, Wan.”
        “Tulah, excited nak jaringkan gol sampai gawang gol sendiri dengan gol lawan pun tak reti nak beza.”
        Ketawa mereka terhambur sekali lagi begitu juga dengan Wan. Farhan yang sedang menghirup kopi hampir tersembur.
        Nazmi yang sudah terlebih dahulu mengangkat kedua-dua belah tangannya. “Okey, stop. Dah nak pecah perut aku gelakkan si Wan ni. Dah, dah.” Tawa Nazmi masih juga bersisa.
        “Tapi aku dah cover korang kan? Aku dah jaringkan satu gol masa tu kan?” Keningnya dijongketkan sambil tersenyum memandang rakan-rakannya.
        Hazwan yang di sebelah menumbuk bahu Wan. “Tapi kau tetap diingati sebab jaringkan gol kat tempat sendiri. Semua surat khabar dok canang cerita pasal Wan golkan kat tempat sendiri. Sebulan lebih Wan femes.”
        Rakan-rakannya yang lain mengangguk. Mengiakan kata-kata Hazwan.
        Wan tiba-tiba sahaja menepuk meja. “Eh, eh dah stop cerita pasal aku. Dah lapuklah cerita tu. Macam dah tak ada cerita lain.” Kata-kata Wan mendapat sambutan daripada rakan-rakannya yang lain.
        Sebelah tangan Farhan segera diangkat.
        “Cakap pasal cerita lain, aku ada dengar cerita.” Wajahnya memandang wajah rakan-rakannya yang menanti penuh pengharapan.
        “Apa dia?” tanya mereka hampir serentak. Badan mereka dirapatkan dengan meja.
        “Aku dengar cerita kita kena pergi Slovakia. Seingat aku…”
        Dahinya dikerutkan mengingati cerita yang didengarinya. “…tiga atau empat bulan lagilah. Kita kat Slovakia tu dalam tiga atau dua bulan je.”
        Semua mulut sudah membulat membentuk huruf ‘O’.
        Nazmi yang sedang menghirup milonya hampir tersembur.
        “Kejap, kau cakap bila kita nak pergi Slovakia?” Nazmi memandang Farhan yang berada selang seorang darinya.
        “Tiga atau empat bulan lagi,” jawab Farhan bersahaja.
        Nazmi mengerutkan dahinya sedikit. Matanya mencerun sambil mulutnya terkumat-kamit mengira sesuatu. Jari-jemarinya bergerak-gerak.
        ‘Kalau tiga atau empat bulan lagi maksudnya masa tu aku dah kahwin dengan Yuz.’
        Semua rakan-rakannya sedang rancak bersembang.
        Fakhri pelik dengan perbuatan Nazmi itu. Bahu Nazmi ditepuk. “Kau kenapa, bro?”
        Nazmi yang terkejut serta-merta memberhentikan pengiraannya. Dia segera mengangkat wajah.
        “Tak ada apa.” Senyuman menghiasi jawapannya.
        Kerancakan perbualan mereka tiba-tiba sahaja terganggu. Masing-masing diam membisu. Mata masing-masing memfokuskan ke suatu arah.
        Mereka tidak berkelip memandang ke arah Nazmi. Ada yang ternganga. Ada juga yang menggosok mata beberapa kali.
        Nazmi mengerutkan dahinya. Pelik dengan sikap rakan-rakannya.
        Fakhri juga sudah terjangkit. Dia menoleh ke arah belakang Nazmi.
        Mata Nazmi terus terarah ke arah belakangnya.
        Tiga orang gadis sedang berjalan beriringan menuju ke arah meja bersebelahan dengan mereka. Salah seorang gadis itu amat dikenalinya. Langkah mereka persis model yang sedang membuat catwalk di atas runaway.
        Mata-mata mereka mengiringi langkah gadis tersebut.
        “Fullamak, cun giler awek-awek tu!” Hazwan terlebih dahulu memuji. Mereka yang lain turut sama menganggukkan kepala mengiakan kata-kata Hazwan.
        Nazmi hanya tersenyum. Dia sudah terbiasa dengan sikap rakan-rakannya yang suka mengusha gadis-gadis berdahi licin.
        Salah seorang gadis itu mula melangkah menghampiri mereka. Gadis yang berambut perang memakai baju tanpa lengan berwarna putih bersama seluar jeans ketat dan sendat itu mula melangkah menghampiri mereka.
        Hazwan sudah tidak berkelip memandang gadis yang menonjolkan ‘aset’nya itu. Farhan pula sudah terliur tatkala matanya memfokuskan ke arah langkah gadis itu. Lenggok tubuhnya membuatkan Ryzal tersengih-sengih.
        Rambutnya yang panjang melepasi bahu yang sengaja dilepaskan dan digerbang-gerbangkan membuatkan Wan menelan air liur berkali-kali. Bibirnya yang tercalit gincu merah menyala yang menggoda sudah membuatkan Baddrol menongkat dagu memandang wajahnya. Fakhri sudah menggeleng-gelengkan kepalanya tatkala pipi gebu gadis itu ditatapnya.
        Semua bagaikan terkena sihir penggoda apabila terpandangkan gadis tersebut.
        Nazmi pula hanya memandang gadis tersebut tanpa sebarang perasaan. Dalam hatinya sudah terpahat dan tersemat seorang gadis. Ya, seorang gadis yang bakal menjadi isterinya. Fairuz Farisha. Gadis yang mampu mencairkan hati lelakinya.
        Setiap inci susuk tubuh dan wajah itu diamati oleh jejaka-jejaka yang berada di situ. Bukan sahaja susuk tubuhnya menjadi tatapan mereka sahaja bahkan pelanggan-pelanggan lain yang berada di situ.
        Dua orang rakan gadis tersebut telah duduk di meja bersebelahan dengan jejaka-jejaka pemain bola sepak itu.
        Gadis tersebut mula mendekati Nazmi sambil tersenyum dengan senyuman yang penuh menggoda.
        “Hei, boys!” Gadis tersebut sekadar berbasa-basi. Dia memandang jejaka-jejaka miang yang berada di hadapannya.
        Mereka semua membalas pandangan daripada gadis itu dengan pandangan yang memukau. Masing-masing cuba membetulkan penampilan.
        Dia melirik ke arah Nazmi dengan lirikan yang manja dan menggoda.
        Nazmi tidak mengendahkan sebaliknya dia berjaya melarikan pandangannya daripada menangkap lirikan yang penuh manja dan menggoda daripada gadis yang dikenalinya itu.
        Sekali lagi gadis tersebut memberikan senyuman yang manja dan menggoda buat si jejaka-jejaka miang itu. “Sorry, ganggu.”
        Mereka semua serentak menggeleng. Tersengih-sengih mereka dibuatnya.
        Dia melirik ke arah Fakhri tetapi lirikannya kali ini lain sekali. Lirikannya tidak manja dan menggoda seperti sebelum ini. Lirikannya lebih kepada sebuah peringatan ataupun sebuah perjanjian.
        “Boleh tak I nak pinjam kawan you all sekejap.” Suara gadis tersebut jelas kedengaran lunak dan manja di telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya. Jika jejaka yang mendengarnya mahu cair tahi telinga dibuatnya.
        “Kitorang tak kisah. Nak ambil terus pun boleh,” usik Fakhri. Usikan Fakhri itu memberi maksud yang lebih mendalam.
        Gadis tersebut ketawa kecil. Seperti biasa ada nada manja dan menggoda menghiasi tawanya. Rambutnya yang perang dan panjang itu diselitkan di telinga.
        “Okey, kalau you all tak kisah I nak pinjam kawan you yang comel macam Justin Bieber ni, boleh?” Dia memandang wajah Nazmi yang sedikit terkejut itu. Pandangannya jelas menggoda dan manja.
        Jejaka-jejaka yang berada di situ mula mengeluh. Masing-masing merungut kerana tidak dipilih oleh sang gadis yang seksi, manja dan menggoda itu.
        Nazmi terdiam seketika. Dia mula memikirkan surprise yang diperkatakan oleh Fakhri siang tadi. Mungkin ini surprise buatnya.
        “Bro, ini surprise untuk kau. Lissa surprise untuk kau.” Ternyata gadis itu Lissa. Fakhri sudah menepuk bahu Nazmi yang nampaknya sedang kebingungan itu.
        Dia memandang wajah Fakhri. Kerutan di dahinya kelihatan.
        Fakhri pantas mengangguk sambil tersenyum.
        “Fakhri kau gila ke?” Nada suranya pantas dikawal.
        Fakhri hanya menggeleng sambil tersenyum. Bibirnya didekatkan ke telinga Nazmi. “Tak, aku tak gila. Lissa yang gila. Dia gilakan kau, bro.”
        Nazmi menjauhkan dirinya daripada Fakhri. Dia hanya memandang wajah Fakhri dengan pandangan yang bercampur-baur. Marah dan bengang.
        Lissa yang tidak mendapat sebarang respons daripada Nazmi mula mengeluarkan kata-kata.
        “Okey, I pergi dulu kat meja sana. Nanti you pergi sana, ye. I tunggu.” Sekali lagi dia menggunakan kepakaran yang sedia ada dalam dirinya untuk memikat jejaka yang dia tergila-gilakan.
        Dia mula berpaling sambil melangkah menuju ke arah meja yang dikatakannya tadi. Sekali lagi langkahnya diiringi oleh mata-mata jejaka miang ini. Sebelum dia melangkah sempat dia menoleh ke arah Nazmi di belakangnya.
        “I tunggu tau, my little cute JB.” Kenyitan matanya yang menggoda dan manja menghiasi peringatannya kepada Nazmi.
        Rakan-rakannya yang lain sudah bersorak. Fakhri segera menarik lengan Nazmi agar bangun daripada duduknya.
        Nazmi menggeleng-gelengkan kepalanya kerana dia tidak mahu bertemu empat mata dengan gadis seksi, manja dan menggoda itu. Rakan-rakannya yang lain menyuruhnya untuk berjumpa dengan gadis yang bernama Lissa itu.
         Akhirnya Nazmi akur dengan permintaan daripada rakan-rakannya itu. Dia melangkah menuju ke arah meja gadis berkenaan. Gadis yang tersebut sudah sedia menunggu kedatangannya.
        Nazmi mengambil tempat duduk di hadapan Lissa. Kaca mata hitam yang terselit di leher bajunya diletakkan di atas meja.
        “You tak nak order ke?” Lissa memulakan bicara. Lagak manja dan menggodanya pasti tidak ketinggalan.
        Nazmi pantas menggeleng. “Dah minum kat sana tadi.” Dia seperti acuh tidak acuh sahaja menjawab pertanyaan daripada Lissa.
        ‘Kenapa dengan mamat ni? Macam ada yang tak kena je. Aku yang manja, seksi lagi menggoda ni dia tak nak pandang,’ rungut Lissa dalam hati.
        Dia tetap tersenyum memandang Nazmi. “Hari tu I nak jumpa you kat padang futsal tapi you tak ada. Fakhri kata you ada hal family. Betul ke?” tanya Lissa. Cuba untuk membuatkan suasana tidak menghening.
        Nazmi mengangguk kecil tetapi pandangannya dilontarkan ke arah lain. Wajah cantik dan menggoda Lissa langsung tidak diendahkan. Keadaan diam semula.
        Lissa yang sedang menyedut jus tembikai mula mengerutkan dahi. “You ni kenapa? Diam aje I tengok. You tak sihat ke?”
        Lissa cuba meraih tangan Nazmi namun pantas dia menepis.
        “Tak. Sihat je. Cuma penat sikit.” Dia memandang wajah Lissa. Cuba untuk meyakinkan gadis itu.
        Lissa mengendurkan kerutan di dahinya. “Laa…kesiannya my Justin Bieber ni. Penat ye, sayang? Biar I picit bahu you, okey.”
        Lissa sudah pantas bergerak ke belakang Nazmi namun pantas dia bangun. Lissa terpinga-pinga apabila melihat Nazmi begitu.
        Nazmi sudah mula jelak dengan perbuatan Lissa itu. Dia pantas mencari idea bagi mengelakkan diri daripada gadis manja dan seksi itu.
        Tangannya laju dimasukkan ke dalam kocek seluar jeansnya. iPhone 5s dikeluarkan lalu laju dilekapkan ke telinganya.
        “Helo, alang.” Dia sengaja berpura-pura bahawa Nazirul sedang menelefonnya.
        Kelihatan Lissa sudah bergerak ke tempat duduknya. Dia mencebik sambil menyedut jus tembikainya.
        “Okey, adik balik sekarang.” Nazmi kembali memasukkan iPhone 5s miliknya ke dalam kocek seluar jeansnya.
        Dia memandang wajah Lissa sambil bingkas bangun. “Emm…sorry. Abang call. Suruh balik sekarang. Ada emergency.”
        Sekali lagi dia memasukkan tangannya ke dalam kocek seluarnya. Not sepuluh ringgit dikeluarkan lalu diletakkan di atas meja. “Belanja sebagai tanda perkenalan.” Nazmi segera melangkah pergi.
        Lissa terpinga-pinga melihatkan tindakan Nazmi yang terburu-buru pergi meninggalkannya. Not sepuluh ringgit yang berada di atas meja diambilnya.
        “Kau fikir aku nak duit kau, Nazmi. Aku punya pun ada berlambak-lambaklah. Aku cuma nak kau je, Nazmi.” Lissa menggigit bibir kerana geram.
        Nazmi mengambil cap yang berada di atas meja tempat dia duduk bersama rakan-rakannya tadi.
        Baddrol mengerutkan dahi tatkala melihat Nazmi yang nampaknya sedang terburu-terburu balik. “Nazmi, kau nak pergi mana? Balik ke?”
        Cap disarungkan di kepalanya manakala hood sweater ditarik hingga menutupi kepalanya.
        “Aku nak balik. Tak tahan aku dengan minah mengenyam tu.” Kaca mata hitam dipakainya.
        Mereka berpandangan sesama sendiri.
        Sekeping not lima puluh ringgit diletakkan di atas meja. “Aku tak lupa janji aku nak belanja korang.”
        Dia berlalu pergi menuju ke arah kereta Mitsubishi Lancer berwarnya biru kepunyaannya.              

NAZMI pantas memanjat anak tangga menuju ke biliknya. Suasana di dalam banglo mewah kepunyaan Tan Sri Mansor sunyi sekali. Semua penghuninya sedang nyenyak tidur dibuai mimpi.
        Nazmi perlahan-lahan membuka daun pintu kamarnya. Dia memboloskan dirinya ke dalam kamar dengan cermat agar tidak mengganggu tidur penghuni banglo mewah itu.
        Perlahan-lahan daun pintu ditutup. Nazmi bersandar pada daun pintu tersebut. Cap dan kaca hitamnya ditanggalkan.
        Dia menghela nafas lega. Lega kerana dapat lepas daripada gadis yang menggoda itu. Akhirnya, dia dapat meloloskan diri daripada Lissa. Meremang bulu romanya apabila teringatkan gadis yang seksi itu.
        Mukanya diraup beberapa kali. Kaca mata hitam dan capnya diletakkan di atas meja kecil. Sweater ditanggalkan dan disangkutkan.
        Dia segera merebahkan badannya di atas katil empuk. Rasa sungguh selesa apabila berada di atas ketil empuk ini.
        Telefon bimbitnya segera dikeluarkan daripada kocek seluar jeansnya. Dia tergelak kecil tatkala dapat menipu Lissa dengan menggunakan iPhone 5s miliknya. Gadis itu ditipunya hidup-hidup.
        “Aku bukannya lelaki murah. Aku bukannya lelaki-lelaki lain yang kau boleh beli dengan seksi, manja dan godaan kau tu.” Bibirnya mengukir senyuman yang cukup sinis.
        Telefon bimbitnya ditenung sekali lagi. Wajah bakal isterinya, Fairuz memenuhi ruang mindanya. Rindunya terhadap gadis yang lebih berusia daripadanya mula menjengah.
        Walaupun telah bertemu semalam tetapi hatinya meronta-ronta ingin menatap wajah bakal isterinya. Hatinya membuak-buak ingin mendengar suaranya walaupun suaranya sedang marah. Mungkin inilah sindrom orang yang sedang mabuk cinta.
        Tangannya laju menyentuh skrin sesentuh telefon tersebut. Pantas nombor telefon Fairuz didail.
        Fairuz yang tertidur di atas meja kerjanya terjaga tatkala Blackberry Z30 miliknya menjerit minta diangkat. Tangannya meraba-raba telefon bimbitnya yang terletak di atas meja tersebut. Segera dia mengangkat panggilan telefon tersebut tanpa melihat nama pemanggilnya.
        “Helo.” Kedengaran suara Fairuz yang serak.
        Nazmi tersenyum tatkala panggilan telefonnya berjawab. Dia memeluk bantal peluknya.
        “Helo, awak! Awak dah tidur ke?” tanya Nazmi. Dia dapat mendengar suara Fairuz yang seperti baru bangun daripada tidur itu.
        Fairuz segera menggosok-gosok matanya. Dia yang masih mamai itu tidak dapat mengecam suara pemanggil di talian.
        “Hmm…. Pukul berapa sekarang?” Dia seperti malas-malas mahu menjawab soalan daripada si pemanggil.
        Nazmi segera melihat jam dinding yang berada di dalam kamarnya. “Pukul 12:45.”
        Fairuz terkejut. Matanya digosok berkali-kali. Segera dia melihat jam dinding yang berada di dalam kamarnya. Memang benar apa yang dikatakan oleh pemanggil berkenaan.
        Dia tertidur di atas meja kerjanya. Laptopnya masih terpasang. Nasib baik proposal sudah sepenuhnya siap. Dia menarik nafas lega.
        Apa-apapun dia harus mengucapkan terima kasih kepada si pemanggil tersebut kerana telah menyebabkan dia terjaga daripada tidurnya. Dia masih tidak tahu siapa pemanggil tersebut.
        “Emm…terima kasih sebab kejutkan saya. Kalau tak saya tidur kat meja kerja ni sampai pagi.” Fairuz tergelak kecil.
        Nazmi sudah tersenyum lega. Hatinya lapang kerana dia dapat mendengar tawa kecil Fairuz.
        “Awak siapa ye? Kenapa call saya tengah-tengah malam ni?” Fairuz mengerutkan dahinya. Dia masih tidak dapat mengecam suara pemanggil tersebut.
        Senyuman lega Nazmi terhenti. Ternyata Fairuz tidak mengetahui siapakah yang sedang memanggilnya.
        “Ini saya, Nazmi. Bakal suami awak.” Suara Nazmi kedengaran ceria di hujung sana.
        Fairuz tersentak dengan jawapan yang diterimanya. Dia terus melihat nama pemanggil di skrin telefon bimbitnya. ‘Budak Gila’. Tertera nama tersebut di skrin telefon bimbitnya. Dia sengaja meletakkan nama seperti itu pada senarai kenalannya.
        ‘Aduh, macam mana aku boleh tak perasan budak tu yang call.’ Fairuz menepuk dahinya berkali-kali.
        Keadaan menghening antara mereka berdua. Nazmi segera duduk daripada pembaringannya. “Helo, Fairuz. Awak ada lagi tak?”
        Fairuz segera melekapkan kembali Blackberry Z30 di telinganya. “Hei, awak dengar sini! Awak jangan nak perasan yang bukan-bukan, okey? Jangan nak berangan yang saya ni dah terima awak. Saya cakap macam tu sebabnya saya tak tahu siapa yang call saya ni. Awak ingat tu!”
        Fairuz pantas memutuskan talian tanpa sempat memberi peluang kepada Nazmi untuk mengakhiri perbualan.
        Nazmi berdecit sedikit sambil merebahkan kembali badannya di atas katil.
        “Nasib kaulah, Nazmi. Dapat bakal isteri yang langsung tak terima kau sebagai bakal suami dia.” Nazmi mula mengeluh.
        Fairuz meletakkan telefon bimbitnya kembali. Giginya diketap geram.
        “Tak boleh ke kalau budak hingusan tu pergi jauh daripada hidup aku?” Dia menjeling ke arah telefon bimbitnya.
        Nazmi kembali mendail nombor telefon Fairuz tetapi tidak dapat disambungkan. Fairuz telah mematikan telefon bimbitnya. Nazmi mengeluh sedikit. Bantal peluknya ditumbuk geram.
        Tidak lama kemudian iPhone 5s miliknya berbunyi. Segera dia menjawab panggilan tersebut tanpa melihat nama pemanggilnya. Dia beranggapan bahawa Fairuz yang memanggilnya.
        “Helo, awak! Saya minta maaf. Saya tak sengaja kejutkan awak tidur. Saya minta maaf. Saya call awak sebab saya rindukan awak.” Nazmi pantas menjawab. Bersungguh-sungguh dia memujuk Fairuz.
        “Hoi, bro! Sejak bila kau berawak saya dengan aku. Ini siap rindu bagai. Minta maaf lagi. Kau kenapa ni, bro? Demam ke?” Kedengaran gelak tawa Fakhri di hujung talian.
        Nazmi terus menelan air liur. Tanggapannya salah sama sekali. Mukanya membahang merah. Malunya kepada Fakhri bukan kepalang. Rasa macam nak letak muka kat dalam lubang jamban aje.
        Dia menepuk dahinya. ‘Macam mana ni? Silap-silap kantoi aku.’
        Dia masih belum memberitahu kepada rakannya itu tentang Fairuz, bakal isterinya.
        “Amboi, bro! Expertnya kau. Baru jumpa tadi kat mamak takkan dah rindu kot.” Fakhri mengekek ketawa lagi.
        Muka Nazmi makin membahang nampaknya. Giginya diketap geram.
        Fakhri beranggapan bahawa Nazmi sedang berhubung dengan gadis manja dan menggoda itu, Lissa.
        “Tak ada maknanya aku nak rindu kat Lissa.” Kedengaran suara Nazmi sedang marah.
        Tawa Fakhri makin mereda. “Habis tu siapa?” tanya Fakhri inginkan kepastian.
        Nazmi diam seketika. Dia masih belum bersedia untuk memberitahu kepada rakannya itu.
        “Tak ada siapa-siapa,” jawab Nazmi bersahaja.
        Fakhri yang sedang memandu itu mula mengukir senyuman. “Bro, takkan dengan aku pun kau nak berahsia kot?” Fakhri mula mendesak.
        Nazmi menghela nafas. “Nanti lama-lama kau tahulah.” Ringkas sahaja jawapan daripada Nazmi.
        “Yang kau call aku ni kenapa?” tanya Nazmi cuba mengalih topik.
        Pedal brek ditekan. Fakhri berhenti pada lampu isyarat merah. “Bro, kau tahu tak? Lissa merengek-rengek kat aku. Dia kata nak jumpa kau lagi. Dia merayu-rayu suruh aku bagi number phone kau.”
        “Habis tu, kau bagi tak?” tanya Nazmi cemas. Bimbang juga gadis seksi itu mengganggunya.
        Fakhri menekan pedal minyak. Setereng kereta dipusingkan ke kanan. Membelok ke kawasan apartmentnya. “Tak, aku tak bagi. Aku tahu kau tak suka dia.”
        Nazmi menghela nafas lega.
        “Betul?” tanya Nazmi inginkan kepastian.
        Kereta Fakhri masuk ke kawasan tempat letak kereta di apartmentnya. “Betul. Bro, takkan kau tak percaya kat aku kot?” Keretanya diberhentikan.
        “Okey, bro aku percaya.” Nazmi menganggukkan kepalanya.
        Fakhri membuka pintu kereta. Dia melangkah keluar sambil memegang jaket jeansnya.
        “Bro, aku nak tanya kau ni. Kenapa kau tak suka Lissa tu, ye? Team kita semua gilakan dia termasuk aku sekali tau. Tapi aku tak adalah segila macam geng kita yang lain. Kau tahu tak? Ramai lelaki yang berebutkan dia cuma dia je yang tak nak. Dia cuma nak kau je, Nazmi. Dia nak kawan aku yang macam JB celop ni.”
        Nazmi naik menyampah apabila mendengar nama Lissa disebut-sebut. Apatah lagi mengdengarkan yang Lissa itu amat tergila-gilakan dia.
        “Ah, biarlah perempuan murah tu! Aku tak suka sebabnya dia mengenyam semacam. Dia dok nak pegang-pegang aku. Aku tak sukalah. Aku rimas. Bulu roma aku meremang tau. Senang-senang kau ambik je Lissa tu jadi girlfriend kau.” Bulu romanya tegak serta-merta apabila teringatkan peristiwanya tadi di gerai mamak.
        Fakhri yang sedang menekan punat di lif mula tergelak kecil. “Dia tak nak kat aku. Dia nak kat kau jugak.”
        Dia melangkah masuk ke dalam lif setelah pintu terbuka. “Okeylah, bro. Aku chow dulu.”
        Talian terus dimatikan oleh Nazmi sebaik sahaja Fakhri mengakhiri perbualan. Nazmi mengerutkan dahinya. Gadis seksi itu mula mengganggunya. Susuk tubuh dan wajah gadis tersebut menghiasi benaknya. Perlahan-lahan kelopak matanya tertutup.   


0 comments:

Post a Comment